Tuesday 24 December 2013

Bab 9 - 10 : Dia... Mr Model


Bab 9

A good relationship is when someone accepts your past,
supports your present and encourages your future!

Hari ini merupakan hari kedua Mika berada di negara matahari terbit. Dia perlu menjalani penggambaran iklan di Jepun selama lima hari. Jadual waktu yang sangat padat sedikitpun tidak membataskan dia untuk memikirkan tentang gadis manis yang berada nun jauh 3304 kilometer dari jaraknya kini.
Hatinya benar-benar rindu akan Safa. Walaupun sehingga kini hubungan mereka tidak lebih dari seorang teman, namun dia langsung tidak kisah. Asalkan dia dapat berhubungan dengan gadis itu. Sudah memadai!
“Arghhhh!!! Gila angau sungguh aku ni! Gila malu kalau si Harry tahu. Sure golek-golek dia ketawakan aku!” Bentak Mika sendirian. Dia sudah naik angau!
Dia mencapai air mineral di atas meja yang berada di sisi kirinya. Diteguk beberapa kali bagi menghilangkan kering tekak. Dia tidak sabar untuk pulang ke Kuala Lumpur untuk menemui Safa. Tidak sabar untuk menyerahkan cenderahati yang dibelinya pada hari pertama dia menjejakkan kakinya di Tokyo. Tidak pernah dia membeli apa jua cenderahati kepada orang lain selain keluarganya. Namun untuk gadis itu, dia tersangat teruja untuk memberi sesuatu sebagai tanda kenangan.
Hu hu pasti ada yang perasan nanti! Macam mana ni? Mati malu nanti!
Terbit sedikit sesalan kerana membeli teddy bear yang tingginya hampir dua kaki tertera ayat I Love Tokyo itu. Kenapalah dia tidak membeli sepasang kimono untuk Safa? Pasti manis gadis itu memakainya.
“Huh! Lain kali datang sini pasti aku akan beli kimono tu. Entah-entah datang dengan dia sekali. Siapa tahu kan?”

Nun jauh di Malaysia, si gadis manis dibelenggu kesedihan. Bukan disebabkan oleh ketiadaan Mika namun kerana diganggu tidak putus-putus oleh si bekas tunang yang tidak faham bahasa. Entah apa yang Adli tidak puas hati lagi dengannya. Bukan dia yang memutuskan pertunangan mereka tetapi lelaki itu sendiri yang menghantar keluarganya untuk berbuat demikian. Jadi, kenapa masih mengganggunya?
Safa masih teringat perihal yang berlaku siang tadi ketika dia hendak pulang ke rumah dari Hotel Platinum. Dia yang baru hendak membuka pintu keretanya direntap dari belakang oleh ‘seseorang’. Dia berasa tersentak dan badan mula menggigil. Akal mula memikirkan perkara yang tidak elok akan berlaku ke atasnya. Namun sebaik sahaja hidung mula menangkap bau haruman yang sudah lebih dua tahun sebati dengan dirinya, dada mula lapang.
Safa berpaling ke belakang. Ingin menyoal apa yang Adli inginkan lagi darinya. Namun belum sempat dia menuturkan sepatah katapun, lelaki itu terus menyerang.
“Kau ni memang tak tahu malu kan? Tak padan baru putus tunang dah menggatal,” tempelak Adli. Lantang suaranya menerjah gegendang telinga Safa.
Berkerut dahi Safa mendengar tuduhan tersebut. Dia tidak faham dengan apa yang berlaku.
“Apa awak ni? Tak malu apanya? Menggatal apanya? Saya buat apa?” soal Safa berani. Dia tidak perlu takut dan gentar kepada pemuda yang berada tepat di hadapannya itu. Dia tidak berbuat salah. Kenapa dia mesti cuak dan takut?
