Saturday 5 July 2014

BAB 7 : AKU BUKAN TOUCH & GO - QAHIERA IZMA



PENAT betul buat sesi penggambaran di bawah terik matahari. Pihak majalah ni pun macam dah tak ada tempat lain nak buat shooting. Kalau tak buat di tepi kolam tak laris agaknya majalah mereka. Cubalah cari lokasi lain yang lebih fresh.
Kalau aku yang bagi idea, nanti  cop aku demand pula. Tapi memang betul, kan? Seperti dah  jadi  satu  kemestian pula. Kalau  model  wanita,  lokasinya pasti  di tepi kolam  renang. Baju yang  diperagakan pula, macam  baju  tak cukup  kain. Bagi  model lelaki, gaya tak berbaju pasti  menjadi  pilihan utama. Dada yang  tak  berapa  nak  bidang  tu  jadi  tayangan.
“Lily, lepas ni  kita terus balik rumah, ya. Aku penatlah.”
Lily  mengangguk  akur. Dia cuma  berpeluk tubuh  sambil memerhatikan aku menyudahkan sesi  fotografi yang  masih  berbaki lagi  setengah jam. Kalau tak  ada show  di butik  Nas, inilah kerja aku.  Memenuhi undangan  sesi penggambaran produk-produk pakaian atau  barang-barang kecantikan. Sementara saham tengah  melonjak  naik ni, terima sajalah  segala tawaran yang  datang, kan?
Okay,  done!” jerit Mardzi, jurukamera majalah hiburan. Hasil kerjanya memang  tip top. Aku  selesa dengan  cara dia bekerja. Tak banyak  songeh.
Lega betul rasa bila  sesi penggambaran selesai. Lepas ni  sesi temubual pula. Aduh,  bahagian inilah yang  paling  malas aku  nak layan. Kebelakangan ini memang  tak ada topik  lain yang  diaorang akan tanya aku. Apalagi, kalau bukan  perihal  majlis perkahwinan aku dan Nas. Penat juga nak menjawab soalan-soalan wartawan ni. Tapi nak buat macam mana? Aku yang pilih jalan untuk jadi public figure, jadi kena telanlah semua ini.
“Rin, I  nak tanya You sikit boleh tak? Tapi ini off record.”
Aku senyumlah juga walaupun  aku boleh menolak kalau aku mahu. Tapi sebab tak mahu dicop sombong, aku angguk juga tanda setuju.
            “Betul ke You kahwin dengan Nas atas dasar suka sama suka? Bukan sebab kena paksa atau…”
            “Atau apa?”
            Aku bertanya pada wartawan perempuan yang berbibir tebal itu. Cermin mata gelap yang elok terletak  di hidung, aku tarik dan  sangkut di kepala. Masih  menunggu  wartawan itu  menghabiskan kata-kata.
            “Atau You dah mengandung?”
            Tergelak aku mendengar soalan itu. Lily hanya senyum kelat. Dia menjeling, tanda kurang senang dengan soalan itu.
            “Rin, kau boleh diam aje. Tak payah layan soalan bodoh macam ni. Ni semua sengaja nak timbulkan kontroversi, kan? Kau dah tak ada modal lain ke?” Lily menjerkah.
Aku tahu  dia panas telinga bila aku  diajukan  soalan  sebegitu. Berkerut  kening, memberi isyarat  tubuh pada  Lily  supaya  mengawal  emosi. Wartawan tu pula,  masih menunggu  jawapan yang bakal keluar dari  mulut  aku. Muka dia  tenang  saja. Macam  orang  tak ada perasaan.
            “Untuk makluman You, tak ada sesiapa yang paksa I  kahwin dengan Nasrin. I tak mengandung. I masih suci dan tetap memelihara kesucian I untuk suami I yang halal nanti.” Aku jawab  setenang mungkin.  Perasaan bengang  cuba ku kawal  sebab nampaknya wartawan tu masih  tak puas lagi  menyoal aku.
            “Kenapa tak bertunang dulu? Angin tak bertiup,  ribut tak  menderu tahu-tahu  nak kahwin. Macam ada yang tak kena aje?”
            Aku garu kening. Mujurlah wartawan. Kalaulah dia ni  adik aku  memang  dah lama mulut  dia kena lumur dengan cili burung.
            “You  ni, kan dah  jadi   trend  sekarang. Lecehlah  nak  bertunang dulu. Lagipun  kami  berdua  ni  sibuk.  Mujur juga sempat umumkan  pada  semua. Kalau tidak  kami  buat majlis tertutup aje. Tapi rasanya kalau  kami  buat  macam tu,  lebih banyaklah  spekulasi yang timbul, kan? Kami buat pengumuman  pun dah macam-macam wartawan tulis.” 
            Aku nampak senyum sinis tersungging di bibir wartawan muda itu. Lantak dialah nak fikir apa. Baik aku angkat punggung dulu sebelum dia tanya soalan yang bukan-bukan. Off  record konon! Bukan boleh percaya diaorang ni. Tahu-tahu saja besok dah terpampang di muka depan majalah.
            Wartawan  tu  cuba mengekori ketika aku  bergegas ke kereta. Inilah yang  aku  tak suka. Diaorang  ni  tak puas-puas nak  mengorek rahsia kehidupan  peribadi aku. Rimasnya!
            “Maaf, sesi hari  ni  dah tamat. Kalau nak buat temubual lagi, awak  call  saya nanti. Mohon kerjasama, ya. Kami  perlu  ke tempat  lain pula.” Lily bersuara dengan nada tegas.  Dia juga turut masuk ke dalam kereta dengan  segera. Tak boleh berlama-lamaan lagi  di situ.
            “Bagus! Macam tu lah PA aku. Otak penipu!” Aku tepuk tangan  sambil tunjuk  ‘thumbs up’ pada Lily.
            Dia ketawa mengekek. Mana ada agenda lain sebenarnya. Sengaja  dia cipta alasan tu. Lokasi seterusnya, pulang  ke rumah. Itulah  destinasi yang  paling  indah bagi aku.  Kebetulan pula aku dan Lily  bukan kaki  merayap. Lebih baik lepak di rumah. Kepala pun tak berserabut.
            “Lily, kau berhenti beli air tebu kat tepi jalan tu. Panas betul hari ni.”
            Lily memperlahan kereta. Sepanjang minggu ini Lily menggunakan kereta aku. Kereta dia masih  tersadai di bengkel. Telefon bimbit Lily yang tergantung  di  cermin pandang belakang berbunyi. Nas telefon. Apa pula yang dia nak petang-petang ni? Bukannya dia tak tahu aku ada photoshoot hari ni. Malas aku nak menjawab. Aku biarkan saja telefon tu menjerit. Biarlah tuan punya telefon tu sendiri yang angkat. Tak lama kemudian Lily masuk ke dalam kereta bersama dua bungkus air tebu.
            “Nas call.” Aku  maklumkan pada Lily.   
            “Kenapa kau tak jawab?”
            “Malas.”
            Lily mencebik bila mendengar jawapan aku. Aku cuma pandang muka Lily bila dia mula menjawab panggilan dari Nas.
            “Kau SMS alamat tu. Nanti aku hantar dia kat sana.”
            Itu saja yang aku dengar dari mulut Lily. Dia letak telefon di arm rest kemudian meneruskan pemanduan.
            “Nak ke mana ni?” Aku tanya Lily.
            “Abang sayang kau tu tengah tunggu kat kedai emas.”
            Aku tersandar mendengar jawapan Lily. Nas makin sibuk menguruskan majlis perkahwinan  kami. Semalam dia bawa aku pergi tasting  session dengan pihak katering yang akan menyediakan hidangan pada hari bersejarah itu. Bersejarahlah sangat! Mak tuan, dia punya cerewet! Memang boleh sangatlah dia serumah dengan mak aku. Ada saja yang tak kena. Mujurlah Kak Engku, empunya katering itu penyabar orangnya. Kalau aku yang jadi Kak Engku tu, dah lama aku serkup kepala Nas dengan  mangkuk. Sampaikan  nak memilih warna alas meja pun makan masa satu jam.
            “Oi, keruhnya muka. Tertelan biji kundang ke?” Lily menepuk peha. Aku mengeluh perlahan.
            “Aku  bencilah dikawal  macam ni  Lily...”
            “Jangan mengeluh. Kau sendiri yang pilih jalan ni. Jadi kau kenalah terima. Nas tu dah memudahkan kerja kau. Kau patut berterima kasih pada dia,” sambung Lily.
            “Amboi, sejak bila pula bersekutu dengan Nas ni? Dia ada bagi elaun tambahan ke kat kau?”
