Saturday 28 March 2015

Bab 2: JODOHKU DAN JANJINYA -SUZANA SULAIMAN



SAMPAI saja di pejabat, Jannah terus membuka komputer ribanya dan mencari satu dokumen yang perlu dihantar ke bahagian perolehan.
“Jannah.”
“Ya, Safi?” Jannah mengangkat wajah daripada dokumen yang sedang diulang baca.
“Datuk Amir cari kau.”
“Bila?”
“Baru tadi dia keluar dari bilik dia cari kau. Aku beritahu dia yang kau belum balik dari site.”
“Dia nak apa?” Berkerut dahi Jannah.
“Hish, manalah aku tahu.”
“Dia bukan tak tahu aku pergi site. Sebelum aku pergi pagi tadi, aku dah beritahu dia.”
Safi tergelak kecil.
“Kau tu kan arkitek kesayangan dia. Stok-stok yang boleh dia buat menantu.”
“Iskh kau ni! Masin mulut kau tu!”
Bulat mata Jannah memandang Safi, setiausaha Datuk Amir yang merangkap teman serumahnya.
“Okey apa? Kalau kau jadi menantu Datuk, kau dah tak payah kerja Jannah. Terjamin hidup kau nanti.”
“Kau ni, Safi. Cakap ikut sedap mulut je. Mana kau tahu kalau aku jadi menantu Datuk Amir, hidup aku bakal terjamin? Kita tak tahu apa akan jadi esok atau lusa. Jadi, lebih baik kita fokus dengan kehidupan hari ni dan belajar daripada kesilapan semalam. Jangan banyak nak berangan.” Sempat Jannah bersyarah.
“Tapi berangan kan free!” Safi menyambung tawa.
“Dah! Malas aku nak layan kau. Aku masuk jumpa Datuk dulu.”
“Ya, sila. Pak mentua dah tunggu tu.” Safi mengenyit mata.
Jannah membulatkan matanya ke arah Safi dan Safi menyambung tawa.
Pintu bilik Datuk Amir diketuk dua kali.
“Masuk.”
Jannah melangkah masuk.
“Assalamualaikum, Datuk.”
“Waalaikumussalam. Mari, Jannah.”
Datuk Amir sudah pun bangun dari tempat duduknya dan bergerak ke sofa.
Jannah menurut dan terus mengekori langkah Datuk Amir ke sofa tetamu di tepi bilik besar itu.
“Baru balik?”
“Ya, Datuk.”
“So, macam mana? Semua okey kat site? Are we on schedule?”
“Alhamdulillah buat masa ini ya, Datuk. Minta-minta kita tak akan hadapi apa-apa masalah lagi lepas ni.” Mereka masih ada lapan belas bulan untuk menyiapkan projek tersebut.
Datuk Amir mengangguk. Dia memang yakin dengan kualiti kerja Jannah. Arkitek muda ini sudah lima tahun bertugas di syarikatnya. Setiap projek yang dikendalikan oleh Jannah pasti siap mengikut jadual yang ditetapkan.
Dia tahu sikap gadis itu yang tegas apabila berhadapan dengan pekerja bawahannya dan sikapnya yang begitu teliti dalam sesuatu perkara ialah kunci kejayaannya. Dan walaupun dia tegas, Jannah sangat mengambil berat akan kebajikan para pekerja di bawahnya. Turn-over kumpulan gadis itu adalah yang paling rendah berbanding dengan kumpulan yang lain.
“Baguslah kalau macam tu. Saya yakin kamu akan deliver seperti biasa.”
“Insya-Allah. Terima kasih Datuk. Saya cuba buat yang terbaik, selebihnya saya tawakal pada Allah.”
Datuk Amir tersenyum mendengar jawapan itu. Satu lagi sifat Jannah yang dia suka. Rendah diri. Selalu ingat Penciptanya.
“David ada tadi?”
“Ada. Jadi tadi saya go through isu landskap kita dengan dia. Insya-Allah dia akan cuba selesaikan dalam minggu ini. Dia ada contact katanya.”
“Harga? Masih dalam bajet?”
“Insya-Allah. David kata dia akan cuba dapatkan sebut harga dan e-melkan kepada saya petang ini.”
“Baguslah kalau macam tu. Selesai satu masalah.”
“Alhamdulillah. Ya, Datuk. Saya pun lega.”
“Err, Jannah?”
“Ya, Datuk?”
“Saya nak minta tolong sikit. Minggu depan anak saya, Qayyum akan mula bertugas. Kamu ingat dia kan?”
Qayyum anak sulung Datuk Amir. Jannah mengangguk.
“Dia dah habis buat Master?