“Baru dua hari putus tunang kau dah ada jantan lain! Patutlah kau tak kisah bila aku nak putus tunang. Memang dasar perempuan gatal!” Tuduh Adli. Nada suaranya masih lagi di oktaf yang tinggi. Riak wajahnya tegang. Urat-urat di lehernya kelihatan. Dia benar-benar kelihatan sangat marah.
Tetapi kenapa mesti dia marah? Dia dengan Safa hanya tinggal kenangan. Mereka sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Malah dia sendiri yang memutuskan pertunangan mereka.
“Awak peduli apa kalau saya dah ada lelaki lain pun? Kita bukan ada apa-apa lagi dah. Awak yang nak sangat kita putus tunang. Kenapa bila saya dah ada someone awak nak marah? Awak tak ada hak!” Berani Safa menentang Adli.
Dia tidak mahu dirinya diperkotak-katikkan lagi. Cukuplah dia menjadi orang bodoh yang terlalu setia dengan seorang lelaki seperti Adli, yang langsung tidak menghargainya. Malah mencuranginya!
“Kau dah pandai menjawab sekarang ya? Kau ni… memang!” Tidak mampu Adli meneruskan ayatnya. Dia benar-benar sangat marah. Dia tidak tahu kenapa mesti dia marahkan gadis itu.
“Ya! Saya memang pandai menjawab dah sekarang. And thanks to you, Adli! Sebab awak saya jadi macam ni!” balas Safa.
Matanya tepat memandang bekas tunangnya itu.
“Kenapa? Awak ingat saya akan menjadi lemah dan menangisi perpisahan kita macam orang gila? Awak silap Adli. Sebab saya sedikitpun tak heran dengan apa yang terjadi. Saya sentiasa percaya Qada dan Qadar Allah SWT. Malah saya yakin Allah sudah menetapkan saya berjodoh dengan lelaki lain. Yang lebih baik, tampan malah lebih berharta dari awak. Walaupun saya tidak pandang itu semua tetapi siapa saya untuk menidakkan ketentuan Tuhan kan?”
Geram Safa. Segala macam diluahkannya. Walaupun segelintir daripada ayat yang dituturnya adalah tidak benar, namun dia tetap berasa puas. Puas melihat wajah Adli yang terkulat-kulat mendengar balasan daripadanya.
“Huh!!! Kau jaga, Saf! Aku tak akan lepaskan kau begitu saja. Kau tunggulah. Aku akan balas nanti!” Adli membalas kasar.
Dia terus berlalu dengan perasaan marah yang sangat maksimum. Langkahnya laju dan tidak teratur. Langsung tidak berpaling kepada Safa.
Safa menarik nafas lega. Lega kerana dia tidak perlu lagi berpura-pura kuat di hadapan Adli. Sejak dari tadi dia terpaksa menahan air mata dari jatuh mengalir ke pipi. Dia tidak mahu nampak lemah di mata bekas tunangnya yang telah berubah 360 darjah itu.
Dia benar-benar berasa buntu. Buntu dengan apa yang perlu dia lakukan. Adli sudah memberi amaran sebegitu. Sedikit sebanyak dia berasa gentar dan takut. Tambahan pula dia tiada saudara mara di ibu kota ini selain teman rapatnya, Shira dan teman-teman di pejabatnya. Dengan siapa dia dapat menumpang kekuatan dan perlindungan?
“Huh! Kenapa lah dengan Adli ni? Tak habis-habis lagi. Entah apa yang dia tak puas hati sangat?” omel Safa perlahan. Berkerut-kerut dahinya memikirkan hal itu. Dia langsung tidak memberi perhatian terhadap siaran televisyen yang terpasang.
“Saf! Yuhuuuu…” panggil Shira sedikit kuat sambil memetik jarinya. Berkali-kali dia memanggil Safa namun tidak langsung menyahut.
Shira yang baru sahaja pulang dari pejabat kerana ada sedikit masalah di bahagiannya siang tadi, terus melabuhkan punggungnya di sebelah Safa. Namun sejak dari tadi, gadis itu langsung tidak menyedari kehadirannya. Langsung tidak memandangnya. Mustahil kusyuk begitu sekali walaupun menonton iklan? Pelik! Sedangkan bibirnya terkumat-kamit bergerak.
