Monday 18 August 2014

Bab 4 - TERSUKA TANPA SENGAJA - Pena Kayu

           

Dua puluh minit kemudian, lelaki yang diserang asma tadi telah selamat dibawa pergi oleh ambulans. Tinggal Farhah berdua dengan Syed Arif.
        “You dah breakfast?”
        Farhah geleng kepala. Namun kemudian Farhah lebih pantas lagi menganggukkan kepalanya. Farhah segan hendak beritahu yang dia breakfast  Maggi subuh tadi.
        Entah kenapa gerak hati Farhah beritahu, ada perkara buruk berlaku kalau dia bersama dengan Syed Arif. Hari itu Farhah sudah dicop muka tak cantik. Lepas ni apa pula? Farhah belum cukup kuat hendak terima kejutan kedua selepas kejutan pertama tempoh hari.
        “Sekejap geleng sekejap angguk, mana satu ni?”
        “Sudah. I dah breakfast  tadi.”
        “Okey, tapi kalau you breakfast sekali lagi, tak ada masalah, kan? Kita breakfast dekat McDonald’s.”
        “Huh?” luah Farhah sepatah.
        Otak Farhah sudah bekerja keras mengira-ngira baki wang yang berada di dalam beg duitnya. Semalam dia beli beras lima kilogram yang paling murah. Baki duit belanja adalah… RM 22.60 kalau tak salah. Memang cukup kalau hendak sarapan dekat McDonald’s. Tapi esok lusa macam mana?
        “I betul-betul dah kenyang.”
        Please? pinta Syed Arif tidak mahu kalah. Sekali lagi meneliti setiap inci muka Farhah.
        Mulalah Farhah teringat insiden yang tidak berapa nak klise tempoh hari. Lekas-lekas Farhah memandang ke arah lain.
        It was very rude kalau kita bercakap dengan seseorang, dan seseorang tu pilih pandang tempat lain. Kenapa you tak nak pandang mata I? Mata I tak cantik ke?”
        Luar biasa hebat soalan Syed Arif. Tapi takkanlah Farhah hendak mengaku yang mata Syed Arif menggoda sangat? Dalam mimpi pun Farhah takkan mengaku.
        “Okey, I pandang you sekarang. You nak cakap apa?”
        “You tak pandang betul-betul. I nak you pandang mata I terus. Bukan pandang sipi-sipi.”
        Now shoot. I dah tak pandang sipi-sipi dah,” balas Farhah. Hati di dalam sudah hampir melompat keluar membalas sorotan tajam Syed Arif. Sudahnya dia kalah.
        See. You pandang sipi-sipi lagi. Cara I pandang macam nak telan orang ke sampai you takut sangat nak pandang mata I?”
        “Tak. Mata you ada tahi mata. Sebab tu I tak nak pandang.”
        Meletus tawa Syed Arif.
        “Betul ke ada tahi mata?” soal Syed Arif kemudian setelah tawanya reda. Lelaki itu telah mengeluarkan sehelai tisu dan mula membersihkan matanya.
        Amboi… Siap bawa tisu. Farhah sendiri pun tak bawa tisu.
        “Tak ada pun. You sengaja beri alasan ya?” desak Syed Arif. Matanya sudah dikecilkan. Dia memang terlalu sengaja menatap muka Farhah puas-puas.
        “Tadi memang ada,” beritahu Farhah. Bersungguh-sungguh benar menegakkan benang basahnya.
        “Sebenarnya you yang ada tahi mata,” komen Syed Arif.
        “Hah?” luah Farhah. Kelam-kabut dia membersihkan matanya.
        “Guna tisu ni. Lebih bersih.”
        Mendadak saja pipi Farhah tambah menebal.
        Macam mana pula Farhah yang boleh ada tahi mata ni? Ini hukuman Tuhan ke sebab Farhah menipu tadi?
        Padan muka kamu, Farhah. Cakap bohong lagi.
        “I nak balik. Terima kasih sebab tolong selamatkan lelaki tadi dan beri I tisu,” ujar Farhah lantas lekas-lekas angkat kaki.
        Betullah gerak hati Farhah tadi. Memang ada perkara ‘buruk’ yang berlaku.
        “You nak ke mana tu? Urusan kita belum selesai.
        Syed Arif mengulum senyum hangat khas untuk Farhah sahaja.
        “I tak pernah ada business arrangement dengan you pun.”
        You did when you start calling me just now. Kemudian lompat-lompat macam anak saudara I yang umur tujuh tahun tu.”
        “I panggil you sebab nak selamatkan lelaki tadi.”
        “I tak terima alasan murahan. I nak you teman I breakfast dan you tak boleh kata tidak. Lagipun, I tengok you ni macam tak cukup zat saja. You makan nasi ke makan Maggi?” tanya Syed Arif lagi dengan muka selambanya.
        “Makan nasilah!” tempelak Farhah. Susah hati benar bila tekaan Syed Arif sangat betul.
        “Kalau macam tu, breakfast dengan I kali ni. I belanja. Atau you nak I heret you masuk dalam kereta?”
        “Huh?”
            Seperti biasa, Syed Arif tersengih-sengih. Dia memang suka lihat muka terkejut Farhah.
            “Okey, I breakfast lagi sekali. Tapi I nak bayar sendiri. You tak payah belanja I. I nak yang paling mur.. Maksud I, I nak hotcakes  tu saja.”

