Saturday 14 June 2014

Bab 5 : TEMU DUGA CINTA - Ridhya Iman


MULUTKU terlopong luas sebaik kaki menapak masuk ke dalam bilik temu duga. Sungguh aku kagum dengan dekorasi dan susun atur perabot yang ada dalam bilik ini.
Kerusi berwarna hitam yang disusun mengelilingi meja putih panjang yang berada di tengah-tengah menjadikan ruang itu tampak cukup elegan dan eksklusif dalam gaya moden yang tersendiri.
“Cik, sila duduk,” pelawa Suraya sambil menarik salah satu kerusi. Sebuah senyuman manis diukirkan padaku.
Suraya merupakan staf yang bertanggungjawab menguruskan sesi temu duga terbuka itu.
“Terima kasih.” Aku mengangguk seraya membalas senyumannya.
Teragak-agak aku nak melabuhkan duduk di atas kerusi itu. Kerusi berspring yang direka dengan lima roda itu nampak sungguh eksklusif. Rasa macam tak layak untuk punggung ini dilabuhkan di situ. Bimbang juga kalau aku meninggalkan kesan berdarah yang tak diingini. Sudahlah aliran tenat sedang berlaku ini. Menderun laju macam air paip.
“Sama-sama,” jawab Suraya lembut sebelum bergerak ke arah cermin kaca yang memisahkan bilik itu dengan ruang pejabat yang lain.
Dia mencapai alat kawalan bidai dan menekan butang pada alat tersebut. Secara automatik bidai venetian itu bergerak perlahan menutupi cermin kaca. Sekali lagi mulutku terlopong kagum. Canggihnya!
Kemudian wanita yang berusia pertengahan 20-an itu bergerak ke bahagian meja yang betul-betul berhadapan denganku dan meletakkan sekeping fail putih di situ. Dia mengangkat wajahnya apabila menyedari aku masih tegak berdiri.
“Kenapa tak duduk? Tak lenguh ke kaki tu asyik berdiri je?” Suraya menegur. Kedua belah keningnya sedikit terangkat.
Aku sengih. Perlahan-lahan punggung aku labuhkan di atas kerusi empuk itu. Cukup berhati-hati. Manalah aku biasa duduk di atas kerusi mewah begitu. Fail aku letakkan di atas meja dan beg plastik yang aku bimbit sejak tadi aku simpan di bawah meja.
“Cik Suraya,” panggilku.
Suraya berpaling.
“Ya, saya,” sahutnya mesra.
“Err..kat luar tu saya tengok ada beberapa orang yang tengah tunggu untuk interview. Tapi kenapa saya yang dipanggil dulu?” Aku menyoal ingin tahu.
Pelik juga bila Suraya memanggil nama aku sedangkan aku antara pemohon yang mendaftar paling lambat. Mana tak lambat hampir dekat pukul 3.00 petang baru aku selesai mengisi borang permohonan.
“Kenapa?” Suraya menyoal aku balik. Dahinya yang licin sedikit berkerut memandang aku.
“Err…tak adalah. Saya cuma takut kalau-kalau Cik Suraya tersilap,” beritahuku teragak-agak.
“Tersilap?” Lipatan di dahi Suraya semakin berlapis.
Aku mengangguk sebelum menyambung kata.
“Sepatutnya saya orang terakhir yang dipanggil sebab saya yang paling lambat mendaftar. Kesian pula dekat pemohon yang datang awal daripada saya. Dia orang pun dah lama tunggu,” jelasku jujur.
Memanglah aku mengharapkan pekerjaan ini tapi itu bukan tiket untuk aku mencantas peluang orang lain. Bila sesuatu kejayaan itu kita peroleh dengan cara yang adil dan telus, barulah datangnya kepuasan.
“Ooo…sebenarnya yang di luar tu calon-calon distribution manager,” tutur Suraya lembut.
“Habis tu tak ramai ke yang apply untuk post storekeeper ni?”
“Emm..kalau ikut senarai ni, rasanya Cik ‘Ain sorang je yang memohon,” beritahu Suraya sambil menyelak helaian kertas dalam fail putih yang berada di hadapannya.
“Haa..saya sorang je?” soalku terkejut dan pelik. Syarikat bukan main gah macam ni, takkan tak ada seorang pun yang nak mohon kerja penyimpan stor tu kecuali aku? Kes aku ini pun sebab secara tak sengaja tersinggah masuk ke dalam bangunan ini dan terjumpa pula dengan Uzair.
