Wednesday 16 April 2014

Bab 5 (Part i) DIA KEKASIH HATI - SARNIA YAHYA


KE MANA Haikal pergi kalau bukan ke Gunung Nuang? Soalan itu sudah berpuluh-puluh kali berbisik di telinganya sejak bertemu dengan Farhan dia rumah mertuanya. Kepalanya kembali berdenyut-denyut.
Khalisha memandang ke tingkap yang masih belum dibuka. Selesai bersolat subuh dia kembali berbaring di katil. Cuba melelapkan matanya agar dapat melupakan apa yang sedang bersarang dan bersawang di kepala dan hati. Memang sukar kalau sudah mula menjadi tapak. Beginikah mulanya permasalahan? Soalnya sendiri.
Akhirnya Khalisha bangun dan menutup penghawa dingin dengan alat kawalan jauh. Selesai mengemas katil dia membuka tingkap bilik. Lama dia memandang pemandangan pagi dari tingkap biliknya di tingkat 8. Pandangannya beralih kepada telefon bimbit yang berbunyi di atas meja di sisi katil.
Dia melangkah malas lalu mencapai telefon bimbitnya dan duduk di birai katil. Nafas dihela perlahan-lahan sebaik melihat mesej Haikal.
Hai sayang, abang on the way back to your arm mlm ni. Miss U like crazy. Sorry coverage x ada dlm hutan. Peluk cium dari abg. Love U till Jannah.
Dibiarkan sahaja mesej itu tidak berbalas. Sebelumnya beria-ia dia cuba menelefon si suami, bila sudah mendapat mesej begitu, hatinya rasa tawar hendak membalas. Selalunya dia akan balas mesej Haikal dan mereka akan saling balas membalas mesej kemudiannya. Diletak kembali telefon bimbit tadi di atas meja sisi katil.
Khalisha bangun namun langkahnya terhenti sebaik mendengar telefon bimbitnya berbunyi. Pantas dia menyambar telefon bimbitnya tadi. “Kak long,” katanya sebaik melihat nama Khalida di skrin gajetnya itu.
“Assalammualaikum.” Khalisha kembali duduk di birai katil. Cadangnya hendak mandi memandangkan tubuhnya berasa agak panas. Tidak pasti sama ada dia demam atau memang badannya panas.
“Waalaikumusalam. Lisa sihat ke?”
Sedih dia mendengar soalan Khalida. Tiba-tiba dia teringat kepada Puan Rohaya. Wanita itu pantang mendengar dia demam atau sakit suatu masa dahulu. Berburu wanita itu datang mendapatkannya di rumah sewa dan dibawanya ke rumah Khalida untuk menjaganya di sana. Sekarang...
“Okey, sikit. Mungkin panas kuat sangat kan.” Bohongnya sebagai tidak mahu Khalida bimbang tentang kesihatannya.
“Ayah ada singgah semalam?” soal Khalida.
“Ada.”
“Ibu ada?”
“Tak,” jawab Khalisha perlahan.
Kedengaran Khalida berdengus kuat. “Sabarlah. Kecewa dia masih belum hilang lagi tu.”
Sebak hatinya mendengar kata-kata Khalida. Dia tidak menyalahkan Khalida. Dia yang menyebabkan wanita itu merajuk. Berdosakah dia memilih jodohnya sendiri? Terasa begitu berat hukuman Puan Rohaya terhadap dirinya. Ditahan rasa sebaknya.
“Salahkah pilihan Lisa, kak long?” soalnya seolah-olah mengadu terhadap apa yang berlaku.
“Tak, tak ada yang salah kerana itu dapat membahagiakan Lisa. Membuat pilihan memang sukar. Salah satu terpaksa kita lepaskan. Memang begitulah Lisa. Apa-apa pun banyak-banyak bersabar, ya. Banyak-banyak berdoa untuk orang tua kita. Baca al fatihah dan sampaikan kepada ibu, niat agar lembut hatinya. Insya-Allah, Allah pun tahu kita sayangkan ibu,” nasihat Khalida lembut.
Khalisha mengangguk-anggukkan kepalanya sendiri. Ada rasa lega dalam kekusutan memikirkan tentang Haikal.
“Ibu mana yang tak sayangkan anak. Biarlah dulu, lambat laun hati dia akan lembut juga.” Sekali lagi Khalida cuba memujuk Khalisha.
Khalisha mengesat air matanya yang sudah mengairi pipi. Nafas ditarik dalam-dalam agar dapat menenangkan hatinya yang tiba-tiba rawan dengan sikap Puan Rohaya. Ya, dia berharap wanita itu akan lembut hatinya dan dapat menerima Haikal. Kasihan Haikal dan dia benar-benar rasa berdosa dengan ibunya.
“Dahlah, bawa berehat. Jangan fikirkan sangat sikap ibu tu. Banyak-banyakkan berdoa untuk dia. Syurga kan dibawa tapak kakinya.” Ada nada ceria di suara wanita beranak 6 itu.
“Insya-Allah.”
“Okeylah, kak long nak keluar ni. Nak pergi pasar. Jangan lupa makan ubat, tau!” keras suara Khalida mengingatkan Khalisha.
“Ya.”
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumusalam,” jawab Khalisha perlahan.
Lama dia memandang telefon bimbitnya. Matanya dipejam sebagai menahan kepala yang kembali berdenyut-denyut. Kemudian memicit kepalanya. Perlahan-lahan dia merebahkan tubuhnya kembali ke katil. Telefon bimbit tadi dilepaskan.

Dia memandang telefon bimbit yang kembali berbunyi menanda ada mesej yang masuk. Dibiarkan sahaja sambil terus memicit kepalanya. Biarlah siapa pun. Dia mahu melelapkan matanya barang seminit dua. Mahu menghilangkan rasa sakit di kepala dan rawan di hatinya. Cuba dilupakan tentang Haikal mahupun Puan Rohaya. Untuk seketika dia mahu merehatkan fikirannya yang sedang tenat dan sendat.

copyright: Sarnia Yahya/Ideakreatif

Nota Kaki: dapatkan novel ke-2 Penulis sarnia Yahya bersama Idea Kreatif. Akan mula di jual di Pesta Buku Antarabangsa di Booth M30, Bilik Mawar. 

No comments:

Post a Comment