Friday 4 July 2014

Bab 4 : AKU BUKAN TOUCH & GO - Qahiera Izma

sumber : Google

AKU rasa macam baru sepuluh minit aje aku tidur. Benda yang paling aku benci bila tengah sedap mengulit bantal ni,bunyi telefon. Kenapalah Alexander Graham Bell cipta telefon? Bukankah bagus kalau dia cipta dapur bergerak atau mesin lipat kain. Bingit betullah bunyi telefon ni! Aku tekup telinga dengan bantal. Tapi  orang yang memanggil tu memang tak reti bahasa. Dah tahu aku tak jawab tu, tak payahlah telefon lagi.
            Aku duduk bersila atas katil. Tenung telefon yang masih berdendang di atas almari solek. Sakit hati aku tengok benda alah tu. Dengan kadar kelajuan 20km/jam, aku baling bantal dan balingan aku tepat kena pada sasaran. Puas hati aku tengok telefon tu dah senyap. Aku tinjau  tepi katil. Kecederaan yang dialami tak berapa  serius. Cuma bateri saja yang terkeluar dari badan. Hmmm, kau duduklah situ diam-diam. Kejap lagi baru aku  betulkan kau balik.
            Aku sambung lena yang terganggu. Kesejukan aircond dan langsir bilik yang tebal membuatkan mata ni payah betul nak celik. Lagipun malam tadi aku tak dapat tidur lena. Asyik fikir pasal Ikmal. Menjelang pagi baru bayang Ikmal lenyap. Oh, indahnya hidup kalau Ikmal ada di sebelah  waktu ini. Menemankan aku tidur di atas katil yang boleh muat dua orang ni. Melakukan aktiviti-aktiviti yang membahagiakan. Ikmal, Rin rindu.
            “Assalamualaikum, Piah!”
            Siapa lagi yang mengacau ni? Aku tarik selimut, tutup habis sampai kepala.
            “Zarin Sofea, buka pintu ni!”
            Walaupun dah berselubung, masih boleh dengar orang di luar tu menggegar pintu pagar. Adoi! Kaum kerabat mana pula yang  datang ni? Aku nak tidurlah! Makin lama makin kuat suara orang tu. Aku  baling semua bantal dan selimut. Habis bersepah satu bilik. Lebar kaki aku  melompat turun dari katil. Sebelum aku buka pintu, aku selak sedikit langsir bilik. Nak tengok siapa mangkuk ayun yang ada di luar tu.
            Ya Allah! Mak dan abah rupanya. Cepat-cepat aku masuk bilik air, basuh muka ala kadar. Punyalah nak cepat, lupa nak sarung selipar semasa buka kunci pagar. Pedih tapak  kaki aku kena lantai yang berbahang. Mak pandang aku dengan muka masam. Panas agaknya berdiri lama sangat di luar. Helmet di kepalanya masih belum ditanggalkan. Hmmm, ini mesti baru balik jogging. Abah cuma berseluar track dan berkasut sukan. Mak menonong masuk. Aku tolong abah menolak motor besarnya ke dalam.
“Matahari dah tegak atas kepala, kau masih membuta lagi?”
            Dah mula dah. Mak ni memang hobinya membebellah aku rasa. Aku sambung baring kat atas sofa beribakan peha abah.
            “Orang ada show malam tadi mak. Balik lambat.”
            Aku bela diri. Dia macam tak faham cara kerja aku. Sebab itulah aku sewa rumah. Kalau ikutkan, jarak rumah kami tak jauh mana pun. Tak sampai pun lima belas minit pun berjalan kaki. Aku lebih selesa duduk berasingan dengan mak. Penat telinga dengar dia membebel.
            “Kau dah tengok ni?”
            Mak baling suratkhabar yang berikat dengan getah. Aku dah boleh agak isi perut suratkhabar tu. Aku pandang mak. Susah nak tafsir muka dia. Cara dia tenung, nampak macam orang marah. Tapi bibir dia macam nak tersenyum pula. Aku letak suratkhabar yang belum berbuka di atas meja kopi.
