Tuesday 15 April 2014

Bab 4 KALAU SUDAH BERKENAN - Cempaka Rembulan


“AWAK, warna ini cantik tak?” Adra menarik sehelai baju pengantin bewarna biru dengan hiasan manik bewarna merah hati. Warna kegemarannya. Warna yang juga selama ini diharap bakal melatari majlis perkahwinannya.
            “Kau nak pakai warna terang macam ini semasa akad nikah nanti?” Zafry bertanya sinis. Entah mengapa, setiap gerak-geri dan perbuatan gadis itu, satu pun tidak diberkenankan oleh pandangan matanya. Kebudak-budakkan! Inikah ciri wanita yang ayah dia harap dapat membimbing dia?
            “Tak, maksud saya semasa kenduri nanti. Akad nikah saya nak warna putih gading.” Adra menghantar sebuah senyuman kepada bakal suaminya. Malangnya, senyuman itu bukan sahaja tidak berbalas, malahan dia menerima pulak cebikkan beserta jelingan tajam dari lelaki bernama Umar Zafry itu. Sayang dirasakan, bila nama yang bermaksud sangat baik tetapi tidak diserikan dengan peribadi seanggun nama oleh tuanya.
            Umar bermaksud yang memakmurkan, juga nama seorang khalifah yang terbilang. Dia tidak berharap lelaki itu menjadi sehebat Umar Al-Khattab, cukuplah menjadi seorang suami yang hebat dimatanya dan dapat dibanggakan akhlaknya.
            Zafry, kemenanganku. Dia tidak akan menang selagi lelaki itu masih hidup dalam kehidupan penuh maksiat seperti sekarang ini. Mendengar cerita dari Tan Sri Hamzah, dia sedar kehidupannya nanti tidak akan menjadi seindah drama Cinderella yang dapat berkahwin dengan putera raja hanya kerana sepasang kasut kaca. Dia sendiri bukanlah seorang yang sempurna, tetapi dia akan cuba menyempurnakan diri demi lelaki yang bakal bergelar suami.
            “Boleh cepat sikit tak? Aku ada hal kejap lagi.” Zafry mengelisah. Dia tidak betah berlama-lamaan bersama gadis itu. Bila mereka bertemu, semakin kerap dia memikirkan kemungkinan yang bakal terjadi pada masa akan datang. Bayangan alam rumah tangga yang tidak diingini sentiasa menjelma membuatkan harinya tidak lagi seindah dulu.
            “Hal apa? Uncle cakap dia dah bagi pelepasan untuk awak sepanjang hari ini.” Senyumannya masih tersadai dibibir. Dia tidak akan sesekali membiarkan mood lelaki itu yang kacau-bilau ‘memusnahkan’ harinya. Dia bukannya manusia bodoh yang tidak boleh membaca reaksi dari seorang lelaki. Tidak suka tak mengapa. Dia pasti akan buatkan lelaki itu menyukainya suatu hari nanti. Sedikit demi sedikit, hati itu pasti akan dapat ditawan.
            “Hal aku dengan kawan aku lah.” Suaranya sedikit meninggi. Tidak senang bila kehidupan peribadinya mahu dicerobohi.
            “You know what?” Kening diangkat. Serangan psikologi akan mula dilancarkan. Dia tahu apa yang patut dilakukan bagi mendiamkan terus lelaki itu.
            “What?” Berkerut dahinya cuba mencari apa yang bakal dituturkan oleh Adra.
            “I’m glad to be your future wife.” Adra tersenyum. Pantas dia berlalu menuju ke satu sudut yang lain. Jelas dimatanya wajah lelaki itu berubah riak.
           
