Saturday 15 November 2014

Bab 9 : KUPIKAT JANDAKU -ANA SOFIYA

Bab 9


Zahin membawa Izyan hingga ke Jerteh. Di situ, mereka turun bersama-sama lantas memasuki kedai KFC yang ada.
“Saya nak order, awak pergi cari tempat kat tingkat satu,” suruh Zahin.
Izyan angguk. Menaiki anak tangga perlahan-lahan sambil berfikir. Dia tahu bahawa tak lama lagi pastilah Zahin akan singkap semula kisah yang berlaku pagi tadi. Jadi dia harus bersedia untuk berterus terang.
Izyan memilih untuk duduk di luar, di kawasan yang terbuka. Angin sepoi-sepoi bahasa membawa kedinginan. Nyaman terasa. Lebih nyaman kalau nak dibandingkan dengan angin daripada alat pendingin hawa.
Zahin tiba ke meja bersama ayam goreng dan kentang putar beserta air strawberi. Terharu rasa hati. Dalam marahkan dia, Zahin masih ingat pada air dan makanan kegemarannya di KFC ini.
“Saya nak mintak maaf pasal pagi tadi.” Zahin memulakan mukadimah.
Izyan angguk. “Maaf diterima,” ujarnya sambil tersenyum.
“Tapi saya masih terkejut.”
“Saya faham, Zahin. Maafkan saya sebab tak berterus terang.”
Lama baru Zahin berkata-kata semula. “Yan, boleh tak awak ceritakan kisah lama awak dengan dia? Saya nak tahu semuanya.”
“Apa yang awak nak tahu, Zahin?”
“Buat permulaan, saya nak tahu macam mana awak kenal dia.”
Izyan tarik nafas panjang. “Saya jumpa dia di pasaraya. Dia nak beli tali leher dan saya jurujual di situ.”
Zahin tarik nafas panjang. Saat ini hatinya galau melihat air wajah Izyan yang sedang leka bercerita tentang pertemuan pertama antara dia dengan Raif. Wajah manis itu sangat ceria pada pandangan matanya.
“Saya ingatkan itu kali pertama dan terakhir kami jumpa. Tapi tak. Raif cari saya lagi. Mula-mula kenal macam tu aje, lama-lama makin mesra. Dia layan saya dengan baik. Tak pernah ambik kesempatan. Mungkin sebab itu saya tertarik pada dia. Lagipun Raif tak ada kawan perempuan yang lain. Dia rapat dengan saya seorang saja.” Izyan membongkar kisah lama.
“Berapa lama kau orang berkawan?”
“Tak sampai dua bulan pun.”
“Sekejap ajelah. Lepas tu dia ajak awak kahwin dengan dia?”
Izyan angguk.
“Apa yang terjadi dalam rumah tangga awak, Yan?”
“Awak ni semua benda awak nak tahu,” gerutu Izyan.
“Mestilah. Yang awak nak sorok sangat tu kenapa?” Zahin dah mula marah.
“Sebab itu rahsia saya dengan Raif saja. Saya tak akan kongsi dengan awak. Cuma, apa yang boleh saya beritahu ialah dah takdir, jodoh kami tak panjang.” Izyan bertegas. Baginya kisah rumah tangganya dahulu adalah miliknya yang eksklusif. Tak siapa perlu tahu apa yang dia alami waktu itu.
“Dah berapa lama awak berbual dengan dia kat stesen bas tu tadi? Dia cakap apa dengan awak?” Zahin tak sembunyi perasaan cemburu yang mencengkam hatinya saat ini. 
“Sorry, Zahin. Tapi sebenarnya saya pun tak sangka yang dia akan datang bersembang dengan saya kat situ.” Izyan membela diri.
“Hmm, lamalah ya kau orang berdua bersembang? Bincang apa?” tanya Zahin lagi.
          Izyan tarik nafas panjang. Dia pusing tubuhnya untuk menghadap Zahin. “Dia bekas suami saya, Zahin. Awak rasa apa yang dia cakap?”
          “Tentu kisah lama awak dengan dia.”
          “Tahu pun.”
          “Tak tanya kenapa dia ke mari?” Zahin terus merisik.
“Tanya.”
“Apa dia jawab?”
“Awak tak payah tahulah, Zahin.”
“Kenapa? Ada sesuatu yang saya tak patut tahu ke?” Zahin dah mula marah.
Kemarahan Zahin merimaskan Izyan. “Penting ke untuk awak tahu?” soalnya.
“Saya boyfriend awak. Jadi saya kena tahu apa yang dia mahu dari awak, Yan.”
Nak tahu sangat? Okey, ambik ni!
“Dia cakap dia nak mengurat saya. Nak buat saya jatuh cinta pada dia sekali lagi.”
Mata Zahin tak berkelip memandang wajah Izyan yang sudah merona merah. “Melampau betul dia!” marahnya.
Izyan tak mampu bersuara lagi. Kepalanya semakin berdenyut kini.
“Kenapa dia nak buat awak jatuh cinta pada dia? Apa tujuan dia, Yan? Dia nak rujuk balik dengan awak ke?” Kasar nafas disedut. Kerana sakit hati dengan Raif punya pasal. Geram betul dibuatnya.
Izyan angguk dengan mata yang terpejam. Pandangannya sudah mula berpinar. Kepala pun dah mula berpusing-pusing. “Tolong hantar saya balik, Zahin. Kepala saya sakit sangat ni.”
          “Nak mengelaklah tu.”
          Izyan pejamkan mata. Tak mahu melayan kemarahan Zahin.
          “Jauhkan diri awak daripada dia, Yan. Saya tak suka awak layan dia. Kisah lama awak dengan dia dah lama tamat.” Jeda. Zahin sedang mencari perkataan yang sesuai untuk disambung.
          “Dah habis cakap?” tanya Izyan.
“Mulai hari ini awak kena ingat yang awak akan mulakan hidup baru. Dalam hidup baru awak tu cuma ada saya. Saya akan buat apa saja untuk lindungi awak. Dengar tak ni?”
          “Dengar, Zahin. Saya dengar. Saya belum pekak lagilah.” Izyan menjawab. Geram sudah! 
          "Dia tak ada hak nak paksa awak terima dia semula. Yang dah lepas tu, lepaslah. Dia patut cari pengganti. Bukan cari awak semula, Yan." Lelaki itu masih dengan rasa tak puas hati dia. Langsung tak peduli pada Izyan di sebelah yang sudah mula memicit pelipis.
"Zahin..."
"Oh no! Awak jangan nak suruh saya beralah. Dah lama saya tunggu awak, Yan. Dah lama saya harapkan awak. Jangan nak hampakan saya pulak.”
“Bukan pasal itulah.”
“Awak kena buka pintu hati awak tu untuk saya. Bukan untuk dia, Yan.”
“Ya Allah! Zahin, saya tak nak bincang pasal benda ni lagi.” Izyan rasa macam nak menjerit dah.
Zahin tetap degil. Masih hendak terus bercakap lagi. Langsung dia tak endah pada Izyan yang mula marah. Dia menyambung, “Ingat, Yan! Sekali dia boleh lepaskan awak bermakna dia boleh aje tinggalkan awak lagi. Berapa kali awak nak jadi janda dia hah?"
Sakit hati Izyan mendengar ayat-ayat yang baru sahaja meniti keluar dari bibir Zahin. Sesedap rasa dia saja hendak menjerkah. Bagi nasihat pun, nasihat yang menyakitkan hati. Bukan main lagi tanya...