        “Okey.”
            Nampaknya, pagi ini pagi yang tidak membosankan. ‘An amusing object sedang menemaninya. Agak-agak, boleh tak Syed Arif menyanyi kecil?

        Tolonglah Syed Arif. Sila fokus pada pemanduan dan cari tempat letak kereta secepat mungkin.
        Farhah mengekori Syed Arif memasuki Restoran McDonald’s. Dia tidak berani untuk beriringan dengan lelaki itu. Bimbang perkara buruk bakal berlaku lagi.
        One family breakfast box. Makan sini,” pinta Syed Arif kepada pekerja McDonald’s tersebut.
        Farhah besarkan matanya. Otaknya kembali bekerja keras mengira wang yang perlu dia keluarkan. Dan dia hampir hendak pengsan melihat harga family box tersebut.
        “I nak hotcakes. Kenapa you oder family box? I ada RM22.60 saja. Kalau bahagi dua, I kena bayar you RM10.00. Habis, I nak makan apa esok, lusa dan tulat?”
        Syed Arif sudah hampir ketawa mendengar kata-kata Farhah.
        “Dengan duit RM12.60 tu, boleh bertahan berapa lama sangat? Takkan I nak makan Maggi lagi. Hari-hari makan Maggi, lama-lama muka I pun boleh jadi macam Maggi. I kena jimat duit tu sampai hari Khamis!” bidas Farhah dengan suara yang sengaja ditinggikan.
        Kemudian baru Farhah sedar, suaranya yang meninggi itu telah berjaya membuat 60 persen pelanggan di dalam restoran tersebut memberi sepenuh tumpuan padanya.
        Dengan muka hampir hendak menangis, Farhah berpaling lantas melangkah pergi. Dia sudah membuka rahsia diri tanpa sedar. Semuanya sebab Syed Arif terlalu suka mendesak.
        “Kami akan duduk meja paling tepi tu. Nanti boleh tolong hantar tak? Kawan I merajuk. I kena pujuk,” beritahu Syed Arif setelah menyerahkan not dua puluh ringgit.
        Pekerja McDonald’s tersebut hanya mengulum senyum lebar sebelum mengangguk setuju.
        “Farisha, tunggu sekejap.”
        “Nama I bukan Farisha. Berapa kali I nak cakap baru you nak ingat nama I? Nama I Farhah. F. A . R . H . A . H,” luah Farhah dengan muka paling kesal. Kali ini Farhah sudah mengeja namanya sendiri.
        Sorry, my mistake again.
        Farhah jeling Syed Arif lalu kembali mengayun langkah deras.
        She is indeed an amusing object,” ujar Syed Arif lantas lekas-lekas mencapai lengan Farhah.
        “Kenapa you pegang lengan I pula ni?”
        “Jari tangan you tak berlapik. Nanti you kata I ambil kesempatan. Lengan you ni sekurang-kurangnya dilapik dengan lengan baju.”
        Pandai pula Syed Arif ini menjawab. Kemudian meskipun Farhah menolak, Syed Arif berjaya memaksa Farhah duduk di kerusi paling tepi dan dihadang oleh dinding kaca. Jadi, kalau Farhah hendak bergerak ke mana-mana, Farhah perlu melepasi Syed Arif dulu.
        “Kita breakfast, kemudian you boleh balik. Breakfast  kali ni, I belanja.”
        No. I tak nak berhutang dengan you.”
        “Okey, macam ni. Hari ni I belanja you. Nanti, bila you dapat duit hasil jualan lukisan you, you belanja I semula. Macam mana?”
        Farhah membisu. Masih menimbang-nimbang cadangan Syed Arif.
        “Ini kad I. Nombor telefon I ada dekat situ. You boleh telefon I bila-bila masa you rasa nak belanja I semula.”
        Syed Arif sudah pun menyerahkan sekeping kad kecil kepada Farhah.
        “Sekarang kita makan dulu, boleh?” pujuk Syed Arif lagi ketika pekerja McDonald’s sudah menghantar family box yang dipesan tadi.
        Farhah menjadi pemerhati pada kecekapan Syed Arif bergerak mengambil sos dan juga gula untuk air teh Farhah. Kemudian Syed Arif siap tolong letak lagi gula ke dalam air teh Farhah.
        Sebenarnya, hati Farhah sempat juga terbersit. Nampak caring saja Syed Arif ni. Tanpa sedar, bibir Farhah melebar dengan senyuman. Senyuman terindah.
        “Kenapa?”
        “Apa?”
        “I nampak you senyum.”
        Farhah kerutkan dahi. Aduh… Farhah kena tangkap basah lagi.
        “Tak ada apa-apa.”
        “Kenapa you senyum?” tekan Syed Arif. Selagi Farhah tak beri jawapan, Syed Arif takkan berhenti bertanya.
        “I teringat cerita kartun yang I tonton semalam” jawab Farhah. Namun kemudian dia menyesal memberi jawapan yang entah apa-apa itu.
        Terangkat-angkat kening Syed Arif. Susah hendak percaya dengan cerita Farhah.
        “You makan Maggi apa pagi tadi?” tanya Syed Arif kemudian.
        Kunyahan Farhah terhenti. Bulat sepasang matanya membalas sorotan Syed Arif.
        “I tak makan Maggi pun.”
        Terlihat dengan jelas senyuman lucu terukir di bibir Syed Arif.
        “Kalau you tak makan Maggi, apa yg melekat dekat baju you tu? Bukan cebisan mi ke?”
        Sekali lagi Farhah membeliakkan matanya. Dan apabila dia tunduk, memang ada cebisan mi yang melekat. Sudahlah tadi dia ada tahi mata. Sekarang ada cebisan mi pula melekat pada baju.
        Wahai Farhah, bawa bertenang. Jangan cepat melatah.
        First I ingat you lelaki, tapi sebenarnya you seorang perempuan. Kemudian malam blind date tu you muncul dengan penampilan baru, you pakai dress. I nak you tahu yang I dah terkejut sampai nak pengsan.”
        Keras seketika tubuh Farhah bila Syed Arif buka cerita.
        “Dan sekarang, I jumpa you semula. You pakai T-Shirt, yang dihias dengan cebisan mi, yang dah melekat dan kering. You sedar tak, yang you ni sangat unik dan lucu?”
        Gerakan tangan Farhah benar-benar sudah terhenti. Bulat lagi matanya. 
        “Jadi, you tahulah I orang yang sama?” soal Farhah. Nyaris hendak menjerit geram melihat muka Syed Arif yang ala-ala menahan ketawa itu.
        Syed Arif angguk laju-laju sambil mengulum senyum selebarnya. Kemudian lelaki itu mula ketawa. Ketawa yang sedap didengar.
        “I suka tengok you. Bila you kelam-kabut, you nampak sangat menarik,” beritahu Syed Arif setelah tawanya mulai reda.
        “Bila dengan you, ada saja perkara menarik, pelik dan lucu berlaku dalam hari I. I suka.”
        Farhah telan liur. Tidak tahu kenapa hati perempuannya bergegar mendengar kata-kata Syed Arif. Dia mula tidak senang duduk.
        Dan percayalah, nafas Farhah berhenti sejenak bila Syed Arif mencapai sehelai tisu kemudian dengan selambanya mengelap hujung mulut Farhah.
        Terkebil-kebil mata Farhah. Dan seperti selalu, haruman minyak wangi Syed Arif yang sangat sedap dihidu itu kembali memenuhi rongga hidung.
        “You makan macam anak saudara I yang umur tujuh tahun tu. Hujung bibir dia mesti comot,” komen Syed Arif setelah selesai menolong membersihkan hujung bibir Farhah. Seperti selalu juga, bibir lelaki itu cukup bijak mengukir senyuman khas untuk Farhah.
        Thanks. Ta.. Tapi.. Tapi lepas ni you lap mulut anak saudara you saja. You jangan lap mulut I lagi,” tutur Farhah dengan suara terputus-putus. Kemudian dia kelam-kabut mencapai tehnya. Terus dia teguk.
        Berair-air juga mata Farhah. Masih panas air teh tersebut. Tapi takkanlah Farhah hendak buat perangai dengan luah air teh itu semula? Itu sengaja tunjuk perangai tak senonoh namanya. Farhah tak sanggup.
        Farhah, would  you like to be my girlfriend?”

        Untuk kesekian kalinya, Farhah membeliakkan mata. Tidak dapat menahan rasa terkejut melampau yang melanda, Farhah sudah menyembur air teh yang penuh dalam mulut tepat ke muka Syed Arif.


No comments:

Post a Comment