Sunday 15 June 2014

Bab 8 : KALAU SAYANG KATALAH SAYANG - Fazuin Azman


MASA aku sampai, rumah teres satu tingkat dan terletak di lot tengah-tengah itu masih kosong. Dua lagi rakan yang menyewa sama masih belum pulang. Sebenarnya rumah ini milik keluarga Manja. Keluarga Manja sudah berpindah ke Ipoh, jadi Manja ajak beberapa rakan lain tinggal bersamanya.
Sementara mak ngah masih bekerja di kediaman Tuan Arshad, aku tak naklah tinggalkan mak ngah sorang-sorang. Kesian dia. Kalau boleh nak temankan dia selalu. Nanti kalau mak ngah dah balik kampung, memang susah sikit nak jenguk. Sebab itu sesekali saja balik sini.
Tapi yang sebenarnya aku rasa tak selesa sebab Abang Joey sudah pulang. Entahlah, rasa lain macam aje. Kalau dulu mungkin budak-budak lagi, jadi aku tak hairan sangat tapi sekarang ni cara Abang Joey pandang aku memang lain macam.
“Kau pernah tengok anak Tuan Arshad tu?” soal Manja sebaik sahaja dia duduk bersebelahan denganku. Tak habis-habis lagi rupanya. Dari ofis dibawa pulak ke rumah. Bengang betul. Hari ini semua bercakap tentang perkara yang sama.
“Manalah aku pernah tengok…” bohongku.
“Orang kata segak. Kalah Encik Fuad.”
“Ya…?” Buat-buat terkejut. Sebenarnya memang ya pun. Abang Joey memang segak orangnya. Orangnya tinggi lampai, berkulit agak cerah berbanding Abang Fuad. Tapi kalau nak ikutkan perangai, Abang Fuad lebih baik daripada Abang Joey. Mungkin Abang Fuad hanya fokus kepada kerja sahaja dan jarang ada masa untuk perkara lain. Aku tengok dia dengan Kak Mona pun main hai hai bye bye aje. Tak macam pasangan lain. Kalau aku jadi Kak Mona dah lama aku lari.
“Tak sabarlah nak tengok dia.”
“Hmm…” Belum kenal bolehlah cakap macam-macam. Cuba kenal nanti, tahulah langit tu tinggi ke rendah. Dah lah mulut jenis cakap lepas saja.
“Apsal? Ingat boleh mengorat ke?”
“Mana tau…”
Aku senyum sinis. Nak mengorat Abang Joey konon. Silap hari bulanlah. Bukan Abang Joey jenisnya. Faham sangat perangai Abang Joey.
“Kau cubalah. Mana tahu dapat mengorat anak orang kaya. Senanglah hidup kau.” Aku perli Manja. Lepas tu aku masuk bilik sebab nak mandi. Kejap lagi solat maghrib. Lepas tu masak maggi. Solat isyak dan tidur.
Aku baru nak didihkan air, telefon berbunyi galak. Nombor yang tidak dikenali. Lantaklah. Malas nak jawab. Akhirnya telefon diam sendiri, tapi lepas tu berbunyi lagi. Terpaksalah jawab.
“Siapa ni?” soalku.
“Abang…”
Masa suara orang dalam talian tu jawab abang, aku sudah bayangkan muka siapa. Mustahil sangatlah kalau Zakuan nak bahasakan dirinya abang. Buang tebiatlah tu.
“Apa abang nak?” Aku tanya lagi. Masa tu aku dapat agak, mesti mak ngah beri nombor aku kepada Abang Joey.
“Abang depan rumah sewa Lia. Keluar sekarang.”
Memang aku terkejut. Terus tutup api dapur. Mesti mak ngah juga yang bagi alamat rumah sewa.
“Tak naklah!”Aku bantah.
“Kalau tak keluar dalam masa lima minit, abang jerit kat depan ni. Abang tak kira!”
“Abang gila ke apa ni?”
“Abang tak kira. Abang beri masa lima minit sahaja. Kalau Lia nak tahu tahap gila abang macam mana, Lia buatlah perangai!”
“Abang ni…”
“Dah, jangan nak merengek. Masa berjalan.”
“Yalah, abang tunggu aje. Tak payah nak kira masa. Nanti Lia keluar.” Geram betul aku dengan Abang Joey. Seperti tidak mahu kalah. Kalau A kata dia, mana boleh aku kata E. Kenapalah aku boleh terlibat dengan manusia tanpa perasaan ini.
Aku bawa telefon bimbit ke dalam bilik tidur. Manja sedang tergolek atas katil.