            Giliran aku pula menepuk peha Lily. Minah kenit itu ketawa mengekek. Dia kembali menumpukan perhatian  ke jalanraya. Sejak peristiwa lepas, Lily amat berhati-hati. Lebih-lebih lagi dia menggunakan kereta aku. Kalau dia sodok buntut kereta orang lagi, memang aku potong terus gaji dia.
            Nas dah tercongok di depan kedai emas semasa Lily parking  kereta. Bukan main lebar lagi senyum dia bila nampak aku. Siap bukakan pintu lagi.
            “Lily, kau balik dulu. Nanti aku hantar Rin balik.”
            Nas menutup pintu kereta sebaik saja aku keluar. Terus ditariknya tangan aku masuk ke dalam kedai. Aku pandang Lily yang berada di dalam kereta dengan rasa serba salah. Kasihan pula aku tengok budak tu. Aku bagi isyarat tangan supaya dia beredar. Aku pasti Lily tahu ke mana dia nak tuju. Bila aku bersama Nas, maka berakhirlah waktu bekerja Lily pada hari itu.
            “Rin, cuba kau tengok cincin ni. Sesuai tak untuk majlis nikah nanti?”
            Nas cuba tarik perhatian aku. Aku pandang sekilas sebuah kotak cincin yang ada di atas meja pameran. Senyum manis aku pamerkan pada tauke kedai. Walaupun tak suka, tapi aku tetap kena jaga juga air muka Nas. Aku paut lengan dia. Kepala aku lentokkan ke bahu Nas. Manjalah konon!
            “Nas, kau pilihlah yang  mana-mana pun. Aku tahu   taste  kau tinggi. Pasti aku  akan  puas hati  dengan pilihan kau.”
            Tauke kedai senyum lebar dengar aku cakap macam tu. Senyumlah dia sebab kejap lagi dia akan dapat wang besar!
            “Wah! You punya amoi banyak sayang sama You. Kalau itu macam You angkat satu setlah. Untuk lelaki pun ada juga. Tapi kena tempah. Satu minggu baru siap.”
            Bukan main lagi tauke kedai tu meracun Nas. Aku pandang Nas yang nampak teruja. Tanpa berbincang, dia terus setuju dengan cadangan tauke kedai. Sewaktu wanita Cina itu masuk ke pejabatnya, aku lepaskan pautan di tangan Nas. Aku bangun dan pergi tengok-tengok barang kemas lain yang terpamer di rak kaca berkunci itu.
            “Rin, mari sini kejap.”
            Aku pandang Nas. Apa lagilah dia ni? Aku angkat kening. Malas nak pergi dekat dia.
            “Marilah kejap. Aku nak kau cuba ni.”
            Nas melenggang menghampiri  dan menarik tangan aku ke rak yang  mempamerkan deretan rantai leher. Aku menghenyak punggung di situ. Tiba-tiba aku rasa leher aku sejuk. Tapi belakang badan aku panas. Dengusan halus nafas Nas kedengaran sangat jelas di lubang telinga. Bila masa dia  mengalungkan rantai ke leher aku, aku sendiri pun tak perasan. Tapi bukan itu yang menghairankan aku. Ada sesuatu yang membuatkan aku rasa lain macam. Kenapa jantung aku tiba-tiba berdetak kencang?
            “Aku nak hadiahkan rantai ini untuk upacara batalkan air sembahyang nanti. Kau suka tak?”
            Aku menoleh ke kanan, nak tengok muka Nas. Tapi dalam masa yang sama Nas juga sedang memandang aku. Nyaris-nyaris tak bercantum bibir masing-masing. Cepat-cepat aku larikan muka. Aku pegang loket comel yang tergantung di tengah-tengah rantai. Aku boleh rasa alunan jantung aku semakin rancak.  Apahal pula ni?
            Cepat-cepat aku tanggalkan rantai itu dan serahkan pada Nas. Aku cuma pandang dia melalui pantulan cermin kedai.
            “Aku ikut aje pilihan kau Nas. Kau lebih tahu.”
            Hish, ni apahal pula tiba-tiba suara aku jadi lembut ni? Sepatutnya aku marah pada Nas, tapi ini dah terbalik!
            “Kau tak nak pilih apa-apa untuk aku ke Rin?”
            “Hah?”
            Nada terperanjat tu dua dalam satu sebenarnya. Satu sebab terperanjat Nas pegang bahu aku. Yang kedua sebab Nas ni tak tahu ke hukum lelaki memakai emas adalah haram? Aku pegang kedua-dua tangan Nas dan menoleh pada dia.
            “Encik Nasrin, awak ni tahu ke tidak? Haram bagi seorang lelaki  memakai barang perhiasan yang disadur emas?”
