Sunday 16 February 2014

Prolog - Doa Cinta Seorang Lelaki

Nadine berlari sekuat hatinya apabila melihat pintu LRT sudah separuh tertutup. Nasibnya baik, dia sempat menaiki tren tersebut. Kalau tidak, makin masamlah muka Amirul kalau dia lambat.

Peluh renik begitu jinak membasahi dahi. Penghawa dingin yang terpasang belum mampu mengusir rasa lelah dan ‘semput’ akibat berlari mengejar masa. Lebih malang, sehelai tisu pun tidak ada di dalam beg tangannya. Macam mana boleh lupa bawa ni?

Sudahnya dia mengipas mukanya dengan tangan.

“Duduklah,”pelawa satu suara.

Lekas-lekas Nadine berpaling. Seorang lelaki tinggi lampai sudah menawarkan tempat duduk. Nampaknya, dalam ramai-ramai penumpang di dalam gerabak tren tersebut, hanya seorang saja yang prihatin.

Lelaki itu berkaca mata hitam, berketayap putih dan jubah yang dipakainya juga berwarna putih.

Trend baru ke apa ni? Kelakarnya! Hendak tergelak pun ada melihat gaya lelaki tersebut.

Nadine Qhaisara! Jaga sopan santun kamu. Jangan ikut sedap mulut saja mengata orang lain. Lagipun jangan lupa, lelaki berkaca mata hitam, berketayap dan berjubah putih itulah yang sudi memberikan tempat duduknya pada kamu. Kalau tidak, lenguhlah betis kamu berdiri lama-lama.

Masalahnya gaya lelaki ini tersangatlah kolot. Kalau hari ini hari Jumaat, masih boleh diterima.

Nadine!

Baiklah! Tak kutuk kolot dan takkan cakap apa-apa lagi tentang lelaki tersebut.

Bagus. Jadi?

Jadi apa?

Sepatutnya kamu cakap apa pada lelaki berkaca mata hitam, berketayap dan berjubah putih ini?

“Terima kasih,”balas Nadine. Secalit senyuman sudah diukir pada lelaki tersebut.

“Sama-sama.”

Nadine menyorot lelaki itu atas bawah. Kalau tidak salah jangkaannya, lelaki itu mungkin tua dua atau tiga tahun daripada dirinya. Cuma gayanya itu yang buat lelaki tersebut nampak seperti sudah berumur 40 tahun.

Nadine leka menyorot makhluk ciptaan Tuhan yang satu itu sehinggalah lelaki itu turut membalas tatapannya.

“Ada apa-apa lagi yang boleh saya tolong?”sapa lelaki berjubah dan berketayap putih itu. Tutur katanya begitu tersusun. Siap guna bahasa baku lagi.

Tanpa dapat ditahan lagi, senyuman lebar sudah pun terukir dibibir Nadine. Jarang sangat Nadine dapat dengar bahasa baku ni. Dulu ujian lisan Bahasa Melayu pun Nadine nyaris gagal sebab tidak guna bahasa baku.

Gulp! Nadine telan liur bila melihat betapa seriusnya wajah lelaki berjubah putih itu. Kali ini lelaki itu sudah menanggalkan cermin mata hitamnya.

Nadine sudah melopong. Rupa-rupanya lelaki itu nampak sangat muda kalau tidak memakai cermin mata. Dan.. Sepasang matanya begitu indah. Sangat indah. Kalau pandang lama-lama, boleh tergolek-golek hati Nadine.

“Ada yang tak kena ke dengan muka saya?”tanya lelaki itu lagi. Dia sempat menyentuh kedua belah pipinya.

Sumpah! Pasti lelaki itu dapat melihat betapa merahnya pipi Nadine saat ini.

 Malunya!

“Tak.. Tak ada apa-apa. Terima kasih lagi sekali.”

Nadine mematungkan diri. Sekali-sekala dia menjeling lelaki tersebut melalui ekor mata. Lama dia menunggu lelaki itu membalas kata-katanya.

Cis! Lelaki itu memilih untuk memandang ke luar tingkap tren.

Tanpa sedar, Nadine merenggus melihat gelagat lelaki tersebut. Ada rasa geram dan tidak puas hati datang menjengah tangkai hatinya. Apa salahnya lelaki itu membalas kata-katanya.

Dia ingat dia itu bagus sangat! Baju sudahlah kolot.

Nadine sayang, jaga mulut tu.

Dan entah bagaimana, sekali lagi dia menyorot lelaki itu lama. Meneliti setiap inci raut wajah lelaki tersebut.

Masya-Allah! Lelaki itu sedang menatapnya. Lekas-lekas Nadine membuang pandang.

Nadine meneguk liur yang dirasakan pahit tiba-tiba. Ada rasa aneh yang datang mengetuk pintu hatinya kali ini. Susahlah kalau begini.

“Kenapa you pandang I ?”tanya Nadine, itupun setelah puas memberanikan diri.

Lelaki itu mengukir senyum tipis. Amboi, bukan main putih lagi gigi lelaki tersebut. Sudahlah putih berseri-seri, barisannya juga teratur cantik. Kalau jadi model iklan ubat gigi pasti laku.

“Saya bukan pandang cik. Tapi saya pandang lelaki tua yang memakai tongkat selang dua baris dari tempat duduk cik.”

Percayalah, Nadine ingin menjadi patung yang tidak punya perasaan sekarang juga. Malu betul!

“Minta maaf ya kalau saya buat cik tak selesa,”ujar lelaki itu tiba-tiba. Kemudian lelaki itu bergerak ke gerabak yang lain. Jauh dari pandangan matanya.



Biarpun seminit sudah hampir berlalu, namun rasa malu masih juga menghantui Nadine. Semuanya gara-gara lelaki berjubah putih, berketayap dan bercermin mata hitam itu.

No comments:

Post a Comment