 “Manja, aku nak keluar kejap. Ada kawan aku nak jumpa.”
“Okey…” balas Manja. Sarung tudung dan sarung kardigan. Terus aku keluar dari bilik dan menuju pintu utama.
Apa lagi Abang Joey nak? Nak cari pasal dengan aku pulak ke? Tak puas lagi bertekak sampai di sini pun cari aku.
Abang Joey berdiri tegak tepi kereta dia sambil perhatikan aku. Geram aje dengan dia ni. Kalau boleh belasah, sudah lama aku belasah.
“Masuk dalam kereta. Kita bincang tempat lain.”Aku keluarkan arahan. Karang kalau Manja nampak, kecoh pulak satu tempat kerja. Tak menang nak reka cerita karut pulak nanti. Aku jugak yang susah.
Aku masuk ke dalam kereta terlebih dahulu ketika Abang Joey terhegeh-hegeh nak masuk ke dalam kereta.
“Kenapa cari Lia sampai sini. Tahu kan kawan satu ofis Lia ada dalam tu. Kalau dia nampak abang macam mana?” Dulu-dulu aku marah.
“Bukan kawan Lia kenal abang pun…” balas Abang Joey sambil mula memandu.
“Memang tak kenal. Tapi abang bakal join syarikat bukan? Lepas tu abang yang akan jadi bos kita orang nanti. Kalau dia tahu, maknanya Lia dah beritahu satu syarikat. Macam-macam cerita nanti akan keluar. Yang sakit hati nanti hati siapa?”
“Apa masalahnya kalau dia tahu? Lia malu sebab mak ngah Lia tukang masak kat rumah abang? Lia rasa pekerjaan mak ngah Lia tu hina sehinggakan nak rahsiakan semuanya dari kawan-kawan Lia? Lia malu?”
Geramnya…
“Lia tak rasa malu, okey. Bahkan Lia berbangga sebab dengan pekerjaan mak ngah Lia tu, tapi Lia tak nak orang lain tahu yang kita kenal antara satu sama lain. Lia dah pesan pada Tuan dan Abang Fuad perkara yang sama. Lia tak nak orang tuduh Lia ambil kesempatan!” Sengaja aku kuatkan perkataan kesempatan itu agar Abang Joey faham.
Abang Joey diam. Tak jawab apa-apa. Tak tahulah dia takut dengar suara aku yang sudah kuat atau memang dia benar-benar tiada jawapan sekarang ini.
“Lia harap abang tak join syarikat.” Aku suarakan pendapatku walaupun kedengaran sangat tidak logik.
“Kenapa pulak?”Abang Joey pusing badan dan pandang aku sekilas.
“Bosan tengok muka abang. Sudahlah kat rumah kena tengok muka abang, kat tempat kerja pun nak tengok muka abang. Tension nanti.”
“Selepas ni tak kiralah, Lia tension atau apa, Lia kena hadap muka abang dua puluh empat jam. Siang dan malam tanpa sebarang bantahan, okey!”
“Tolonglah…”
“Tak ada tolong-tolong. Wajib.”
“Apa-apa ajelah. Tapi kalau boleh abang janganlah kerja kat sana.”
Abang Joey kembali diam. Tenang saja memandu.
“Temankan abang makan.” Abang Joey bersuara setelah agak lama tidak bersuara.
“Tak nak! Hantar Lia balik.”
“Abang tahu, Lia pun belum makan lagi bukan.”
“Itu bukan masalahnya…” Aku tarik muka masam.
“Janganlah degil. Kalau ya pun tak nak kawan abang, tak kan tak nak makan dengan abang.”
“Jangan nak jadi budak-budak sangatlah!”
“Budak-budak apa pulak. Ikut aje cakap abang. Habis cerita.”
Disebabkan aku malas nak cakap banyak, aku ikutkan aje. Karang lagi macam-macam. Satu malam pulak dengar dia ceramah.
Abang Joey singgah restoren barat. Dah agak. Selera dia memang belah sana. Mujur anak tekak memang sudah terbiasa dengan masakan seumpama itu. Dan aku memang penggemar steak.
Kami sambung balik perbualan sebaik sahaja duduk.
“Lia tak nak tanya ke kenapa abang larikan diri?” Suara Abang Joey mendatar. Mata tak lepas pandang aku.
“Tak faedah kut nak tahu…”Aku jawab selamba dan air muka Abang Joey berubah. Keterlaluan benarkah jawapanku? Rasanya tidak sebab aku jawab dengan jujur. Serius, memang tak ada faedahnya nak tahu kenapa dia lari.
Terus Abang Joey diam. Itu tandanya dia sedang berjauh hati.
“Sebenarnya abang tak cakap pun Lia tahu kenapa abang larikan diri. Sebab Kak Husna kan?” Mahu sedapkan hati Abang Joey semula. Itulah kami, gaduh-gaduh bagai nak rak, kutuk-kutuk tak ingat dunia, lepas tu baik semula. Tak sampai mana, gaduh balik.
“Kenapa dengan dia?”
“Kak Husna tolak abang.”
Abang Joey senyum senget. “Dia tolak abang?”
Sebenarnya aku tahu jawapan tu salah. Jawapan yang betul ialah Abang Joey tak berkenan dengan sepupu Kak Mona tu. Itu yang betul. Saja cakap macam tu.
“Yalah, itu yang semua orang cakap sebab Kak Husna yang minta putus. Abang malu dan larikan diri. Abang nak Lia tolong abang pikat Kak Husna semula?”
Masa itulah Abang Joey tolak dahiku perlahan. “Kurang ajar!” kata Abang Joey selepas itu.
Lega sikit perasaan bila tengok Abang Joey sudah menunjukkan respon begitu. Mak ngah selalu pesan, walau tak suka, jangan sesekali menunjukkan sikap benci. Takut-takut nanti yang dibenci itulah digilai habis. Itu yang paling aku takutkkan. Buatnya aku tergila-gilakan Abang Joey satu hari nanti macma mana? Minta dijauhkan!
“Bukan sebab dia…”
“Sebelum tu Lia nak jawapan jujur daripada abang.” Masa itulah pelayan hantar pesanan kami. Kata-kataku terhenti seketika untuk memberi laluan kepada pelayan hidangkan pesanan kami.
“Sambung balik,” arah Abang Joey ketika pelayan berlalu pergi.
“Abang gay?” soalku terus.
“Kenapa tanya dengan soalan tu?” Tenang saja Abang Joey menjawab soalanku walau jawapannya masih dalam bentuk soalan.
“Sorry, Lia kepochi sikit hari tu. Lia dengar Kak Husna beritahu Kak Mona pasal tu. Dua hari sebelum dia putuskan pertunangan dia…” Kali ni Abang Joey tak jawab terus. Dia minum air kosong terlebih dahulu namun matanya merenungku.
“Sebab itu Lia cuba elakkan diri daripada abang?”
“Tak ada kena mengena dengan Lia. Terpulanglah kalau abang nak buat apa pun. Setidak-tidaknya kalau abang gay Lia akan selamat. Tentu abang tak berselera dengan Lia.” Aku pandang juga wajah Abang Joey.
“Sebenarnya, sekarang ni ini pun abang sangat berselera dengan Lia!”
“Cis!”
Abang Joey gelak perlahan. Kemudian dia ambil pinggan steak di hadapanku. Ah! Abang Joey masih seperti dulu rupanya. Dia sendiri akan potong steak menjadi kepingan lebih kecil sebelum benarkan aku makan.
Dalam aku hendak bencikan dia, dia buat satu peratus sayangkan dia.
“Abang masih tak jawab soalan Lia. Abang gay?”
Abang Joey senyum pula. Ligat tangannya main peranan. “Kalau abang gay, abang tak akan rindukan Lia!”
Terpempan sekejap. Ap maknanya tu?
“Kalau abang gay, abang tak akan ingat Lia.”Abang Joey angkat muka. Serius wajahnya kali ini.
“Ingatkan Lia siang dan malam,” katanya lagi.  
Tenang Malia, Abang Joey hanya cakap dia rindukan aku dan teringatkan aku siang serta malam. Abang Joey tak beritahu yang dia sayangkan aku.
“Kalau abang bukan gay, kenapa Kak Husna cakap macam tu…”
“Itulah perempuan paling bangang dalam dunia ni. Perempuan macam tu nak jadi isteri abang? Jangan harap. Kalau dia perempuan terakhir dalam dunia ni sekalipun, abang tak akan pilih dia.”
“Lia biasa dengar ayat tu. Tu ayat orang bajet bagus. Orang yang angkuh dan tak nak mengaku perasaan sendiri.” Aku hentam Abang Joey.  Memang aku rasa Kak Husna tu tak berapa cerdik. Samalah dengan sepupu dia, Kak Mona. Tapi kedua-dua mereka memang cantik.
“Tak apa bajet bagus, asal tak terlibat dengan perempuan macam tu.” Abang Joey tetap dengan ego dia.
“Tapi Kak Husna cantik.”
“Malia Amani seribu kali lebih cantik.”
Eh, Malia Amani tu bukan ke aku?
