Sunday 16 November 2014

Bab 10 : KUPIKAT JANDAKU - ANA SOFIYA

Bab 10


Soalan Zahin menambahkan sakit kepala Izyan. Jarang dia diserang sakit kepala sampai muntah-muntah sepanjang malam. Jadi, pagi itu dia terus pergi klinik. Macam biasa, dia terpaksalah menunggu. Hampir sejam setengah baru dapat tengok muka doktor. Hailaa nasib!
Kata doktor, dia stres. Izyan nak cakap apa lagi? Memang pun dia sedang tertekan. Terpaksalah dia mengangguk. Kata doktor lagi, sebagai langkah pertama untuk menghilangkan stres dia perlulah mengenal pasti punca stres itu. Hmm, kalau doktor tak cakap pun, dia dah tahu. Sudah jelas benar dengan objek yang menjadi punca tekanan yang dihadapinya.
Selain makan ubat yang diberi oleh doktor, Izyan pastikan dia akur menurut langkah-langkah yang disarankan dalam artikel Tips Untuk Menghilangkan Stres yang dibacanya di dalam internet. Sejak dua hari lepas sememangnya itu yang telah dibuat. Iaitu...
Mengelak Raif. Terpandang sahaja kelibat lelaki itu, dari jauh lagi dia sudah melarikan diri. Tidak mahu bertembung dengannya. Tidak mahu disapa dan menyapa. Dia yakin, sudahnya Raif akan faham bahawa dia tidak mahu lagi ada apa-apa hubungan dengan lelaki itu.
Malangnya Izyan lupa bahawa Raif bukanlah seorang yang mudah berputus asa. Lelaki ego itu memang ternyata lebih bijak darinya. Bijak mengatur strategi. Raif tidak mencari dia di hotel. Tidak juga datang ke lobi untuk bersemuka. Ke rumah Izyan pun tidak. Memang Izyan berasa lega sangat-sangat terutama apabila kelmarin, seharian dia tak nampak kelibat lelaki itu. Fikirnya Raif Sufyan Hadi sudah balik ke Kuala Lumpur.
Namun dia salah percaturan.
“Psst!”
Izyan ketap bibir. Lamunannya terbang. Baru dingat-ingat, muka itu sudah terjengul di hadapannya. Memanglah lelaki ini tak reti isyarat yang dia beri. Atau dia pura-pura tak mahu memahami. Sengaja tebalkan muka untuk mendekatinya.
“Melamun jauh nampak? Ingat aku ke?” tanya Raif sambil mengetuk permukaan kaunter. Matanya tajam menatap wajah ayu di hadapannya.
“Awak tak ada kerja lain ke?” marah Izyan. Lebih marah kepada jantung dan hati yang mula memainkan irama lama bernafas baru. Beralun semakin deras seakan mahu mengikut rentak nadi yang berdenyut lebih laju kini. 
“Sejak sampai sini, aku cuma ada satu kerja aje. Nak tahu tak apa kerja aku?” tanya Raif pula.
“Tak nak,” jawab Izyan sambil berpura-pura sibuk menatap komputer.
Raif tersengih. “Pulak. Tapi aku nak habaq jugak. Yang aku sekarang ni sedang...”
“Jual minyak urat. Kan?”
“Yes. Untung-untung dapat mengurat.” Raif sambung sambil tersengih lawa.
“Pi mengayat perempuan lain. Perempuan kat depan awak ni dah ada yang punya.” Izyan memberi hint yang bermaksud dia sudah ada pakwe.
Raif jongket kening. “Kau isteri orang ke?” tanya dia. Serius bukan main raut wajahnya itu.
“Bukan, tapi saya girlfriend orang. Tak takut kena lepuk dengan boyfriend saya?” tanya Izyan bersungguh-sungguh.
Kelihatan Raif menarik nafas lega. “Baru girlfriend orang. Eleh di mulut naga lagi kurebut...”
“Boyfriend saya tu bouncer. Badan besar. Gagah pulak tu. Sekali dia lipat, patah tulang awak, tahu.”
Raif melambakkan tawa. Sesuatu yang jarang dibuatnya dahulu. Mengundang rasa terkejut yang bukan sedikit dalam hati Izyan. Seiring getar jantung yang tertarik pada raut yang ceria dan nampak lebih muda. Namun hati dikeraskan. Jangan jatuh cinta pada dia. Jangan! Jangan!
“Kenapa gelak? Awak tak percaya cakap saya?” Izyan dah cuak. Tahu bahawa umpannya tak mengena. Raif langsung tak masuk perangkap.
“Alasan lapuk kau tu tak akan berjaya jauhkan aku dari kau, Iz.”
Erm, cari alasan lain, Izyan. Cepat!
“Dah, tak payah duk fikir cara mengelak aku. Sekarang aku nak tanya. Kau dah sarapan ke belum?” Raif mengubah topik.
“Tak ada kena mengena dengan awak.”
“Hmm, garang macam ni mestilah belum kan? Sekarang dah pukul sepuluh. Perut kau tu pun dah berbunyi. Dengar sampai sini, tau,” usik Raif.
Memang dia lapar tetapi hari ini dia agak sibuk dengan tetamu yang masuk dan keluar. Dia sendirian sahaja di kaunter sebab Zana ambil MC akibat diserang senggugut. Jadi tak sempat dia hendak makan. Nak pesan pada kawan-kawan lain pun tak dapat dibuatnya.
“Nah roti.”
Alamak, roti kentang. Roti kegemaran aku tu. Dia ingat lagi? Tak sangka sungguh. Hati bersorak riang namun dia tidak segera menyambut huluran Raif. Dia harus buktikan yang dia benar-benar kuat menolak kehadiran lelaki ini. Barulah Raif akan faham dan pergi.
“Nak aku suap ke?” tanya Raif sambil membuka plastik pembalut lalu menarik keluar seketul roti lembut itu. Dia kemudian mencubit dan membawa jemarinya hampir ke mulut Izyan. “Bukalah mulut tu! Nak malu apa. Bukan tak biasa aku suap dulu-dulu, kan?”
“Orang boleh suap sendirilah.” Izyan membentak sambil merampas roti daripada tangan Raif. Laju dia memasukkan sedikit ke dalam mulut.
Raif jongket kening sambil sembunyi senyum. Dia lantas keluarkan satu bekas berisi air. “Teh Lipton. Aku bancuh untuk kau tadi. Minumlah. Tapi kau kena duduk. Tak elok makan dan minum sambil berdiri,” ujarnya.
Izyan segera menarik kerusi lalu duduk. Bekas air dibuka dan air teh disisip perlahan. Sepasang matanya masih tajam memandang lelaki di sebalik kaunter.
“Kalau dah habis minum, bak balik bekas tu. Nanti boleh aku bancuh lagi.”
Izyan segera menggeleng. “Tak payah, awak. Saya rasa lebih baik awak pergi sekarang. Tak elok kalau orang tengok kita berbual macam ni.”
“Menghalau nampak?”
“Encik Raif Sufyan Hadi, kalau boleh saya memang nak halau awak. Kalau boleh saya memang nak cakap saya tak nak tengok muka awak lagi. Tapi, saya tak mampu nak buat macam tu. Saya tak mampu nak berkasar dengan awak.”
Raif memandangnya dengan satu pandangan yang sayu. Dalam. Lama. Perlahan-lahan, satu keluhan terlontar. “Kau ni memang baik, Iz. Pada aku yang dah banyak sakitkan hati kau pun kau boleh cakap macam tu. Sebab itu aku tak boleh lupakan kau agaknya,” gumamnya perlahan.
“Apa awak cakap?” tanya Izyan. Pelik melihat Raif yang seolah-olah berbisik sendirian.
Raif senyum. “Kau tak benci aku kan?”
“Tak.”
“Kalau macam tu jom pergi makan dengan aku malam ni.”
Cepat-cepat Izyan balas. “Tak bolehlah awak.”
“Kenapa? Orang tu marah ke?”
Izyan tak tahu nak jawab apa biarpun dia yakin kalau Zahin tahu mesti Zahin akan mengamuk nanti. Mengamuk? Takkanlah. Zahin tak mungkin marah walaupun lelaki itu dah mengaku yang dia cemburu pada Raif. Zahin lelaki yang baik. Penyabar. Tenang. Sikap yang jauh berbeza daripada lelaki di hadapannya ini.
“Kalau dia marah, kau beritahu aku. Biar aku lepuk kepala dia.”
Izyan menjuihkan bibir. “Tak habis-habis dengan perangai kasar awak.”
Raif sengih. “He is tresspassing, okay!”
Izyan lepaskan keluhan. Kata-kata Raif menjentik naluri. Raif seolah-olah menganggap dirinya ini miliknya sedangkan hakikatnya tidak begitu.
“Iz...”
“Okey, saya faham. Kita perlu berbual. Perlu berbincang. Jadi, cakap aje di mana, nanti saya ke sana.”
“Okey, kalau macam tu malam karang aku jemput kau, kita pergi sama-sama.” Raif cepat-cepat pergi dari situ. Tak mahu menunggu bimbang Izyan mencari alasan untuk menolak lagi.
“Untuk sekali ini saja, Iz. Sekali saja. Lepas kau habis cakap nanti, dia mesti pergi. Dia tak akan tunggu dah,” bisik Izyan kepada diri sendiri sambil menyoroti langkah Raif Sufyan Hadi yang entah hendak ke mana.



3 comments: