Sunday 16 November 2014

Bab 8 : DIA SEBELUM AKU - CIK D

         

         
                M
ENGAMBIL langkah untuk duduk jauh dari Adawiyah, Nazim menghala ke dapur. Mahu menyediakan sarapan pagi untuk wanita kesayangannya itu. Pintu kabinet dibuka perlahan, mencari baki ikan bilis yang entah bila kali terakhir digunakan.
        Dua minit menggeledah, kelibat bekas ikan bilis masih belum dijumpai. Berhenti dari terus mencari apabila ternampak satu bungkusan yang masih elok tersimpan di sudut dalam kabinet.
        Habuk pada permukaan bungkusan ditepuk dan segala kekotoran dibuang sebelum Nazim meleraikan ikatan bungkusan itu.
        Seingatnya tiada apa yang disimpan sebelum ini, tapi bungkusan yang berada di hadapannya kini mana pula datangnya.
        Botol susu? Terimbau bagaimana gembiranya Adawiyah bila disahkan mengandung dua tahun yang lepas.
        "Dia betul-betul nakkan anak tu." Nazim meratap sendiri. Kesedihan yang tak berpenghujung. Setelah Adawiyah keguguran, doktor mengesahkan Adawiyah menghidap kanser servik, dan punca dia keguguran juga disebabkan penyakitnya itu.
        "Maafkan ayah sayang."  Botol susu comel yang dibeli Adawiyah sewaktu awal kandungannya dulu dipeluk.
        Satu persatu dugaan datang. Sejak awal perkahwinan, belum pernah mereka benar-benar mengecapi nikmat bahagia.
        Atau benar seperti kata Adawiyah, ini balasan untuk mereka kerana ingkar larangan orang tua? Dia nikahi Adawiyah tanpa restu mama dan papa?
        Astaghafirullahalazimm.... Nazim beristighfar. apa yang berlaku sebenarnya ketentuan, qada' dan qadar yang telah ditentukan untuk dia dan Adawiyah.
        Belum lama dia di dapur, terdengar suara seseorang memberi salam. Dengan kadar segera dia meluru ke pintu utama. Mencari gerangan yang memberi salam.
        "Waalaikumsalam...." jeritnya dari dalam rumah, tidak mahu si pemberi salam terus memberi salam.
        "Abang Nazim." Muncul Ainan sebaik pintu diselak. Tersenyum gadis itu. Sarat dengan segala beg di tangan.
        "Oh! Ainan, kata nak datang petang?” sambut Nazim. Senyum manis gadis yang elok hati budinya di hadapannya itu dibalas dengan senyuman juga.
        “Gerak awal, mak bising takut petang hujan.”
        “Oooo.. masuklah," ajak Nazim, senang hatinya bila kelibat gadis comel itu muncul di depan mata pagi itu.
        "Boleh masuk?" Seloroh Ainan, segan pula mahu menyesuaikan diri. Iyalah, lelaki ni bukan calang-calang lelaki. Walaupun adakalanya nampak selebet, tapi kalau tengok betul-betul, memang kacak.
        "Boleh. Apa pulak tak boleh, rumah kami...." Nazim  mati kata buat beberapa ketika. Tak tahu ayat yang sesuai untuk diluahkan.
        "Buat rumah kami, macam rumah Ainan sendiri. Selesakan diri ya," pelawa Nazim, membantu Ainan mengangkat beg besar yang terletak di depan pintu.
        "Abang Nazim tengah buat apa? Lama saya beri salam, baru nak buka pintu."
        "Ada. Dekat belakang tadi. Ingat nak buat bubur untuk kakak. Tapi cari ikan bilis, tak jumpa pulak."
        Abang Nazim, masak? Wah. Kagum Ainan dalam hati.
        "Mana pergi ikan bilisnya? Atau kucing dah bawa lari." Ainan cuba untuk bermesra, tidak mahu terlalu kaku. Mahu segera menyesuaikan diri bersama majikan barunya itu.
        "Mungkin kut. Nampak ikan bilis tu seksi, itu yang dia bawa lari," balas Nazim, juga berseloroh.
        "Jom, abang tunjuk bilik Ainan." Melulu Nazim menaiki anak tangga dan meninggalkan Ainan jauh di belakang.
        Ainan mengekor dari belakang. Kalau bilik dia di atas, mana pulak letaknya bilik diorang. Duduk rumah besar macam ni, takkan berdua saja. Mana anak-anak diorang? Mata melingas tercari. Kutlah terlihat ada anak-anak kecil berlari. Tapi tak ada.
        "Sini bilik Ainan. Maaflah, abang tak sempat kemas. Harap Ainan faham, abang manalah ada masa."
        "Okey. Tak apa, sempat nanti saya kemaslah."
        "Kalau ada apa yang kurang, cari abang dekat bawah. Kak Wiya pun ada dalam bilik tu."
        "Mana bilik abang?"  Ainan terlanjur menyoal dan kemudian termalu sendiri. Apalah,bilik orang pun nak tahu. Busy body betul!
        "Abang dengan kakak duduk di bawah. Kak Wiya tu dah tak kuat, sebab tu abang pindah bilik bawah. Ainan rehat-rahat dululah, abang nak masak. Kakak tu sejak malam tadi tak nak makan. Manalah tahu, ada Ainan ni dia selera nak makan."
        "Okey, lepas saya kemas barang ni sikit, saya pergi cari kakak."
        "Boleh juga. Tolonglah Ainan apa yang boleh. Perangai Kak Wiya tu lain sangat sekarang. Nak marah saja kerja dia. Ainan tolong abang ya?"
        "Insya-Allah. Siap aje nanti, saya turun bawah."
        "Okeylah, abang turun dulu." Nazim berlalu membawa hati yang sarat. Mengenangkan si isteri dan permintaan yang mengarut, terasa lelah untuk melayan.
         
         
         
         
TAK lama Nazim di dapur, tiba-tiba Ainan muncul di situ.
"Eh? Cakap nak jumpa kakak, kenapa muncul kat dapur ni?"
        "Kak Wiya tidur, tak sampai hati pulak nak kejut." Ainan duduk memerhati lelaki itu memasak di dapur.
        "Oh! biarkan dia tidur, kalau bukak mata pun..." Nazim tak jadi menghabiskan ayatnya.
        "Kenapa abang?"
        "Entahlah Ainan. Susah nak cakap. Apa yang boleh abang kata, abang tak sampai hati nak tengok dia macam tu." Sedih Nazim bercerita, sambil tangan ligat mengupas bawang.
        Tak sangka Ainan, lelaki yang berkerjaya besar seperti Abang Nazim itu mahu ke dapur.
        "Abang dan kakak, memang tinggal berdua eh?" Soalnya bila terpandang botol susu yang ada di atas meja.
        Nak ditanya mana anak, dibuatnya tak ada anak, tak ke terasa orang ni nanti.
        "Kenapa?"
        "Tu botol susu?" Ainan mula curiga. Botolnya ada, tapi bayang budak pun tak nampak.
        "Botol ni, abang punya," seloroh Nazim.
        "Ha?" Boleh tahan juga kepala dia ni. Dah tua bangka takkan masih hisap botol?
        "Tak adalah. Kami memang tinggal berdua. Allah belum bagi rezeki. Kami masih belum dikurniakan zuriat," cerita Nazim, terus terang.
        "Abang kemas kabinet tadi. Tetiba nampak botol ni, itu yang abang keluarkan. Itu Kak Wiya beli masa mula-mula dia disahkan hamil dulu. Tapi, tak ada rezeki, zuriat tu tak lama bertahan."
        Tersentuh hati Ainan mendengar luahan lelaki itu.
        "Ainan nak makan apa tengah hari ni? Abang boleh tolong masakkan." Nazim ubah topik.
        "Eh, tak perlu susah-susah. Saya ada bawa makanan dari kampung. Dua hari lepas Kak Wiya minta serundingkan, jadi saya dah buat untuk kakak."
        "Alhamdulillah, sukalah kakak nanti."
        "Abang reti masak ke?"
        "Bolehlah, kalau setakat nak masak bubur. Tadi tu saja aje pelawa Ainan makan, padahal abang manalah reti masak." Gelaknya, cuba membiasakan diri dengan ‘pembantu’ baru.
        "Lepas ni dah tak perlu susah. Saya ada, boleh tolong abang dan kakak. Senang sikit kerja abang." Ainan memberi harapan. Dia benar-benar mahu membantu pasangan itu.
        "Terima kasih sudi bantu kami."
        "Sama-sama. Dan terima kasih juga, sebab bawa saya ke rumah ni."
        "Tak ada apa yang istimewa rumah ni Ainan. Rumah besar yang penuh dengan cerita sedih. Pagi cerita sedih, petang cerita sedih. Sampaikan nak tidur pun tak lena, sebab dirundung dengan kesedihan," luah Nazim tanpa dia sedar.
        "Sedih sangat cerita abang tu."