Berapa kali awak nak jadi janda dia hah?

Apakah Zahin menganggap dia suka sangat nak kahwin lepas tu bercerai?
“Izyan,” panggil Zahin tak lama selepas tu. Tahu bahawa dia sudah menyinggung perasaan wanita kesayangannya.
“Yan,” panggilnya lagi apabila Izyan buat pekak, tidak menyahut.
Izyan masih bersahaja. Memekakkan telinga sambil memejamkan mata. Orang lelaki ini memang tak boleh dilayan. Buat sakit hati adalah.
“Jom kita balik.” Zahin mengajak.
Suasana sepi di dalam kereta. Elok sampai di hadapan rumah sewa Izyan, Zahin laju mengunci pintu. Cara untuk menghalang wanita itu daripada meninggalkannya dalam keadaan marah.
“I’m sorry,” katanya.
“Buat apa nak minta maaf? Jangan risau sangatlah. Saya tak ambil hati dengan apa yang awak cakap tadi.”
“Boleh percaya ke?”
Izyan lepaskan keluhan. “Suka hati nak percaya atau tidak.”
“Yan, I love you. Lupakan dia dan terima cinta saya. Boleh kan?”
“Tapi saya ni kan janda, awak?”
Saja Izyan nak pulangkan paku buah keras. Kemarahan Zahin pagi tadi masih terbayang di ruang mata. Masa tu dia rasa macam hina sangat jadi janda tu.
“Izyan, tolonglah lupakan semua yang saya dah cakap. Saya dah fikir panjang. Siapa pun awak saya akan terima awak seadanya.” Zahin cuba meyakinkan.
Izyan tatap wajah lelaki muda yang terlalu baik dengannya sejak kali pertama dia bekerja di hotel ini. Lelaki yang berumur 29 tahun dan merupakan pemegang ijazah dalam bidang perhotelan daripada UiTM. Memang tak sekacak Raif tapi dia tetap sempurna di matanya.
Yalah tu, Izyan. Kalau sempurna kenapa setiap kali pun kau tolak cinta dia? Kenapa tolak lamarannya? 
“Beri saya masa untuk fikirkan tentang ni. Boleh kan Zahin?”
Sudahnya itu yang keluar daripada bibir Izyan.
Zahin mengangguk. Satu keluhan terlontar juga. Kerana dia sedang terlalu hampa.
“Terima kasih sudi dengar kisah hidup saya, Zahin.”
“Saya masih ada harapan lagi tak ni, Yan?” tanya Zahin dengan muka yang cukup serius.  
Izyan tidak menjawab soalan itu. Tidak menoleh ke arah Zahin pun. Menonong dia keluar dari kereta dan berlalu begitu sahaja.

Zahin hanya mampu memandang bersama seribu resah. 


1 comment: