Sunday 15 June 2014

Bab 9 : TEMU DUGA CINTA - Ridhya Iman


WAJAH encik Ikram serius memandangku. Tajam anak matanya memanah tepat padaku yang sedang tercegat di depannya. Kemudian dia mengalihkan pandangan pada Uzair yang turut berdiri di sebelahku. Sudahlah mamat ini tadi main aci redah je masuk ke dalam bilik encik Ikram.
Kata Uzair, encik Ikram ini bos besar di Jabatan Logistik. Sebab itulah dia bawa aku berjumpa terus dengan encik Ikram. Kononnya dia nak tolong backup aku sebab aku gagal melaporkan diri mengikut waktu yang ditetapkan.
“Kenapa ni, Uzair?” Encik Ikram menyoal dengan dahi yang sedikit berkerut. Pen yang sedang dikepit dua jarinya diletakkan di atas meja. Tubuhnya disandarkan ke belakang kerusi.
Uzair melabuhkan duduk. Selamba mak inang sungguh lelaki ini duduk tanpa disuruh. Siap menyilang kaki lagi tu. Berlagak macam bos besar. Bos besar pun tak berlagak macam dia ni. Tengok encik Ikram tu, relaks dan tenang saja.
Have a seat.” Dengan penuh berhemah, encik Ikram mempersilakan aku duduk. 
Aku mengangguk lalu menarik kerusi bersebelahan Uzair sebelum berhati-hati melabuhkan punggung di situ. Bimbang juga kalau tragedi jatuh tersungkur dalam bilik temu duga tempoh hari berulang lagi.
Kau ingat this girl?” tanya Uzair.
“Takkanlah aku boleh lupa. The one yang aku interview tempoh hari kan?” Encik Ikram merenung wajahku. Lama.
 “Hmmm...” Uzair mengangguk mengiakan pertanyaan encik Ikram.
How could I forget Cik Qurratul ‘Ain? The one and only yang ada mak bekerja sebagai…ermmm…nurse village, right?” giat encik Ikram menyembunyikan senyum.
Wajahku membahang bila mengingatkan susunan ayat-ayat Inggeris yang aku main belasah semasa temu duga beberapa hari yang lepas. Dah rasa macam kena rendam dalam sebaldi cili boh. Pijar dan panas!
“Err…saya nak buat sikit pembetulan fasal kata-kata saya dalam temu duga tempoh hari,” ujarku menelan liur pahit.
Aku cuba menarik bibir untuk mengukirkan senyum biarpun aku rasa senyumanku kala itu memang plastik habis. Urat-urat di pipi dah tegang semacam.
My mother job is traditional midwife, not nurse village.” Aku menyambung bicara untuk membetulkan kesilapan.
Pulang saja ke rumah dari temu duga tempoh hari, aku terus menerkam kamus dwibahasa untuk mencari terjemahan bidan kampung dalam bahasa Inggeris.
Uzair tergelak kuat. Bila menyedari aku menjelingnya tajam, tawanya mengendur diganti dengan senyuman sinis. Memerli akulah tu. Seronok bukan main dia ketawakan aku. Tak apa. Naik lori, naik bas. Lain hari, aku balas.
“Oh…macam mana you tahu yang you tersilap?” Encik Ikram menyoal aku lembut.
Sejuk sikit hatiku yang tengah panas membara dengan sikap Uzair bila aku dengar suara encik Ikram. Relaks je walaupun aku tahu encik Ikram juga sehabis daya cuba mengawal senyum.
“Saya belek kamus Dwibahasa Oxford Fajar,” jawabku.
Really? That’s good. At least you did learn something. Semangat macam inilah yang bagus. Sentiasa belajar untuk memperbaiki kesilapan. I like it,” puji encik Ikram bersungguh-sungguh.
Aku senyum nipis. Sedikit sebanyak terasa juga kembang kempis lubang hidungku ini bila dihargai begitu. Mahunya tak bangga bila yang memuji itu bakal bos sendiri.
