Friday 23 May 2014

BAB 1 KALAU SAYANG KATALAH SAYANG -FAZUIN AZMAN


“JADI ke tidak ni?” soal Zakuan waktu kami atur langkah sama laju dengan kura-kura. Perlahan amat. Hampir lima belas minit juga kami begitu.
            “Jangan macam-macam pulak. Dah janji…”
            Susahnya nak bagi jawapan. Aku pun tengah cari alasan macam mana nak mengelak dari menghadiri majlis sambutan sempena kepulangan Abang Joey. Tak sambut nanti apa pulak kata Puan Hendon. Beriya nak buat majlis bagai. Pening kepala betul. Kalau aku sambut nanti, terpaksalah mengadap muka lelaki bajet bagus tu. Lagi menyakitkan hati.
            “Awak, orang tanya ni, nak ikut ke tidak?” soal Zakuan dengan suara sedikit kuat. Kali ini seakan mendesak. Seperti tidak sabar saja menantikan jawapan daripadaku.
Aduhai… macam mana ni.
Suria KLCC kami tawaf lagi. Berjalan tanpa tujuan. Baru saja lepas acara minum-minum dan sekarang acara cuci mata pula. Seminggu atau dua minggu sekali, mesti jumpa Zakuan. Sebenarnya aku nak cakap aku rindukan dia, tapi takut kena gelak. Mahu sebulan Zakuan gelakkan aku kalau aku cakap macam tu. Teman satu Universiti yang sekarang bertugas di salah sebuah firma guaman itu sebenanya bukanlah kacak sangat yang menjadi syarat untuk aku rindukan dia selalu. Tapi ada sesuatu yang menarik perhatian aku tentang jejaka berkulit hitam manis dan rambut tegak-tegak itu.
Aku rasa selamat bila berada disamping jejaka kelahiran Sungai Petani ini. Anak seorang pemilik bendang yang luas, dan sesungguhnya dia tidak pernah menunjukkan sikap nakal dan kurang menyenangkan sepanjang kami berkawan.
            Satu lagi, dia jarang tinggal solat. Mungkin sebab itu aku suka dia. Ciri-ciri suami mithali.
            “Ada masalah sikit ni…” Aku garu kening. Kemudian wajah lelaki rambut tegak-tegak itu aku pandang. Mata kami bertentangan. Serius aku tak tahan. Seperti terpanah dengan panahan asmara yang benar-benar buat jantung aku tidak duduk diam. Terpaksalah aku kalih pandang tempat lain.
            “Apa masalahnya?” Dia berdiri di hadapanku. Paksa aku hentikan langkah kura-kura tadi.
            “Hari yang kita nak balik kampung awak tu ada majlis sambutan sempena kepulangan  Abang Joey.” Kembali melihat wajahnya dan selepas itu dadanya yang bidang. Ada apa pada dada bidang itu sehingga dada aku sendiri tidak tenang?
            “Biarlah dia buat majlis. Apa kena mengena dengan awak? Bukan awak yang nak jadi tukang masak? Jadi apa masalahnya?” Zakuan pegang dadanya seperti tahu-tahu saja mata aku tak lepas pandang kawasan situ.
            “Abang Joey mintak saya hadir majlis tu. Dia cakap dia rindukan saya. Rindu gila!” Ayat pertama tu memang betul, tapi ayat kedua dan ketiga tu aku sendiri menokok tambah. Saja nak lihat reaksi Zakuan.
            “Jadi awak pun rindu jugaklah kat dia?” Nada suara Zakuan macam cemburu saja. Sukanya. Makin galaklah aku sakat dia nanti.
            “Yup, rindu gila!” Rasa nak muntah sebut perkataan rindu tu. Rindu Abang Joey? Silap banyaklah. Tak hingin aku rindukan dia. Dengar nama dia saja aku dah rasa semacam. Tak tahu kenapa aku meluat betul dengar nama tu.