“Alhamdulillah, sudah.”
“Ooo...”
Rasanya baru dua tahun lelaki itu ke Amerika Syarikat.
“Saya nak kamu jadi mentor dia. Sekurang-kurangnya untuk dua tiga bulan. Show him the ropes.”
Jannah telan liur.
“Segan saya, Datuk. Encik Qayyum ada Master Degree. Saya ni cuma ada ijazah. Takkan saya pula yang nak mengajar dia?”
“Jangan cakap macam tu. Pengalaman kerja itu sebenarnya lebih utama. Kalau cuma ada sekeping kertas tetapi tak ada pengalaman, tak berguna juga. Boleh ya, Jannah? Kamu calon terbaik.”
Permintaan itu sebenarnya berat buat Jannah. Dia tak pandai. Dia dah biasa sendirian dalam menjalankan tugas-tugasnya di situ.
“Boleh ya, Jannah?” pinta Datuk Amir sekali lagi.
“Boleh. Insya-Allah, saya cuba.”
Dia terpaksa terima. Apatah lagi permintaan itu datang daripada majikan sendiri.
“Bagus. Bagus. Erm… lagi satu saya nak tanya.”
“Ya, Datuk?”
‘Apa lagi ni?’ getus hati Jannah. Entah kenapa hatinya rasa kurang senang apabila melihat cara Datuk Amir memandangnya.
“Kamu dah ada kawan?”
“Maksud Datuk?”
“Maksud saya, kamu dah ada sesiapa yang istimewa dalam hati kamu?”
“Peribadi tu, Datuk. Segan saya nak menjawab.” Jannah membetulkan tudungnya. Mula rasa tidak selesa dengan soalan yang sebegitu.
“Maaf saya bertanya. Saya dah anggap kamu ni macam anak saya, Jannah. Kamu bukan setahun dua di sini. Sudah masuk lima tahun.”
Jannah sekadar menguntum senyum. Dia tak tahu bagaimana untuk menjawab soalan yang dikemukakan.
“Kalau kamu belum berpunya, saya nak sangat kamu cuba kenal hati budi Qayyum. Kalau ada keserasian, saya nak satukan kamu berdua.”
“Hah?” Jannah terkejut besar. Jika tadi dia sudah tak berapa selesa untuk menjadi mentor Qayyum, berita ini menambah rasa berat hatinya.
“Kenal saja dulu. Mana tahu dia jodoh kamu. Kalau nasib saya baik, saya dapat menantu.” Datuk Amir sudah menarik senyum.
Jannah tersenyum kelat.
“TERMENUNG nampak?” Safi datang menyapa.
“It’s been a weird week.” Jannah tersenyum memandang Safi yang datang membawa minuman panas. Tangan dihulur untuk menyambut muk daripada rakan serumahnya itu.
“Maksud kau?”
“Aku dapat dua lamaran perkahwinan minggu ni.” Jannah menjawab. Mendatar sahaja suaranya.
“Wah! Kau tak cerita pun?”
“Aku nak cerita la ni. Sila bawa bertenang ya Cik Safiyya Abdullah.”
“Okey. Okey.” Safi sudah duduk bersila di atas sofa.
“Dah bersedia nak dengar cerita?” Jannah mengangkat kening sebelah.
“Dah, dah. Cerita cepat, tangachi!” Safi ialah seorang mualaf yang memeluk agama fitrah Allah dua tahun lepas.
Jannah senyum. Satu nafas ditarik sebelum dia memulakan cerita.
“Awal minggu ni, si Arif tu buat lawak ajak aku kahwin dengan dia. Tadi pulak, Datuk Amir suruh aku berkenalan dengan anak dia, Qayyum dan kalau kami serasi, dia nak satukan kami.”
“Hah! Kan aku dah cakap. Kau tu memang stok-stok Datuk Amir nak buat menantu.” Safi sudah tergelak besar. Suka sangat apabila tekaannya mengena.
“Eh…eh…tapi kalau si Arif tu tak payah!” sambung Safi dengan nada serius selepas tawanya reda.
“Kan aku kata, Arif tu melawak saja.”
“Melawak atau tidak, jawapannya N.O. Dia tu B.U.A.Y.A!”
“Kan? Aku pun cakap macam tu kat dia.”
“Tapi Qayyum tu baik tau. Handsome lagi. Budi bahasa pun bagus macam Datuk Amir. Aku suka tengok dia.” Safi sudah tersengih lebar.
“Mana kau tahu?”
“Dia ada beberapa kali datang pejabat minggu ni. Aku rasa sebab dia nak mula kerja minggu depan kan?”
