Saturday 14 June 2014

Bab 3 : KALAU SAYANG KATALAH SAYANG - Fazuin Azman


AKU ikut juga Zakuan balik Sungai Petani tanpa mahu fikir apa-apa. Yang penting aku mahu habiskan dua hari ini dengan sebaiknya tanpa ingat arahan Abang Joey. Siapa dia mahu arah aku macam-macam. Biar dialah.
Seperti yang aku jangkakan sambutan yang agak meriah sudah menanti kedatangan kami berdua. Meriah dengan makanan. Mak Cik Midah sudah sediakan lauk pauk untuk makan tengah hari. Semua lauk yang aku pernah cakap sedap, semua dia masak. 
            “Makanlah Malia. Memang mak cik masak untuk Malia…” Mak Cik Midah tetap ramah seperti dulu. Sangat menyenangkan.
            “Untuk Malia saja ka? Untuk Wan tak dak?” Zakuan bersuara. Serupa cemburu saja. Cemburu ke?
            “Hang tu semua tak makan. Hang suka makan ayam goreng saja kan?” Pak Cik Saad menyampuk. 
            Aku pandang Zakuan. Sikap Zakuan sangat menyenangkan tapi dia memang memilih bab makan. Betullah kata Pak Cik Saad, Zakuan suka makan ayam goreng dan ikan goreng saja. 
            “Senanglah siapa yang jadi isteri Wan nanti. Tak susah nak masak lauk. Goreng ayam saja…”
            Terkedu juga mendengar bicara Zakuan. Sudah pandai sebut tentang isteri. Biar betul dia ni. Ke tujuan ajak aku balik kali ni nak buat pengumuman yang dia tu sudah sedia pikul status baru, status suami orang.
            “Hah, tunggu apa lagi. Cepatlah sikit. Selagi mak dengan ayah masih hidup.” Mak Cik Midah bersuara sambil senduk nasi. Kemudian pinggan itulah Mak Cik Midah serahkan kepadaku. Waktu itu aku sudah diserbu rasa pilu. Ayat selagi mak dengan ayah masih hidup itu benar-benar makan dalam. Ya, sementara mak dan ayah masih ada. Aku ini sudah tidak punya siapa-siapa.
            “Hmm, boleh dah kut…”  Zakuan menjawab. Terus aku pandang dia.  Dia senyum semacam yang aku panggil sebagai senyum gatal. Aku baru nak makan, dia ni dah cakap yang bukan-bukan.
            “Boleh, boleh. Dari tahun lepas bolehnya. Tapi sampai la tak bunyi apa-apa pun…” Kuat sedikit suara Pak Cik Saad.
            Zakuan gelak. “Kita makan dulu. Satgi baru cakap pasal tu…” Dia baca doa makan selepas itu. Aku juga turut menikmati juadah yang terhidang.
            “Ikan pekasam mak cik memang sedap…”Aku puji.
            “Betul ka? Mak cik ada buat banyak. Memang khas untuk Malia. Nanti bawak balik.”
            “Jangan mengarutlah. Busuk satgi kereta orang.” Zakuan menyampuk. Aku pandang dia. Kenapalah dia ni berlagak sangat. Kata orang kampung tapi kenapa semua tak suka? Serasi ke buat teman hidup kalau semuanya tak boleh. Ikan pekasam tak boleh, rebung tak boleh, ikan kering tak boleh. Sedangkan itu semua adalah makanan kegemaranku.
            “Habis sapa yang nak makan? Berbalang-balang mak buat.”
            “Eh, saya nak aje mak cik. Bukan senang nak dapat ikan pekasam kat KL. Kalau adapun tak sesedap yang mak cik buat. Mak ngah saya pun suka makan jugak. Kalau mak cik bagi semua pun tak apa.” Aku balas.
            “Awat serupa tak sedar diri ni?” Zakuan tanya aku.
            “Saya suka!” Aku buat muka serius.  
            “Kalau macam tu balik sendiri. Jangan naik kereta orang.”
            “Lia toksah risau. Pak cik pun boleh hantaq kalau Wan tak mau hantaq. Baru pakai kereta macam tu dah eksen. Kalau kereta lagi besaq tak tau macam mana…” Pak Cik Saad pula menokok.
            “Bukan kira eksen ayah, satgi busuk  berbulan tak hilang. Wan yang pening.”
            “Tak apalah kalau macam tu. Saya naik bas aje nanti…” Aku balas.
            “Hah merajuk. Sikit-sikit merajuk…”
            “Sudah, jangan nak bising. Kalau sayang isteri, kenalah ikut cakap dia sekali sekala. Kenalah faham apa dia suka.”
            Kata-kata Mak Cik Midah buat aku tergamam sekejap. Kalau sayang isteri? Mak Cik Midah nak cakap apa pulak ni?
            “Suami saja ka kena ikut cakap isteri? Suami saja ka yang kena faham apa isteri suka. Isteri tak payah tau apa suami suka?”
            “Suka hati hanglah Zakuan. Kalau lagu ni lah cara hang, alamat sampai tua lah tak dak sapa berkenan. Elok orang suka, jadi tak suka. Ingat hang segak sangat ka? Dah ada orang comel suka, buat perangai lagi.”
            Kami berdua diam selepas itu. Sebenarnya, serius aku tak faham apa status aku sebenarnya di mata Mak Cik Midah dan Pak Cik Saad. Status bakal menantukah? Bermakna ada ura-ura nak merisik ke?
            Tiba-tiba rasa hati seperti sudah kembang setaman.

AKU sudah sedia nak tangkap ikan. Petang pun nampak cantik. Memang sesuai sangatlah kalau nak lakukan aktiviti tangkap ikan. Suara riuh rendah anak-anak buah Zakuan menambahkan lagi semangat untuk turut sama. Ketiga-tiga mereka itu anak kakak Zakuan yang tinggal bersebelahan rumah ibu bapa Zakuan.
            “Serius nak join sekali ke?” Zakuan tanya sambil pandang aku. Wajahnya nampak serius sahaja.
            “Yalah, rugi kalau tak join sama. Bukan senang nak dapat peluang macam ni.”
            “Tak kan selepas ni asal balik kampung saja awak nak berkubang. Kalau belum ada anak tu orang tak kisah sangat, esok kalau sudah beranak pinak pun masih nak berkubang apa kata anak-anak nanti…”
            Apa sebenarnya yang Zakuan mahu jelaskan? Dia ini semakin pelik aku rasakan. “Boleh tak jangan cakap perkara yang saya tak faham.”
            “Nasiblah. Semua yang orang cakap semua tak faham. Habis bila nak fahamnya.”
            “Memang tak faham okey…” Aku terus turun menyertai anak-anak buah  Zakuan.  Ah! Seronoknya. Lupa seketika segalanya.
            Di atas tebing, Zakuan hanya perhatikan aku. Sesekali nampak dia senyum. Peliklah jejaka hitam manis seorang ni.
            “Dua puluh minit saja lagi. Nanti tolong Kak Odah siang ikan tu…”Zakuan laung.
            “Dengki…” Aku balas.
            “Bukan dengki. Lintah banyak dalam tu. Pacat lagi. Benda alah tu memang cukup suka dengan darah anak dara. Manis aje…”
            Aku sudah rasa geli geleman. Terus panjat tebing.
            “Awat?” Zakuan tanya.
            “Yang cakap ada lintah tu apa hal…”
            “Memang ada pun.”
            “Dulu tak cakap pun…”
            “Dulu tak naklah kacau mood awak. Kali pertama awak berkubang macam tu…” Zakuan gelak jahat. Nak aje aku  belasah dia.
            “Tak ada lintah, Malia. Zakuan saja buat cerita.” Kak Odah datang dengan besen dan pisau. Dia sudah sedia nak siang ikan hasil tangkapan aku dan anak-anaknya sebentar tadi. Aku tak kira, kena basuh selut juga. Rasa macam ada benda yang bergerak-gerak saja dalam seluar. Laju langkah menuju bilik air yang terletak bersebelahan dapur.
            “Zakuannn…!”Aku menjerit dengan kuat. Ada pacat di betis. Memang geli betul. Menyesal rasanya pergi tangkap ikan.
            “Pasai apa?” Zakuan tanya sebaik sahaja sampai muka pintu bilik air.
            Aku sudah mahu menangis.
            “Pacat…”Aku tunjuk kaki.
            “Kan dah cakap, pacat memang suka dengan darah anak dara.” Selamba saja Zakuan tarik pacat yang sudah kekenyangan itu dan dia campak keluar. Darah mula mengalir dari kesan gigitan.
            Zakuan buka paip dan dia ambil gayung kolah. Simbah air di bahagian yang terkena gigitan.
            “Awak, naik kejap kat atas. Ambik baju saya dengan tuala saya dalam beg.” Aku arah.
            “Hmm…” balas Zakuan. Dia campak gayung dalam kolah.
            “Eh, awak. Jangan lupa baju kecik dan seluar kecik saya…”
            “Macamlah orang tak tau! Wajib kan.”
            Aku tak larat nak balas apa-apa sebab mata hanya pandang pada kaki yang masih berdarah. Nampaknya inilah kali terakhir aku berkubang macam tu. Serik sudah.
            Berlalu beberapa minit Zakuan muncul dengan pakaianku. “Betul ke saiz yang awak pakai ni?” soal Zakuan. Dan matanya pandang arah dada yang tertutup dengan tudung.
            “Kenapa? Tak percaya?”soalku balik.
            “Kalau tak percaya boleh tunjuk ke?” Dia senyum nakal. Memang pelik betul Zakuan ni. Dulu mana berani cakap macam tu.
            “Kalau tunjuk, sanggup tengok ke?” soalku lagi.
            “Tunggu dapat lesen kut. Sebelum tu tahan ajelah dulu.”
            “Hah, tahu pun…” Aku tutup pintu bilik air.

