Thursday 18 September 2014

Bab 1 : MUTIARA HATIKU RAFFLESIA - BILL BORA



            B
ibir Anis masih menguntum senyum semanis mungkin. Slogan, customer is always right diucap berulang kali di dalam hati. Biar pun sikap pelanggan adakalanya menguji kesabaran, namun mereka wajar dihormati sebagai pelanggan. Reputasi syarikat perlu diambil berat.
            Tempat dia bekerja ini bukan calang-calang tempat. Eksklusif. Ada kelas yang tersendiri. Bukan sebarangan orang yang masuk. Kalau tak berpoket tebal, janganlah memasang angan-angan hendak jejakkan kaki ke dalam.
            Jadi, senyum dan layankan sahaja karenah mereka.  Nak keluarkan duit dari poket orang bukan kerja yang senang kecualilah mencopek.
            Anis tarik nafas dalam. Masuk kali ini entah kali berapa pelanggan di hadapannya ini memilih set mutiara yang ditunjukkan oleh Winnie Sim, tuan punya butik tersebut. Sekejap diambil kemudian diletak. Namun keputusan masih belum dibuat.
            Gelagat pelanggan begini memang sudah biasa ditemui. Golongan berada yang bukannya cerewet ataupun memilih. Mereka ini lebih kepada jenis yang rambang mata tapi berkira. Apa yang dilihat semuanya menarik minat. Semuanya cantik. Semuanya ingin dimiliki.
            Namun bila tiba bab harga, susah nak cakap. Lagipun, ia bukannya murah. Mencecah ratusan ribu untuk satu set. Nak keluarkan ratusan ribu, takkan dengan sekelip mata.
            Terkadang sampai berhari-hari datang dan balik, baru buat keputusan untuk membeli. Itu memang satu fenomena yang sudah biasa dia lihat.
            I’m confuse.” Puan Zaitun peluk tubuh. Mata merenung deretan rekaan terkini dari Rafflesia. Matanya dikecilkan kemudian menjeling lelaki di sebelahnya.
            Anis tersenyum sambil pandangan turut berkalih pada lelaki di sebelah Puan Zaitun. Kacak! Memang tidak dinafikan, sekali pandang boleh buat perempuan akan ketagih mahu pandang berkali-kali. Tinggi, berkulit cerah, hidung mancung, rahangnya jelas terbentuk dan punya seulas bibir yang kemerahan. Sayangnya, si jejaka lokek senyuman. Wajah kacak itu nampak terlalu serius!
            Bagai menyedari dirinya sedang menjadi tumpuan, si jejaka mengangkat kepala dari memandang iPhone di tangan. Buat seketika pandangan Anis dan si jejaka bertaut.
            Anis telan liur. Tangan naik ke dada, cuba menenangkan hati yang tiba-tiba berkocak. Cepat-cepat dia melarikan pandangannya. Dalam hati, berkali-kali dia mengingatkan diri sendiri.
            Dia lelaki larangan.
            Dia lelaki larangan.
            Dia lelaki larangan.
            Help me, please.” Gesaan Puan Zaitun pada lelaki itu mengejutkan Anis dari mengulang ‘mantra’ di dalam hati.
            Dahi si jejaka dilihat berkerut tak puas hati. Memandang Puan Zaitun dan Anis silih berganti.
            This is not my thing, they look all the same to me,” balas si jejaka.
            “Haris…” Suara Puan Zaitun dah meleret menyeru nama si jejaka.
            Sorry…I can’t help you.”
            But…”
            “Semuanya nampak cantik. Just pick the one you like,” pintas si jejaka. Agaknya, malas mahu memerah otak untuk membantu membuat pilihan.
            “I bukan nak cari yang cantik semata-mata. I nak yang terbaik, Haris,” tempelak Puan Zaitun yang mula naik angin.
            We’re in the best pearl boutique in Malaysia. Semuanya memang dah cukup terbaik. Yang ada depan mata tu pun memang dah terbaik, pilih sajalah yang mana berkenan,” balas Haris sambil mengerling pada Anis.
            Dalam masa yang sama Anis sedang memandang wajah si jejaka. Namun, sekali lagi lekas-lekas dia larikan pandangan matanya sebaik sahaja pandangan mereka bertembung.
            This one?” Puan Zaitun memegang sebutir mutiara putih.
