Saturday 15 November 2014

Bab 7 : DIA SEBELUM AKU - CIK D

         
         
                        MELIHAT si isteri yang turun dari katil, Nazim ikut bangkit.
"Nak ke mana pulak tu? Dah jauh malam ni Wiya.”
        "Abang tidurlah dulu, Wiya ingat Wiya nak kemas bilik tidur dekat atas tu untuk Ainan."
        "Nak naik tangga?" Nazim bertanya hairan. Tak yakin yang isterinya itu mampu mendaki tangga untuk ke tingkat atas.
        "Iyalah." Yakin Adawiyah menjawab. Teruja untuk menerima orang baru.
        "Nak jatuh macam setahun yang lepas? Duduk hospital, sebab kaki sakit?" Nazim yidak berpuas hati.
        "Abang.. boleh tak abang percayakan Wiya. Wiya okeylah. Tengok, Wiya dah boleh jalan macam biasa tau." Sengaja tayang yang diri sebenarnya kuat. Kuat dan mampu melakukan semula kerja-kerja rumah.
        "Degil." Desis Nazim, antara dengar dengan tidak. Penat mahu melarang, hampir berbuih dia menegah isterinya itu dari membuat kerja rumah.
        Cuma yang namanya Adawiyah tak pernah sedar, yang dirinya disayang.
        "Sama, kitakan sama-sama degil. Kalau tak, takkan kita boleh kahwin lari, kan? Dan sampai sekarang, kita masih belum diterima keluarga masing-masing. Kalau Wiya ni okeylah. Yang adapun cuma Mak Teh, abang tu?" Adawiyah mula membuka cerita lampau, sekali lagi mahu membangkitkan kemarahan Nazim yang sudah cukup bersabar dengan kelakuannya sebelum ini.
        "Hentikan Wiya. Kenapa dengan Wiya ni? Sekarang ni Wiya memang suka sangat buat abang marah kan? Apa memang Wiya suka, kalau abang naik angin?" Keras Nazim bersuara, mahu menyedarkan si isteri.
        "Wiya cakap benda yang betul, dan tak ada masa Wiya nak buat abang marah tak tentu pasal. Memang betul kut, kita kahwin tanpa restu. Tanpa restu tu abang, sama aje maknanya dengan kahwin lari." Menduga lagi ucapannya.
        "Dan sekarang ni Wiya baru sedar, kenapa Wiya jadi macam ni. Ini semua sebab balasan. Sebab Wiya tak dengar cakap Mak Teh dan arwah opah!" Menyalahkan diri lagi, Adawiyah berdiri di tepi pintu bilik.
        "Buat apa nak ungkit kisah silam kalau boleh buat hati sendiri sakit. Berapa kali abang nak cakap, semua ni berlaku bukan sebab balasan atau apa sahaja yang Wiya fikir. Sudah qada' dan qadarnya begini Wiya.” Nazim cuba menyedarkan Adawiyah.
        “Kenapa mesti nak mengungkit itu ini? Kita terima semua ni sebagai ujian. Ujian Tuhan tu tak kira siapa kita. Selagi namanya manusia, kita takkan terlepas dari ujian. Abang tak rasa kita derhaka. Kita jemput mereka datang majlis kita, tapi mereka yang tak nak datang, kan?" Nazim cuba menegakkan pendirian sendiri. Menafikan apa yang berlaku selama ini bukan kerana mereka yang mahu.
        "Iya, Mak Teh dan opah Wiya tak datang sebab diorang malu. Mama dan papa abang tak datang, sebab dia bencikan Wiya. Betulkan abang?" Pahit untuk ditelan kenyataan itu, namun demi menyedarkan Nazim, dia terpaksa meluahkan.
        “Kalau sebelum ini Wiya diam sebab Wiya rasa Wiya boleh hidup bahagia bersama abang, tapi abang nampak sendiri keadaan kita macam mana, kan? Berdua, tapi seperti sendiri. Lebih baik abang cari isteri lain. Wiya dah tak mampu buat abang bahagia!” Jerit Adawiyah seperti orang hilang pedoman.
        “Tolong abang. Dengar cakap Wiya, terimalah Ainan. Wiya tahu, Ainan pun akan terima abang.” Rintihnya, sayu lagi.
        Nazim mengeluh berat. Itu yang diulang-ulang Adawiyah, bahagia! Bahagia! Apa dah benci sangat ke nak pandang muka dia? Sampai nak sangat dia cari isteri lain? Membungkal hatinya, bila acapkali didesak begitu.
