Monday 17 March 2014

Bab 4 Dia Kekasih Hati oleh Sarnia Yahya

pic credit to Google

SETELAH memasukkan kain-kain yang hendak dicuci ke dalam mesin basuh dia kembali berbaring di atas sofa. Kepalanya terasa berpusing-pusing sebaik bangun dari tidur tadi. Bangun pun agak lewat. Namun ditunaikan juga solat subuh.
Pagi itu dia hanya bersarapan dengan roti butterscocth yg dibeli di minimart di bawah kondo yang di duduki bersama Haikal sejak lebih dua tahun. Memang sebelum itu Haikal tinggal di situ sendirian. Kondo itu dibeli oleh Haikal sejak 6 tahun yang lalu.
Lama dia memandang telefon bimbitnya dan berharap Haikal menghubunginya ketika itu. Rasa rindu terhadap lelaki itu membuak-buak. Bukan dia tidak pernah ditinggalkan sebegitu tetapi rasa itu semakin mencengkam selepas panggilan dari Khalida semalam. Kirim salam rindu dan sayang dari Encik Abdul Rahman melalui Khalida semalam membuat dia berasa sedih, sendiri dan begitu jauh dari orang yang disayangi.
“Abang kat mana sekarang sebenarnya?” soal Khalisha kepada telefon bimbitnya seolah-olah gajet itu mendengar soalannya.
Nafas dihela dengan rasa begitu berat sekali. Merenung kipas siling yang terbuka sejak tadi. Tidurnya tidak berapa lena apabila kepalanya berdenyut-denyut.
“Siapa pulak ni?” sungutnya sendiri sebaik loceng di pintu berbunyi.
Dengan rasa malas dia bangun menuju ke pintu rumah yang hanya beberapa meter dari sofa tempatnya berbaring sebentar tadi.
“Ayah!” terkejut dia sebaik melihat lelaki yang berdiri di hadapan pintu. Cepat-cepat dia membuka pintu besi.
Encik Abdul Rahman senyum lebar sambil menyambut tangan Khalisha yang mahu menyalaminya. Khalisha menjenguk keluar memandang kiri dan kanan tetapi tidak menemui wajah yang ingin ditatapi.
“Ibu?” soal Khalisha memandang Encik Abdul Rahman yang sudah pun masuk ke dalam.
“Ada dalam kereta. Biarlah dia.” Encik Abdul Rahman menarik tangan Khalisha mengajak anak itu ke sofa yang terletak berhadapan dengan pintu gelangsar.
Khalisha hanya menurut langkah lelaki itu sebaik menutup pintu rumah.
“Haikal mana?” soal Encik Abdul Rahman. Liar matanya memandang sekitar ruang yang luas. Memang selesa sekali kondo yang didiami oleh anak bongsunya bersama Haikal.
Langkah Khalisha terhenti. “Err... dia ke pejabat. Ada kerja sikit,” bohong Khalisha.
“Ooo...” Encik Abdul Rahman masih tegak berdiri. Memang dia tidak bercadang hendak berlama di situ. Bimbang Puan Rohaya yang sedang menunggunya di dalam kereta. Tempat letak kereta pun dia tidak pasti sama ada milik penghuni kondo itu atau tempat letak awam. Isterinya itu bukan tahu memandu.
“Ayah pun tak call, kalau tak boleh dia tunggu tadi,” rengeknya agar tidak ketara apa yang berlaku sebenarnya.
Encik Abdul Rahman senyum. “Ayah nak jenguk Lisa je.”
“Ayah duduk dulu, Lisa buat kan air. Ayah makan tengah hari di sini ya.” Khalisha membuat cadangan. Kalau Encik Abdul Rahman bersetuju pasti Puan Rohaya terpaksa naik kelak. Bagus juga ideanya.
“Tak payah Lisa, ayah datang ni sekejap je. Ibunya ada di dalam kereta. Kami dah nak balik kampung ni,” tegah Encik Abdul Rahman.
“Laa... sekejapnya.” Ada rasa kecewa di hatinya dengan kedatangan Encik Abdul Rahman yang terlalu singkat.
“Insya-Allah, nanti ayah datang lagi.” Bahu anak bongsu itu dipegangnya dengan erat. Rasa bersalah dengan apa yang berlaku. Melihat kecewa di wajah Khalisha membuat dia berasa kesal kerana singgah di situ. Namun kerana rasa rindu terhadap anak bongsunya membuat dia gagah juga ke situ. Walaupun sudah berkahwin, Khalisha tetap anak manjanya tambahan gadis itu anak bongsunya.
Mata Khalisha sudah berkaca. Sentuhan lelaki itu membuat hatinya kembali pilu. Perlahan-lahan dia memeluk Encik Abdul Rahman.
“Kirim salam pada ibu,” katanya selepas meleraikan pelukan dari tubuh tegap Encik Abdul Rahman.
Encik Abdul Rahman mengangguk-angguk sambil terus melangkah ke pintu semula. “Dah jangan sedih-sedih. Kalau ada apa-apa, call je ayah, ya...” Encik Abdul Rahman sudah pun berada di hadapan pintu yang dibukanya sebentar tadi sambil mengenakan kembali sandalnya.
Khalisha mengangguk sambil mengesat tepi matanya yang sudah berair. Encik Abdul Rahman senyum. Terasa yang dia seperti melihat anak itu ketika berusia 10 tahun. Terlalu pantas masa berlalu, desisnya sendiri.
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumusalam... hati-hati bawak kereta, ya ayah. Bye...” pesannya.
Encik Abdul Rahman senyum. Lama dia tidak mendengar perkataan itu. Rasa rindu pula dia.
“Yalah,” jawab Encik Abdul Rahman lembut.
Khalisha membalas senyuman lelaki itu. Entah mengapa ada rasa sedih disaat lelaki itu mengangkat tangan sebelum hilang dari pandangannya di sebalik pintu lif yang tertutup.

“LISA kirim salam.”
Encik Abdul Rahman menekan minyak sebaik menjatuhkan handbreak keretanya.
Waalaikumusalam, Puan Rohaya menjawab di dalam hatinya. Pandangannya dilontar ke kiri agar wajah sayunya tidak dilihat oleh si suami.Bukan tiada rindu di hati terhadap Khalisha, namun rasa kecewa sukar untuk dihapuskan.
“Dia tak berapa sihat. Sakit kepala. Semputnya tu tak tahulah... ada ke tak ada lagi,” keluh Encik Abdul Rahman mengingatkan penyakit Khalisha semasa kecil. Namun anak itu sentiasa kuat dan aktif dalam sukan biarpun begitu. Jenuh jugaklah dia dan cikgu-cikgunya menasihati agar menarik diri dari sebarang acara yang melibatkan akitiviti di luar. Tetapi Khalisha memang seorang yang agak degil. Hitam katanya, hitamlah keputusannya. Sehinggalah keputusannya hendak berkahwin dengan Haikal dan menolak pilihan Puan Rohaya.
Wanita itu terus senyap dan hanya mendengar sahaja kata-kata suaminya.
“Awak tak sayangkan anak ke?” Encik Abdul Rahman memandang isterinya sekilas.
Puan Rohaya terus mengambil sikap berdiam diri. Siapa yang tidak sayangkan anak? Perempuan mana yang tidak sayangkan anak? Mengandung 9 bulan dengan bersusah payah. Ke hulur ke hilir sanggup membawa perutnya. Sekali lagi dia memaling wajahnya ke kiri agar si suami tidak melihat wajah sedihnya. Nafas ditarik dalam-dalam agar tiada air mata yang jatuh untuk memperlihatkan egonya.
“Sudah-sudahlah... Perkara tu dah hampir 3 tahun.Yang penting dia bahagia.” Tancap mata Encik Abdul Rahman memandang jalan di hadapan. Kejap tangannya memegang stereng keretanya.
“Bahagia ke kalau tak ada anak?” cemuh Puan Rohaya menahan rasa marah yang masih berbaki.
“Astaghfirullah al azim, Yah... rezeki tu semua datang dari Allah. Kita doa kan untuk dia. Senang ke hati kita kalau anak-anak kita bergaduh suami isteri?” tingkah Encik Abdul Rahman sedikit keras dengan soalan Puan Rohaya sebentar tadi.
Puan Rohaya senyap. Matanya terus merenung ke hadapan.
“Ibu...”
“Ya, sayang,” sahut Puan Rohaya yang sedang menggoreng bihun untuk sarapan mereka pagi itu. Hatinya benar-benar gembira dengan kepulangan anak bongsunya. Memang Khalisha kerap pulang kalau tiada aktiviti memanjat gunungnya. Entah bilalah aktiviti itu menjadi kegemarannya dia pun tidak pasti.
Khalisha senyum. Tidak tahu bagaimana dia hendak memberitahu perkara itu kepada ibunya. Haikal sudah tidak sabar hendak menghantar orang tuanya datang merisiknya minggu hadapan.
Puan Rohaya memandang Khalisha sejenak dengan senyuman. Bihun yang sudah masak dimasukkan ke dalam mangkuk yang ada di situ.
“Kenapa ni? Senyum-senyum je.”
Khalisha menghampiri Puan Rohaya lalu memeluk pinggang wanita itu dari belakang.
“Lisa, ibu tengah kaut bihun ni. Nanti jatuh mangkuk di tangan ibu.” Keras suara Puan Rohaya begitu pun dia amat menyenangi reaksi anak itu. Biarpun anak itu sudah berusia 25 tahun, Khalisha tetap manja seperti mana selalu.
“Ada benda Lisa nak cakap. Tapi Lisa malu,” katanya sambil membenamkan mukanya di belakang tubuh Puan Rohaya.
Lebar senyuman Puan Rohaya. Sejuk hatinya dengan reaksi anak bongsunya yang manja. Itu yang buat dia begitu rindu kalau Khalisha lama tidak pulang. Walaupun tidak pulang saban hari anak itu akan menelefonnya. Meluahkan pelbagai masalah dari di pejabat sampailah ke teman-teman di rumah sewanya. Apa yang tidak dicerita oleh Khalisha kepadanya. Semua dicerita oleh anak itu.
“Nak malu apa? Ini kan ibu Lisa. Bukan orang lain.” Dia seperti dapat meneka namun tidak pasti.
Khalisha sudah ketawa-ketawa kecil di belakangnya. “Ibu tak marah ke?”
“Nak marah apa? Bendanya pun belum cakap lagi,” guraunya pula sambil membalikkan tubuhnya memandang anak itu selepas Khalisha meleraikan pelukannya tadi. Dia melangkah menuju ke ruang makan.
Khalisha mengekori lenggok si ibu. “Ibu macam lenggang mak limah.”
Tersenyum dia mendengar usikan Khalisha.
“Yang tersenyum-senyum ni, kenapa?” soal Encik Abdul Rahman memandang si isteri sekilas. Bibirnya juga mengulum senyuman.
Puan Rohaya memandang si suami. Barulah dia sedar yang kenangan tadi amat manis untuk dilupakan.Tekaknya rasa perit dan dadanya panas kerana kenangan-kenangan itu amat sukar untuk dilupakan. Bagaimana untuk dilupakan? Dan tidak mungkin dia dapat melupakan kenangan-kenangan itu. Khalisha anaknya? Anak yang lahir dari perutnya.
“Maafkanlah dia Yah. Kesian Lisa. Kesian dengan Haikal. Sampai bila nak macam ni?” nasihat Encik Abdul Rahman separuh merayu.

Puan Rohaya terus senyap. Serpihan-serpihan kenangan tadi masih berlegar di fikirannya. Dikalih wajahnya ke kiri merenung pemandangan yang dilewati. Air matanya gugur akhirnya namun pantas diseka. Dia kalah dengan egonya. Perlahan-lahan dia menyandarkan kepalanya di kepala kerusi yang diduduki sambil memejamkan mata. Cuba dipekakkan telinganya dari mendengar bebelan Encik Abdul Rahman namun wajah anak bongsunya kembali menari-nari di ruang mindanya.


copyright : Sarnia Yahya 

No comments:

Post a Comment