Tersentak Safa mendengar seseorang memanggil namanya. Lebih terkejut lagi dengan keberadaan Shira di sebelah kanannya. Hampir terlompat dia dari sofa 2 dudukan itu. Terkejut dengan kehadiran BFF dia itu.
“Eh bila kau balik ni?” Soal Safa sambil mengurut-urut dadanya yang tersentak sebentar tadi. Matanya bulat memandang Shira yang tersengih-sengih di sebelahnya.
“Dah lama dah pun. Kau yang tak perasan,” balas Shira.
Tangannya menggapai remote control di atas meja kopi di hadapan mereka. Dia mula menukar-nukar siaran. Tiada apa yang menarik untuk ditonton malam ini. Terasa lambat benar untuk menunggu rancangan kegemaran dia dan Safa iaitu Vampire Diaries bermula. Masih ada lagi sejam tiga puluh minit.
“Eh aku tak perasan pun? Kenapa kau tak panggil aku? Kau tak bagi salam ya?” Safa menuduh. Hanya sekadar mengusik temannya itu. Jari telunjuknya tepat menunjuk ke arah Shira.
“Amboi mulut tu... tak sayang sungguh! Aku dah bagi salam lah. Siap baca ayat Qursi lagi masa nak masuk rumah tadi. Kau tu yang tak dengar. Kusyuk fikir apalah sangat? Tak sedar langsung aku balik!” Sedikit tinggi suara Shira membalas tuduhan Safa. Memuncung mulutnya menuturkan kata-kata itu.
Perasaan lucu terbit di hati Safa dengan melihat telatah Shira itu. Sedikit sebanyak dia dapat melupakan apa yang berlaku siang hari tadi.
“He he aku tahu lah. Tapi serius... aku memang tak sedar yang kau dah balik. Tiba-tiba je ada di sebelah aku. Mau nya aku tak terkejut?”
“Itulah kau. Nasib baik aku yang ada kat sini, kalau orang lain macam mana? Pencuri ke? Perompak ke? Haaa perogol ke? Macam mana?”
“Hish kau ni! Janganlah minta semua tu. Takut aku dengar. InshaaAllah okey,” balas Safa.
Namun tetap terbit juga rasa risau di hatinya. Risau sekiranya mereka-mereka yang berniat tidak baik ke atas dirinya dan Shira menceroboh masuk ke dalam rumah mereka. Mungkin Adli? Siapa tahu kan? Tambahan pula dia memang tahu di mana letaknya kediaman mereka berdua. Tidak mustahil dia datang nak balas dendam.
Errr… dendam? Dendam apanya dia tu? Bukannya aku ada buat apa-apapun kat dia. Dia yang tinggalkan aku! Komen Safa sendiri. Dahinya kembali berkerut apabila sebaris nama itu kembali menerjah ke kotak fikirannya.
“Yang kau ni kenapa? Berkerut-kerut dahi tu? Seronok sangat kot nak jadi tua sebelum waktunya?”
Hairan Shira dengan tingkah laku Safa itu. Sebentar tadi duduk termenung tanpa sedar kehadirannya, sekarang ni entah apa yang dia fikirkan sampai berkerut-kerut dahi itu?
“Hmm tak ada apalah!” Balas Safa ringkas.
“Tipuuuu… Aku tahu. Ada something yang kau sedang sorok dari aku ni. Baik kau bagitahu aku!” ugut Shira.
Dia masak benar dengan tingkah Safa. Gadis itu terlalu jujur hinggakan wajahnya tidak dapat menyembunyikan apa yang dia sedang fikirkan. Cumanya dia tidak tahu apa perkara itu. Tetapi dia yakin yang temannya itu sedang memikirkan sesuatu yang berat!
