Saturday 28 March 2015

Bab 3: JODOHKU DAN JANJINYA - SUZANA SULAIMAN


MELIHAT jam di dinding sudah hampir pukul dua belas tengah hari, Jannah dengan pantas mengemas apa yang patut di meja kerjanya. Komputer riba dimatikan, beg sandang serta helmet dicapai dan dia bergegas keluar dari pejabat. Sampai di lobi, langkah Jannah terhenti apabila namanya dipanggil oleh seseorang.

“Jannah!”

Jannah segera menoleh ke belakang. Dia menghela nafas panjang sementara menunggu lelaki yang sedang berlari-lari anak ke arahnya itu.

“Ada apa Encik Qayyum?” soalnya apabila lelaki itu mendekat.

“Kita pergi dengan kereta saya?” pelawa lelaki itu penuh sopan.

“Oh, tak apa. Saya rasa lebih baik kita pergi berasingan.”

“Kenapa? Awak ada nak ke mana-mana ke lepas mesyuarat nanti?” Qayyum memandangnya pelik.

“Sekarang ni memang tak ada apa-apa rancangan tapi kemudian tak tahulah. Mungkin nak kena pergi ke mana-mana jumpa orang ke. Selalunya begitu.” Alasan diberi. Dia memang tidak selesa jika hanya berdua dengan Qayyum. Renungan lelaki itu melemaskannya. Dia tak suka. Apatah lagi bila mengingatkan hasrat Datuk Amir untuk mereka.

“Oh… kalau begitu, kita lunch dulu sebelum bertolak? Awal lagi ni.” Qayyum mencuba lagi. Walaupun sudah dua minggu dia memulakan tugas, namun baru tiga kali mereka makan tengah hari bersama, itu pun pasti ada rakan sekerja yang ikut serta. Tidak pernah berdua.

“Maaf Encik Qayyum, saya puasa.”

Sekali lagi Qayyum merenung gadis di hadapannya itu. Ada saja alasan.

“Betul ke puasa?”

“Untuk apa saya perlu menipu, Encik Qayyum?”

Lelaki itu sekadar tersenyum mendengar soalan tersebut. Hatinya yakin itu hanya alasan si gadis.

“Awak ni Jannah, sampai bila nak ber ‘encik’ dengan saya? Awak tu mentor saya tau?”

Ini antara yang merimaskan Jannah.

“Ya, memang saya mentor Encik Qayyum untuk sebulan dua ini tapi selepas ini, kedudukan Encik Qayyum akan jauh lebih tinggi daripada saya. In reality, we are not peers.”

“Tapi saya tak nak create any awkward feelings, Jannah.”

“Encik Qayyum, sejujurnya saya akan rasa lebih awkward kalau cuma memanggil Encik Qayyum dengan nama.”

Qayyum mengeluh perlahan. Sudah dua minggu mereka bekerjasama tetapi gadis itu masih dingin dengannya. Sesuatu yang asing buat dia yang sudah terbiasa menjadi perhatian gadis walau di mana pun dia berada. Reaksi Jannah kadangkala membuat dia memeriksa dirinya sendiri. Mencari apa yang tidak kena sehingga gadis itu seakan tidak mahu memberi peluang kepadanya.

Sikap Jannah akan berubah apabila mereka hanya berdua. Malah nada suaranya juga pasti berbeza. Lebih tegas. Seakan tidak mahu memberi ruang langsung untuk mereka berkenalan dengan lebih jauh. Dia arif dengan cadangan ayahnya untuk menyatukan mereka dan dia tahu Jannah juga telah diberitahu. Jujurnya, dia sangat berlapang dada dengan rancangan itu. Sudah tiba masanya untuk dia berumah tangga dan di matanya, Jannah seorang yang lengkap segalanya.

“Kalau tak ada apa-apa, saya pergi dulu Encik Qayyum. Kita jumpa di sana nanti, insya-Allah.” Jannah meminta diri.

“Pukul dua setengah, kan?”

