Sunday 16 November 2014

Bab 8 : KUPIKAT JANDAKU - ANA SOFIYA

Bab 8

Mereka bertemu lagi. Bukan secara kebetulan tetapi memang sudah dirancang rapi oleh Raif. Daripada kata-katanya tadi, Izyan sudah rasa lain macam. Kecut perut dia apabila teringat akan soalan yang Raif tanyakan kepadanya.

Salah ke kalau seorang duda datang nak cari janda dia semula?

Kenapa dengan Raif? Apa niatnya di sebalik soalan itu?
Izyan memicit pelipis. Semakin dia memikirkan Raif, semakin sakit dan berdenyut-denyut pula. Sekejap lagi akan ditampalnya dengan plaster andai kata denyutan itu semakin menjadi-jadi.  
Mata mengintai muka jam di pergelangan tangan. “Dah pukul 6.40? Eee, lamanya Zana jumpa Zahin?”
Biasanya, dia yang akan dipanggil oleh Zahin setiap kali habis waktu kerja. Nanti dialah yang akan sampaikan laporan pengurusan kaunter. Berapa orang mendaftar masuk? Berapa orang keluar? Ada rungutan tak? Semua soalan itu dia yang kena jawab.
Namun, kerana peristiwa yang berlaku pagi tadi, Zahin mengelak dia. Sengaja memanggil Zana dan menyuruh wanita itu yang menyediakan laporan. Jadi, Izyan terpaksalah memujuk hati sendiri supaya tidak terasa dengan tindakan Zahin itu. 
“Kalau lagi lima minit Zana tak keluar-keluar, aku nak balik dulu. Maghrib pun dah dekat. Takkan nak bersidai di depan stesen bas ni.” Izyan berbisik di dalam hati. Dia tidak sedar bahawa tidak jauh dari tempat dia duduk, ada seseorang sedang memerhati dirinya dengan penuh asyik.
“Tapi, apa yang Zahin dengan Zana buat kat dalam bilik tu ya? Apa yang Zahin tanya? Entah-entah Zahin nak korek rahsia aku dari Zana tak?”
Soalan ditanya sambil dia menyisip air tebu dengan penuh nikmat. Perlahan-lahan membasahi tekaknya yang kering. Setelah puas minum, mulut sibuk mengunyah pisang goreng yang dibeli daripada gerai Kak Enah, di seberang jalan sana. Pisang goreng itu dikunyah sambil pejam-pejam mata. Kebiasaan yang sering dilakukan sejak lama.
          “You never change. Suka sangat makan pisang goreng. Sama macam dulu jugak!”
Izyan yang terkejut terus jadi kejung. Dia mendengus. Mendengar suara pun dia sudah tahu siapa. Tidak perlu menoleh untuk dia mengenali si penyibuk. Perlahan-lahan kepala didongak. Raif begitu asyik merenunginya menyebabkan hati dan jantung Izyan sudah buat perangai semula. Berdebar dan berdetak selaju monorel yang sedang bergerak.
Dada yang berdegup kencang dipekup rapat dengan tapak tangan. Saat itu Izyan sudah mendapat jawapan kepada resah yang mendatanginya sebelum ini. Debaran yang hadir bukan kerana dia sakit. Debaran itu adalah kerana lelaki ini.
Boleh tak kalau dia nak menyorok? soal hati.
Tak sempatlah, akal menjawab.
Nak lari, boleh? hati bertanya lagi.  
Ke mana? Tempat kau sedang berehat ini bukannya kawasan padang yang ada track untuk lari pecut, kan? Kalau ada, bolehlah. Lari laju-laju dan pergi jauh-jauh daripada Raif Sufyan Hadi tu! Hati yang berbisik menghadirkan roman yang berbeza pada wajahnya. Sekejap masam, sekejap cemas, sekejap lagi kelihatan seperti hendak marah pula. Semua itu diperhati oleh Raif bersama senyuman di bibir.
“Boleh aku duduk sini?” tanya dia.
Izyan segera melihat ke sekeliling mereka. “Kan banyak lagi tempat kosong. Duduklah kat sana.”
Lelaki itu tak endahkan kata-kata Izyan. Sebaliknya, dengan selamba dia duduk di sebelah wanita itu.
“Tak faham bahasa ke? Orang suruh duduk tempat lain kan?” tanya Izyan dalam riak marah. Wajah tak manis langsung.
“Aku nak duduk di sini juga. Ada masalah?”
“Masalahnya ialah... Saya. Tak. Suka.” Izyan sebut satu-satu.
“Ada aku kisah?” Wajah Izyan ditatap lagi. “Yang kau bersidai di sini kenapa? Suka ya budak-budak muda tu duk tengok kau?” tanya Raif.
Izyan baru perasan yang di sebelah kiri mereka ada beberapa orang anak muda sedang bertenggek di atas motosikal masing-masing. Walaupun dia tak percaya yang dirinya menjadi tontonan mereka, sengaja dia hendak menyakitkan hati Raif dengan menjawab, “Perempuan mana yang tak suka kalau diri dia jadi perhatian. Cuba cakap.”
“Eleh, kut ia pun... takkanlah budak muda macam tu suka pada kau. Pangkat kakak, weh!” Raif mengutuk. 
Perangai lama dah kembali. Hobi mengutuk dia masih ada nampaknya. Yalah, bukan senang nak ubah sikap, kan?
Izyan tak mahu panjangkan hal itu. Buat sakit hati dia sahaja mendengar Raif mengutuknya. Jadi cepat-cepat dia memberitahu yang dia sedang menunggu kawan.
“Kawan yang mana? Yang kau panggil Zana tu ke? Atau kau tengah tunggu...” Raif jeda sekejap sebelum menyambung, “Encik Zahin?”
“Suka hati sayalah. Awak peduli apa?” marah Izyan.
“Kalau kau tunggu Zana, aku tak kisah. Tapi kalau kau tunggu Encik Zahin kau tu, aku tak berapa suka.”
“Apa yang awak suka atau tak suka dah tak ada kena mengena dengan saya, Encik Raif Sufyan Hadi.”
Raif senyum. Setelah sekian lama tidak berjumpa, dia rasa terhibur mendengar suara Izyan. Seronok mendengar omelannya.
“Aku tahu tapi aku tetap tak suka. Dan satu lagi yang aku tak suka...” 
Izyan menjuihkan bibir. Makin dia cakap tak suka, makin bertambah senarai yang diberi Raif. Eee, memanglah tak makan saman langsung, omel hati.
“Iz, aku tak suka kau ber Raif-awak dengan aku. Aku nak kau panggil aku abang.”
Bulat mata Izyan. Tak sangka itu perkara yang tidak disukai oleh bekas suaminya. “Tak ada sebab saya nak panggil awak abang lagi.”
Raif menyilangkan tangan di dada. “Kenapa? Sebab aku bukan lagi suami kau?”
“Tahu pun.”
“Tapi Iz, aku lebih tua dari kau. Panggilan abang tu tanda hormat seorang yang lebih muda kepada yang lebih tua. Kan?” hujah Raif.
Izyan tarik nafas panjang. Wajah Raif dipandang sekilas sebelum menjawab. “Kalau awak teringin sangat nak dengar perempuan panggil awak abang, pergilah cari perempuan tu di tempat lain. Ramai aje yang sudi. Pergilah!” halaunya.
Raif gelengkan kepala. “Aku tak nak orang lain. Aku nak kau saja. Faham tak?”
Kerutan di dahi Izyan menjawab soalan itu. Pelik dirasakannya. Hendak sangat orang panggil dia abang. Tapi apabila disuruh cari yang lain untuk memanggilnya, jawapan entah apa-apa yang diberikan. Kalau Izyan jenis perasan mungkin Izyan akan fikir ada maksud lain yang tersirat di sebalik ‘Aku tak nak orang lain, aku nak kau saja.’ Hailaa, jangan, Iz! Cukuplah sekali, okey! Cukup!
“Kenapa awak datang sini?” Izyan bertanya.
“Cuba teka,” balas Raif.
“Awak nak pergi berehat di Pulau Perhentian ke?” soalnya.
“Insya-Allah, aku akan ke sana nanti.”
Izyan merasa lega. Rupa-rupanya Raif hendak ke pusat peranginan itu.
“Bila?” soalnya. Rasa syukur dan sudah tidak sabar-sabar mahukan lelaki itu tinggalkan dia.
“Bila kita honeymoon nantilah. Sekarang ni tak boleh lagi. Belum halal.” Ada tawa di hujung ayat.
Izyan tak mampu menahan rasa marahnya lagi. Matanya dijegilkan.
“Cakap tu cuba elok-elok sikit. Bila kita honeymoon nantilah, konon? Hello, kita dah bercerai pun. Nak honeymoon apanya lagi?”
“Ya, memang kita dah bercerai, Iz. Tapi, kita akan kahwin semula. Kita akan rujuk...”
“Diamlah! Saya tak nak dengar cakap awak yang merapu ni. Kalau nak bergurau pun, tolonglah jangan bergurau pasal nikah, kahwin dan cerai. Perkara-perkara tu bukannya boleh dibuat lawak, tahu!” Izyan sudah meninggikan suaranya. 
Raif tarik nafas panjang. Memandang wajah bekas isterinya tunak. Memukau sejuta rasa yang difikirkan sudah menjauh. Melemaskan.
“Aku tak pernah dapat lupakan kau, Iz. Sejak kau pergi...”
Segera Izyan pintas. “Ingat saya percaya cakap awak?”
“Aku tahu memang kau susah nak percaya cakap aku dah. Tapi, aku tak bohong. Kau pun tahu yang aku tak pandai bohong, kan?” balas Raif.
Izyan tak tahu nak jawab apa. Jadi, diam lebih baik, fikirnya.
“Bila aku cakap aku tak pernah lupakan kau, memang aku tak pernah lupakan kau. Sejak hari pertama kenal kau sampai sekarang, Iz. Kau sentiasa ada kat dalam sini.” Raif letak tangan kanan di dada. “Dan sini.” Tangan itu kini dihala ke arah kepalanya. Renungan mata melekat ke wajah mulus Izyan yang sudah merona merah.
Lama Izyan memaku perhatian pada wajah itu. Wajah tampan yang pernah menjadi igauannya. Mata yang indah, hidung yang mancung, bibir yang nipis, lesung pipit yang hadir setiap kali lelaki itu tersenyum bersama lekuk pada dagu. Semuanya sama. Jadi, pastilah lelaki di hadapannya ini adalah insan yang satu itu. Tapi, Raif yang itu tak pandai berkata-kata seperti tadi. Mengungkap bait-bait yang menyebabkan hatinya yang satu ini bergetaran tidak menentu.
“Iz...”
“Jangan cakap apa-apa lagi.”
“Kenapa? Dah tergoda?”
“Oh please! Awak ingat, selepas apa yang berlaku dulu senang-senang saya nak tergoda dengan awak balik?”
“Mungkin?” Raif tersenyum nakal.  
“Jangan harap!”
“Amboi, sombongnya.”
“Raif, kalau pun saya ni ada amnesia, tak semestinya saya lupa semua yang awak dah buat pada saya, tahu tak!” balas Izyan dalam suara tersekat-sekat menahan geram. 
Satu keluhan terlontar. “Betul juga tu.”
Dahi Izyan berkerut. “Apa?”
Raif halakan pandangan jauh ke hadapan. Soalan Izyan dibiarkan sepi. Namun sekejap sahaja dia sudah menoleh memandang wajah bekas isterinya semula. Mengukir killer smile yang pernah membuat Izyan jadi gila bayang kerananya.
Hati-hati, Iz. Jangan terpedaya pada senyuman tu. Jangan tergoda! Ada suara memberi ingatan.
Raif berdiri. Menghulurkan tangannya. “Hai, nama aku Raif. Boleh aku tahu nama kau?”
“Nak buat apa?”
“Aku nak berkenalan dengan kau.”
“Saya ni jenis memilih kawan. Orang yang saya tak kenal, saya tak akan terima jadi kawan saya,” ujar Izyan. Selamba.
Tangan sudah pun di sisi tubuh. “Aku pulak jenis yang degil. Kalau aku nakkan seseorang, aku akan pastikan dia jadi milik aku.”
Kata-kata yang menyebabkan Izyan mendongak.
“Aku rindu saat itu. Waktu pertama kali kita jumpa. Kena kutuk dengan kau tapi aku rasa macam tiap perkataan yang keluar daripada mulut kau tu duk belai aku pulak.”
Dahi Izyan sudah berkerut. ‘Dia ni sedang mengurat aku ke?’ tanya hati yang kembali berdebar-debar. ‘Tapi, kenapa dia cakap benda pelik macam ni? Apa yang aku cakap sampai dia rasa macam kena belai pulak? Hesy, mengarut dah ni!’
“Awak jangan nak macam-macam di sini, ya. Tak ada sebab saya nak ingat kisah lama tu.” Suara Izyan lebih tegas dari tadi. 
“Maksudnya, kau nak lupakan semua tu? Hesy, mana boleh? Tu kan kenangan, Iz. Kenangan manis kita. Dari situlah kita berkawan dan akhirnya...”
“Tak payah sebut. Saya tak mahu dengar.”
Raif tersenyum. “Marah sangat nampaknya. Patutlah berat mulut tu nak panggil aku abang. Baru faham.”
Habis bercakap, lelaki itu selamba mengambil pisang goreng dan menyuapnya ke dalam mulut. Tak ada rasa bersalah sama sekali. 
Izyan menggeleng. Hati geram sangat tengok santainya Raif makan pisang goreng dia. Segera dia menarik bungkusan plastik itu dan memegangnya.
“Ini saya punya. Kalau lapar sangat, pergilah beli.”
“Kedekut.” Bekas air tebu pula ditarik. Tanpa silu, air disisip laju sehingga hampir habis. “Ops, sorry.”
“Encik ni memang kejam tahu tak?”
Raif tergelak. “Encik mana ni, Izyan? Aku ke?”
“Habis, ada orang lain ke di sini?”
“Hmm, garangnya. Sejak bila ni?”
“Tanya pulak?”
Raif jongket kening.
“Sejak saya kenal awaklah. Takkan tak tahu? Awak tu cikgu saya yang dah ajar saya macam-macam. Menengking, menyindir, kutuk orang. Apa yang awak tak buat? Lupa?” balas Izyan.
“Ouch.” Raif persis sakit sangat mendengar celaan Izyan itu. Tapi sekejap ajelah. Tak lama lepas tu senyum sinisnya terukir semula. “Hmm, yang lain-lain semua aku lupa. Satu aje yang kekal dalam ingatan ni. Nak tahu?”
Izyan mencebik. “Tak lain nak mengarutlah tu,” tuduhnya.
“Mungkin dalam perkara lain, aku gagal sebagai cikgu kau. Tapi rasanya dalam hal yang satu tu, aku cikgu yang berjaya sebab kau murid aku yang sangat cemerlang. Betul tak?”
Izyan tidak mahu berkata apa-apa lagi. Makin dibalas, makin mengarut jadinya. Kebetulan telefon bimbitnya berbunyi tanda ada pesanan ringkas masuk. Laju dia memberitahu Zana di mana dia berada. Orang di sebelah sedikit pun tidak dihiraukan.
“Tinggal kat mana?” tanya Raif sebaik Izyan menutup telefon.
“Sibuk aje.”
“Sibuk tu taklah. Cuma, aku ingat nak ajak kau makan sama-sama malam karang. Nak jemput kau aku kenalah tahu alamat tempat tinggal kau tu. Betul tak?” Raif bertanya sambil menyandarkan tubuh ke belakang. Tangan disilang pada dada.
Izyan enggan melihat gaya macho itu lama-lama. Bimbang hati tergoda.
“Saya tak nak keluar makan dengan awak.”
“Malam esok?”
“Jawapan yang sama jugak.”
“Lusa?”
Izyan dah ketap gigi. Grrr...
“Okey.” Raif bangun. “Bila-bila pun boleh, kan? Aku sanggup tunggu.”
“Kenapa?”
