Friday 15 August 2014

Bab 1 : TERSUKA TANPA SENGAJA -PENA KAYU




Bukan senang jadi Farhah Datuk Ahmad Alias. Lebih-lebih pangkat Datuk itu sangat menyusahkan hidupnya. Disebabkan gelaran Datuk itu, terlalu ramai kawan pada masa senang datang menempel.
        Farhah cuma ada seorang adik perempuan yang bernama Katrina. Nama yang bagus. Bukan macam nama Farhah. Dengar pun macam nama orang kampung. Kata ayah, arwah nenek yang beri nama Farhah tu. Farhan bermaksud kegembiraan ataupun kesenangan. Tapi sebenarnya, Farhah tak gembira dan tak senang langsung. Farhah lebih suka nama Katrina.
        Katrina muda dua tahun daripada Farhah. Farhah yang biasa-biasa memang tak terlawan dengan Katrina yang cantik luar biasa tu. Jadi, tak hairanlah kalau Katrina jadi pujaan hati ramai lelaki. Lagipun, hubungan Farhah dengan Katrina tidak berapa bagus.
        Farhah mengaku dia cemburu dengan adiknya. Katrina cantik. Katrina pandai bergaya. Keadaan bertambah rumit bila kawan-kawan ayah dan ibu selalu saja bandingkan Farhah dengan Katrina. Sikit-sikit mereka hendak jadikan Katrina menantu. Sikit-sikit mereka hendak Katrina jadi anak angkat. Farhah ni langsung mereka tak pandang.
      Lagipun, apa yang jadi milik Farhah pasti akan jadi milik Katrina. Farhah pernah bercinta dengan tiga orang lelaki. Sedihnya, ketiga-tiga lelaki tu tinggalkan Farhah sebab tergila-gilakan Katrina. Kerana itu, Farhah jadi takut untuk bercinta lagi. Kalau pun nanti dia jatuh cinta, dia janji dengan diri sendiri, dia akan sorokkan lelaki tu dari Katrina.
       
     
       