            “Yalah, sebab Abang Joey tu handsome, tinggi lampai, putih melepak, anak orang kaya. Pelukis terkenal pulak tu. Mestilah ramai yang tergila-gilakan dia, termasuklah awakkan?.” Nada merajuk pula.
            “Tau takpe…”Aku tutup mulut sambil tahan gelak.
            “Tahu dah…” Nada merajuk tu kedengarannya semakin kasihan.
            “Tapi yang peliknya saya lebih suka anak pesawah yang tak handsome. Kulit hitam legam tapi senyuman dia manis sangat. Suka sangat dengan kawan tu. Entahlah, tak tau nak cakap kenapa suka yang tak handsome tu.”
            “Tak best langsung cara awak pujuk orang tu. Dah biasa sangat dengar.” Zakuan jeling, tapi hujung-hujung aku nampak dia senyum. Aduhai, manisnya senyuman.
            “Habis nak pujuk lagu mana lagi?”Aku tiru cara ayah Zakuan bercakap.
            “Ikut balik kampung.”
            Inilah masalahnya, ditelan mati bapak diluah mati emak.
            “Malam tadi mak ada telefon. Memang dia mintak orang bawa awak sekali. Mak dah buatkan ikan pekasam untuk awak. Sengaja mak tak benarkan  kacau ikan kat tali air, sebab mak tahu awak suka tangkap ikan. Tapi sebenarnya orang tahu mak rindukan awak.” Zakuan mulakan kempen menghasut.
            “Awak sedang goda saya ke ni?” soalku.
           “Orang tak goda, orang bagitau aje. Mak macam dah rindu sangat kat awak.  Macam awak pulak anak dia.”
            Mak dia saja ke yang rindu. Habis anak mak dia ni tak reti rindukan aku ke. Ke nak cakap rindukan aku, tapi segan. Tu pasal cakap mak yang rindu.
            “Awak terasa?” soalku.
          “Mahunya tak terasa. Asal orang telefon, asyik tanya pasal awak saja…” Zakuan bulat mata pula. Hujung bibir dia gigit.
            Alahai, segaknya dia buat muka macam tu. “Okeylah. Saya ikut awak. Puas hati?”
            “Serius ni?”
            “Jangan tanya serius ke tak. Kalau saya cakap saya ikut, saya ikutlah.”
            Aku nampak senyuman Zakuan lebar semacam. Puas hati dengan jawapan aku agaknya. Tapi memang aku sendiri sudah mula rindukan kampung Zakuan. Rindukan masakan Mak Cik Midah yang memang sedap. Rindukan gurauan Pak Cik Saad yang cukup selamba orangnya. Rindukan bau sawah dan aku rindukan semua-semua itu.
            “Kali ni apa nak jadi, jadilah. Orang tetap bawak awak balik. Ikat awak masuk dalam guni pun orang sanggup.”
            “Melampau!”
            “Ingat orang tak berani?”
            “Yalah, awak bukan ke terror bab larikan anak dara orang.”
            “Uiks, jangan buat statement suka hati. Orang ni anak teruna suci murni. Belum pernah nak buat kerja bodoh macam tu…”
            Aku tampar bahu Zakuan perlahan. Status melampau juga dia ni. Kemudian dia keluarkan telefon bimbitnya. Zakuan tak beritahu pun, aku sudah dapat agak siapa yang bakal dia hubungi.
            “Assalamualaikum. Wan ni…” Bukan main manja lagi dia.
            “Wan nak habaq, Malia jadi ikut balik kampung. Kami balik Sabtu.”
            Aku dengar dengan jelas suara Mak Cik Midah bercakap. Dengar seperti gembira benar. Kenapa ya Mak Cik Midah mengharapkan aku ikut sama? Dia nak ambil aku jadi menantu ke? Ah, kalau betul kan seronok. Sekurang-kurangnya tidaklah aku dapat mertua serupa mak mertua Kassim Selamat. Pasti Mak Cik Midah sayang aku nanti.