Bakal boslah sebab aku masih tak tahu status kerja sebagai penyimpan stor yang ditawarkan padaku. Takut juga kalau dah terbatal secara automatik sebab kelewatan aku hampir tiga jam untuk melaporkan diri.
 “Err…encik Ikram…” Aku berdeham beberapa kali cuba menyusun kata. Sebenarnya aku ingin bertanya pada encik Ikram berkenaan tawaran kerja itu.
“Err…err…” Suaraku bagaikan tersekat. Berat pula mulutku ini.
Aku menjeling Uzair untuk mendapatkan sokongan lelaki itu. Tadi, dia juga yang beria tawarkan diri kononnya nak membela aku di depan encik Ikram. Sekarang boleh pula dia senyap sambil buat muka tak berperasaan.
“’Ain nak cakap sesuatu ke dengan I?” Suara encik Ikram prihatin.
Hampir tersedak aku bila encik Ikram mula memanggil nama panggilanku. Macam dah kenal lama pula.
“Boleh kan I panggil you ‘Ain? Terasa dekat je kalau panggil macam tu,” soal encik Ikram bagaikan dapat membaca kata hatiku. Lenggok suara dia manja semacam. Ke aku yang terlebih perasan?
“Boleh…boleh.” Aku mengangguk laju. Takkan nak jawab tak boleh pula. Permintaan bakal bos mana boleh ingkar.
So, ‘Ain nak cakap fasal apa?”
“Errr…” Aku menggaru kepala. Sekali lagi aku menjeling Uzair yang senyap membisu di tempat duduknya. Manalah tahu kalau dia nak memulakan cerita. Tapi menunggu dia membuka mulut ibarat seperti menunggu bulan jatuh ke riba.
“Err..fasal tawaran kerja untuk saya tu.” Akhirnya aku terpaksa bersuara sendiri.
“Kenapa?”
“Err…saya minta maaf sebab lambat lapor diri, encik Ikram. Sebenarnya saya bukan sengaja lambat. On the way nak datang ke sini tadi, saya kemalangan,” beritahuku sedikit teragak-agak.
“Kemalangan?” soal encik Ikram terperanjat. Dia bingkas bangun dan menerpa ke arahku.
“’Ain tak apa-apa?” Nada suara encik Ikram berbaur risau. Dia duduk bertinggung di depanku membuatkan aku menggerakkan sedikit kerusi ke belakang. Meremang bulu romaku tiba-tiba. Buang tabiat ke apa encik Ikram ni?
“Err..kemalangan kecil je tadi. Saya tak apa-apa,” balasku serba salah. Pelik aku dengan perangai encik Ikram yang tiba-tiba prihatin semacam padaku. Tak ke dia ni macam terlalu berlebih-lebihan menunjukkan ekspresi? Kalau orang putih cakap over reacting.
“Ada luka tak kat mana-mana? Mari sini I tengok.” Matanya tunak mengimbas tubuhku atas bawah.
Canggung aku bila ditenung begitu oleh seorang lelaki ajnabi. Serba tak kena aku rasa.
“Tak apa, encik Ikram. Saya okey. Saya tak ada apa-apa,” elakku dengan berhemah bila encik Ikram ingin memegang tanganku. Dia ni mengambil berat ke mengambil kesempatan?
“Nak abang bawa ke hospital ke?”
Aku tersentak bila encik Ikram mula membahasakan diri dia abang. Lain macam sungguh encik bos ini. Seram sejuk pula aku rasa.
“Ehem…” Uzair berdeham kuat tiba-tiba. Mungkin dia nak beritahu encik Ikram yang dia masih wujud dalam bilik itu. Agaknya telinga dia pun berbulu mendengar ayat-ayat romeo encik Ikram ini.
She’s okey, Ikram. Tak ada calar sikit pun kat tubuh Cik ‘Ain ni.” Uzair bersuara senada.
Are you sure you’re okay, ‘Ain?” Encik Ikram memandang aku inginkan kepastian.