“Ooo… dia dah balik ke Malaysia? Tapi aku tak berapa nak ingat muka dia la. Dulu sebelum dia ke US, dia kerja dengan Datuk, kan?”
“Ha’ah. Ala… kalau kau jumpa dia nanti, kau mesti ingat. Muka macam tu susah nak lupa tau!”
“Ya ke? Your taste or mine?” Jannah sengaja menyoal.
“Yours! Kau kan suka yang putih dan tinggi. Qayyum tinggi!” Safi ketawa seronok.
Tapi wajah Jannah sudah kembali berkerut.
“Apasal muka kau macam tu?”
“Aku tak selesa la, Safi. Datuk nak aku jadi mentor Qayyum untuk dua tiga bulan. Lama tu! Lagipun Qayyum tu Master degree holder kut, takkanlah dia nak mengekor aku yang takat ada ijazah ni.”
“Dia buat macam itu sebab dia ada agenda tersirat. Agenda dua dalam satu, dengan cara tu dapatlah kau kenal rapat dengan anak dia, takkan tu pun kau tak faham! Apa la!”
Pecah lagi ketawa Safi.
Jannah mengeluh. Pening memikirkan dunianya yang pasti akan berubah minggu depan. Dia yang dah biasa membuat kerja secara bersendirian, kini akan mula punya bayang.
“Alah Jannah. Senang je, kalau kau memang tak nak si Qayyum tu, kau tayang je muka besi kau. Mesti dia lari tak cukup tanah nanti.”
“Cis kau, Safi.” Jannah mengerling geram.
“Tapi Jannah, mana tahu kalau betul si Qayyum tu jodoh kau?” Safi kembali serius.
Jannah merenung sahabatnya itu seketika.
“Kau tahu kan, kahwin tak ada dalam agenda hidup aku?”
“Jannah, jangan cakap macam tu. Ingat ayat Allah dalam surah Al-Naba ayat lapan, Dan Kami jadikan kamu berpasang-pasangan. Lagipun kahwin itu sunnah, Jannah. Aku tahu kau dulu memang tak mahu fikir sebab kau nak bina hidup kau tapi sekarang ni, karier kau dah stabil. Kewangan pun aku rasa kau dah tak ada masalah. Dah sampai masanya untuk kau ada seseorang dalam hidup kau.”
“Kan aku ada kau?”
Safi meletakkan tangan ke dahinya dan membuat gaya ala-ala mahu pengsan.
Jannah sudah ketawa kecil. Drama Queen betul.
“Aku serius la dei! Aku nak seorang lelaki yang menjaga kau. Yang melindungi kau. Kita ni, walau sekuat dan setabah mana pun, akan tiba masanya naluri kita mahu disayangi dan dimanjakan. Allah menciptakan kaum Adam itu untuk menjadi imam dan khalifah kita.”
Jannah diam. Dia sekadar mendengar sambil menghirup minumannya.
“Nanti lepas aku kahwin, kau akan tinggal seorang diri. Aku nak kau berteman. Aku nak kau ada keluarga sendiri.” Safi menyambung bicara.
Perbualan yang mulanya santai kini sudah bertukar nada. Jannah yang sedang memandang ke luar rumah itu direnung Safi. Jannah memang cantik. Selama mereka berkawan, memang ramai yang mencuba untuk mengetuk pintu hati Jannah tetapi tidak satu pun yang dilayan olehnya.
Safi sendiri tak faham mengapa. Pernah sekali dulu, ada yang membuat fitnah, menuduh Jannah hanya meminati kaum sejenis dan dia selaku rakan sepejabat dan teman serumah Jannah, turut terkena tempiasnya. Namun segalanya tidak dihiraukan oleh Jannah dan lama-kelamaan, fitnah itu berlalu dengan sendirinya.
Itu satu perkara yang dia belajar daripada sahabatnya itu. Kita tak perlu cepat melatah. Sabar itu kunci segalanya. Jika niat kita betul, Allah pasti akan melindungi kita.
“Safi, kalau ada jodoh aku nanti, kahwinlah aku. Tapi untuk aku pergi cari, memang tak lah.”
Air di muk diteguk sekali lagi. Entah mengapa dia tiba-tiba teringat kepada lelaki bermata redup itu. Lelaki yang merubah rentak degupan jantungnya apabila mereka bertentangan mata.
“Tapi kan Jannah, entah kenapa hati aku ni dapat rasakan yang kau akan kahwin tahun ini.”
Safi mula tersengih macam kerang busuk.
Jannah menggeleng.
“Banyaklah kau punya rasa. Yang aku tahu, kau tu yang kena kahwin dengan Razlan enam bulan lagi.



No comments:

Post a Comment