Raif tak menyahut. Mata sibuk tengok muka jam.
“Dah nak maghrib ni. Telefon kawan kau tu ajak balik. Tak elok berada di luar rumah waktu nak dekat maghrib.”
“Eleh, kami bukan budak keciklah!”
Raif ketawa. Sepasang mata memerhati Izyan atas bawah. “Yeah, I can see that.”
“Awak!”
“Dah, aku pun letih juga. Ingat nak pergi makan, balik bilik dan tidur. Jumpa lagi esok. Kita sarapan sama-sama, ya.”
Izyan berdiri. Menghalang Raif daripada terus melangkah.
“Kenapa perangai awak lain macam sekarang?”
“Lain macam? Aku tak faham, Iz.”
“Awak buat perkara yang tak mungkin awak buat dulu. Kenapa?”
Raif tarik nafas panjang sebelum menjawab. “Salah ke?”
“Apa yang salah?” Izyan geleng. Tidak mengerti.
“Salah ke aku cari isteri aku?” tanya Raif. Soalan yang dibisikkan ke telinga bersama deru nafas panas yang menyebabkan bulu roma menjadi tegak. Jantung terus berdetak bagai dikejar hantu. Laju.
“Cari bekas isteri, maksud awak kan? Tapi kenapa nak cari saya? Kita bukannya ada apa-apa ikatan lagi.”
Raif tersenyum mendengar soalan Izyan. Izyan yang masih naif. Sama macam dulu. “Aku nak mengurat kau. Nak goda kau. Nak pikat janda aku ni balik. Boleh kan?”
Izyan terus berdiri tegak di hadapan Raif.
“Dari pagi tadi lagi, awak ni asyik mengarut. Apa hal?”
“Kau pun tahu aku tak suka mengarut, Iz.”
“Tak mengarut? Habis, kenapa awak cakap nak goda saya balik?”
“Sebab memang itu yang aku nak buat. Goda kau sampai kau setuju terima aku semula.”
Izyan menggeleng. “Saya dah serik dengan awak.”
“Tak seronok jadi isteri aku dulu?”
“Tak senonohlah awak ni. Itu pun nak tanya ke?”
Raif ketawa. “Jawapannya kau seronoklah jadi isteri aku dulu, kan?”
“Tak kuasa saya nak layan awak.”
“Iz...”
“Awak ni kenapa? Awak ingat kahwin tu apa? Untuk cuba-cuba? Okey, kita dah cuba, kita gagal, kita bercerai. Cerita kita dah habis. Faham?” bentak Izyan.
Raif cuba memujuk. “Iz...”
Tangan yang menyentuh lengannya ditepis. “Awak nak apa lagi?”
“Kau tak benci aku, kan?”
Izyan tatap wajah tampan itu. Bencikah dia pada lelaki ini? Adakah jawapan untuk soalan itu?
“Aku tahu kau tak bencikan aku, Izyan. Jadi...”
Izyan segera memintas. “Tak benci? Tolonglah! Saya ada banyak sebab untuk bencikan awak, Raif. Dan nak tahu satu perkara tak?” Wajah Raif ditatap tajam. “Sekarang ni saya sangat sangat benci tengok muka awak.”
Raif terpanar. Tak sangka dia dapat melihat sisi baru Izyan. Tak ada lagi Izyan yang lembut dan mudah tersenyum. Yang ini? Bukan main garang lagi.
“Pergi balik, Raif. Awak menyemak aje kat sini, tahu tak?”
Raif menarik nafas panjang saat Izyan berlalu pergi. Dia tak berusaha untuk menahan. Sengaja dibiarkan Izyan tenangkan diri. Izyan sedang marah. Marah itu ibarat api. Dan api itu perlukan air untuk dipadamkan. Jadi, buat masa ini dia ingin menjadi awan. Yang bakal menurunkan hujan yang bukan sahaja memadam malah menyejukkan seluruh alam.
Bagaimanapun hatinya membara dengan kemarahan apabila sebuah kereta berhenti dan Izyan masuk di tempat sebelah pemandu.

“Kereta siapa pulak tu? Zahin?” 

No comments:

Post a Comment