“Ya.” Suraya mengangguk.
Aku terpinga-pinga memandang Suraya.
The interview will start any minute. So, get ready and good luck,” pesan Suraya menyambung bicara sebelum melangkah keluar dari bilik temu duga, meninggalkan aku melongo sendirian dalam ruang yang cukup besar itu.
Kalau aku seorang saja yang memohon jawatan ini, maknanya aku tidak ada pesaing. Maknanya hanya aku calon tunggal untuk jawatan ini. Maknanya memang jawatan ini sah-sah akan menjadi milikku. Senyumanku mula mekar di bibir.
Yes! Alhamdulillah,” ucapku lega.
Dengan rasa yang cukup teruja aku sandarkan tubuh ke belakang kerusi. Badan kerusi yang berkeupayaan melentur sehingga 45 darjah menyebabkan aku hilang kawalan tiba-tiba. Dan akhirnya…bump!
Tubuhku tersadai di atas lantai marmar dengan kaki terangkat ke atas. Sebelum kain itu terselak jatuh sampai ke pangkal paha, aku cepat-cepat bangkit. Kain baju yang tersarung di tubuhku betulkan agar terletak elok. Tudung yang senget turut aku baiki lipatannya.
Rasa sakit yang mencucuk aku tahan sekuat hati. Kesan jatuh tadi pun tak hilang lagi. Kali ini ditambah pula dengan rasa sakit dek hentakan kuat di lantai marmar pula. Patah riuk sungguh tubuhku kalau macam ni.
Hujung minggu ni memang aku kena balik kampung. Khidmat mengurut bidan Lijah sangat-sangat aku perlukan saat ini untuk betulkan balik peranakan aku yang dah dua kali jatuh ni.
Aku melilau pandangan ke sekeliling bilik.
“Fuh!” Aku mengeluh lega. Mujurlah hanya aku seorang saja yang berada di dalam bilik itu. Kalau tak, mahunya aku bawa diri bertapa dalam gua andai ada yang melihat aksi aku jatuh gaya somersault tadi.
Kerusi yang terbalik segera aku dirikan semula. Belakang punggung aku libas dua tiga kali sebelum aku kembali melabuhkan duduk di atas kerusi itu. Berlagak selamba biarpun rasa sengal-sengal masih kuat terasa.
Tiba-tiba pintu bilik terkuak dari luar. Bunyi derap tapak kaki yang melangkah masuk membuatkan aku berpaling ke arah pintu. Mataku bulat melihat lelaki yang sedang menghampiri meja di depanku.
Encik Ikram! Bibirku berbicara dalam bahasa bisu. Tanpa sedar aku turut berdiri dengan mulut yang separuh terlopong.
"Hi! We meet again. Have a seat," arah encik Ikram sambil dia turut melabuhkan duduk di hadapanku. Senyuman manis memang tidak lekang di bibirnya. Agaknya lelaki inilah yang akan menemu duga aku.
Bagaikan dipukau aku hanya menurut katanya. Perlahan-lahan aku betulkan duduk biarpun cukup canggung berada di atas kerusi empuk itu. Bimbang juga kalau tiba-tiba aku tersembam lagi sekali.
Aku pandang encik Ikram yang sedang tekun meneliti kertas di dalam fail putih. Entah apa soalan yang bakal ditanya padaku. Sudahlah aku langsung tak buat apa-apa persediaan untuk menghadiri temu duga formal begini.
Sasaran aku sebaik melangkah keluar dari rumah tadi cuma nak cari apa-apa kerja di restoran segera. Sungguh aku tak sangka langkahku akhirnya membawa aku untuk ditemu duga di syarikat besar macam Gemilang Holdings ini.
"So…” Kata-kata encik Ikram mengejutkanku. Dia mendongak memandangku. Renungan dia biarpun tidak setajam Uzair tapi dia punya sepasang mata yang cukup menggoda.
“You're miss Qurratul 'Ain Ariffin, right?” sambungnya menyoal aku lembut.
"Yes, I am," balasku mengangguk yakin. Aku angkat sedikit dagu. Keyakinan itu perlu biarpun dalam hati ini perasaan resah menggelodak seribu.
"Miss..emmm....can I call you miss ‘Ain?”
Boleh..err..yes..yes..you can.” Aku menekup mulutku sambil mengangguk laju. Macam mana boleh tersasul jawab dalam Bahasa Melayu pula ni?