SYED Arif geleng kepala. Kereta yang baru berusia tidak sampai dua minggu itu sudah ada kesan calar. Habis jahanam Volkswagen Passat barunya jadi mangsa lepas geram orang.
         “Dahsyatnya. Tengok pun sakit hati.”
         Syed Arif jeling Armand di sisinya.
         Memanglah sakit hati! Tak payah cakap pun Syed Arif tahu.
         “Panjang garisan tu. Kalau pergi buang kesan calar tu, melayang juga tiga empat ratus ni bro,” sampuk Armand lagi. Dia ikut bercekak pinggang di sisi kereta baru Syed Arif.
         “Tengah hari tadi tak ada lagi. Siapa punya kerja ni?” gerutu Syed Arif dengan muka penuh kesal.
         “Ada orang sakit hati dengan kau ni. Mulut kau tu kadang-kadang tak ada insuran. Main lepas saja. I gave you several advices, but you never listen to it. Sekarang dah jadi macam ni, baru nak menyesal bagai semua. Tak guna dah. Nak tak nak kau kena keluar duit.”
         Semakin tajam jelingan Syed Arif. Armand bukan hendak sejukkan hati dia. Tolong tambah bara api adalah. Mulalah Syed Arif rasa macam hendak tendang Armand kuat-kuat.
         “Tak ada insuran macam mana pula? Nama pun mulut. Takkan aku nak senyap dua puluh empat jam. Gila ke apa?”
        Armand sudah garu kepalanya yang tidak gatal. Payah bercakap dengan orang yang selalu ingat dia betul ni.
         “Kalau aku dapat orang yang buat calar ni, aku bedah-bedah perut dia.”
         Armand telan liur satu-persatu. Boleh tahan garang juga Syed Arif ni rupa-rupanya. Baru Armand tahu sisi gelap Syed Arif.
         “Kau nak pergi mana tu? Tak jadi ‘karok’ ke malam ni?” tanya Armand bila dilihatnya Syed Arif sudah membuka pintu kereta.
         “Tak jadi apa pula? ‘Karok’ tu harus untuk buang semua penyakit stres. Tapi macam biasalah. Lepas maghrib. Kita selesaikan perkara yang penting dan wajib dulu. Lepas tu baru buat perkara yang harus.”
         “Ni kau nak pergi mana?” tanya Armand sekali lagi.
        Muka Syed Arif sudah agak cuak.
         “Sebab kau ambil berat sangat pada akulah timbul gosip kata kita berdua ni gay,” komen Syed Arif.
         “Kalau betul pun apa salahnya.”
         “Jangan mencarut tak tentu fasal.”
         “Mencarut apa pula? Kita berdua memang rapat, kan?” balas Armand. Terlalu sengaja sambil menggosok-gosok lengan Syed Arif.
         “Rapat yang bukan sampai tahap gay okey! What’s wrong with you? Aku tengok kau ni bukan main suka lagi kena cop gay.”
         Armand sudah terkekeh-kekeh melihat betapa cuaknya muka Syed Arif ketika ini.
         “Bukan suka kena cop gay, tapi aku suka tengok reaksi kau. Kelakar sangat. Itulah, aku suruh cari girlfriend kau tak nak. Tak fasal-fasal saham aku pun ikut jatuh sebab digosipkan dengan kau. Aku pun jadi mangsa dekat sini.”
         “Banyaklah kau punya mangsa. Sudahlah, aku nak pergi ambil lukisan dulu. Malam nanti tunggu aku dekat tempat biasa,” balas Syed Arif lantas terus menghidupkan enjin kereta. Lagi lama dia melayan Armand, makin senak otaknya.
         “Kereta kau ni macam mana? Nak biar dulu calar tu?”
         “Tengoklah esok macam mana. Aku ni nak kena buat appointment dengan pusat servis dulu. Bukan boleh main terjah macam tu saja.”
        Tidak sampai dua minit, Volkswagen Passat milik Syed Arif sudah hilang setelah memasuki jalan besar. Keretanya dipandu dengan kelajuan normal menuju ke Pasar Seni.
        Sebaik saja tiba di Pasar Seni, langkah kaki Syed Arif terus menuju ke kedai lukisan Pak Cik Nazim.
         “Terima kasih,” balas Syed Arif bila lukisan yang dibelinya sudah siap dibungkus.
         “Tak nak beli lukisan lain? Ada yang baru. Pelukis dia baru saja hantar tadi,” cerita Pak Cik Nazim.
         “Tak apalah, pak cik. Satu ni sudah cukup. Kalau banyak-banyak, tak tahu nak gantung mana nanti.”
         “Tak salah kalau nak tengok-tengok. Pak cik tak kenakan bayaran pun. Lagipun lukisan tu cantik. Pak cik jamin anak mesti nak beli lukisan tu.”
        Cantik sangat ke?
        Syed Arif sempat mengerling jam tangannya. Lagi lima minit sebelum pukul tiga petang. Tak ada masalah kut kalau dia luangkan sepuluh minit untuk lihat lukisan ‘cantik’ yang baru sampai tu.
         “Macam mana? Cantik tak?”
         Syed Arif membisu. Hanya matanya meneliti lukisan tersebut. Lukisan biasa pada pandangan mata. Namun tidak pada Syed Arif. Dia melihat kesedihan dan juga kesepian dalam lukisan tersebut.
         “Pelukis baru ke, pak cik?”
         “Ya. Ini lukisan kedua yang dia hantar pada pak cik.”
         “Lukisan pertama dia mana?”
         “Pak cik dah jual.”
         Syed Arif termangu seketika. Masih berfikir sama ada mahu beli atau tidak lukisan tersebut. Ada sesuatu pada lukisan tersebut yang membuat Syed Arif rasa rugi kalau tak beli. Padahal kalau beli, dia lagi rugi wang ringgit.
         “Pak cik bungkus lukisan ni sekali. Saya beli.”
         Bukan main gembira lagi Pak Cik Nazim membungkus lukisan kedua yang Syed Arif beli.
         “Kalau pelukis ni hantar lukisan baru, pak cik beritahu saya. Jangan jual dulu. Saya nak tengok,” pesan Syed Arif sebelum keluar dari kedai Pak Cik Nazim.
         Syed Arif melangkah sedikit sukar bila menjinjing dua buah lukisan. Namun langkahnya terhenti bila melihat seorang lelaki begitu bersemangat sekali bertinggung di sisi keretanya. Penuh berhati-hati, Syed Arif mendekati lelaki tersebut. Memerhati setiap gerak-geri lelaki tersebut.