            “Yang ni memang cantik.” Winnie yang hanya memerhati sejak tadi tiba-tiba bersuara memuji.
            Excellent choice,” Anis cepat-cepat jadi nasi tambah sebelum sempat Haris memberi pendapat.
            Kalau ikutkan gaya, nampak sangat si jejaka rimas berada di situ. Risau betul Anis kalau-kalau si lelaki buat perangai dan mengajak wanita di hadapannya ini pergi. Melepas sales nanti!
            “Ini mutiara asli dari laut dalam. Yang terbaik di kalangan yang terbaik.” Anis memberi penjelasan. Seperti biasa, dia akan membantu bosnya dalam memberi penjelasan tentang keunikan mutiara pada pelanggan.
            Are you sure?” Puan Zaitun pandang Anis semacam. Lagaknya seolah-olah tidak yakin dengan kata-kata si gadis juru jual itu.
            “Betul, puan. Here let me show you. Touch it…” Anis mengisyarat Puan Zaintun agar mengusap mutiara di tangannya.
            “Puan ada rasa apa-apa?”
            Puan Zaitu menggeleng.
            “Kalau puan tengok bentuk mutiara ni yang perfect round, flawless… tak ada bintik-bintik atau apa-apa lekuk. Kan?”
            Yes…”
            Anis senyum lebar.
            “Inilah tandanya yang mutiara ini terbaik,” jelas Anis dengan penuh yakin. Sejak dulu, dia memang sangat berminat dengan mutiara dan semua maklumat tentang mutiara dikumpul di kepalanya. Mungkin kerana itu juga, dia begitu mudah mendapat tempat bekerja di butik ekslusif ini.
            Look at the way it sparkle…” Winnie pula meletakkan mutiara tersebut di bawah cahaya lampu.
            “Cantikkan?”
            Puan Zaitun mengangguk sekali lagi.
            “Jadi, kalau semua ciri-ciri tadi ada pada satu mutiara, jika dijadikan barang perhiasan memang akan nampak lebih menarik dan mahal. Trust me, Puan. You’ll be the centre of attention if you wear this pearls.” Anis menambah.
            Kali ini Puan Zaitun tersenyum bangga. Kembang hatinya memikirkan diri menjadi perhatian ramai. Pasti ramai rakan-rakannya berdiri mengelilinginya nanti. Lebih-lebih lagi bila nama Rafflesia disebut. Bukan calang-calang orang yang mampu. Kalau mutiara tiruan, boleh laaa... hatinya berbisik angkuh.
            “Nak buat apa nanti?” Tiba-tiba si jejaka mencelah.
            “Buat cincin? Sesuaikan?”
            Anis segera berpaling ke arah lelaki yang dipanggil Haris itu. Menanti si jejaka menyatakan pendapatnya. Teringin juga hendak mendengar pandangan ‘teman mesra’ wanita yang jelas nyata layak dipanggil ibu ini.
            Too simple kalau buat cincin.” Haris buat muka acuh tak acuh.
            Simple tapi mutiara jenis ini sangat sesuai untuk dijadikan cincin. Saya pasti hasilnya nanti cantik,” balas Anis perlahan.
            Dalam hati mula mencebik tingkah si jejaka yang mula menjengkilkan hatinya. Cerewet kalahkan perempuan!
            “Betul, I setuju. Simple yet beautiful,” sampuk Winnie pula. Mutiara di tangan Anis diambil dan ditunjukkan pada Puan Zaitun.
            “Tapi simple sangat pun tak menarik dipandang,” sanggah Haris dengan senyuman yang nampak sinis di mata Anis.
            Anis tarik nafas dalam, cuba mengawal rasa tak puas hati yang makin bertambah di dalam hati. Puan bos pula meminta diri untuk menjawab telefon.
            “Kadang-kadang, yang simple itu lebih menarik perhatian encik. Less is more, right? Macam manusia juga. Kalau yang terlampau mekap tebal belum tentu lagi menyerlahkan kecantikkan dia. Silap haribulan bertambah buruk jadinya. Tapi kalau mekap ala kadar, semakin menyerlah kecantikannya.” Anis membalas dengan senyuman. Sabarlah wahai hati.
            Bibir Haris tersungging ke atas.
            “Itu kalau memang dia cantik, Like you....” Haris hentikan di situ, memandang tepat ke wajah Anis.