“Hmm Adli!” Hanya itu yang keluar dari bibir Safa.
“Kenapa lagi dengan si jantan tak guna tu?” nada suara Shira sedikit meninggi sebaik sahaja mendengar Safa menyebut sebaris nama itu.
Pemilik nama yang sudah merosakkan hidup Safa dan yang telah mengecewakan sahabat baiknya itu. Dia sehingga kini masih lagi tidak boleh menerima apa yang berlaku.
Walaupun Safa sudah kembali normal, namun tidak dirinya. Dia benar-benar bencikan Adli. Sudahlah memutuskan pertunangan mereka, dia boleh pula serang gadis itu di hotel tempoh hari. Sedangkan dia yang bawa betina lain ke situ. Terang-terang Adli yang curang. Tapi dituduhnya Safa macam-macam. Entah jantan jenis apa dia itu?
“Dia serang aku lagi,” Sayu Safa menjawab. Dia kelihatan sedikit terganggu apabila menuturkan ayat itu. Tangannya memintal hujung baju pijamanya yang berwarna ungu lembut itu.
“Ya Allah! Apa lagi lah dia tu? Dia nak apa lagi???”
“Dia ugut aku, Shira!”
What??? Dah gila ke apa Adli tu? Hish geram sungguh aku!”
“Hmm aku takut, Shira. Kalau dia buat apa-apa kat aku macam mana?” luah Safa. Dia memandang sayu ke arah sahabatnya itu.
Shira mencapai tangan Safa. Dia mengusap perlahan untuk memberi kekuatan kepada gadis manis itu.
“InshaaAllah tak ada apa-apa, Saf. Kau jangan fikir sangat. Nanti apa pun kau tak boleh settle kalau tak boleh nak concentrate.”
”Hmm entahlah Shira. Aku dah buntu sangat ni. Aku risau. Adli tu dah berubah sangat. Aku tak tahu kenapa? Dulu dia tak macam tu pun.”
“Eleh! dulu dia tu nak cover depan kita ja. Dia tak tunjuk taring dia yang sebenar lagi. Entah-entah lagi jahat dari Claus tu,” balas Shira sambil menyebut nama pontianak jahat dalam drama bersiri Vampire Diaries itu.
Tertawa Safa mendengar kata-kata Shira itu. Sempat lagi sahabatnya itu berjenaka.
“Macam ni lah, Saf. Aku nak bagi cadangan kat kau,” kata Shira.
Tawa Safa terus terhenti. Dia tak tahu pula yang sahabatnya itu sedang memikirkan jalan penyelesaian untuknya walaupun tiada kata-kata yang serius keluar dari mulutnya sejak dari tadi.
Tekun Safa mendengar cadangan Shira itu. Terlopong dia dengan apa yang disarankan. Terkebil-kebil matanya sambil mencerna apa yang perlu dia lakukan. Kepala cepat-cepat menggeleng. Mana mungkin dia berbuat demikian. Dia bukannya perempuan yang jenis suka mengambil kesempatan. Tambahan pula tak akanlah dia yang kena mencari dan mengusul? Tak pasal-pasal dia akan dicop ‘perigi cari timba’ pula nanti. Hish!
Tapi Safa akui apa yang Shira sarankan itu memang ada benarnya. Pasti Adli tidak akan mengganggunya lagi selepas dia menjadi kepunyaan orang lain. Namun yang menjadi persoalan dan masalahnya sekarang ini adalah siapa lelaki itu? Siapa yang sanggup nak jadi ‘suami loncatan’nya itu? Aduh!


Bab 10

I try not to miss you,
I try to let go,
But in the end,
You are always on my mind!

Mika menarik nafas lega sebaik sahaja kakinya menjejak kaki ke tanah air sendiri. Penerbangan MH82 yang berlepas jam 10.30 pagi dari Tokyo Narita Airport tiba di Kuala Lumpur International Airport jam 4.45 petang. Terasa lenguh-lenguh pinggang Mika kerana berada selama hampir 7 jam di dalam pesawat Malaysia Airlines itu. Dia berasa aman berada di negara sendiri berbanding perasaan serabut berada di Tokyo.
Tangan kirinya meraup rambut panjangnya ke belakang. Rambut itu telah dipotong sedikit layer di bahagian belakang. Sedikit permintaan oleh pihak agensi. Namun tidak timbul sebarang masalah kepada Mika. Tambahan pula dengan potongan rambut sebegitu membuatkannya kelihatan lebih menarik dan seksi! Ops! Itu bukan sengaja dia nak cakap ye? Itu kata Asami, iaitu model perempuan yang bergandingan dengannya di Tokyo.
Terbit senyuman di bibir Mika mengingati perbualannya dengan Asami. Cantik gadis itu. Kacukan Jepun-Amerika. Baik dan peramah. Tidak langsung mengambil kesempatan ke atas perhubungan kerja mereka.
Malah secara jujurnya gadis itu mengakui yang dia sudah berpunya. Kekasihnya adalah seorang jejaka biasa yang menjalankan perniagaan sendiri. Bukannya lelaki dari bidang yang sama dengan mereka. Sudah hampir 3 tahun mereka bersekedudukan.
Ya! Biasa bagi mereka di luar negara yang berbuat demikian. Tinggal bersama walaupun tanpa sebarang ikatan yang sah. Dia tidak mahu begitu. Dia mahukan perhubungan yang halal dan hanya akan menyentuh sesuatu yang sudah menjadi haknya sahaja.
Tiba-tiba fikirannya mula teringat akan Safa. Tiap kali perihal berumah tangga dan perhubungan sesama lelaki dan perempuan diperkatakan, pasti terlintas figura cantik itu. Dia tidak tahu kenapa? Seperti ada sesuatu yang ‘mengikat’nya dengan gadis itu.
Timbul kembali perasaan rindu yang amat sangat kepada Safa. Sudah hampir seminggu mereka tidak berjumpa. Menyesal pula dia tidak mendapatkan nombor telefon gadis itu. Kalau tidak, pasti dia sudah melekat dengan telefon 24 jam, berbual dan bermesej dengannya.
Mika mengerling ke sisi kirinya. Memandang teddy bear yang dikepitnya. Tidak sabar untuk memberi kepada Safa. Tidak sabar juga dia untuk melihat reaksi gadis manis itu. Entah apa perasaannya apabila menerima hadiah yang tidak seberapa itu. Dia mula penasaran.
Buat pertama kalinya di dalam hidup dia memberi hadiah kepada seseorang yang langsung tiada kena mengena dengannya sebelum ini. Dia tekad membeli hadiah itu kerana dia mahu Safa sentiasa mengingatinya. Tambahan pula dia sudah tahu rahsia terbesar gadis itu, lagi bertambah tekadnya dia. Si manis itu kini tidak berhubungan dengan mana-mana lelaki dengan serius.
Dia sudah putus tunang! Peluang untuk Mika terbuka luas. Dulu timbul jua perasaan risau dan tidak enak hendak merampas tunang orang namun kini isu itu dia tidak perlu lagi risau. Dia bebas mengorat dan mengayat gadis itu!
Mika menyewa sebuah limosin di KLIA. Dia perlu segera pulang ke The Troika. Jam sudah hampir 5.30 petang.


Safa baru sahaja selesai berbincang dengan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan. Pihak pengurusan telah membuat keputusan akan menempatkannya secara total di Hotel Platinum manakala di Hotel Silver akan ditempatkan pembantu akauntan yang lain. Tetapi akaun di kedua-duanya masih di bawah pengawasan dan tanggungjawabnya.
Safa tidak langsung merasa berat dengan keputusan itu. Malah dia berasa sangat gembira. Dia lebih mesra dan rapat dengan kakitangan di Hotel Platinum. Yasmin dan Farah sudah menjadi teman rapatnya. Walaupun dari pelbagai peringkat umur, namun itu tidak langsung membataskan pergaulan mereka.