         Lukisan yang dibelinya tadi telah diletak ke tepi. Kemudian dengan sekali terkam dia berjaya menangkap pergelangan tangan lelaki tersebut.
         “Kecilnya tangan dia,” bisik Syed Arif.
         “Apa ni? Sakitlah!” jerit Farhah seperti orang histeria. Tidak cukup dengan itu, Farhah turut meronta dengan kuat. Dan apabila mendapat peluang, terus saja Farhah memijak kaki lelaki asing itu sekuat hati.
         Serta-merta pegangan lelaki tersebut terlepas. Yang tertinggal hanya kerutan menahan kesakitan.
         “You nak calarkan kereta I lagi, kan?” tempelak Syed Arif.
        What?” jerit Farhah sekali lagi.
        “I nak calarkan kereta you ni?” ulang Farhah sambil menunjuk-nunjuk kereta lelaki tersebut. Matanya sempat terbeliak bila melihat ada kesan calar ditempatnya bertinggung tadi.
        “Calar ni, bukan I buat. Sumpah, bukan I. Kalau you minta ganti rugi pun, I takkan bayar. Kalau I yang buat, I ganti. Tapi calar tu, bukan I yang buat,” nafi Farhah sekeras-kerasnya. Topi yang dipakainya ikut dibetulkan.
         “Habis tu, you buat apa dekat kereta I?”
         Sekali lagi Farhah menunjuk-nunjuk kereta lelaki tersebut.
         “I cuma nak ambil anak kucing bawah kereta you tu. Tak ada masa I nak calarkan kereta you ni. Lagipun I tak buat kerja-kerja macam tu.”
         Syed Arif terpegun seketika. Dia sudah menyorot figura perempuan tersebut yang disangkanya lelaki sejak tadi. Patutlah saiz tangan dia kecil saja.
         “You perempuan?”
         Terangkat-angkat kening Farhah mendengar soalan luar biasa lelaki tersebut.
         “I perempuanlah.”
         Syed Arif pandang perempuan itu lagi. Dengan hanya memakai kemeja lengan panjang yang nampaknya sangat gedoboh dan juga seluar ala-ala clown, memang nampak macam lelaki. Langsung tidak ada ciri-ciri seorang perempuan Melayu.
        “You pandang apa?” sergah Farhah. Dia juga sudah menutup bahagian dadanya mengunakan tangan.
        Syed Arif membeliakkan mata. Setengah tidak percaya dengan tindakan perempuan gedoboh tersebut.
         “I tak selera pun nak pandang you. I’m just shocked that you are actually a girl dressed up like a boy.”
         A girl? Dia kata aku a girl? Farhah menghela nafas panjang-panjang. Menyabarkan hati yang semakin panas.
         Ingat Farhah. Kamu perlu jaga perangai. Jangan timbulkan sebarang kekecohan. Jangan sampai ayah kamu tahu kamu dekat mana.
          “Tumpang lalu, I nak ambil anak kucing tadi,” pinta Farhah tiba-tiba. Suaranya begitu lembut. Lengkap dengan segaris senyuman.
         Syed Arif buat muka pelik melihat perangai aneh perempuan gedoboh tersebut. Tadi dia terpekik-pekik macam orang gila. Tiba-tiba dia bertukar rupa jadi lemah lembut.
         “Cepat sikit. I kejar masa ni,” gerutu Syed Arif. Dia membiarkan saja perempuan tersebut mengambil anak kucing yang konon-kononnya ada di bawah kereta.
         “Sekejaplah. Anak kucing tu duduk tengah-tengah. Tangan I tak sampai ni.”
         Syed Arif mengeluh berat.
         “Tepi.”
         Farhah angkat muka. Kurang jelas dengan permintaan lelaki tersebut.
         “Sekejaplah. Sikit lagi I dapat pegang kaki anak kucing tu.”
         “I kata tepi tu, tepilah. Biar I ambil. Orang kemetot macam you memang tangan tak sampai.”
         Kemetot? Dia kata aku kemetot pula? Amboi! Normal apa ketinggian 163 sentimeter ni.
         “Cepatlah sikit. Terhegeh-hegeh tu kenapa?”
         Farhah sempat buat muka tidak puas hati. Sejak tadi dia hanya mendengar rungutan lelaki tersebut. Payah hidup lelaki ni.
         Nampaknya sekarang sudah terbalik. Farhah pula yang menjadi pemerhati pada usaha gigih lelaki tersebut mengambil anak kucing di bawah keretanya. Sampai berpeluh-peluh Syed Arif dibuatnya. Anak kucing itu pun satu, degil sangat. Berkali-kali dipanggil pun masih juga tidak bergerak-gerak.
         “Dapat?” tanya Farhah bila melihat senyuman lelaki tersebut. Sebenarnya kalau lelaki itu senyum dan tak berkata apa-apa, dia nampak sangat gentleman. Kalau Katrina ada depan mata Farhah sekarang, mesti Katrina tak lepas peluang pikat lelaki ni, fikir Farhah.
         “Dapatlah. Tengoklah siapa yang tangkap. Nah, ambil anak kucing you ni.”
         Berkerut-kerut dahi Farhah. Bukan apa, dia tercium bau tahi kucing. Namun dia tetap mengambil anak kucing yang diserahkan kepadanya.
        “Ada bau tahi kucing,” beritahu Syed Arif. Hidungnya sudah kembang kempis.
        Cuma Farhah yang pekakkan telinga. Dalam kepala Farhah sekarang hanya mahu cepat-cepat angkat kaki. Nanti makin panjang pula cerita lelaki tersebut.
         “Okey, terima kasih!” balas Farhah lantas terus membawa anak kucing tersebut hilang dari kawasan tempat letak kereta.
         Syed Arif masih lagi termangu. Sedikit terkejut dengan reaksi perempuan gedoboh itu yang tiba-tiba saja hilang dari pandangan mata.
         Percayalah, sepasang mata Syed Arif sudah terjojol melihat cebisan pepejal yang agak lembik dan berbau menusuk hidung itu melekat pada baju, tangan dan kasutnya yang baru dibeli.
         “Oh my God, ada tahi kucing.”
       


No comments:

Post a Comment