            “Yalah, satgi Wan sampaikan. Kirim salam kat ayah. Jangan pulak mak sambut dengan kompang, marhaban bagai. Satgi pengsan pulak dia ni.” Walau nada seperti bergurau tapi Zakuan langsung tak senyum. Serius saja wajahnya. Tapi aku suka. Segak sangat.
            “Nanti kalau ada perubahan, Wan telefon balik. Assalamualakum.”
            Nak kata Zakuan ini anak emak, tidak juga. Dia ada dua orang abang dan seorang adik lelaki. Seorang kakak dan seorang adik perempuan. Abang-abang dan kakak Zakuan sudah pun berumah tangga. Tinggal dia dengan adik-adik saja yang belum. Zakuan pun kalau ikut bukan muda lagi. Tua dua tahun saja dari aku. Tu agaknya Mak Cik Midah kalut nak suruh kahwin. Tapi masalahnya, mamat seorang ini mana reti nak meluahkan perasaan. Tak pernah walau sekali dia sebut perkataan sayang kepada aku. Tak kan aku yang kena mula dulu. Tu kerja tak malu. Serupa perigi cari timba saja.
            “Mak kirim salam.”
            “Waalaikumusalam.” Aku jawab.
            “Hmm, rindu sangat kat awak katanya.”
            “Saya pun rindukan mak awak.”
            “Hmm, mana tak rindu. Teman dia masak masa akan datang kut, tu yang rindu bagai nak rak.” Zakuan senyum.
            “Tapi saya tak tau masak.”
            “Tak apa. Lepas ni kenalah rajin masak. Orang tak berapa berkenan sangat nak makan makanan kedai. Kalau boleh nanti nak suruh awak masak selalu.”
            “Kalau tak sedap macam mana?”
            “Tu belakang kira. Lagipun orang bukan cerewet sangat. Asal orang rumah orang yang masak, orang telan saja.”
            “Tak cerewet? Awaklah manusia paling cerewet dalam dunia ni. Kalau tak kena selera awak, mahu awak membebel sepanjang makan. Itu tak cerewet?”Aku cekak pinggang. Cakap tak serupa bikin.
            “Kalau isteri orang yang masak, orang tak cerewet. Orang pejam mata saja. Main telan. Sedap ke tak sedap, orang tak banyak cerita sebab isteri orang yang masakkan?”
            Aku kerut dahi. “Wei, kita cakap apa sebenarnya ni?” Aku tanya sebab Zakuan siap sebut orang rumah, isteri bagai. Merepek apa pulak ni?  
            Zakuan senyum senget dan garu kening. “Entah. Tak tau!”
            “Tengok tu. Awak suka buat saya macam ni…” Aku buat muka.
            “Taklah, sekadar bercakap tentang masa akan datang. Tak salah simpan angan-angan. Macam orang lain jugak, tak kan orang nak tidur sorang-sorang selamanya. Sejuk tau tak.”
            “Eh, gatal pulak dia ni…”
            “Tadi tanya, dah cakap kata gatal pulak.”
            “Yang sebut sejuk tu apa kes.”
            Besar ketawa Zakuan selepas itu. Kemudian dia tarik nafas perlahan. “Orang pun nak hidup bahagia  juga. Nak hidup bersama gadis yang orang sayang.”
            Dia pandang aku tepat.
            “Oh, kiranya dah ada gadis kesayanganlah ni? Tak cakap pun, sampai hati…” Mulalah aku nak merajuk. Hampir enam tahun aku kenal Zakuan, tapi tak pernah pun dia beritahu dia suka mana-mana gadis. Seingat aku, tak ada gadis yang rapat dengan dia selain aku.
            “Mestilah ada. Kalau tak, tak berani orang nak bawa balik jumpa mak.”
            “Baiklah kalau macam tu. Tak jadilah nak ikut awak balik kampung. Awak pun dah ada orang kesayangan awak. Tak nak kacau daun…” Aku sambung jalan. Merajuk campur jauh hati sama. Tak sangka dalam diam sudah ada orang kesayangan rupanya. Habis aku ini apa? Diusung ke hulu ke hilir, tapi tak ada sebarang perasaan terhadap aku.