“Betul. Saya okey.” Aku mengangguk mengiakan kata-kata Uzair.
“Syukurlah.” Encik Ikram mengeluh lega. Dia berdiri dan kembali mengambil tempatnya semula.
“Cuma saya nak minta maaf sebab kemalangan itu saya terlewat sampai. Saya harap encik Ikram boleh berikan saya peluang kedua,” tuturku.
Jauh di dasar hati, aku mengharapkan jawatan penyimpan stor itu masih menjadi milikku. Sungguh aku sangat memerlukan kerja itu untuk membayar segala hutang piutangku yang dah keliling pinggang ini.
“Terlewat? Siapa yang lewat?” Encik Ikram menyoal aku dengan dahi yang berkerut.
“Errr..bukan ke saya sepatutnya lapor diri pukul lapan pagi tadi dekat bahagian Sumber Manusia?” Soalan dijawab dengan soalan.
“Lapan pagi? Siapalah yang ada kat pejabat  ni seawal tu. ‘Ain tahu tak waktu kerja di Gemilang Holdings ni bermula jam sembilan pagi.”
Rahangku jatuh mendengar penjelasan encik Ikram. Sempat aku mengerling sekilas ke arah Uzair yang sedang berpeluk tubuh. Muka dia langsung tak menyimpan riak bersalah.
“Tapi Uzair yang…”
“Agaknya Cik ‘Ain ni salah dengar kot. Mesti Cik ‘Ain ni excited sangat sampai tak sabar nak mulakan kerja.” Cepat Uzair mencantas ayatku. Dia pamerkan riak wajah bangga. Bangga dapat kenakan aku.
Aku pasti telingaku ini tak salah dengar kata-kata Uzair tempoh hari. Aku menahan rasa geram yang membuak-buak dalam hati.
Apalah dosa aku pada lelaki bernama Uzair ini. Dia tak tahu pagi tadi kalut aku bersiap macam lipas kudung gara-gara terbabas tidur sebab jam loceng aku kehabisan bateri. Tak sempat tekak ini nak bersarapan hatta menelan seteguk air kosong sekalipun sebab bimbang terlewat sampai sebelum pukul lapan pagi.
“Emm...kalau ikut jadual I ni, our appointment should be at 11.30 am, right after ‘Ain lapor diri di bahagian HR. So, ‘Ain dah ke HR belum?” Pertanyaan encik Ikram hanya mampu aku balas dengan gelengan. Dalam hati menahan rasa geram yang meluap-luap pada Uzair.
“Kalau macam tu I bawak ‘Ain ke HR dulu,” sambung encik Ikram.
“Err..tak apa, encik Ikram. Saya boleh pergi sendiri.” Aku menolak. Takkan bos besar nak mengiring aku semata-mata untuk melaporkan diri.
It’s okay. Kebetulan I pun tengah free sekarang ni.” Encik Ikram mendesak.
Tiba-tiba perbualan kami diganggu dengan deringan interkom. Encik Ikram menekan butang.
Yes, Suraya dear,” sahut encik Ikram mesra. Dia memang seorang lelaki yang bermulut manis.
“Encik Ikram, maaf mengganggu. Dato’ Rashid nak jumpa encik Ikram di biliknya sekarang.” Suara Suraya, setiausaha encik Ikram jelas kedengaran di hujung talian.
“Kenapa?”
“Dato’ nak bincang fasal tender Alpha Beta.”
“Bukan ke sepatutnya tender tu encik..err..never mind. Okay, I’ll be there in a minute. You dapatkan file berkaitan projek Alpha Beta tu. Thanks,” balas encik Ikram memberi arahan sebelum memutuskan talian interkom.
“Uzair, kau tolong bawak ‘Ain ke bahagian HR dan tolong ‘Ain selesaikan urusan dia apa yang patut,” suruh encik Ikram. Dia berpusing ke belakang untuk mencapai beberapa dokumen yang tersusun.
Uzair hanya diam tidak membalas. Mengangguk tidak, mengiakan pun tidak. Wajah itu kelat semacam. Macam tak reda je dengan suruhan encik Ikram.
Sorry, ‘Ain. I ada urgent meeting pula.” Encik Ikram berpaling padaku sebelum dia bingkas berdiri.
Aku dan Uzair turut bangkit.
“Tak apa, encik Ikram.” Senyuman manis aku ukirkan kepadanya.
“Anyway, selamat datang ke Syarikat Gemilang Holdings. I’m sure you’ll enjoy working here.” Encik Ikram mengangkat tangan untuk menghulurkan salam.
Aku serba salah nak menyambut huluran tangan encik Ikram. Dia ni tak tahu ke yang bersalaman dengan perempuan bukan muhrim hukumnya haram.
“Ehem…” Sekali lagi Uzair berdeham. Kali ini dengan nada yang lebih kuat.
“Opps! Sorry. Errr…hope we’ll have a better chance to know each other after this.” Sempat encik Ikram mengenyitkan matanya padaku. Tangannya dijatuhkan.
“Jadi, saya betul-betul diterima bekerja kat sini ke, encik Ikram?” soalku inginkan kepastian.
Yes, definitely. Uzair akan bawa ‘Ain ke bahagian HR untuk report duty. Then, you’ll be officially a Gemilang Holdings staff.
“Alhamdulillah. Terima kasih banyak, encik Ikram,” ucapku teruja. Senyuman di bibirku dah mekar setaman.
“Sama-sama kasih,” balas encik Ikram. Dia mengiringi langkahku dan Uzair sehingga ke muka pintu. Baik sungguh layanan bos aku ini.
By the way, cantik baju ‘Ain. One of my favorite color. Dan makin manis bila ‘Ain yang memakainya,” tegur encik Ikram bermulut manis sambil mengukirkan senyuman manis. Kesimpulannya semua yang manis-manis sajalah tentang lelaki ini.
“Ohh…errr…terima kasih,” balasku malu-malu seraya melangkah keluar dari bilik encik Ikram. Mahunya tak malu bila dipuji begitu. Biarpun dia hanya sekadar puji baju yang kupakai. Kalau dia puji aku yang cantik, harus tiga hari tiga malam aku tidur dalam senyum.
Encik Ikram menggamit Suraya masuk ke dalam bilik pejabatnya. Sempat aku berbalas senyum dengan Suraya bila kami berselisih bahu.
Di hadapan pintu bilik encik Ikram, aku menilik baju kurung yang tersarung di tubuh. Baju kurung yang terpaksa aku beli setelah tak tahan didesak dan dipaksa Uzair. Mana nak tahannya bila dia berkali-kali merungut fasal kot mahal dia yang berada di pinggangku.
Kakak jurujual di situ pun dah tengok aku semacam saja tadi. Salah aku juga pergi ringan mulut buat tawar-menawar dalam butik eksklusif. Harus tak pernah dibuat orang. 
Sudahnya terpaksa aku berhutang lagi dengan lelaki itu beberapa belas ringgit untuk menampung harga baju kurung ini. Timbus hutang lama, hutang baru muncul pula.
“Sudahlah tenung baju baru awak tu. Ingat sikit awak berhutang dengan saya sebelas ringgit lima puluh sen.” Suara sinis Uzair memangkas lamunan pendek aku.
Aku mengetap bibir. Ada perhitungan yang masih belum aku selesaikan dengan lelaki sarkastik ini.
“Kenapa awak tipu saya?” Aku menyoal geram.
“Bila pula saya tipu awak?” Uzair menyoal aku balik.
“Yang awak suruh saya datang lapor diri pukul lapan pagi tu padahal pejabat pukul sembilan pagi baru buka. Awak memang sengaja nak saya tercongok macam orang bodoh depan bangunan kan?” tuduh aku dalam nafas yang turun naik.
“Ooo..biasalah. Junior kenalah datang awal jumpa senior dulu. Sesi suai kenal,” ujar Uzair selamba.