        "Tak ada apalah Ainan, sejak duduk rumah ni banyak sangat tengok drama melayu, tu yang mood tak stabil." Nazim cuba berseloroh, mengalih cerita sedih menjadi gembira.
        "Oh." Ainan senyum. Pandai juga dia ni berseloroh.
        "Ini mak tahu tak Ainan kerja dengan kami ni?"
        "Tak. Tapi saya ada cakap yang saya dah tukar kerja. Kerja di rumah orang."
        "Boyfriend? Tahu?" Nazim cuba mengorek.
        "Manalah ada boyfriend. Lagipun saya tak sukalah berpacaran ni. Kalau nak, deal dengan mak terus nikah, malas nak bercinta cintun ni. Buang masa." Mudah prinsip Ainan, tak suka buang masa dengan bercinta.
        "Oh, macam tu."
        "Abang? Tak nak pasang sorang lagi?" Ish, kenapalah mulut ni celupar sangat. Melihat wajah lelaki itu berubah riak, membuatkan Ainan kesal dengan apa yang disuarakan tadi.
        "Sorry, saya...."
        "Tak apa, abang tahu Ainan bergurau. Kenapa kalau abang nak pasang satu lagi, Ainan nak ke kahwin dengan abang?" Penuh makna sahaja soalannya, tanpa sedar telah buat gadis itu termalu sendiri.
        "Saya ke bilik kakak dululah." Akibat bengang dengan soalan Nazim, cepat kakinya diayun. Tak mahu terus diusik lelaki itu.
        Tidak terus ke bilik Adawiyah, sebaliknya Ainan berlegar-legar di ruang tamu rumah tersebut. Besar juga rumah mereka ni. Bilik dekat atas tadi dia kira ada tiga, tak termasuk yang kat bawah ni lagi. Teroka Ainan, dengan langkah teratur mengelilingi segenap ruang tamu banglo dua tingkat itu.
        Berhabuk. Terbatuk apabila jarinya mencecah ke bingkai gambar milik pasangan tersebut. Tentu dah lama tak berkemas rumah ni. Kalau dah Kak Adawiyah nak berjalan pun tak larat, ini pula nak berkemas. Nak harapkan Abang Nazim berkemas, ada ke orang lelaki yang reti berkemas.
        Diletakkan semula bingkai gambar yang menempatkan potret suami isteri itu, sebelum langkahnya terhenti pada sebaris kasut bayi yang tersusun di atas sebuah meja perhiasan.
        Comel. Tapi kenapa nak simpan kasut-kasut comel ni? Tak ke buat tambah sedih saja.
        "Ainan!" Teguran Nazim membuatkan Ainan tersentak sendiri, memandang lelaki itu yang sedang membawa dulang makanan.
        "Jom, teman kakak makan."
        "Boleh masuk ke?"
        "Apa pulak tak boleh, jom." Pelawa Nazim, beriya mahu Ainan selesa di rumahnya.
        "Kakak dah bangun ke?"
        "Dah kut, sekejap lagi dia nak mandi, biasanya waktu macam ni dia dah bangun." Pintu jati itu dikuak perlahan, sebelum kelibat Adawiyah yang tersandar di kepala katil diperhatikan.
        "Sayang." Lembut suara Nazim sampai ke telinga Adawiyah, dengan Ainan yang turut sama merasai lembut panggilan itu.
        "Dah lama ke Wiya tidur abang?" soal Adawiyah, masih tak perasan kelibat Ainan yang ada di belakang suaminya waktu itu.
        "Lamalah jugak. Sekarang baru pukul sepuluh. Lepas subuh tadi sayang sambung tidur lagi, kan. Tengok sayang, abang bawa siapa." Beralih sedikit Nazim, mahu Adawiyah perasan kelibat Ainan.
        "Ainan!" Teruja Adawiyah bila Ainan memunculkan diri. Segera menghulurkan tangan, mahu Ainan duduk dekat dengannya.
        "Adik, akak ingat Ainan tak jadi datang."
        "Mana boleh tak datang, saya dah janji nak datangkan?" Didakap erat tubuh layu Adawiyah, sebelum bibir manisnya mengucup pipi cengkung milik wanita itu.
        “Macam mana hari ni? Sihat?” soalnya berbasa basi. Menatap mata layu Adawiyah yang cengkung ke dalam.
        "Macam nilah dik. Terima kasih sebab sudi teman akak." Berkaca mata Adawiyah bila kelibat orang yang dinanti sudah muncul di depan mata.