            “Awak, orang gurau ajelah. Hisy, payah betul kalau bercakap dengan orang tak faham bahasa ni. Tak kan tak sedar-sedar lagi…”
            “Awak jugak yang cakap tadi…” Rasa jauh hati masih berbekas. Tahu Zakuan sekadar bergurau.
            “Saja nak usik awak.”
            “Mana tahukan…” balasku perlahan. Walau kata-kata Zakuan seperti menghilangkan separuh rasa curiga, namun sejujurnya aku tidak boleh meletakkan diri di dalam zon selesa kerana aku belum lagi mendapat hak mutlak untuk berada di sisi Zakuan.
            Namun, aku juga tidak mahu enam tahun ku berlalu dengan sia-sia sahaja. Kalau boleh naklah berakhir dengan majlis kenduri kahwin.
            “Anna…”Aku teringat Anna. Salah seorang geng kami.
            “Awak janganlah mengada sebut nama minah tu. Dahlah sini port dia. Karang tak pasal-pasal dia muncul depan kita, rosak semua program.
            “Sampai sekarang awak masih tak boleh buka pintu hati untuk dia? Dah lama dia tergilakan awak.  Apa salahnya awak beri dia sedikit perhatian.”
            Kesian Anna. Sejak zaman Universiti lagi dia tergilakan Zakuan, namun sampai sekarang Zakuan langsung tidak membuka pintu hatinya untuk Anna. Bukan Anna tidak cantik. Kalau hendak dibandingkan aku dengan Anna, memang aku kalah teruk. Gadis bertubuh kecil itu sebenarnya antara top student yang sentiasa mendapat perhatian penuntut lelaki.
            Tapi kalau Zakuan terima Anna, aku pula yang bakal teruk. Mahu meraung tak cukup tanah. Jadi jawapan Zakuan itu benar-benar buat aku rasa sedikit lega.
            “Kalau sudah tidak boleh nak buka, tetap tak boleh buka. Nak buat macam mana. Eh, Tak naklah sebut pasal dia. Tak ada kena mengena.” Cepat saja Zakuan mengelak setiap kali kalau nama Anna aku sebut.
            “Betul tak nak bagi dia peluang?”
            “Awak nak saya bagi peluang kepada dia?” Zakuan soal aku balik.
            Diam, tiada jawapan.
            “Takut ada yang meraung kalau orang bagi dia peluang nanti.” 
            Jawapan Zakuan buat aku lebih terdiam. Memang betul, aku bakal meraung kalau Zakuan beri perluang kepada Anna.
            “Hmm, kalau rasa-rasa tak sampai hati, janganlah sebut perkara yang boleh menyakitkan hati. Jangan cakap tak serupa bikin!”
            Makin terpanggang aku jadinya dengan sindirian Zakuan, tapi  sekurang-kurangnya aku boleh tarik nafas lega sebab sehingga sekarang nampaknya Zakuan masih tidak pandang sesiapa.

AKU sampai rumah sudah masuk maghrib. Mak ngah sudah sedia nak solat maghrib. Fuh, lama gila keluar dengan Zakuan. Dari pukul 10.00 pagi membawa ke 7.30 petang. Nasib baik dah besar panjang. Kalau budak-budak lagi, sampai muka pintu tadi sudah mak ngah sebat.
            Aku duduk menyandar. Penat sangat. Walau penat, tapi aku gembira. Zakuan benar-benar buat hari mingguku menjadi sangat bermakna. Sesungguhnya, jauh di sudut hati kecilku aku mengharapkan Zakuan akan meluahkan perasaan. Namun sehingga kami berpisah tadi, dia langsung tidak meluahkan apa-apa. Nampaknya aku kena tunggu lagi. Walau seribu tahun, aku sanggup menunggu.
            “Hmm, sakan berjalannya…” Mak ngah jeling aku sekali sebaik sahaja selesai solat, namun mulutnya terkumat kamit bersama kedua tangan ditadah selepas itu. 
            Aku tak balas apa-apa, sekadar tersenyum. Cuba rehatkan badan.
            “Hmm, tu muka orang lapar nak nikah!” Mak ngah macam perli sambil lipat telekung.
            “Mana ada…”Aku balas.
            “Hmm, macamlah mak ngah tak tau. Cubalah buka mulut ajak dia nikah…”
            “Malulah mak ngah. Nanti kata perigi cari timba pulak.” Mak ngah yang jaga aku, tentulah mak ngah tahu kisah aku dari A sampai Z.
            “Itu zaman dulu-dulu. Sekarang ni orang dah tak kisah pasal tu. Mak ngah bukan apa, takut esok tak ke mana. Sudahnya putus macam tu saja…”
            “Dia lelaki, dialah yang kena cakap.”
“Hah, kalau macam tu tunggu sajalah si Zakuan tu buka mulut. Mak ngah nak tengok sampai bila. Esok kalau sampai putih mata, jangan nak menangis kat mak ngah.” Mak ngah sarung tudung.
            Mak ngah ni memang. Suka sangat buat perasaan aku jadi tidak keruan.
            “Janganlah cakap macam tu, jodoh kan di tangan TUHAN…”
            Mak ngah senyap. Itu saja caranya nak kunci mulut mak ngah.
            “Tak boleh solat lagi?” soal mak ngah setelah agak lama tak bercakap.
         “Esok kut…” Sebenarnya kepala masih lagi fikir kata-kata mak ngah. Ambil kisah juga. Apa kata kalau Zakuan segan nak muka mulut, aku dulu pergi tanya pasal hati dan perasaan dia? Boleh tak kalau aku yang dulu melamar dia? Huh! Jangan buat gila Malia. Bukan terdesak sangat nak kahwin.
            “Kalau nak makan, panaskanlah lauk. Mak ngah nak sambung buat kerja.”
            Aku angguk saja sambil perhatikan mak ngah keluar. Elok saja mak ngah hilang dari pandangan, telefon berbunyi. Hmm, orang yang ura-ura aku nak pinang buat panggilan.
            “Ya awak, kenapa?” Satu hari suntuk berdua sakan, tak kan masih rindu lagi. Gilalah kalau Zakuan rindukan aku.
            “Sudah sampai…?”
            “Sudah. Dalam setengah jam tadi. Risau saya tak sampai ke?”
            “Mahunya tak risau.”
            Eh, risau jugak ke? Hmm, senyum ajelah.
            “Awak ni sudah solat ke belum?” Aku soal.
            “Saya singgah masjid tadi…”
            “Alhamdulilah… Hmm, bila kita nak keluar lagi?” Tak malunya soalan. Tapi nak malu apa, aku tanya bila nak keluar aje, bukan aku tanya bila nak masuk meminang.
            “Dah lupa ke? Kan janji nak ikut orang balik kampung.”
            “A’ah lupa…”
            “Jangan mengada buat lupa. Orang dah bagitau mak…”
            “Kalau saya lupa, tolonglah ingatkan…”
            “Tulah, suka sangat makan kepala ikan. Belum apa-apa dah lupa.”
            “Tak ada maknanya…” balasku. Senyuman lebar lagi.
            “Okeylah awak. Orang nak pastikan awak sampai di rumah dengan selamat aje.”
            “Hmm, tak sangka sayang jugak awak kat saya.”
            “Maunya tak sayang. Sayang gila!”
            “Lawaklah tu.” Ah! Rasa badan melayang-layang. Betul ke dia sayang?
            “Lawak apa pulak. Dah betul.”
            “Okeylah awak. Nanti kita sembang lagi.”
            “Okey, assalamualaikum.”
            “Waalaikumusalam.”Aku balas. Dalam hati nak sangat dengar ayat orang sayang awak. Hmm…
            “Orang sayang awak!” 


Copyright © 2014. Idea Kreatif/Fazuin Azman. All rights reserved.

3 comments: