Monday 14 April 2014

BAB 2 KALAU SUDAH BERKENAN - Cempaka Rembulan




GELAS berisi beer yang berada dalam peganggannya digenggam erat. Sesekali dia meneguk rakus. Kepalanya turut terangguk-angguk mengikut irama bingit yang berkumandang. Dia sudah separuh mabuk. Jeslina, wanita yang baru dikenali lebih kurang sejam tadi dijeling dengan pandangan nakal. Lidahnya menjilat sedikit bibir. Liur ditelan berkali-kali. Gadis itu nampak begitu mengancam dengan skirt separas paha dan juga tube yang menampakkan sebahagian pusat.
            Gelas yang mengandungi air kencing syaitan itu diletakkan kembali di atas meja yang berada di hadapannya. Tangannya pantas mencari sasaran. Dielus setiap lekuk tubuh itu dengan penuh bernafsu. Jeslina pula langsung tidak menolak. Malahan begitu seronok ketawa.
            “You nak spend time dengan I tak malam ni?” Dibisikkan kata-kata itu ke telinga Jeslina. Kondo yang baru di dudukinya, memberikan peluang untuknya bermaharajalela. Sebulan hidup dengan ayahnya menyebabkan dunianya terasa suram tanpa keseronokkan.
            Dia tahu ayahnya tidak setuju dia tinggal di rumah lain, tetapi dia langsung tidak ambil kisah. Mujurlah arwah ibu dan bapa saudaranya telah mewasiatkan sejumlah harta yang lumayan banyak kepada dirinya. Dengan wang itu dia mampu hidup mewah.
            Terkenangkan Mummy Maria dan Daddy Johan membuatkan dia sebak. Rindu mengamit pada ke dua insan yang telah membesarkan dia selama ini.
            “Ayah you tak kisah ke? I tak nak nanti jadi macam dengan kawan I tu. Tak fasal-fasal kena penampar.” Jeslina pura-pura menolak. Padahal di dalam hatinya menjerit suka. Siapa yang tidak sudi bergandingan dengan anak lelaki seorang hartawan? Hanya orang bodoh sahaja yang sanggup menolak peluang keemasan seperti itu.
Lubuk emas yang baru ingin di gapai tidak harus dilepaskan, tetapi dia sedikit gerun membayangkan apa yang telah terjadi kepada Fariza, temannya yang baru beberapa minit berlalu selepas memperkenalkan dia kepada Zafry.
             “Orang tua tu? Alah you jangan risau, I dah tak duduk dengan orang tua kolot tu.” Zafry berkata selamba. Ahh… Onar ayahnya memukul dia dan Fariza dua tiga hari lepas nampaknya sudah tersebar. Dalam hatinya sibuk memaki-hamun Fariza kerana bodoh menceritakan aib sendiri kepada orang.
            “Oh.. I see. So… bila kita nak pergi rumah you?” Jeslina berkata manja. Badannya di geselkan ke arah tubuh Zafry. Senyuman mengoda dilemparkan. Nampaknya selepas ini dia akan hidup senang. Sudah terbayang di mata, Zafry akan menjadi miliknya.
            “Kalau you nak sekarang pun kita boleh pergi.” Zafry tersengih. Digelengkan kepala beberapa kali bagi menghilangkan mabuk. Jeratnya sudah mengena. Tubuh gadis yang bukan lagi gadis itu akan digunakan dengan sepuas hati.
            Nampaknya Jeslina juga seperti kebanyakan wanita yang dia kenal. Baru beberapa jam dikenali sudah berani ke ranjang. Tetapi dia suka. Rasanya perempuan itu masih belum tahu, rekodnya dengan gadis-gadis tidak pernah elok. Prinsipnya mudah. Pakai dan buang. Tak pernah dia menggunakan barang yang sama berulang kali.
            Terhuyung-hayang dia bangun. Tangan Jeslina ditarik kasar untuk mengikut langkahnya. Sesekali kedengaran sendawa dari mulutnya. Ketika tangannya mahu mencapai pintu kereta handsetnya nyaring berbunyi. Nama ‘Hitler’ yang terpapar membuatkan dia menjadi mual, tetapi panggilan itu tetap dijawab.
            “Hemm” Hanya itu yang dia katakan. Risau jika dia bersuara lelaki itu akan sedar yang dia sedang mabuk.
            “Kau dah ada jawapan Zafry? Hari ini dah cukup seminggu. Lagi beberapa minit nak masuk pukul dua belas. Ayah harap jawapan kau tak mengecewakan ayah.” Sayup suara Tan Sri Hamzah pada pendengaran Zafry.
            “Ayah boleh tak bagi masa lebih sikit? Kusut la kepala nak fikir.” Zafry merengus kasar. Ayahnya bersungguh benar mahu menjodohkan dia. Lupakah lelaki itu berapa usianya sekarang? Umurnya belum pun mencecah dua puluh tiga tahun. Yang kalut sangat tu kenapa?
            “Nampaknya ayah dah ada jawapan. Kau tak nak nikah kan? Tak apa. Ayah tak kisah. Tapi tepat pukul dua belas, kau bukan lagi pewaris perniagaan ayah.” Sengaja Tan Sri Hamzah menekan pada ayat ‘pewaris perniagaan.’ Ingin merangsang otak ‘nafsu harta’ anak lelakinya itu.
            Zafry yang mendengar menjadi gelabah. Sia-sia sajalah apa yang dia lakukan selama ini jika lelaki itu menggotakan apa yang dikata. Jeslina yang berada di sisi, dipandang dengan nafsu yang telah mati. Argh… Ayahnya patut diberikan award kerana menjadi orang pertama menyebabkan dia menolak seorang wanita untuk menjadi peneman malamnya.
            “Okey Zafry setuju. Tapi bagi masa sebulan sebelum ayah nak buat majlis apa pun. Saya nak kenal dengan budak tu dulu.” Zafry mengalah. Telinganya bagaikan mahu bernanah apabila terdengar ketawa riang ayahnya. Tak guna!
            “Well done my son. Akhirnya ada juga keputusan kau mampu buat ayah bangga. Esok kita jumpa dekat office.” Tan Sri Hamzah benar-benar gembira.
            Zafry menekan butang handset dengan kasar. Hatinya panas membara. Tangan Jeslina yang sibuk merayap ditepis kuat. Dia tiada selera hendak bermanja-manja pada waktu ini.
            “Malam lain kita jumpa. I tak ada mood malam ni.” Pantas pintu kereta dibuka. Tubuhnya dihenyak ke seat kereta dengan kasar. Dia sudah kusut. Berkeriut bunyi tayar kereta kerana dipandu dengan laju.
Dia benar-benar bengang. Nampaknya ayahnya juga suka bermain dengan taktik kotor seperti itu. Jadi strategi yang mantap harus diatur. Dia akan buatkan lelaki itu menyesal menjodohkannya dengan perempuan tak guna tersebut. Itu janjinya!