        "Tak naklah sedih kak. Saya dah datang kan, jom saya suap akak makan. Lepas ni, saya tolong akak mandi dan tukar baju."
        "Abang." Tangan kiri Adawiyah dihulurkan pada Nazim, mahu lelaki itu turut bersama mereka.
        "Tak apalah, Wiya berbuallah dengan Ainan. Abang nak kemas dapur." Nazim cuba mengelak, tahu apa yang ada dalam kepala isterinya.
        "Abang, sinilah."
        "Wiya, tak naklah paksa macam ni. Tak apa, abang keluar. Wiya dengan Ainan pulak ya?"
        "Jangan nak mengelak abang. Wiya dah tak boleh tunggu lagi. Wiya dah tak lama."
        Tak lama? Tak boleh tunggu? Kenapa semakin misteri mereka ni? Apa sebenarnya yang mereka cuba buat? Kalut Ainan memikir, belum jelas apa yang dimahukan Adawiyah.
        "Ainan.” Adawiyah menyeru nama Ainan yang nyata bingung waktu itu.
        “Kak Wiya nak pinang Ainan, untuk abang Nazim." Selamba dia berterus terang kerana baginya, sudah tiada banyak masa lagi untuk terus menunggu.
        "Ha?" Hampir pengsan Ainan bila Adawiyah melamarnya begitu.
        "Dik. Akak nak Ainan nikah dengan abang. Ainan boleh tolong akak tak dik?" Serius wajah Adawiyah mengharap.
        Sementara Nazim sudah tidak mampu berbuat apa-apa. Malu sendiri dengan pinangan isterinya itu.
        Ainan pula tak terkutik. Jelas keliru dengan apa yang didengarnya tadi.
        "Terima abang..... Macam mana Ainan terima masuk dalam rumah ni, boleh kan dik?"
        "Wiya...." Nazim bersuara. Menghalang. Tidak mahu Adawiyah terus berkata yang bukan-bukan.
        "Demi akak dik." Mengharap lagi, Adawiyah tak peduli dengan bicara suaminya.
        "Wiya!"
        Semakin tegang keadaan. Dengan Ainan yang terdiam sepi. Adawiyah yang terus mendesak, dan Nazim yang tak sudah melarang isterinya dari meneruskan niatnya.
        "Kak Wiya dah tak mampu hidup lama. Kalau Ainan sudi, Ainan terimalah abang sebab akak tahu, abang mampu dan abang perlukan seseorang untuk hiburkan hati dia."
        Hiburkan hati Abang Nazim? Tapi kenapa mesti Dia? Bentak Ainan sendiri. Tak betah dipaksa, tapi kalau kehadirannya di sini, hanya untuk dikahwinkan dengan lelaki ini, ada lagi ke pilihan lain yang dia boleh pilih?
        Takkan nak balik semula berkerja sebagai kerani yang hari-hari menuntut dia kerja sampai ke malam? Atau terima Malik, lelaki yang beriya mahukan dia jadi isteri? Terus serabut fikiran Ainan.
        "Ainan jangan risaukan akak, sebab akak dah tak ada apa-apa perasaan pada abang. Perasaan akak dah mati dik. Tapi adil ke kalau perasaan akak seorang yang mati, tapi abang juga terpaksa ikut sama mati perasaan disebabkan akak? Terima ya dik?" Rayu Adawiyah tanpa lelah lagi.
        Tak putus dia mengharap, gadis yang masih digenggam jemarinya itu akan berkata iya.
        "Tolong akak sebab akak tahu, hanya Ainan yang mampu buat semua ni. Akak nampak keikhlasan Ainan. Akak tahu kejujuran Ainan...."
        "Jangan paksa orang Wiya. Abang tak suka Wiya buat abang macam ni. Hentikan semua cerita karut Wiya ni boleh tak?” pintas Nazim, melarang isterinya untuk terus mendesak. Tambahan pula dia nampak jelas, Ainan seakan tak senang dengan cadangan isterinya itu.
        "Saya rasa kakak dan abang dah silap orang. Saya bukan orang yang Kak Wiya dan abang boleh manipulasi sesuka hati." Baru diberi kekuatan untuk bersuara, Ainan cuba menentang kemahuan Adawiyah yang dirasa tidak sepatutnya disuarakan saat dia baru sahaja menjejakkan kakinya di kediaman ini.
        "Dengar sini dik, Kak Wiya betul-betul terdesak. Akak dah tak ada pilihan. Bila akak nampak Ainan tempoh hari, hati akak terdetik yang Ainan boleh gantikan tempat akak. Jadi isteri abang." Penjelasan Adawiyah makin membuatkan Ainan bingung.