        “Abang.” Adawiyah masih mahu merayu.
        “Abang dengar tak, apa yang Wiya cakap tadi? Susah ke abang nak penuhi satu-satunya permintaan Wiya ni? Wiya janji dengan abang, lepas ni Wiya dah tak minta apa-apa lagi dah. Ini yang terakhir Wiya harap dari abang. Tolonglah abang, cari bahagia abang tu.” Hampir terduduk sahaja dia waktu itu. Perit dihati jelas terpapar di wajah. Deritanya mengatasi segala rasa.
        "Sudahlah Wiya, abang letih. Abang tak nak bincang soal ni lagi. Wiya boleh tolong tak, jangan timbulkan hal ni lagi? Biar kita dengan hidup kita. Tak perlu fikirkan orang lain. Selama ni abang dah cukup bahagia dengan Wiya. Abang tak perlukan sesiapa untuk buat hidup abang bahagia. Cukup, abang dah ada Wiya, sayang."
        "Tapi orang lain tu keluarga kita sendiri abang. Mak dan ayah kita. Nak sampai bila biar perkara ni berlanjutan tanpa ada sebarang penyelesaian. Wiya nak abang berbaik-baik dengan mama dan papa abang."
        "Abang nak tidur," putus Nazim, tak mahu melayan. Mereka yang buang dia, bukan dia yang lari dari mereka. Itu yang hati Nazim kata.
        "Wiya akan cari mama."
        "Buat apa! Dia dah buang abang, mustahil dia nak dengar apa-apa dari mulut kita sayang. Sudahlah Wiya, mari tidur." Lelah sudah Nazim mahu terus memujuk kerana dia sendiri lemah bila dibangkitkan soal papa dan mamanya. Masih ada cerita lama yang tersimpan kemas. Kalau mampu, mahu terus dipendam.
        "Wiya nak ke atas." Adawiyah berdegil lagi.
        "Esok, abang janji balik kerja esok, abang tolong kemas. Sekarang ni sayang mari tidur. Abang tak nak fikiran Wiya terganggu. Ingat pesan doktor, kan? Nak Wiya rehat, jangan fikir banyak?" Nazim bangkit mendekati Adawiyah. Dipeluk erat bahu wanita itu, sebelum dipimpin semula ke katil.
        Tubuh selemah ini dikatanya kuat. Sayang, kenapa suka sangat seksa diri. Cukuplah sakit yang sayang tanggung, tak perlu tambah kusut tu dengan berfikir tentang orang lain. Orang yang langsung tak pernah fikirkan tentang kita. Wiya tak ingat ke sayang. Kita ni, anak terbuang.
        Tubuh lemah itu dilayangkan di atas katil, sebelum jemarinya mengelus lembut anak rambut yang mulai tumbuh di kepala botak milik si isteri.
        "Pejam mata, jangan fikir apa-apa lagi. Mama ke, Mak Teh ke, semua tu biarkan. Fikirkan kesihatan sayang ya?" Suaranya jelas menusuk ke tangkai jantung Adawiyah. Kembali tenang hatinya yang bergelora tadi.
        "Tapi... Ainan abang."
        "Esok, esok petang Ainan datang."
        "Janji dengan Wiya...."
        "Syhhhh." Nazim memintas, tak mahu Adawiyah terus meluah.
        "Abang akan kahwini dia? Janji dengan Wiya?" Tak serik Adawiyah. Baginya, apalah sangat sakit dimarah, berbanding sakit yang dia sedang hadapi.
        "Sayang." Bergenang air mata Nazim, dengan jemari rapat ke bibir Adawiyah. Tidak mahu isterinya itu terus mendesak dia menerima gadis yang belum tentu akan menerimanya sebagai seorang suami.
        Adawiyah pejam mata. Lama sebelum kembali membuka matanya melihat Nazim yang sudah terlena di sisi. Redup wajah si suami ditenung. Sedih? Pilu? Terasing? Ah, sememangnya dia dalam keadaan itu sekarang ini.
        Terasa Nazim bukan milik dia lagi. Benar, tindakannya sekadar mahu Nazim semakin membenci, demi untuk mengurangkan rasa sayang lelaki itu padanya. Walaupun pada hakikatnya, hati dia yang luluh.
        ‘maafkan Wiya abang. Wiya tak berniat nak lukakan hati abang. Apa yang Wiya buat ni, tak ada lain untuk abang tak terasa bila Wiya pergi tinggalkan abang nanti.’
         
         
TERSEDAR pagi itu, Nazim terus mencari si isteri apabila terasa hangat tubuh isterinya tiada di sisi.
        "Sayang?" Mata tercari-cari. Di bilik air juga tiada. Dan dengan langkah panjang dia keluar dari bilik utama.
        "Wiya! Ya Allah, sayang!" Sekali lagi, apa yang menjadi ketakutannya berlaku. Isterinya yang masih lemah, tersungkur di hadapan tangga.
        "Kenapa degil sangat sayang. Abang dah pesan, jangan naik tangga. Kenapa tak dengar cakap? Kenapa suka sangat buat abang menangis." Sebak Nazim, dicempung tubuh si isteri.
        "Wiya okey." Antara dengar dengan tidak sahaja  Adawiyah bersuara. Dengan tubuh yang kian layu, senang sahaja dia diangkat oleh si suami.
        "Wiya belum okey. Dengar, tengok muka abang ni Wiya. Wiya belum okey! Dan jangan buat abang berkeras dengan Wiya, Wiya faham tak?!" bentak Nazim, sudah hilang sabar dengan setiap tingkah isterinya itu. Tak tahu mahu kata apa lagi, kedegilan Adawiyah memaksanya untuk bertegas.
        "Azan." Adawiyah meletakkan jemari runcingnya ke bibir Nazim. Tak mahu suaminya itu terus dengan marahnya.
        "Tidur. Jangan nak ke mana-mana lagi." Sebak lagi, bergenang air matanya melihat kedegilan si isteri.
        Kenapa Adawiyah tak pernah faham, yang sayangnya hanya untuk si isterinya itu? Rintih Nazim lagi. Sebak yang tak tertahan menjadikan dia terus menangisi kedegilan Adawiyah.
        "Nak solat,” pinta Adawiyah lemah, buat air mata Nazim jatuh lagi.
        "Tunggu, abang bawa air untuk wuduk." Akur Nazim, tidak mampu menolak permintaan Adawiyah. Malah masih berasa bangga dalam keadaan payah begini, si isteri masih tidak lupa menunaikan kewajipan yang satu itu.
        Usai isterinya solat dalam keadaan yang tidak begitu selesa, Nazim mendekati Adawiyah. Mahu dibantu untuk dibukakan telekung yang tersarung di kepala wanita itu, namun ditegah.
        "Tak payah bukalah abang, biar aje macam ni.” Tersenyum bibi Adawiyah walau tak selebar mana. Puas dipandang wajah suaminya itu. Sungguh, masih sama. Tiada satu pun yang berubah.
        Dan kalau ini tatapan yang terakhirnya untuk si suami, dia  sudah cukup gembira. Gembira kerana masih diberi peluang untuk sama-sama solat berjemaah.
        “Tak panas?” Tenang semula suasana. Hati turut tenteram menyaksikan senyum di bibir si isteri.
        “Tak, sebab Wiya selalu minta pada Allah. Kalau boleh biarlah nyawa Wiya diambil dalam keadaan Wiya macam ni. Tentu abang pun akan tenang nampak Wiya macam ni, kan abang?" Dipandang sayu wajah Nazim.
        "Sesi rawatan sayang ada berbaki lagi, kan?" Tak dijawab soalan isterinya itu. Sebak usah dikata, kalau ikutkan hatinya yang sedih, mahu sahaja Nazim meraung di situ.
Betul, doktor sahkan hayat isterinya akan berakhir dua bulan yang lepas, tapi doktor juga manusia biasa yang hanya mampu meramal hidup dan mati seseorang. Yang menentukan ialah DIA. Lihatlah isterinya sekarang, masih bernyawa hingga ke saat ini.
        "Tapi Wiya sepatutnya meninggal dua bulan yang lepas, kan abang?" Adawiyah buka cerita lain.
        Memang menjadi traumanya setiap kali dipinta untuk membuat rawatan. Kesakitannya usahlah digambarkan. Baginya, biarlah dia sendiri yang tanggung. Tidak mahu berkongsi dengan orang lain.
        "Simpan air mata abang. Wiya cuma nak tahu, kenapa sampai sekarang Wiya masih hidup? Kenapa Allah tak biar Wiya mati dua bulan yang lepas abang?" soalnya pada si suami, seolah Nazim itu yang menentukan perjalanan hidupnya.
        "Jangan buat abang macam ni Wiya. Tuhan tak cabut nyawa Wiya, sebab DIA nak Wiya ada dengan abang. Kekal hidup bersama abang. Bahagia macam sebelum-sebelum ni, dan mungkin sampai bila-bila."
        "Bahagia? Bahagia apanya abang, kalau Wiya tak mampu nak melayan abang. Bawa abang ke alam bahagia tu."
        "Erti bahagia itu luas sayang. Kita macam ni pun abang dah cukup bahagia, sayang.” Terhimpit dadanya bila terpaksa kuat untuk selindung duka di hati.
        “Dapat jadi imam kepada makmum abang yang cantik ni. Wiya kucup tangan abang. Dah cukup sayang. Abang tak minta lebih. Kasih abang, masih sama seperti waktu awal perkahwinan kita dulu. Sikit pun tak pudar. Sekarang giliran abang layan Wiya.” Nazim memujuk.
        “Lupakan semua tentang abang sayang. Yang penting Wiya kembali sembuh macam dulu. Abang akan terus ada dengan Wiya." Memujuk lagi tanpa ada rasa jemu. Dia sedar, kesakitan Adawiyah tak tertanggung.
        Tapi mampukah dia melepaskan Adawiyah pergi? Tergantung soalannya itu, kerana tidak punya jawapan.
        "Jangan harap Wiya sihat, sebab Wiya tahu hidup Wiya tak panjang. Mulai sekarang, abang kena fikirkan tentang kebahagiaan abang."
        "Dah beratus kali Wiya ulang benda yang sama. Abang takkan jadi bodoh untuk lukakan hati orang yang paling abang sayang," tegas Nazim, tidak mahu tunduk dengan cadangan Adawiyah.
        "Itu bukan tindakan bodoh abang, Wiya cuma nak tolong abang, nak tengok abang bahagia. Hidup dengan seseorang yang mampu buat abang tersenyum. Wiya ni apa yang ada abang? Anak pun Wiya tak mampu beri, itu yang abang katakan bahagia? Wiya tahu, abang tak bahagia.” Lemah suaranya, dengan wajah tunduk, tapi mahu terus bercakap.
        “Hubungan kita ni tak ubah macam dua orang pengembara yang sesat di padang pasir. Suram, kaku, bungkam." Memberi perumpamaan, mahu menyedarkan Nazim yang sebenarnya lelaki itu menipu hati sendiri.

        “Terserah kalau Wiya nak fikir macam tu. Yang pasti, perasaan abang pada Wiya masih sama, tak pernah berubah. Kalau Wiya rasa selama ni abang menipu, silap tanggapan Wiya tu! Cukup Wiya sorang, abang dah tak perlukan sesiapa.” Nazim bangkit dan berlalu. Tak daya lagi untuk dia melayan permintaan yang bukan-bukan si isteri.


No comments:

Post a Comment