            “AWAK tak nak pergi makan ke.” Adra bertanya lembut. Wajah lelaki itu dipandang sekilas sebelum pandangannya dibawa menjelajah segenap ruang kereta. Nampak mewah dan exclusive. Dia sendiri tidak tahu apa jenis nama kenderaan yang sedang dinaikinya. Setiap tahun entah berapa puluh jenis kereta baru dilancarkan di seluruh dunia, sampaikan dia sudah tiada rasa ingin mengetahui jenama setiap jenis kenderaan tersebut.
            “Kan aku dah cakap yang aku ada hal. Kau ni faham bahasa ke tidak?”
            “Tak. Yang saya tahu awak memang tak ada hal hari ini. Kan saya dah cakap tadi, uncle dah bagi pelepasan untuk awak.” Adra senyum segaris.
            Mendengar kata-kata Adra membuatkan dia semakin panas hati. Ayahnya bagaikan sudah tiada kerja. Semua benda hendak dilaporkan kepada gadis itu. Wajah Adra dipandang menghantar isyarat yang dia tidak suka kehidupannya dicerobohi.
            “If you don’t believe me, ask him by yourself.” Adra salah faham. Pada perkiraannya pandangan lelaki itu menghantar maksud yang kata-katanya diragui. Dia tidak menipu. Memang Tan Sri Hamzah yang memberitahunya. Hari ini mereka harus menyelesaikan dahulu beberapa perkara. Bahkan pendaftaran kursus perkahwinan pun belum mereka lakukan.
            “Aku percaya memang orang tua tu yang bagi tahu engkau. Tapi kau bukan sesiapa nak masuk campur dalam hidup aku.” Kereta meluncur semakin laju. Geram apabila Adra dan ayahnya, bagaikan mahu menjadi parasit dalam kehidupannya. Mengatur itu ini tanpa persetujuannya terlebih dahulu. Dia bukannya boneka yang boleh ‘dipeluk’ sesuka hati.
            Terdiam Adra mendengar kata-kata Zafry. Belang lelaki itu semakin kelihatan. Walaupun dia tidak suka, tetapi itu lebih baik dari dia melihat gaya ‘angel’ sedangkan dibelakangnya lebih dasyat dari ‘devil.’ Biarlah lelaki itu menjadi diri sendiri. Sekurangnya itu akan lebih mudah untuk dia mula membentuk jalinan perhubungan bersama lelaki itu. Dia tidak mahu setelah berkahwin barulah dia tahu bagaimana rupanya seorang Umar Zafry.
            “Can you please slow down the car? Sekarang kita bukan atas litar. Banyak nyawa awak nak kena jaga. Kalau awak seorang saya tidak kisah.” Adra menegur bila dirasakan pemanduan lelaki itu semakin merbahaya. Menyelit disana sini. Lagak umpama dialah pemilik jalan.
            “Why? Are you scared of death?” Zafry ketawa sinis. Semakin laju dia memandu. Hatinya terasa puas melihat riak ketakutan pada wajah Adra.
            “Memang saya takut. Amalan saya belum cukup banyak, tetapi saya lebih takut untuk awak. Macam mana nak menghadap mungkar dengan nakir di dalam kubur nanti kalau awak belum bertaubat?” Puas hatinya dapat menuturkan kata seperti itu. Dia bukanlah manusia yang diturunkan tanpa nafsu amarah. Sedikit sebanyak kesabarannya teruji. Tidak suka nyawa dijadikan sebagai bahan mainan.
            “Kau rasa kau sudah cukup baik ke berbanding aku?” Terasa wajahnya bagai ditampar mendengar bicara Adra yang lantang mengkritik. Dia tidak perlukan seorang lagi penasihat tidak bertauliah. Cukuplah ayahnya seorang sahaja yang bertindak bagaikan ‘lelaki gila’ yang menyeru itu ini.
            “Saya tak pasti, tapi saya rasa…mungkin.” Semakin seronok Adra mempermainkan Zafry.
            “Apa maksud kau dengan ‘mungkin’ tu?” Perempuan ini memang nak kena. Kalau tidak disebabkan rasa hormatnya yang masih bersisa, tahulah bagaimana dia mahu mengajar Adra menjadi gadis yang lebih baik berbicara. Dia pasti akan diamkan gadis itu walau dengan apa cara sekalipun. Hari ini dia akan lepaskan. Tetapi, tak akan ada lain kali!
            “Terpulang pada tafsiran awak.” Selendang yang membelit kepalanya diperbetulkan sedikit kedudukan apabila dirasakan kurang selesa.
            “Ha lagi satu, boleh tak lepas ni kalau keluar kau jangan pakai kain kelambu macam ini. Semak mata aku.” Tangan kirinya dibawa atas dan bawah menunjuk ke arah Adra. Dalam gambar tak adalah pula gadis itu bertudung. Ini bila berjumpa tutup litup semua benda. Hanya muka dan tangan itu sahaja yang kelihatan.
            “Biar semak dimata awak, jangan semak dimata Allah.”
            “Kau…Arghhh.” Diketuk-ketuk stereng kereta bagi meluahkan rasa amarah dihati. Adra benar-benar mencabar kesabarannya. Sekarang dia tidak sabar mahu dijodohkan dengan gadis itu. Setelah mereka berkahwin dia akan pastikan Adra menelan balik semua kata-katanya.