           “Kalau mak nak marah, marah Nas. Dia yang buat press confrence semalam.”
            “Nas yang buat sidang akhbar?” tanya mak. Tinggi betul nada suara dia.
            “Hmmm, orang tak tahu apa-apa pun. Lepas  show  semalam dia terus buat PC tu,” jawabku acuh tak acuh.
            Mak tiba-tiba senyum. Dia pandang abah sambil angkat kening.
            “Macam itulah yang mak nak. Pandai Nas tu ambil hati mak.”
            Terangkat kepala aku dari ribaan abah. Bulat mata aku tengok mak. Terus tak jadi sambung lelap. Aku duduk bersila atas sofa. Dia suka Nas buat macam tu? Habislah aku macam ni.
            “Mak tak marah?”
            “Buat apa nak marah. Benda baik kan? Nanti ramailah artis-artis yang datang ke majlis kau. Mak nak suruh Nas design baju, khas untuk majlis resepsi nanti. Mak pengantin pun nak glamour juga, kan bang?”
            Lain macam betul aku tengok tingkah mak. Macam dia pula yang nak kahwin. Bersinar-sinar mata mak. Nampak sangat dia yang terlebih excited. Aku dan abah perhatikan saja dia berjalan ke hulu ke hilir depan kami.
“Awak ni Jue. Tak payahlah nak bebankan budak-budak ni,” tegur abah dengan suara  perlahan. Terhenti langkah mak bila dengar abah cakap macam tu. Dia pandang abah sambil bercekak pinggang. Wajah yang ceria tadi bertukar berang.
“Bila masa pulak saya membebankan diaorang? Tak betul ke saya cakap? Alang-alang  dia  nak jahit baju untuk Piah, tak ada salahnya pun kalau dia buat baju saya sekali. Bakal mak mertua dia juga, kan?”
“Hmm, susah nak bercakap dengan awak ni. Nas tu...”
“Kalau susah nak bercakap, diam ajelah. Biar saya yang uruskan dengan budak Nas tu nanti.” Mak lebih pantas memangkah kata-kata abah. Walaupun rasa kurang senang tengok mak buat abah macam tu, aku zip mulut saja.Tak guna melawan kalau mak dah tinggi suara. Lain pula jadinya nanti. Abah tepuk peha aku. Aku pandang dia yang mencebik mak. Tersungging sikit senyum di bibir tengok gelagat abah.
“Ada pergi mana-mana hari ni? Kalau free, jom ikut abah pergi memancing. Dah lama tak pergi memancing dengan Sofea.”
            “Eh, abang ni. Jangan mengada-ngada nak bawa budak tu pergi memancing. Hitamlah kulit dia nanti. Piah tu nak jadi pengantin tak lama lagi.”
            Belum sempat aku buka mulut, mak dah sembur abah. Terkulat-kulat abah pandang aku. Tak boleh jadi ni.Takkan kahwin punya pasal aku kena kuarantin.
            “Alahai mak, lambat lagi masanya. Kalau kena sun burn pun tak adalah sampai sebulan. Pergi memancing aje, bukan mandi laut.”
Kalau bab memancing, aku tak boleh diam.Tolonglah jangan dihalang hobi aku yang satu ni.Memancing aje yang boleh buat beban yang ada dalam kepala aku ni lenyap sekejap. Bahu abah aku picit lembut.Kesian pula aku tengok dia. Selalu jadi mangsa tengkingan mak.
“Hari ni orang tak free abah. Besok bolehlah. Kita pergi esok ya. Orang jemput abah nanti.”
“Cantekkk! Sofea nak jemput pukul berapa? Nanti abah suruh mak buat bekal.”
            Abah senyum bila aku menyebelahi dia. Dia bagi isyarat mata. Suruh aku bersedia nak dengar peluru berpandu mak.