“Merepek abang ni…”
“Tak betul abang tak cakap.”Abang Joey letak semula pinggang steak di hadapanku. Sudah siap untuk dijamah.
“Betullah tu sebab itu Zakuan sukakan Lia.” Aku senyum. Kalau aku tak cantik, tak pasal Zakuan sukakan aku.
“Apa? Abang tak dengar.”
“Tak penting pun… Emm, berbalik soal Kak Husna…”
“Jangan sebut pasal dia boleh tak? Karang tak pasal abang paksa makan pinggan tu sekali!”
“Kak Husna masih tunggu abang.” Aku tetap tak peduli. Masih mahu sakitkan hati Abang Joey.
“Biarlah dia tunggu abang. Abang tak suruh.”
Aku mula jamah steak. Dan telefon bimbit berbunyi. “Eh, baru sekali sebut nama dah muncul.” Tersenyum aku jadinya bila melihat nama Zakuan.
“Tengah makan ni, tak kan nak jawab telefon!”Abang Joey di depan membebel. Nasiblah, bukan aku guna telefon bimbit dia.
“Assalamualaikum…” Aku beri salam. Aku pandang Abang Joey yang kasar potong steak. Marah nampak.
“Waalaikumusalam. Kat mana?”
“Tengah makan ni.”
“Okey, orang  call nanti. Awak makanlah.”
“Okey…”
Suara Zakuan hilang dan aku sambung makan. Mujur dia tak tanya aku makan dengan siapa. Tapi memang jarang pun Zakuan tanya soalan macam tu. Sebab dia tahu aku gadis baik. Paling-paling pun aku berkepit dengan dia saja.
Suasana sepi seketika. Abang Joey masih begitu. Menampakkan rasa kurang senangnya. Ah! Biar dialah. Tiba-tiba buat perangai. Hujan ribut pun ada bagi amaran terlebih dahulu, tapi dia ni sesuka hati nak marah. Tak senang betul.
“Sejak bila rapat dengan Zakuan?” Berlalu beberapa ketika, Abang Joey kembali bersuara. Namun soalannya itu seperti tidak sedap untuk didengar.
“Memang sudah rapat dari dulu lagi. Cumanya, kebelakangan ini lebih rapat.”
            “Rapat macam mana tu?”
            “Ura-ura untuk ke fasa lebih serius.”
            “Maksudnya?”
            “Nikah!” Habis cerita.  
Abang Joey tak tanya apa-apa lagi. Faham mungkin dengan jawapanku. Senang sikit kalau faham. Tapi agak pelik, sebab cara dia makan tidak sentimental lagi. Laju semacam. Cepat saja habis hidangannya sedang aku masih terkial-kial.
“Abang tak nak Lia tinggal di rumah bujang. Abang nak Lia balik semula tinggal dengan mak ngah.”
“Eh, mana boleh. Lagi sebulan saja mak ngah nak kerja. Lepas tu mak ngah nak balik kampung. Tak kan Lia nak tinggal kat situ sorang-sorang.”
“Abang sudah berbincang dengan mama. Kami setuju nak sambung kerja mak ngah. Jadi, tak ada sebab Lia nak pindah.”
“Eh, suka hati Lialah.”
“Boleh tak Lia jangan degil. Kalau abang cakap tinggal kat sini, tinggallah. Jangan nak banyak cakap pulak.”
“Abang tak ada hak tau nak halang Lia. Lagipun tak kan selamanya Lia nak bergantung hidup dengan keluarga abang. Lia kena berdikari sama. Lia tak nak terhutang budi terlalu banyak dengan keluarga abang.” Marah juga dengan arahan Abang Joey.
“Terhutang budi apa pulak. Lia jangan nak cari macam-macam alasan.”  
“Lia bukan nak cari sebarang alasan. Lia cuma cakap perkara yang betul. Sampai bila Lia nak bergantung hidup dengan keluarga abang. Satu masa Lia kena juga keluar dari sini dan mulakan hidup Lia yang baru.” Aku berharap benar agar Abang Joey akan faham tapi melihatkan reaksi wajahnya, aku tahu Abang Joey tak akan faham sampai bila-bila.
“Abang tak faham dan kalau boleh abang tak nak faham pun!”
Kan dah cakap.
“Suka hati abanglah!”
“Tapi abang tetap dengan keputusan abang. Abang tak benarkan Lia pindah. Kalau tidak abang akan dedahkan siapa Lia kepada seluruh kaki tangan syarikat.”
“Abang ugut Lia?” Aku tanya dengan perasaan geram.
“Tak, abang buat lawak.”

Geramnya… 

No comments:

Post a Comment