Welcome, Safa Salena!” ucap Yasmin riang.
Dia juga berasa sangat gembira dengan keputusan itu. Tidak perlu lagi Safa asyik berulang-alik dari Hotel Platinum dan Hotel Silver. Tidak perlu lagi gadis itu tertekan menghadapi jalan yang sesak. Walaupun sekali sekala dia perlu juga ke sana, namun sekurang-kurangnya gadis itu tidak perlu berulang-alik setiap hari.
Kasihan Safa. Walaupun tidak mendengar sebarang rungutan dari gadis itu, namun Yasmin yang melihat sudah merasa cukup ‘penat’ dengan kerjanya. Itu belum lagi masuk bab akaun tak tepat. Mahu migrain gadis itu..
“Alah Kak Min ni. Saya memang ada kat sini dah pun. Apa pulak welcome welcome segala ni?” balas Safa lembut sambil bibir mengukir senyuman manis.
“Kak Min tahulah. Tapi kali ni Saf tak perlu lagi ulang-alik setiap hari. Boleh duduk terus kat bilik akauntan tu tiap-tiap hari, dan juga tiap-tiap hari boleh keluar makan dengan Kak Min dan Farah. Kalau tak… asyik Kak Min dengan Farah je. Boring betul!”
Tertawa mereka kedua-duanya. Ini kalau dengar dek Farah mahu merajuk seminggu. Perangai masih keanak-anakkan si Farah itu. Sedikitpun tidak matang walaupun bergaul dengan mereka-mereka yang lebih tua darinya.
Safa memohon diri untuk berlalu ke biliknya. Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam bilik itu, hidungnya mula menangkap bau haruman ‘lain’. Dia mula berasa hairan. Seperti ada seseorang yang telah masuk ke dalam biliknya itu. Sedikit perasaan cuak telah timbul. Cuak kerana bilik itu menempatkan pelbagai fail kewangan dan fail-fail yang sulit. Risau kalau ada yang ‘cepat tangan’.
Matanya mula meliar sekeliling biliknya. Tiada langsung sebarang selerakkan. Fail-fail masih berada di tempatnya. Mejanya masih kemas tanda tiada sesiapapun yang mengusik. Namun sebaik sahaja matanya mula menangkap satu figura ‘aneh’ yang berada di atas kerusinya, dia terus melangkahkan kaki ke arah itu. Semakin hampir dia mula mampu menterjemah apa yang sedang dilihatnya.
“Erk… Teddy bear? Siapa yang kasi ni?” Tangannya mula mengangkat teddy bear setinggi 2 kaki itu. Agak besar untuk dirinya yang tidak berapa besar itu. Di dada teddy bear itu tertera ayat ‘I Love Tokyo’.
Cantik! Tapi untuk dia ke? Siapa yang kasi?
Safa meletak kembali teddy bear itu di atas kerusinya. Dia mula risau. Takut menyentuh barang orang. Tetapi kenapa mesti letak di atas tempat duduknya? Siapa yang berani sangat masuk ke bilik akauntan? Bukankah bilik ini hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh masuk?
Safa mengatur langkah untuk keluar dari bilik itu. Dia perlu menanya kepada pembantunya siapa yang masuk ke dalam biliknya sepanjang ketiadaannya sebentar tadi.
“Ani!” Panggil Safa.
Ani merupakan salah seorang pembantu akauntan. Dia yang sedang tunduk menulis sesuatu ke dalam buku lejar terus mengangkat kepala memandang ke arah suara yang memanggil.
“Ya?” sahutnya.
“Tadi sepanjang saya tak ada, ada sesiapa yang masuk ke bilik saya ke?” soal Safa telus.
“Erkk… Tak tahu,” balas Ani tergagap. Sama ada dia merasa cuak kerana tidak perasan siapa yang telah masuk ke dalam bilik bosnya itu atau dia sedang menyembunyikan sesuatu?
“Hmm betul awak tak tahu?” soal Safa lagi untuk mendapatkan kepastian.
“Ya. Kenapa Saf?” soal Ani semula. Dia memandang Safa.
Sememangnya semua orang memanggil Safa dengan panggilan Saf. Baik pegawai atasan mahupun kakitangan bawahannya. Itu merupakan permintaannya sendiri. Dia tidak mahu menjarakkan perhubungan mereka. Dia mahu mereka berasa diri mereka juga penting dan bukannya sebagai pekerja bawahan sahaja.
Pada mulanya mereka di bawahnya sukar untuk berbuat demikian namun setelah berkali-kali diberi amaran olehnya, mereka terpaksa jua berbuat demikian. Malah dengan panggilan nama sebegitu membuatkan mereka menjadi lebih rapat dan mesra. Langsung tidak timbul sifat iri hati, beban atau perasaan yang tidak enak di kalangan mereka.
“Err… Nothing. Tak apalah. Saya masuk dulu,” balas Safa sedikit gagap.
Ani hanya tersenyum kepada ketuanya itu. Senyuman yang sukar ditafsir!
Safa masuk semula ke dalam biliknya. Dia berjalan tepat menuju ke kerusinya. Dia mencapai semula teddy bear berwarna putih itu. Dibelek berkali-kali. Tiba-tiba sekeping kertas berwarna kuning jatuh dari punggung teddy bear itu. Dia terus mencapainya. Terlopong matanya membaca ayat yang tertera.
+ Miss you! Call me after you’ve read this…
From : 0123456789
Menggigil tangan Safa menggenggam nota itu. Dia mula meneliti nombor telefon yang tertera. Bukan nombor telefon sesiapa yang dia kenal. Malah bukan juga nombor telefon Adli. Siapa yang berani cakap macam tu padanya?
Kepalanya penuh dengan pelbagai alasan dan isu. Dia buntu! Sebahagian akalnya mula menyuruhnya menghubungi nombor telefon itu. Namun sebahagian lagi menghalangnya dari berbuat demikian.
Safa melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Dia memeluk teddy bear yang gebu itu. Dia membelai bulu teddy bear itu tanpa dia sedari. Dia akui yang dia sukakan hadiah itu namun dia berasa risau dengan gerangan yang memberi. Entah siapa-siapa yang beri.
Safa mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam laci di sisinya. Jemarinya mula menekan nombor asing itu. Lambat sekali dia bertindak. Untuk menekan butang ‘hijau’ pun mengambil masa yang lama. Semuanya berlaku di bawah pengaruh luar sedarnya. Sebaik sahaja dia mendengar suara di ‘sana’ menyahut, cepat-cepat dia menekan butang merah. Gelisah dia mendengar suara garau yang menyahut. Bertambah takut dan gelisah.
Namun tidak sampai 15 saat, telefonnya berbunyi. Nombor asing itu tertera di skrin telefon bimbitnya. Teragak-agak Safa hendak menjawabnya. Butang hijau ditekannya. Telefon didekatkan di telinganya yang ditutupi dengan tudung bawal berwarna hijau gelap.
“Assalamualaikum,” sapa Safa perlahan.
Dia cuba memberanikan diri. Dia benar-benar ingin tahu gerangan yang menghantar teddy bear tersebut. Matanya sempat mengerling teddy bear yang berada di atas ribanya itu. Diusap perlahan perkataan yang tertera di hadapan badan teddy bear itu.
“Waalaikumsalam,” Garau suara di sana menjawab.
Safa terkejut mendengar suara itu. Rasa pernah didengarinya. Tapi siapa?
“Er… awak siapa?” tergagap-gagap Safa menyoal.
“Amboi cik adik cantik ni. Buat tak kenal kita boleh ye? Sampai hati sungguh!”
“Hish  janganlah main-main. Saya kenal awak ke?” soal Safa semakin berani.
