Tuesday 11 November 2014

Bab 4 : DIA SEBELUM AKU -CIK D


"Sayang." Santai Nazim mendekati Adawiyah. Wajah isterinya itu ditenung sayu sebelum dia merebahkan diri di atas sofa di sisi katil isterinya.
"Dah hantar Ainan balik?" Bicara Adawiyah membuatkan Nazim semakin buntu. Tahu ada soalan lain yang bakal muncul selepas soalan isterinya itu.
"Sudah, hantar sampai ke parking."
"Baguslah. Lepas ni Wiya nak abang lebih kerap dengan Ainan. Biar jadi lebih mesra, dan cepat sikit perasaan tu bercambah."
"Ya Allah. Sayang sedar atau tak apa yang sayang cakap tadi? Kenapa nak hancurkan perasaan tu. Apa Wiya fikir abang ni kejam sangat nak buat Wiya macam tu? Awak tu tak sihat sayang takkan abang nak tambah sakit awak tu lagi?" Semakin hilang kesabaran Nazim. Kalau sebelum ini dia hanya menurut, tapi kali ini permintaan si isteri semakin menjadi-jadi.
Luruh air mata deritanya. Menyampaikan pada lelaki itu yang dia kini dalam keadaan sedih.
"Tak naklah menangis. Selama ni abang dah cukup bersabar melayan Wiya, sebaik dan semampu yang abang boleh buat. Kenapa mesti Wiya minta perkara yang mustahil untuk abang tunaikan, sayang. Tolonglah jangan dera perasaan tu. Abang tahu awak tak rela, awak terpaksa buat macam tuuntuk buat abang bencikan awak, kan?"
Semakin lantang Nazim bersuara, tak betah lagi menahan gelodak di hati.
"Lima tahun sayang, lima tahun kita hidup sama. Takkan tergamak hati ninak duakan satu-satunya kasih yang seminya hanya untuk awak. Mampu ke nanti abang terima dia, dan yang lebih penting, mampu ke Wiya nak tanggung kesakitan berganda Wiya tu nanti? Berduka, melihat abang bersama orang lain. Wiya sedar tak ni sayang?"
Tegas Nazim, tak mahu mendengar bicara Adawiyah yang dirasa semakin mengarut.
"Abang!"
"Wiya, hentikanlah cerita karut Wiya tu. jangan meminta yang tidak-tidak. Abang takkan terima sesiapa masuk ke dalam hati abang. Hati abang cuma untuk Wiya, bukan Ainan atau sesiapa sahaja!"Putusnya.
"Wiya rela macam ni, asalkan abang bahagia."
"Mengarut! Takkan ada bahagia,kalau derita tu mengatasi segala rasa. Jangan cuba bohong abang! Abang tahu Wiya sedang tipu hati Wiya sendiri!"
Dari duduk bersandar, dia bangkit dari sofa. Marahnya tidak dapat ditahan lagi. Dilampiaskan semahunya, tak mahu si isteri terus mendesak.
"Wiya dah tak mampu nak bahagiakan abang, abang faham tak? Wiya tak mampu." Sayu lagi dia meluah. Membiarkan pandangan kosong Nazim, tembus memandangnya.
"Abang tak minta semua tu. Cukup kalau Wiya ada dengan abang, jangan ajar abang curangi Wiya!"
"Dah masuk dua tahun abang! Wiya abaikan abang. Wiya tak mampu nak tunaikan kewajipan Wiya sebagai seorang isteri. Abang dah tak dapat, apa yang sepatutnya abang dapat dari seorang isteri. Abang berhak cari kebahagiaan itu. Wiya izinkan." Terhinggut bagu Adawiyah, tak sudah lagi usahanya memujuk Nazim.
"Sayang.."
"Tolonglah abang. Wiya rayu abang."
"Abang tak pernah anggap itu sebagai alasan untuk abang duakan Wiya. Kalau abang nak, dah dari awal lagi abang cari perempuan lain. Bukan dalam keadaan sekarang ni. Wiya tu tak sihat, janganlah disebabkan rasa bersalah Wiya. Wiya nak pertaruhkan hati Wiya untuk abang buat sesuatu yang nantinya boleh menyakitkan hati Wiya sendiri.” Terpaksa berkeras.
“Dengar cakap abang, sayang. Mustahil abang akan terimaperempuan lain masuk ke dalam hati abang, selain Wiya!"Berkeras, tidak mahu sampai kalah dengan permintaan isterinya itu.
"Tak. Wiya dah tak ada hati lagi abang. Hidup Wiya sekarang untuk mati, dan kalau boleh sebelum Wiya pergi Wiya nak tengok abang bahagia."
"Sayang!" Siapa tak sedih, bila orang yang disayang, tergamak berkata begitu. Ajal, mautsemua tu ketentuan Dia. Dia masih percayamasih ada keajaiban yang menanti isterinya di depan sana. Dia masih yakin, yang Adawiyah akan sembuh suatu hari nanti. Dan mereka akan terus hidup bersama.
"Berapa kali abang nak pesan. Jangan sebut pasal tu lagi, kalau betul Wiya sayangkan abang. Tolong, jangan sebut perkara tu lagi sayang. Kita akan hidup bahagia, Wiya akan teruskan treatment. Abang percaya yang Wiya akan sihat, macam dulu." Berat helaan nafas, tak tertanggung perasaannya bila Adawiyah berkata begitu.
"Yang menanggungnya Wiya abang. Yang merasanya Wiya. Abang perlu janji dengan Wiya. Terima Ainan. Sayangi Ainan, macam mana sayangnya abang pada Wiya." Pintanya lagi, tak mahu mengalah. Rela melepaskan Nazim, asal suaminya itu bertemu semula apa yang hilang.
Mati kata-kata untuk membalas. Nazim kalah, kalah bila juraian air mata Adawiyah semakin deras mencurah ke pipi cengkungnya waktu itu. Sudahnya masing-masing diam. Tak mampu untuk terus bersuara.
Malam itu Nazim tidur di sofa. Duduk, dengan memeluk bantal. Peluk isteri? Kalau dah pandang aku pun tak mahu, apatah lagi nak peluk. Rungutnya sendiri. Dibiar perasaan sepi, dibuang semua perasaan sendiri. Lebih memikirkan tentang Adawiyah yang terlantar sakit.
Sejak dua menjak ni permintaan dia semakin menjadi-jadi. Dan seolah apa yang dipinta itu, sengaja nak buat aku semakin jauh dengan dia. Mana mungkin aku mampu jauh dari dia. Dia cinta pertama aku. Aku yang bawa dia ke dalam dunia aku. Dan kalau aku abaikan dia, bermakna aku dah lupa janji-janji aku, nak jaga dia seumur hidup aku.
Kahwini Ainan? Dan duakan dia? Gila. Aku belum gila untuk buat semua tu! Rayulah Wiya, menangislah air mata darah sekalipun, kalau abang kata tidak, Wiya jangan berangan nak paksa abang terima hati perempuan lain, masuk ke dalam hati abang.
Hati ini hanya untuk Wiya. Untuk Wiya seorang! Bentaknya lagi, sebelum terlelap di atas sofa, membiarkan Adawiyah tidur sendiri di atas katil hospital.
Adawiyah masih belum lena, memusingkan badan dan mencari kelibat sang suami yang tidur dalam keadaan marah. Wajah suram suaminya itu ditenung dalam-dalam. Dia tahu, dalam menolak, suaminya itu sudah mula memikirkan tentang apa yang telah dibincangkan sebelum ini.
Salahkah abang kalau Wiya nak buat abang bahagia. Wiya dah tak mampu nak buat abang tersenyum. Wiya dah tak mampu nak beri abang apa-apa. Wiya tahu Wiya dah tak lama. Wiya buat semua ni, bukan sebab Wiya tak sayangkan abang. Rintihnya dalam diam.
Cinta Wiya tetap sama, takkan pernah berubah. Wiya tak pernah membenci abang, malah Wiya rasa bersalah, kerana Wiya dah buat abang berpisah dengan mama abang. Abang disisih keluarga, kerana memiliki Wiya yang takada apa-apa ni abang. Luahnya lagi, menahan rasa yang menghimpit ke dada.
Mungkin ini balasan aku. Rampas Nazim dari keluarga Dato’ Ridzman. Memutuskan hubungan anak dan ibu. Biarkan Nazim dengan keputusan bodohnya menerima aku yang tak punya apa-apa ni. kesal adawiyah, tak sudah menyalahkan diri.
Doa mama yang tak nak tengok kami bahagia nampaknya sudah tertunai. Aku dah terlantar tak berdaya. Dan andai ini balasan dari Dia untuk aku, aku terima. Dan aku pasrah. Pulanglah abang, semula kepangkuan mama. Wiya rela hidup sendiri, tambah bukan lama lagi pun Wiya hidup. Berbicara sendiri, dengan basah air mata yang mengalir ke bantal. Doanya lelaki itu sedar, dan buka mata dengan usahanya mahu menyatukan suaminya itu dengan Ainan.
Aku dah mula nampak rasa itu, cuma abang tak nak mengaku. Menipu diri, kerana tak mahu aku terus sakit. Wiya dah memang terang-terang sakit. Teruskan abang, Wiya tak halang, malah Wiya yang nak abang bersama Ainan. Bisiknya lagi, mengharap dan terus mengharap.
Menyelongkar laci, mengemas barang-barang Adawiyah yang mahu di bawa pulang. Dua hari tanpa kata, dua hari tanpa bicara, ternyata buat Nazim lelah untuk terus memujuk. Tahu, jika tidak untuk permintaan si isteri, maka akan rajuklah dia selagi tidak berkata iya.
Dibiarkan Adawiyah yang berbaring lemah menghadap tingkap. Terus berkemas, kerana hari ini merupakan hari istimewa untuk isterinya itu.
Siap kesemua barangan Adawiyah, dan surat pelepasan doktor juga telah diserahkan kepadanya tadi. Dia segera menyentuh bahu si isteri. Seminggu di hospital membuatkan dia betul-betul rindu pada rumah yang lama ditinggalkan.
"Sayang dah boleh keluar hari ni." Paut tangan Nazim pada bahu lemah Adawiyah.
"Sayang, abang tukarkan Wiya baju eh? Abang dah siap kemas barang-barang." Sesabar mungkin Nazim bersuara, tidak mahu ketegangan dua hari lepas berulang lagi.
"Kita balik? Jom."
"Tinggalkan Wiya. Biar Wiya mati di sini." Pinta si isteri, masih berbaring dalam posisi yang sama.
"Kenapa ni. Apa yang tak kena lagi ni? Dua hari protes, takkan tak okey lagi sayang." Bertanya, walau sudah tahu apa yang ada dalam hati wanita itu.
"Wiya tak nak balik. Biarkan Wiya mati di sini." Itu yang diulang-ulang.
"Wiya nak apa sebenarnya ni? Boleh tak.. Ah!" Malas mahu memulakan, sudahnya nanti dia kalah. Kalah dengan air mata si isteri.
"Wiya nak Ainan."
"Hari ni. Petang ni dia datang. Teman Wiya."
"Jadi isteri abang."
"Berapa kali nak ulang?"
"Dan kalau tak nak jawapan abang, abang boleh tinggalkan Wiya, biar Wiya hidup sendiri." Berdegil, tak mahu bertolak ansur.
"Sampai macam ni Wiya buat abang, kan? Abang ni siapa Wiya?" Menahan rasa. Sakit bila didesak begitu.
“Kenapa Wiya buat abang macam ni. Sayang abang pada Wiya. Wiya nak serah pada orang lain. Abang masih waraslah nak buat macam tu.”
"Semua demi kebahagiaan abang. Tak lebih dari itu abang. Wiya tahu, abang tak bahagia hidup dengan Wiya." Setiap patah Adawiyah yang buat hati Nazim semakin luluh. Masakan ada seorang isteri yang memaksa suaminya untuk bernikah satu lagi.
"Itu semua alasanlah Wiya. Abang tak boleh terima semua ni. Wiya tahukan macam mana sayangnya abang pada awak? Kejam, tahu tak apa yang Wiya nak ni."
"Sorry." Terpa Ainan, memotong kata-kata Nazim sebaik pintu wad dikuak. Tak sedar ada pertengkaran, dan dia melulu masuk ke dalam wad persendirian Adawiyah.
"Saya tak ganggu, kan?" Soalnya sebaik kaki melangkah setapak ke dalam bilik. Sedar tak kena waktunya dia berada di situ.
"Adik." Seru Adawiyah, ceria wajahnya menyambut kedatangan gadis yang ditunggu sejak awal pagi tadi. Serta merta melupa apa yang ditekakkan tadi.
"Akak. Akak nampak ceria hari ni." Tapi kenapa Abang Nazim nak marah-marah? Fikirnya, tak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
"Hrmm, ceria sebab akak tahu adik akak ninak datang." Berkakak dan beradik, lebih selesa bila begitu.
"Saya cuti hari ni kak, habiskan cuti tahun. Surat resign pun saya dah serah pada pihak pengurusan."
"Alhamdulillah. Harap-harap urusan selepas ini pun dipermudahkan." Ucap Adawiyah penuh makna lagi. Meneliti senyum di wajah Ainan tak lepas. Entah kenapa berkenan sungguh dia dengan gadis itu.
Kalau aku yang perempuan ni boleh terpujuk saat melihat senyuman dia, takkan walau sedikit pun abang tak tertarik dengan kelebihan Ainan yang satu itu.
"Hari ni akak cakap saja nak ke mana, saya boleh bawa akak. Sebab saya cuti pun, sebab nak temankan akak." Ceria Ainan lagi, membawa aura positif pada Adawiyah. Tak mahu wanita ituterus berfikir tentang penyakit yang dihidap.
"Betul ni dik?"
"Betul, kan Abang Nazim?" Nazim masih begitu, buat-buat tak layan, sibuk mengemas keperluan Adawiyah.
Dah kenapa semua nak sedih-sedih ni? Ke aku datang salah masa? Fikir Ainan, kembali berdiri dan mendekati Nazim yang sibuk mengemas.
"Nak saya tolong ke?" Menawarkan diri untuk membantu. Tak mahu berlebih, berbuat begitu sebagai persediaan untuk kerja barunya nanti.
Adawiyah hanya memerhati, kembang hatinya bila melihat pasangan itu saling berbual dan menunjukkan minat antara satu sama lain.
"Oh, jadi gaduh tadi tu sebab tak nak abang tukarkan bajulah ye? Tak apa, sayaada boleh tolong tukarkan."
"Ainan layanlah kakak, abang nak hantar barang-barang ni ke lobi. Siap semua nanti, kita balik."
"Baik abang, jom akak. Saya tolong akak pakai baju. Kata tadi nak berjalan, kan?" Jelingan mata Nazim tajam menjeling si isteri, memberi isyarat mahu wanita itu berhati-hati dengan tutur katanya. Tidak mahu sampai Ainan membatalkan niatnya untuk membantu mereka.
"Akak dengan abang okey ke? Saya tengok macam ada something je." Ainan mula menunjukkan keperihatinanya. Kalau boleh tidak mahu sampai kewujudannya menjadi punca suami isteri isteri itu bergaduh.
"Sebab saya ke?" Menanggalkan uniform hospital yang tersarung di badan wanita tabah itu.
"Ainan.." Adawiyah bersuara sebak. Menarik tangan Ainan, sebelum tangan halus itu digenggam kemas.
"Saya ada salah tanya ke kak?"
"Tak dik, bukan salah Ainan. Adik akak ni tak ada salah tanya pun. Akak, akak cuma nak Ainan tahu, yang akak rasa gembira sangat bila Ainan sudi bantu kami. Datang Ainan, pada waktu yang tepat dik." Senyum kelat lagi. Rasanya waktu itu semakin hampir, dan dia mahu Nazim dan Ainan segera disatukan.
"Oh."
"Dengar apa akak nak cakap dik, ini antara hidup dan mati." Bicara Adawiyah yang semakin serius sedikit sebanyak menggusarkan hati kecil Ainan. Dapat merasa ada sesuatu yang tersimpan di benak wanita tabah itu.
"Kenapa kak?"
"Ainan kena tolong akak. Walaupun akak tahu pertolongan ni berat untuk Ainan tunaikan."
"Kita bincang lain kali? Saya rasa baik kita habiskan hari ni dengan bergembira?" Cadang Ainan, belum bersedia untuk mendengar.
"Tapi.."

"Tak nakbertapi lagi akak, saya nak akak senyum sepanjang bersama saya hari ni. Boleh?” Adawiyah akur, walaupun benaknya masih mahu meluah.

No comments:

Post a Comment