“Ya, Encik Qayyum. Saya jalan dulu ya?”

Qayyum sekadar memerhati gadis itu melangkah pergi.

“JANNAH?”

“Eh mak.” Jannah menoleh memandang wanita tua yang entah bila sudah berdiri si sebelahnya.

“Assalamualaikum, mak.” Tangan dihulur untuk menyantuni wanita itu.

“Waalaikumussalam warahmatullah. Kamu dah lama sampai ke? Kenapa tak masuk? Kan panas kat luar ni. Nanti tak pasal-pasal demam!” leter Puan Kamariah.

Jannah menarik senyum. Dia memandang wajah wanita yang telah menjadi tempat dia bermanja ketika dia kehilangan tempat bergantung satu masa dahulu.

“Jannah nak singgah kejap saja mak. Mak sihat?”

“Alhamdulillah. Macam nilah kalau dah tua. Hari ini sihat, esok belum tentu. Lusa pulak entah bernafas ke tidak.”

“Hish. Jangan cakap macam tu, mak.” Jannah memeluk lengan Puan Kamariah.
“Mula la tu. Tengah hari panas ni pun dia nak bermanja dengan kita. Jomlah masuk.”

“Rindu kat mak,” pelukan tangan dieratkan.

“Kalau rindu, kenapa lama tak datang?”

“Maaf mak. Jannah sibuk sikit. Banyak kerja. Tengah jaga satu projek.”

Puan Kamariah menggosok tangan yang sedang memaut lengannya itu. Bibirnya singgah sebentar ke dahi Jannah. Kasihnya kepada anak ini tidak pernah berkurang.

“Kamu tu bila masa tak sibuk? Dari sekolah menengah, ke universiti sampai sekarang. Kerja kamu tu macam tak ada sudahnya. Ni, kamu cuti ke hari ni?” bebel wanita tua itu lagi.

Dia amat arif dengan perangai anak angkatnya yang satu ini. Dulu selepas saja sesi persekolahan, Jannah akan mengambil upah bekerja di kedai runcit atau di restoran yang berdekatan. Apa saja kerja dia sanggup buat. Selepas dia mula belajar di universiti pula, dia mengambil upah menjadi guru tuisyen. Pokoknya, Jannah memang tak pernah tidak bekerja.

“Ha’ah. Jannah nak ke Putrajaya ni. Nak lawat site.”

“Kenapa kamu bawa motor? Kereta kamu mana?” Puan Kamariah memang tak berkenan betul dengan minat Jannah yang satu ini.

“Jannah nak cepat, mak. Motor senang. Bawa kereta nanti mesti sangkut dalam traffic jam. Haru kalau Jannah lambat.”

“Tapi kereta tu lagi selamat dan kalau kamu tak nak lambat, lain kali keluar awal sikit,” tegas Puan Kamariah. Risau mengenangkan kadar kemalangan yang tinggi melibatkan penunggang motosikal.

Jannah sekadar menadah telinga. Dia dah lali. Setiap kali berjumpa, pasti akan ada sesi “ceramah” sebegini.

“Mak, kalau Allah dah tulis yang kita akan kemalangan, naik apa sekali pun, ia pasti akan berlaku. Lady Diana yang naik kereta Mercedes serba mewah dan canggih itu pun meninggal, mak.”

“Ada saja jawapan kamu ya? Dari kecil sampai dah besar panjang macam ni, masih suka menjawab.” Puan Kamariah merungut.

Jannah sudah tersengih sambil menarik kembali lengan Puan Kamariah untuk dipeluk.

“Sebab tu mak sayang Jannah, kan? Kalau Jannah senyap saja, mak mesti boring. Betul tak?”

“Tengok tu, ada saja dia nak mengenakan kita tau.”

“Ala bukan selalu kenakan mak pun? Sebulan sekali wahai bondaku, Puan Kamariah.”

Sekali lagi Puan Kamariah menepuk tangan yang sedang memeluk lengannya itu. Hilang rasa rindunya pada Jannah.