            “MACAM mana?” Tan Sri Hamzah bertanya. Surat khabar diletakkan di atas meja.
            “Apa ayah buat dekat sini?” Terperanjat Zafry. Tidak menyangka ayahnya berada di dalam rumahnya. Bagaimana lelaki itu boleh masuk? Kunci kereta disangkut pada satu tempat yang dikhaskan. Kasut ditanggalkan. Laju kakinya menapak menghampiri ayahnya.
            “Kenapa, tak boleh ke?” Tan Sri Hamzah ketawa sinis. Tahu anaknya terperanjat melihat dia boleh ‘memecah’ masuk ke dalam condo mewah milik anaknya. Semua itu hanyalah hal kecil yang tidak sukar untuknya selesaikan.
            “Macam mana ayah boleh masuk?” Zafry melabuhkan tubuh di atas sofa berhadapan dengan ayahnya. Wajah lelaki itu dipandang meminta jawapan. Semakin hari semakin sukar untuknya menembak akal seorang lelaki bernama Hamzah. Lelaki itu akan hadir dengan pelbagai kejutan. Ada kalanya langsung tidak dapat dijangkau oleh akal fikirannya.
            “Hal senang Zafry. Kau jangan nak kusutkan sangat fikiran fikir benda remeh macam itu.” Air kopi yang dibancuh ketika dia mula melangkah masuk, dicapai. Dihidu aroma harum yang menarik deria rasanya. Diteguk puas sebelum dia meletakkan kembali ke atas meja kaca disisinya.
            “Ada apa ayah datang sini?” Jam dinding dijengah. Sudah pukul dua belas lebih. Tidak tahu mengantukkah lelaki itu? Mujurlah hari ini tiada ‘mangsa’ baru yang dibawa balik. Kalau tidak pasti riuh jadinya.
            “Saja. Rindu anak lelaki kesayangan ayah.” Tan Sri Hamzah ketawa kecil bagi menutup rasa kecewa dihati bila Zafry jelas menayang riak wajah meloya mendengar kata-katanya. Dia ingin rapat dengan anak lelakinya. Mahu menjadi ayah yang disayangi oleh seorang anak. Cumanya, dia tidak tahu cara yang bagaimankah sesuai digunakan untuk menempatkan diri di dalam kehidupan Zafry. Apa yang dilakukan serba tidak kena. Bahkan Zafry semakin menjauhkan diri darinya.
            “Kalau ayah nak main teka-teki ayah teruskan. Saya nak masuk tidur.” Zafry sudah berura-ura mahu bangun.
            “Macam mana pertemuan kau dengan Adra tadi?” Berdebar hati Tan Sri Hamzah menanti jawapan anak terunanya. Berharap ada yang positif disebalik pertemuan itu.
            “Perempuan itu? Saya rasa lebih elok kalau ayah pilih pelacur saja untuk saya. Sekurang-kurangnya diorang tahu nak beradap sopan.” Puas hati Zafry dapat meluahkan kata-kata itu kepada ayahnya. Sakit dihati akibat keletah Adra dirasakan sedikit terubat.
            “Kenal-kenal lah dulu. Dah hati kata tak suka, baik mana pun budak Adra itu, tak adanya kau nak nampak. Kenal dulu hati budi dia.” Walaupun dia panas hati mendengar kata-kata Zafry tetapi sedaya upaya dia cuba mengawal perasaan. Tidak mahu adanya lagi pergaduhan yang tercetus antara mereka.
            “Kita batalkanlah rancangan itu.” Zafry cuba memujuk. Mana tahu kali ini ayahnya bersetuju. Dapatlah dia melepaskan diri dari bibir berbisa gadis itu.

            “Yang itu memang tak akan. Ayah dah jemput semua orang. Ingat perjanjian kita.” 

copyright : Cempaka Rembulan / Idea Kreatif

No comments:

Post a Comment