TAN SRI HAMZAH tersenyum senang. Hatinya gembira bagai sudah dihadiahkan dengan selongok intan dan permata. Taktiknya benar-benar menjadi. Pagi esok dia akan ke rumah Razali.
            Nampaknya persediaan untuk majlis pertunangan dan perkahwinan perlu dimulakan. Hasratnya sudah disampaikan kepada Razali. Dia tahu lelaki itu keberatan untuk menyerahkan anak gadis kesayangannya untuk dinikahkan dengan anak ‘jantannya.’ Apatah lagi rekod Zafry banyak yang merah dari biru. Memang benar-benar anak hantu!
            Setelah dipujuk barulah lelaki itu memberi persetujuan, itu pun persetujuan yang sebenar hanya akan dimuktamatkan setelah berbincang dengan Adra. Harapannya sekarang biarlah Adra turut bersetuju dengan rancangannya. Gadis itu satu-satunya harapan yang dia ada bagi menyedarkan Zafry dari berterusan memilih jalan hidup sia-sia yang menjadi pilihan anaknya selama ini.
            Dia tidak mahu dalam usia dua puluh tiga tahun anaknya memilih jalan yang boleh menghancurkan masa depan sendiri. Jika tidak ditegur dari awal dia takut anaknya itu semakin tersesat. Sekarang ini pun dia sudah merasakan agak terlewat dalam membentuk pribadi Zafry. Anak itu degilnya mengalahkan konkrit. Baru sebulan Zafry menetap bersamanya, dia sudah dapat membaca sifat bagaimanakah anaknya itu.
            Mengenali Adra Afeefa, dia tahu dia tidak silap menilai orang. Adra baginya gadis yang sangat sederhana tetapi kaya dengan keindahan baik dari segi fizikal mahupun rohani. Anak itu sangat menyenangkan hati tuanya. Sentiasa berlemah lembut dalam berbicara dan yang paling disukai, gadis itu walaupun masih muda tetapi pengetahuannya sangat luas.
            Dia boleh bersembang dan berdebat apa sahaja dengan Adra. Walaupun Adra tidak berpelajaran tinggi tetapi dia tahu gadis itu sangat cemerlang dalam akademik. Sayangnya Adra tidak berminat untuk terus belajar.
            Tidak sabar untuk dia menanti hari esok. Kalau Adra tidak bersetuju dia sendiri akan pergi merayu kepada gadis itu. Biarlah orang mengatakan dia pentingkan diri sendiri kerana hakikatnya dia hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya kerana dia tahu hanya Adra yang mampu membuatkan Zafry kembali ke pangkal jalan.


 copyright: Cempaka Rembulan / Idea kreatif

No comments:

Post a Comment