            “Mekap sikit pun menarik dipandang. But what if she’s…” Mata Haris melilau memandang ke sekeliling sebelum pandangannya jatuh kepada tea lady yang sedang menuang air di meja berhampiran mereka.
            What if she’s like that? Tak cantik dan tak menarik dipandang melainkan kalau dia dimekap?” Haris bersuara perlahan sambil tersenyum nakal memandang Anis.
            Puan Zaitun yang sedang membelek mutiara segera menoleh pada Haris. Matanya dikecilkan. Riak wajahnya jelas tidak senang dengan pujian dan kata-kata yang dilemparkan pada si gadis juru jual tersebut. Apa yang cantiknya? Biasa-biasa saja di mata dia. Hatinya mencebik.
            Anis mengetap bibir. Ya Allah! kenapa mulut lelaki ni langsi macam ni? Suka-suka hati dia nak cakap orang tak cantik! Mata melirik ke arah Aya, tukang bersih merangkap tea lady butik tersebut. Nampak comel dan manis saja di mata Anis.
            Beauty lies in the eyes of the beholder, sir. Kalau encik tak boleh nampak kecantikkan sesuatu itu, belum tentu lagi orang lain juga tak nampak.” Suara Anis sudah berubah dingin. Dia kembali menumpukan perhatian kepada Puan Zaitun.
            “Apa pun, dalam membeli mutiara ni, kualiti lebih penting puan. Kalau cantik, tapi kualiti tak bagus, harga pun murah, mana mungkin sesuai nak dipakai untuk wanita elegan macam puan…” Anis sempat menjeling pada Haris.
            I beg to differ, my dear. Kalau dah cantik…” Mata Haris memandang Anis dari atas ke bawah sebelum senyuman senget muncul di bibir.
            “Mestilah berkualiti…” sambungnya selamba.
            And I beg to differ, sir. Ada juga perkara di dalam dunia ini yang cantik tapi zero kualitinya. Luaran kita boleh jadi secantik bidadari sekalipun tapi kalau dalamannya kosong, akan terserlah keburukkan tu di luarnya. Kualiti lebih penting dari kecantikan luarannya. Dari kualiti akan terlihat kecantikkan. Kalau cantik luar, tapi dalaman hancur memang tak laku. Nak jual tepi jalan pun belum tentu ada orang nak,” panjang lebar Anis bersuara.
            Tiba-tiba pula hati dia membara dengan lelaki ini. Nak bercakap soal cantik dan kualiti konon. Diri sendiri tak berkualiti pun! Demi harta sanggup jadi lelaki simpanan perempuan separuh usia. Hati Anis mengutuk sendiri.
            Are we still talking about pearls, cik…” Mata Haris merenung tag nama di dada kiri Anis.
            “Anis Sophea?” Kening Haris dah terangkat sebelah. Entah kenapa hati dia kuat mengatakan, apa yang keluar sebentar tadi dari mulut comel si gadis dah jauh larinya dari perbincangan tentang kualiti mutiara.
            Of course we’re talking about pearls!” Anis senyum ke arah Puan Zaiton.
            “Atau... encik ada terasa apa-apa?” Dia berbisik perlahan pada si jejaka agar tidak didengari oleh wanita yang masih tekun menilik mutiara yang dipamerkan.
            Haris terdiam. Mata mencerlung tajam memandang Anis. Lama kedua-duanya saling berbalas pandangan. Tiada siapa yang mahu mengalah hinggalah dehaman dari Puan Zaitun memecah kesunyian.
            Ehem...”
            Serentak Anis dan Haris menoleh pada Puan Zaitun. Mata cik puan pula merenung Haris dan Anis silih berganti. Seolah ada sesuatu yang tak kena terkesan pada pandangan matanya.
            “I nak arrange next appointment. I tak boleh nak decide lagi hari ni.” Mendatar suara Puan Zaitun. Hati dia kurang senang pula melihat kedua-dua manusia di sebelahnya itu saling renung merenung.
            Masih dengan senyuman di bibir, Anis mengangguk faham. Dengan hati yang sebal, dia menjeling ke arah Haris yang masih ralit merenungnya. Entah kenapa, hati dia mudah hendak menyalahkan Haris atas kegagalan urusniaga hari ini. Janganlah lelaki ini muncul lagi depan dia. Masalah nanti!


No comments:

Post a Comment