Bukankah Madam Susan, pensyarah Bahasa Inggeris sewaktu aku belajar di universiti pernah berikan tips ketika menghadiri temu duga. Jika soalan ditanya dalam Bahasa Inggeris, maka aku perlu menjawab menggunakan bahasa yang sama. Biarpun Bahasa Inggeris aku azabnya hanya Tuhan saja yang tahu.
Encik Ikram mengangkat keningnya sebelah. Pandangannya yang serius membuatkan aku mula terasa gugup. Tiba-tiba macam ada rama-rama yang sedang menggeletek usus perutku ini.
Okay, miss ‘Ain. In a few words, please tell me about yourself.” Intonasi suara encik Ikram berubah serius. Gaya dia sungguh profesional. Berkarisma habis. Hilang terus gatal-gatal keladi masa pertama kali aku terserempak dengan lelaki ini tadi.
Liur yang aku telan terasa tersekat di kerongkong. Aku berjeda beberapa detik memikirkan jawapan. Kalau dalam bahasa Melayu, secepat kilat bibirku ini boleh memuntahkan ayat. Tapi bila terpaksa bertutur dalam Bahasa Inggeris ini, kelajuan aku terus merudum ke paras negatif.
“Err.. my name is Qurratul ‘Ain Ariffin…
Yes.. I know that,” sampuk encik Ikram dengan senyum senget.
“Err..I’m twenty four years old. I’m from Pahang. My father name is Ariffin bin Ahmad. He dead already. My mother name is Halijah binti Sulong. She works..errr…” Aku kematian kata. Alamak..bidan kampung tu apa dalam bahasa Inggeris?
“My mother…she works…err...nurse village.” Bolehlah. Bidan tu kan skop kerja dia lebih kurang sama macam jururawat juga kan. Cuma tak pakai uniform putih tu je.
Nurse village?” Encik Ikram mengerutkan dahi.
Yes. You know when a woman want to born a baby from her stomach, then my mother will greet the baby. And my mother also works to massage people body. But for woman only. My mother said it is haram if she massage a man,” terangku panjang lebar. Sehabis kosa kata yang ada dalam kepala otakku keluarkan.
Bulat mata encik Ikram memandangku. Mulutnya sedikit terlopong. Hebat sangat ke bahasa Inggeris aku sampai dia terpegun begitu sekali? Itulah jangan sangka budak kampung macam aku tak reti cakap orang putih.
“Haa.. one more thing. I have no brother and I also have no sister. Err..that all about myself,” sambungku sambil tersengih. Kembang juga tangkai hatiku bila dapat bertutur dalam bahasa mat salleh ni.
Mata encik Ikram masih meratah wajahku tidak berkelip. Takkanlah kagum sangat dia denganku sampai macam tu sekali?
“Mr. Ikram.” Aku lambaikan tangan.
You have any more question?” Soalanku membuatkan encik Ikram menundukkan wajahnya. Aku perasan bahunya sedikit bergerak, macam menahan senyum pun ada. Kelakar sangat ke soalanku tu?
“Ehem..” Encik Ikram berdeham. Dia kembali memanggungkan wajah. Merenung aku dengan serius.
Aku menunggu soalan seterusnya dalam penuh debar. Janganlah dia tanyaku fasal syarikat Gemilang Holdings ini. Dahlah pengetahuan aku tentang syarikat ini berada pada tahap zero. Masak aku nak menjawab kalau ditanya fasal latar belakang syarikat ini. Bukan kata latar belakang, senarai ahli lembaga pengarah syarikat ini pun aku tak tahu. Nak menjawab dalam bahasa Inggeris lagi satu hal. Rentung aku!
Pernahlah aku dengar nama syarikat ini sekali. Itu pun melalui cerita kawan sekampungku, si Gayah. Waktu itu aku cuma acuh tak acuh saja mendengar Gayah bercerita. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sebabnya aku tahu Gayah tu kaki propa. Sepuluh yang dia beritahu, satu pun belum tentu lagi betul.
Ada ke patut dia gebang denganku yang dia bekerja di Gemilang Holdings sebagai pengurus pemasaran. Dengan bangga dia canang yang kononnya jawatan dia tu bergaji lebih dari lima ribu ringgit. Kelulusan setakat sijil ada hati nak gaji ribu-ribu.
Miss ‘Ain, why did you apply for this position?” Pertanyaan Encik Ikram memangkas lamunanku. Tapi aku tak berjaya nak menangkap kata-katanya.