            Nas tersenyum dan melepaskan pegangan di bahu aku. Dia menarik kerusi. Kini kami sudah berdepan antara satu sama lain.
            “Cik Zarin Sofea, walaupun awak tengok saya ni macam agar-agar tapi saya masih tahu dan ingat hukum agama okey. Memanglah haram kalau lelaki pakai barang kemas. Tapi, kalau  silver boleh, kan?”
            “Aku tak pandai nak pilih barang untuk lelaki. Kau pilih ajelah mana yang berkenan, aku ikut aje. Janji majlis tu berjalan lancar.”
            Aku tak suka cara Nas pandang aku. Dia buat aku gelisah. Bukan  setakat gelisah, jantung  aku  ni pun  dah  rasa  pelik sangat. Aku ni dah nak mati ke?
            “Rin, majlis ni adalah majlis kita. Kalau ikutkan, aku ni hanya pak turut aje. Jadi boleh tak kau hargai aku sikit? Aku dah banyak  tolong kau, tau. Cuba jaga sikit perasaan aku ni. Kau ni tak sensitif langsung!”
            Dah merajuk pula! Nas bangun dan membayar deposit untuk harga cincin yang dia tempah sebentar tadi. Aku ikut aje buntut dia pergi ke  arah kereta. Hari semakin gelap. Nas masih diam sejak sepuluh minit tadi. Panjang pula rajuknya kali ni. Muncung dia kalau diikat reben memang sesuai sangat.
            “Orang tua kalau merajuk, buruk betul rupanya tau.”
            Nas mencebik. Dia langsung tak nak pandang aku. Apa lagi akal aku ni?
            “Wahai kekandaku Nasrin, adinda mohon maaf  kerana telah menyinggung perasaan kekanda. Adinda berjanji, perkara begini tidak akan berulang lagi wahai kekanda. Ampuuunnn kanda!”
            Tersungging sedikit senyuman di bibir Nas. Berjaya juga akhirnya. Aku cucuk pinggang Nas. Dia ketawa kegelian.
            “Janganlah Rin. Aku tak nak mati sebelum kahwin dengan kau.”
            Aku tersentak dengan tegahan Nas. Sekali lagi jantung aku memainkan irama luar biasa.
            “Apalah kau  ni. Tak habis-habis merepek. Eh, kita singgah  kedai  dulu boleh tak? Aku laparlah.”
            Cepat-cepat aku alihkan perhatian ke topik lain. Bukan  boleh dilayan sangat kepala dia ni. Tak pasal-pasal  nanti  dia buat  lencongan  ke arah lain pula.
            “Aku tak nak makan kat kedai,” kata Nas.
            “Habis tu kau nak makan kat  mana?”
            Nas tak menjawab pun soalan aku. Dia  berhenti di gerai menjual sate. Takkanlah dia nak makan di rumah aku? Eee.. aku belum bersedia nak duduk serumah dengan dia lagi. Cepat-cepat aku capai telefon. Aku mesti pastikan minah kenit tu ada di rumah. Lantaklah kalau Nas nak marah pun. Asalkan aku tak duduk berdua dengan dia saja dalam rumah nanti.
            “Lily! Kau  kat  mana ni?” Aku sergah dia dengan nada separuh berbisik. Mata mengawasi Nas yang  sedang  menunggu sate di gerai.
            “Aku kat  rumah  kau  ni. Baru  balik  dari kedai. Weh Rin, malam  ni aku tidur kat  rumah kau eh? Malaslah nak balik  rumah. Penat.”
            Leganya  bila Lily  cakap macam tu. Senyum lebar dah  memeta di bibir. Bagus, tak payah susah-susah  nak  memujuk minah  kenit tu lagi.  Senang  kerja aku.
            “Aku  dah nak sampai  rumah ni. Kalau kau  mengantuk  kau tidurlah  dulu. Jangan lupa buka lampu depan.”
            Selesai  menyampaikan pesan pada Lily, aku  terus matikan  talian. Nas pun  sudah masuk kembali. Semerbak bau sate dalam kereta. Hilang terus bau wangian dalam kereta Nas. Tapi aku tengok Nas tak beri isyarat masuk ke simpang rumah aku. Hmm, ini mesti nak ke rumah mak. Aku dah berpeluk tubuh.
            “Kenapa nak pergi rumah mak aku pula? Tadi kata nak makan.”