Amboi! Sesuka hati saja dia ni cipta undang-undang sendiri. Kan aku dah cakap. Aku tak silap dengar. Memang dia ni sengaja salah bagi waktu kepadaku.
“Awak ingat ini sekolah ke? Perlu ada minggu suai kenal bagai?” Aku mencebikkan bibir.
“Perlulah. Ini prosedur biasa untuk pekerja baru di Gemilang Holdings. Tugas saya sebagai pegawai khas adalah untuk mengenali awak atas kapasiti pekerja baru. Saya juga perlu menilai sejauh mana kesetiaan dan integriti awak pada syarikat,” beritahu Uzair.
Aku hilang kata-kata. Dia tampak yakin dalam penerangannya tetapi entah kenapa hati ini rasa cukup ragu. Sungguh ke ada prosedur begitu di sesebuah syarikat? Atau sebenarnya dia ada niat nak mengurat aku?
“Awak jangan ingat saya buat semua ini sebab nak mengurat awak pula. Saya profesional dengan kerja saya,” bidas Uzair menambah. Dia macam dapat meneka apa yang ada dalam kotak fikiranku. Malu seposen.
“Kalau ada prosedur macam tu, kenapa encik Ikram macam tak tahu apa-apa pun?” tingkahku untuk menutup malu.
Aku perasan wajah Uzair sedikit berubah. Namun tak lama bila dia kembali bersuara dengan yakin.
“Cik ‘Ain, bidang kerja pegawai khas tak ada kaitan dengan pengurus besar macam encik Ikram. Saya menerima arahan terus daripada Dato’ Rashid, CEO Gemilang Holdings. Sebab itulah kadang-kadang ada perkara yang berlaku dalam syarikat ini di luar pengetahuan pekerja lain,” terang Uzair.
“Jadi, Dato’ Rashidlah yang arahkan awak untuk menyiasat saya?” Aku telan liur. Gerun juga. Rasa macam bertugas di PULAPOL pula. Padahal jawatanku cuma penyimpan stor je kot.
“Bukan menyiasat tapi melakukan penilaian awal. Jangan salah faham tu.” Uzair membetulkan kata-kataku.
“Pendekatan Dato’ dalam mentadbir syarikat adalah berkonsepkan mesra kakitangan. So, Dato’ nak kenal setiap pekerjanya luar dan dalam melalui saya sebagai pegawai khasnya,” sambung Uzair.
“Kenapa Dato’ tak buat sendiri? Awak ni bukan boleh dipercayai sangat.” Aku mengetap bibir. Kata-kataku yang tidak berlapik mengundang jelingan tajam Uzair. Kenapalah mulut ini tak pandai nak tapis ayat dulu sebelum bercakap?
“Err… maksud saya, manalah tahu kalau-kalau awak sampaikan maklumat salah pada Dato’, kesianlah kakitangan tu,” tokokku memperbetulkan kata.
“Dato’ Rashid tu is the busiest person di Gemilang Holdings ni. Bukan mudah nak mentadbir sebuah syarikat yang besar dengan beribu-ribu kakitangan. Jadi tugas saya adalah untuk membantu Dato’ dalam urusan ini,” balas Uzair serius. Dia menundukkan sedikit wajahnya dan mendekatkan mulutnya ke telingaku sebelum menyambung kata.
“Boleh dikatakan saya adalah mata-mata Dato’ di Gemilang Holdings. So, be nice to me and I’ll be nice to you,” bisik Uzair dengan senyuman sinis.
Bulat mataku memandangnya. Adakah dia sedang memberikan amaran padaku secara halus? Chit! Profesional tahi kucing kalau macam tu!
One more thing, bahagian HR di tingkat lima. Arahan encik Ikram di luar skop kerja saya. So, sila cari sendiri tempat tu. Bye!”
Uzair mengangkat tangan tanda pamitan. Dia berjalan meninggalkan aku dengan mulut yang sedikit terlopong. 

No comments:

Post a Comment