LEPAS mandi, aku ingat nak tolong Kak Odah siang ikan, tapi Mak Cik Midah tak benarkan.
            “Tak payahlah tolonglah. Buat busuk tangan saja.” Mak Cik Midah ambil pisau dari tanganku.
            “Hai, bagi muka nampak. Esok kalau kawan tu penyegan nak ke dapoq, jangan buat cerita bukan-bukan. Bagi muka sangat!” Zakuan bersuara sambil kupas buah manga.
            “Bukan selalu pun dia mai. Tak kan hang tergamak tengok tangan putih gebu macam tu siang ikan. Sanggup ka tak sanggup?” Kak Odah tanya.
            Zakuan tak jawab.
            “Tau mati kutu!” Mak Cik Midah menyampuk.
            “Sayang, jom abang bawak jalan-jalan tengok sawah padi…”
            Semput jantung aku. Depan mak dan kakak dia panggil aku sayang. Mengarutnya.
            “Kalau tak jadi siap hang!” Mak Cik Midah buat gaya nak cucuk Zakuan dengan pisau.
            “Jadi, Wan jamin jadi…” Zakuan gelak.
            Sebenarnya aku tak berapa nak faham sangat perbualan anak beranak ni. Seperti mereka sedang menggunakan bahasa isyarat. Ada sesuatu yang mereka lindungkan dariku.
            “Nak jalan-jalan tak?” Zakuan tanya.
            “Naik basikal?” Aku tanya sebab Zakuan sudah duduk atas basikal tua.
            “Kampung kami belum ada roket lagi kalau nak naik roket.”
            “Melampau!” Aku jeling.
            “Dah tengok orang naik basikal, masih nak tanya.”
            Aku duduk belakang dan Zakuan mula kayuh.
            “Sayang, awak boleh tak duduk diam-diam? Jatuh dalam parit tu, Winter Sonata kita karang.” 
            “Awak tu yang kayuh tak betul.” Aku tampar belakang Zakuan perlahan.
            Zakuan kayuh basikal menghala bendang.
            “Sayang…”
            “Emm…”
“Depan tu Gunung Jerai. Orang teringin sangat nak berbulan madu kat situ.”
Aku pandang arah yang Zakuan maksudkan. Sayup saja kelihatan gunung tersebut.
            “Awak pernah sampai sana?”
            “Belum. Tu ingat nak bawak awak nanti…”
            “Emm…”
            “Awak tak kisahkan.” Zakuan tanya.
            “Tak kisah…”
            Dia kayuh lagi.
            Memang aku tak kisah. Kalau bersama Zakuan, aku tak kisah walau ke mana saja.
            “Awak…”
            “Emm…”
            Apa aku nak tanya tadi. Lupa pulak. “Dah tak ingat nak tanya apa…”
            “Makanlah selalu kari kepala ikan. Kan dah pelupa.”
            “Tak ada maknanya…” Oh! Baru aku ingat. Aku nak tanya pasal tu lah. Pasal betul ke nak bawa aku berbulan madu ke Gunung Jerai? Tapi kurang manis kut kalau aku tanya sekarang. Tunggulah sikit hari lagi.
            Kami melalui batas-batas bendang. Jangan tanya perasaan aku ketika ini. Memang aku rasa benar-benar gembira. Harap-harap satu hari nanti kami akan berbasikal begini lagi dengan membawa status lain. Status suami isteri.

            Mudah-mudahan… 

No comments:

Post a Comment