“Wahai Cik Safa Salena yang cantik manis. Baru seminggu awak tak dengar suara saya awak dah lupakan saya? Saya, Mika lah!”
“Mika? Azka Mikael ke???”
“Amboi siap sebut nama penuh lagi. Kenapa tak sebut nama daddy saya sekali?” perli Mika. Dia tertawa lucu. Lucu mengenangkan yang gadis itu pasti sedang terkejut dengan apa yang berlaku.
“Mika! Awak janganlah main-main. Betul ke awak ni, Mika anak Tan Sri Ahmad Malik?” soal Safa lagi. Masih lagi tidak berpuas hati. Iyalah! tiba-tiba saja bagi dia hadiah, apa mimpi?
“Ya Allah! Betullah saya ni Mika. Awak ada kenal ramai Mika ke?”
Jejaka itu masih ketawa riang. Langsung tidak mengambil serius dengan apa yang sedang Safa persoalkan. Terasa lucu dengan telatah gadis itu. Sampai begitu sekali dia tidak percayakan Mika.
“Err… tak lah. Saya cuma terkejut je. Tiba-tiba je masuk bilik ada makhluk ni. Nasib baik saya tak jerit tadi,” balas Safa malu-malu.
Namun dia sudah berasa lega. Nasib baiklah dia mengenali orang yang memberi hadiah itu.
“ Err… tapi kenapa awak bagi saya teddy bear tu?” soal Safa kembali.
“Lah pulak! Kenapa? Tak boleh ke?”
“Hmm bukanlah. Tiba-tiba je…”
“Saya kan baru balik dari Tokyo semalam? Saya belilah buah tangan untuk awak sikit. Kenapa? Awak tak suka ke?”
“Eh tak lah. Saya suka!” Cepat-cepat Safa menjawab. Masakan dia tidak sukakan ‘makhluk’ itu? Makhluk secomel dan segebu itu.
“Haaa baguslah awak suka. Lega saya dengar,” Mika membalas sambil menarik nafas lega.
“Mika, awak beli untuk semua staf kat sini ke?”
Kedengaran kuat pemuda itu melepaskan tawa. Terpinga-pinga Safa mendengarnya.
“Awak ni lawak lah Saf. Tak kan lah saya nak beli untuk semua pulak? Mahu saya kena tempah satu kapal terbang untuk bawa balik hadiah tu semua. Saya beli untuk awak je,” balas Mika. Masih ada sisa tawanya.
“Untuk saya je? Untuk family awak?” masih lagi Safa menyoal. Dia menyandarkan badannya ke belakang. Cuba menenangkan diri dan mencari keselesaan.
“Saf… Apa kata awak turun sekarang ke Zarra CafĂ©? Saya dah lama tunggu awak ni kat sini. Nanti saya jawab semua soalan awak tu. Boleh?”
“Awak ada sini? Awak tunggu saya ke???” soal Safa terkejut. Terangkat sedikit tubuhnya dari kerusi.
“Safa Salena! Turun lah dulu. Nanti saya jawab semuanya. Penatlah asyik cakap dalam telefon je. Nanti lama-lama boleh kena kanser otak pula kita berdua. Turun sekarang ya?” suruh Mika.
Kalau dibiarkan mahunya Safa tidak henti-henti menyoalnya macam-macam. Dia dah lah rindukan gadis itu. Dia nak jumpa dan lihat gadis itu di depan mata bukannya hendak mendengar gadis itu berpenasaran macam-macam.
“Err… Give me five minutes. Boleh?”
“Okey!”
Kedua-duanya terus mematikan talian.
Kelam-kabut Safa mencapai dompetnya di dalam laci. Kaki terus melangkah keluar dari biliknya. Sempat dipesankan kepada Ani tentang ketidakberadaannya itu. Tersengih-sengih gadis itu memandangnya.


Bersambung di Novel... Dapat novel keluaran Jannuari 2014!

No comments:

Post a Comment