Errr…I beg your pardon, sir.” Mujurlah aku masih ingat apa yang pernah diajar Madam Susan. Ayat sopan yang perlu digunakan bila kita mahu pertanyaan itu diulang lagi sekali. Tak sia-sia aku duduk di barisan hadapan kelas.
Why did you apply for this position since you have no qualification in this area?” Encik Ikram mengulang soalannya.
Aku menggaru kening. Macam mana aku nak jawab soalan ini sedangkan skop kerja penyimpan stor pun aku tak tahu.
“Errr..because I want to be Gemilang Holdings workers. I want to take care the store. You know, I’m good in clean. Before this, I work as housekeeper. So, to keep the store clean and organize, I have no problem with that,” balasku separuh yakin.
Okay then.” Encik Ikram tersenyum senget sebelum menganggukkan kepalanya. Dia mencatat sesuatu di atas kertas.
How much are you expecting for the salary?” Encik Ikram menyoal lagi.
One thousand ringgit.” Lancar mulutku meletakkan nilai. Aku tak minta lebih. Cukuplah setakat seribu ringgit. Yang penting lepas aku nak bayar sewa rumah, makan dan hulurkan sedikit pada mak aku di kampung. Aku mencongak dalam diam.
“Cukup ke? I mean is it reasonable for a degree holder to earn only a thousand ringgit as the monthly income?
“Cukup..errr…saya jawab dalam bahasa Melayu jelah ya,” pintaku.
Encik Ikram hanya mengangguk sambil tersenyum nipis.
“Seribu ringgit itu sangat besar nilainya bagi saya. Apatah lagi saya datang ke sini tanpa pengalaman. Dan saya mempunyai kelulusan dalam bidang yang berbeza. Tapi, saya janji. Kalau saya diberi peluang bekerja di sini, saya tidak akan jemu belajar. Saya akan buktikan yang saya mampu menggalas tugas sebagai storekeeper setanding dengan mereka yang berpengalaman,” ucapku dengan penuh semangat. Dah gaya macam nak masuk pencalonan pilihan raya pula.
Well said, Miss ‘Ain. Bagus..bagus,” puji encik Ikram.
“Okey, saya rasa saya tak ada soalan lagi. Terima kasih kerana berminat untuk menjadi sebahagian daripada warga kerja Gemilang Holdings,” beritahu encik Ikram formal sambil menutup fail.
“Saya dapat tak kerja ni?” soalku terdesak ingin tahu.
“Dalam masa beberapa hari lagi, pihak kami akan hubungi Cik ‘Ain untuk maklumkan keputusan temu duga,” balas encik Ikram. Dia bingkas bangkit dan mula melangkah ke pintu bilik.
“Kenapa tak boleh beritahu sekarang?” Aku mengekori langkah encik Ikram. Sebaik kami berdua berada di luar bilik itu, encik Ikram segera memusingkan tubuhnya mengadap aku.
Unofficially, I tak ada masalah nak approve permohonan you ni. But I have to consult with the big boss first.” Dia tersenyum manis. Kali ini senyuman dia bukan setakat manis, tapi berubah sedikit nakal. Tiada lagi gaya profesional dan formal seperti di dalam bilik temu duga tadi.
“Oohh..” Aku mengangguk. Malu pula bila tunjuk gelojoh begitu di depan encik Ikram.
“Tapi, jangan risau. I akan yakinkan big boss untuk ambil you. I’m looking forward to work with a beautiful and young lady like you,” giat encik Ikram sambil mengenyitkan matanya padaku.
Aku melarikan wajah. Semakin membahang pipiku bila dipuji begitu. Cantik ke aku ni? Tanpa sedar aku memegang pipi.
Errr..by the way. Sorry ya sebab kat dalam tadi I tanya you soalan-soalan formal macam tu. You know, I have to follow a normal procedure in the interviews. Lagipun kat dalam tu ada CCTV and everything in there is recorded,” gumam encik Ikram perlahan di telingaku.
“CCTV???”
Aku angkat wajah. Bulat mataku memandang encik Ikram. Semua yang berlaku dekat dalam bilik tadi dirakamkan CCTV? Termasuk aksi somersault aku yang tersembam dari kerusi tadi? Pitam aku kalau macam ni. Saat itu aku hanya mampu berdoa, janganlah ada sesiapa yang menonton tayangan secara langsung dari aku itu!


No comments:

Post a Comment