        "Jadi, kehadiran saya di sini bukan untuk jaga akak? Akak perguna saya, untuk abang? Apa semua ni? Saya tak faham." Suara hatinya diluah, memandang Nazim yang tertunduk, dan Adawiyah yang sudah berendam air mata.
        "Jawab kak. Saya ikhlas nak bantu akak, abang. Tapi kenapa sekarang lain pula ceritanya? Kenapa akak hapuskan semua rasa percaya saya pada akak?" Ainan merasakan dirinya sedang digula-gulakan. Apa sebenarnya yang mereka nak dari dia?
        "Ainan tolong percayakan akak. Akak tak akan hidup lama. Doktor anggarkan hayat akak berakhir dua bulan lepas, dan hakikatnya sekarang akak boleh pergi bila-bila masa saja dik. Jadi, sebelum akak pergi, akak nak sangat lelaki yang paling akak sayang hidup bahagia dan akak nampak kebahagiaan dia. Jelas dalam bayangan akak yang Ainan dan abang akan hidup bahagia."
        Bahu Ainan disentuh, dan dengan kudrat yang ada, cuba dipaut kedua bahu gadis itu.
        "Kalau Ainan kesiankan akak, betul nak tolong akak, terimalah Abang Nazim. Jangan sesekali fikirkan hati akak, ya sayang?"
        Luluh semua hati Nazim, berkeping-keping menjadi debu saat isterinya meluahkan begitu di hadapan seorang gadis yang langsung tidak dicintai. Dia mengambil langkah untuk meninggalkan bilik tersebut. Tak sanggup lagi mendengar setiap patah yang menghiris hati dari isterinya itu.
        Masakan Adawiyah sudah tiada hati padanya. Cinta dan sayang si isteri selama lebih enam tahun lepas sudah menghilang ke mana? Tergamak Adawiyah berkata begitu?
        Sedih hatinya ditahan. Terus berlalu dengan harapan Ainan menepis tiap apa yang dicadangkan isterinya itu.
        "Akak tak minta apa dik, cukup kalau Ainan bahagiakan abang. Enam tahun perkahwinan kami, bahagianya cuma seketika dik. Selebihnya derita yang mengiringi hidup abang. Dia dibuang keluarga disebabkan akak. Papanya halau dia keluar dari syarikat, sebab nikahi akak. Menantu bukan pilihan.” Dibongkar rahsia yang selama ini tersimpan. Mahu gadis di hadapannya tahu semua tentang mereka.
        “Dik, terima lamaran akak, untuk abang? Akak janji sayang dia hanya untuk Ainan. Akak serahkan abang untuk Ainan. Terima abang ya dik?" pujuk Adawiyah lagi, mahu Ainan menerima pinangannya untuk sang suaminya.
        "Kak.." lemah suara Ainan.
        Apa lagi yang harus dia jelaskan?  Dia betul-betul tersepit. Takkan dia nak berundur? Mana lagi dia nak pergi? Duit dua ribu yang Nazim beri sebagai tanda setuju memulakan kerja sudah dieri pada maknya. Mana dia nak cari ganti? Bingung. Ainan benar-benar tersepit.
        "Ainan, terima ya dik?" tayu Adawiyah tanpa jemu, mengharap simpati Aian. Dia yakin Ainan mampu bahagian suaminya bila dia tiada lagi di dunia ini. Ikhlas wajah Ainan buat keyakinan tak tergugat.
        "Saya tak ada pilihan ke kak?" Ainan bersuara dengan harapan Adawiyah berubah hati. Terhela nafas berat, seberat bahu yang bakal memikul tanggungjawab.
        "Umur akak dah tak lama dik, sampai masa nanti akak perlu pergi, dan sebelum mata ni tertutup rapat, akak nak abang tersenyum. Tersenyum sebab ada seseorang yang mampu membuat dia terus tersenyum. Dan akak tahu, Ainanlah orang yang akak maksudkan itu."
        "Hati akak? Akak nak biar hati akak hancur? Bila ada wanita lain, bersama suami akak?"
        "Ainan, jangan fikirkan akak. Apalah sangat hati orang yang dah nak mati seperti akak ni. Jangan hiraukan akak. Terima abang dan bahagiakan dia ya dik?" pinta Adawiyah tanpa lelah.

        Ainan tiada jawapan. Kagetnya masih belum hilang, lain yang diharap, rupanya lain yang menunggunya. 


No comments:

Post a Comment