            “Kau datanglah jemput abah kalau kau berani. Mak pancitkan tayar kereta kau nanti. Cubalah dengar sikit cakap mak ni.”
            “Alah, macamlah kereta saya tak ada.” Abah menyampuk. Yes! Dah ada penyokong  kuat. Memang sayang abah lebihlah.
            “Abang pun jangan cuba nak cari pasal dengan Jue. Jue patah-patahkan batang pancing abang nanti.”
            Nak tergelak aku dengar ugutan mak. Abah menjuih bibir. Dia bangun dan capai kunci motor. Mesti dia nak melarikan diri.
            “Jom balik. Saya nak keluar jumpa kawan ni. Atau awak nak balik jalan kaki?”
            Aku salam tangan abah. Mak hulur tangan, tapi mata dia menjeling abah.
            “Belum panas punggung lagi dah ajak balik. Nak keluar jumpa siapa?”
            “Jumpa bini nombor dua.”
            Kali ni aku betul-betul gelak. Mak cari perut boroi abah sebagai sasaran. Aku masih dengar dia membebel walaupun dia dah membonceng di belakang abah. Abah kenyit mata pada aku sebelum dia pulas minyak. Makin kuat suara mak membebel. Gelak aku makin menjadi-jadi. Hairan aku.  Kebal betul telinga abah dengar bebelan mak setiap hari. Dah dua puluh lapan tahun, belum pernah sekali pun aku tengok abah marah mak. Agaknya dia dengar bebelan mak tu seperti kicauan burung di waktu pagi gamaknya.
            Mak datang semata-mata nak tunjuk suratkhabar pada aku? Itu saja? Adoi! Aku ingatkan apahal sangatlah tadi. Macam nak roboh pintu pagar rumah aku digegar. Alih-alih cuma cakap yang dia suka Nas umumkan majlis perkahwinan kami? Alahai mak. Sekarang ni mak suka tengok gambar anak mak ni masuk suratkhabar. Cananglah satu kampung.Tunggu nanti bila berita perceraian kitaorang pula jadi berita utama di dada akhbar. Silap-silap hari bulan, muka Zarin Sofea ni pun mak tak nak tengok nanti.
 Aku masuk ke dalam rumah dan kunci pintu. Tolonglah jangan ada lagi gangguan selepas ini. Semasa nak masuk ke bilik, aku terpandang gambar Ikmal yang tergantung di dinding ruang makan. Berderau darah. Mujur mak tak perasan tadi. Aku turunkan gambar tu dan bawa masuk ke bilik. Gambar berbingkai tu aku simpan dalam laci. Aku pandang sekeliling bilik. Gambar aku dan dia hampir penuh di dinding bilik. Aku turunkan satu persatu. Walaupun sedih, aku tak ada pilihan lain. Terpaksa simpan gambar Ikmal untuk sementara waktu.
            Proses menyimpan gambar-gambar Ikmal baru aje selesai, aku dengar bunyi hon kereta pula di luar rumah. Aku dah tau siapa yang datang. Pembantu peribadi aku yang banyak mulut tu dah sampai. Bukan main ranggi lagi Lily hari ini. Mengalahkan model pula dia. Dengan cermin mata gelap atas kepala, biji mata yang dah bertukar warna biru dan kuku bercat merah. Kadang-kadang aku sendiri keliru, aku atau dia yang jadi model? Tapi kenapa muka dia macam ayam tertelan bulu ni?
Handphone  kau mana? Apsal aku call tak dapat?”
            Adoi! Lagi seorang klon mak aku. Apa-apa hal buka pintu pagar dulu. Lily pandang aku dari atas ke bawah.
“Kau ni dah mandi ke belum?” tanya Lily.
“Belum.”
“Eee, dah nak jadi bini orang pun malas mandi. Apalah kau ni.”
Aku kunci semula pintu pagar yang sudah ku buka. Terkejut Lily bila aku buat macam tu.
“Kalau kau rasa nak kerja lama dengan aku, mulut tu jangan macam longkang eh. Datang rumah orang pagi-pagi nak mencerabih pulak!”
Lily menyeringai suka sambil menggaru kepala. “Alah kau ni. Aku cakap macam tu pun nak sentap. Bukalah pintu ni. Panas tau tak?”
Aku campak aje kunci rumah pada Lily. Menyampah betul bila dia buat muka macam tu. Nak bergurau pun agak-agaklah. Aku masuk ke dalam rumah dan biarkan Lily terkial-kial membuka kunci pagar. Padan muka dia!
“Kau ni memang tak menghormati tetamulah!”
Lily bentak aku. Dia campak kunci rumah ke meja kopi.Kemudian dia terus ke dapur. Huh! Itu ajelah yang dia tahu. Asal datang  rumah aku mesti buka peti sejuk. Menghabiskan stok makanan dan air kotak yang aku simpan. Tapi aku tak kisah pun sebenarnya. Sementelah  lagi dia juga yang kena kerah tenaga beli semula stok barang-barang tu nanti. Rumah ni pun dah jadi rumah kedua dia. Kalau kena hari aku lewat habis show, aku suruh dia bermalam saja di sini.
            “Rin!”
            “Apa?”
            “Jadual kau hari ni semua postponed  besok.”
            Horey! Sukanya aku. Bolehlah aku pergi memancing dengan abah petang ni. Aku cari Lily di dapur.Tengah potong buah rupanya. Aku tunggu sekejap kat situ dan masuk balik ke ruang tamu bersama Lily.

            “Peti ais kau dah kosong Rin,” kata Lily. Tembikai susu yang dipotong kiub masuk sepotong ke dalam mulut minah kenit tu.
            “Hmm, habis tu tak reti-reti ke nak penuhkan balik? Siapa yang rajin habiskan stok-stok makanan dalam rumah aku ni? Kau kan? Nanti kau ganti balik buah yang kau makan tu ya. Beli sekali air tin, top up balik stok-stok yang dah habis dalam peti tu.”
            Lily tersengih. Aku tahu kalau bab ini memang dia takkan menjawab. Aku bukan jenis yang berkira. Tapi perlu ada sifat timbangrasa juga, kan? Walaupun kami ni suka perang mulut, aku suka berkawan dengan dia ni. Dia rajin, cuma mulut dia yang aku tak boleh tahan. Kalau duduk serumah dengan mak aku memang sesuai sangat.
            “Eh, pergi siap. Ikut aku ke butik.”
            “Nak buat apa? Tadi kata semua postponed.”
            Lambatnya nak tunggu dia mengunyah. Aku dah geram ni.Tadi cakap lain, sekarang cakap lain pula.
            “Memanglah tunda besok. Nas nak jumpa kau. Dari pagi tadi dia cuba call kau tapi tak dapat. Dia nak ajak kau jumpa wedding planner.”
            Oh, jadi Nas yang mengacau aku pagi tadi. Padan muka dia. Eh, telefon aku. Kelam-kabut aku masuk bilik. Badan telefon yang dah terpisah dari bateri aku kutip di lantai. Fuh, nasib baik masih berfungsi lagi. Aku jenguk semula Lily di ruang tamu.
            “Kau tunggu kejap. Aku nak mandi. Kalau tak pun kau pergi dulu, nanti jumpa kat sana.”
            “Nas suruh aku bawa kau pergi sana. Dia tak bagi kau drive. Takut jadi apa-apa pada bakal bini dia.”
            “Lily, kau pernah rasa tak tertelan buku lima. Karang dah elok-elok pipi kau tu kaler merah, ada yang bertukar jadi kaler purple pulak nanti. Kau jangan cari pasal dengan aku boleh tak?”
            “Yalah Puan Zarin Sofea, aku minta maaf.”
            Bukan main seronok lagi Lily gelakkan aku. Lantak dialah. Kau tunggulah situ sampai aku siap.


No comments:

Post a Comment