            “Adindaku Zarin Sofea, memanglah kekanda cakap kekanda nak makan. Tapi bukan di rumah adinda. Kita belum sah ditabalkan sebagai suami isteri lagi. Kekanda tak mahu kahwin di mahkamah, kekanda mahu kahwin di masjid atau di rumah adinda, mengerti?”
            Tak kelakar langsung lawak  Nas. Menyampah aku dengar suara dia. Kalau dia dah sampai rumah mak, alamatnya lamalah nanti aku tersadai kat situ.
            “Kau ni suka buat aku badmood tau Nas.”
            “Eh pompuan, aku bukan suka suki nak merayap ke rumah  mak  kaulah! Aku nak fitting baju. Nanti kalau tak muat, siapa yang kena? Aku juga!”
            Suara Nas dah sama tinggi dengan suara aku. Dari jauh aku dah nampak mak dan abah sedang bersantai di bawah gazebo. Nas lebih cepat keluar dari aku. Dia bukakan pintu untuk aku. Eleh, nak tunjuklah yang dia tu romantik. Pigi dah!
            “Dah sampai bakal menantu mak? Ingatkan tak jadi datang tadi.”
            Nas tersengih lebar. Langkahnya lebih laju dari aku untuk bersalam dengan mak. Melenggang-lenggang punggung dia aku tengok dari belakang. Aku cukup tak suka tengok dia pakai seluar cawat pendek. Kalau dia duduk, boleh nampak jenama seluar dalam yang dia pakai. Mujur juga dia pakai cardigan labuh. Kalau tidak, sekarang  juga aku suruh dia balik tukar baju.
            Nas hulur tangan pada abah, aku pula hulur bungkusan plastik sate pada mak. Tapi mak tak sambut pun pemberian aku. Aku pandang mak dengan wajah hairan.
            “Awak kan dah nak jadi isteri orang. Pergilah hidangkan, boleh kita makan sama-sama.”
            Aku menjeling Nas yang menutup mulut menahan tawa. Oh, kau ketawa ya? Nanti kau! Aku pergi dapur dan siapkan hidangan. Cawan-cawan Vintage kepunyaan mak aku susun cantik di dalam dulang dari jenis yang sama. Aku bancuh minuman  menggunakan Nescafe 3 in 1saja. Mudah dan cepat. Tapi untuk bakal suami aku, ada bahan tambahan yang aku campur dalam minumannya. Aku senyum senget.
            Mula-mula aku hidangkan sate. Aku tengok Nas sedang rancak berbual dengan mak. Abah pula leka dengan ikan-ikan belaannya. Aku masuk  ke dapur semula, nak ambil minuman yang aku bancuh tadi. Mak dan Nas sudah menyertai abah di gazebo.
            “Cepatnya kau buat air Piah. Mak tak dengar pun bunyi cerek.”
            “Orang guna air dalam termos aje mak. Malas nak tunggu.”
            Aku capai di dalam pinggan secucuk sate dan mula mengunyah.
            “Hish! Tak senonoh betul anak dara ni tau. Cuba hidangkan untuk Nas dulu. Belajar-belajar sikit hormat pada suami.”
            Nasib baik aku tak tercekik. Punyalah kuat mak tepuk belakang aku. Abah buat tak tahu saja. Nas menjongket  kening. Aku letak beberapa cucuk sate di dalam pinggan kecil dan  aku hulurkan pada Nas.
            “Jemput makan kekanda.”
            Abah ketawa mendengar aku meliuk lentokkan suara. Dia menyuakan cawan ke bibir.
            “Sedapnya Sofea buat air. Dah boleh jadi isteri orang ni.”
            Aku senyum mendengar pujian abah. Mak pula menyuakan mulutnya di hujung cawan. Lain pula reaksi mak. Keningnya berkerut seribu.
            “Sedap abang kata? Gula kau tertinggal kat Perlis ke Piah?” soal mak.
            “Eloklah kurangkan gula. Nanti kena kencing manis.”
            Selamba saja aku menjawab. Sebenarnya dah tak sabar nak tengok reaksi Nas pula.
            “Cepatlah minum Nas. Boleh kita balik. Besok nak pergi Kursus Pra Perkahwinan, kan? Aku nak tidur awal malam ni.”
            Sengaja aku menggesa Nas sebab aku tahu urusan dia dan mak sudah selesai.
            “Bagilah Nas tu selesai makan dulu. Tak senonoh betul budak ni lah.”
            Aku dah tak pedulikan bebelan mak. Teruja betul bila tengok Nas dah angkat cawan lalu disuakan ke mulut. Amboi, bukan main sopan bakal menantu mak minum air. Ha, telan!  Telanlah sekarang. Aku tengok Nas macam nak menangis. Berkerut-kerut mukanya menelan air yang ada di dalam mulut. Perlahan-lahan dia meletakkan cawan. Matanya  mengecil merenung aku.
            “Kenapa tak habiskan air tu sayang? Penat Rin buat.”
            Adoi, aku dah nak terkucil menahan gelak. Nas bangun dan bersalam dengan mak dan abah.
            “Eh, dah nak balik?” tanya mak.
            “Balik dululah makcik. Nas baru teringat, baju melayu Nas belum bergosok lagi.”
            Aku tinggalkan Nas yang masih melenggang kangkung. Laju kaki aku masuk ke dalam  kereta. Dah tak sabar nak gelakkan dia. Sebaik saja Nas menutup pintu kereta, berdekah-dekah aku ketawa. Puas hati aku. Baru kau tahu siapa Zarin Sofea, kan?
            “Senangnya hati menganiaya bakal suami ya? Dari kau letak garam, baik kau letak racun aje. Senang aku mati terus!”
            Tawa aku terhenti serta-merta. Aku pandang Nas. Betul ke apa yang aku nampak ni? Mata Nas berair. Dia menangis? Takkanlah sebab tertelan air kopi campur garam pun nak menangis?
            “Ala Nas, janganlah serius sangat. Aku main-main aje.”
            “Memang semua perkara dalam dunia ni kau bawa main-main. Sampaikan hati dan perasaan aku pun kau persendakan. Aku ni bukan kawasan rehat dan rawat tau tak? Aku pun ada perasaan juga.”
            Eh, makin laju pula air yang keluar dari mata Nas. Biar betul! Sedih sangat ke dia? Aku tak tahu macam mana nak pujuk lelaki menangis ni. Ikmal pun tak pernah menangis. Macam mana ni?
            “Errr… Nas.” Aku cuba pegang lengan kiri Nas. Tapi sepantas kilat dia menepis tangan aku.
“Jangan pegang-peganglah! Tak guna kau pujuk aku kalau hati tu tak ikhlas. Kalau aku tahu kau nak layan aku macam ni, tak ingin aku tolong kau!”
            Nas sudah teresak-esak. Aduh, parah macam ni. Dah macam budak tak dapat ais krim pula aku tengok dia. Apa aku nak buat ni? Hmmm, diam sajalah Zarin Sofea. Nanti pandailah dia berhenti menangis tu. Dalam pada itu, perlahan-lahan sengaja aku daratkan tangan kanan aku ke pehanya. Mana tahu dengan cara itu hati Nas sejuk sikit. Eh, dia tak menolaklah. Esakannya pun semakin reda. Oh, macam ni rupanya cara nak memujuk agar-agar ni. Gatal juga kau ni ya?
            Nas membisu saja di sepanjang perjalanan sehinggalah dia berhentikan keretanya di depan rumah. Wajahnya masih kelat. Aku keluar dari kereta pun dia tak pandang. Lambat-lambat saja aku tutup pintu kereta. Mana tahu kalau-kalau dia nak sampaikan apa-apa pesan pada aku. juga aku. Buatnya dia tarik diri, jadi rendanglah aku jawabnya nanti.
            “Hoi!”
            Laju aku buka kembali pintu kereta luas-luar. Senyum manis aku hadiahkan pada Nas. Tapi dia langsung tak pandang aku.
            “Ambil beg kertas warna merah kat bonet. Aku nak kau pakai baju dalam beg kertas tu besok. Pakai sekali tudung yang aku bagi tu. Biar nampak  elok sikit. Mana tahu kalau-kalau ada pihak media  kat sana nanti.”
            “Tapi…”
            “Jangan banyak cakaplah. Kalau kau tak nak pakai baju yang aku bagi tu, besok kau cakap perkara yang sebenar kat mak kau. Aku dah tak mahu bersekongkol lagi.”
            Nas berjaya melunturkan ego aku dengan ugutannya. Pandai betul dia menangguk di air keruh. Sabarlah Zarin Sofea. Dah nasib kau.

Aku ke belakang kereta dan ambil barang yang dimaksudkan Nas tadi. Dia terus berdesup pergi sebaik saja aku tutup bonet kereta. Hmm, merajuk lagilah tu.

No comments:

Post a Comment