“Apa pun, Jannah tahu mak selalu ada untuk doakan keselamatan Jannah, kan?”

“Kami di sini sentiasa doakan kamu, Jannah.”

Jannah hanya membalas dengan senyuman.

“Sarah sihat, mak?”

“Dia sihat, Alhamdulillah. Selalu tanyakan kamu.”

“Itulah. Sebulan dua ni, rasanya tanggungjawab Jannah kepadanya dah terabai.”

“Alahai, kenapa cakap macam tu? Kan kamu ada telefon dia selalu? Seronok dia bercerita lepas dia bercakap dengan kamu tau.”

“Lain mak. Lama tak bawa dia keluar jalan-jalan. Mak jangan cakap yang Jannah datang tau. Takut dia kecil hati sebab Jannah tak tunggu dia balik sekolah.”

“Yalah. Mak tak bagitahu. Tapi kamu tu, carilah masa untuk datang jumpa dia.”

“Insya-Allah, mak.” Tangan Jannah membuka beg dan menarik keluar sekeping sampul.

“Mak, ini ada duit sikit untuk belanja rumah.”

Puan Kamariah merenung sampul di tangan Jannah dengan rasa syukur di hati. Antara anak-anak yang dibesarkan di rumah itu, Jannah adalah salah seorang yang boleh dikira berjaya dan sentiasa menggunakan rezeki yang diberi Allah untuk menjaga kebajikan anak-anak di sini. Jika dia tidak sempat menghantar sumbangannya seperti hari ini, Jannah akan membuat deposit ke dalam akaunnya. Setiap bulan pasti ada sumbangan daripada anak ini.

“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih, Jannah. Semoga Allah murahkan rezeki kamu,” sebak kedengaran suara Puan Kamariah.

“Amin. Dah tak mahu emo-emo. Tu yang Jannah malas nak datang. Takut emosi mak terganggu.” Pantas pipi tua itu dikucupnya.

Puan Kamariah tertawa kecil.

“Mak, Jannah minta diri dulu ya? Nanti ada kelapangan, Jannah singgah lagi.”
“Yalah. Hati-hati. Tapi sebelum kamu pergi, mak nak tanya sikit.”

“Tanya apa, mak?” Helmet yang baru hendak disarung, diletakkan semula di atas tempat duduk.

“Kamu ni bila nak kahwin?”

“La… mak ni… soalan cepumas tu. Macam mana Jannah nak jawab.”

“Kamu dah ada kawan?”

“Kawan ramai mak.”

“Maksud mak, yang istimewa.”

“Semua pun istimewa bagi Jannah, mak.”

“Hish budak ni. Mak tanya sungguh-sungguh ni.”

Jannah melepaskan tawa.

“Tak adalah mak. Mana Jannah ada masa.”

“Nak mak carikan tak?”

“Hah? Eh, tak payah mak. Terima kasih banyak-banyak tapi biar jodoh Jannah tu datang dengan sendiri ya? Biar dia datang cari Jannah. Baru macho.” Jannah mengenyitkan matanya dan menghulurkan tangan untuk bersalaman. Badan Puan Kamariah juga dipeluk erat sebelum dia mencium kedua-dua belah pipi wanita itu.

“Yalah tu. Mak doakan supaya dia cepat-cepat jumpa kamu.”

“Mak nak belikan dia GPS ke?” Jannah sempat mengusik.

“Hah? GP apa? Apa tu?” Puan Kamariah memandang pelik.

Jannah ketawa lepas. Seronok melihat kerutan di dahi Puan Kamariah.

“Amboi, seronok dia ketawakan kita, ya? Nanti mak carikan sungguh-sungguh baru tahu.” Giliran Puan Kamariah mengugut.

“Hish! Tak mahu! Daripada mak carikan untuk Jannah, baik mak carikan untuk Puan Kamariah yang duduk kat rumah ni. Kesian dia. Dah lama bujang,” usik Jannah.

“Dah ke situ pulak dia! Memanglah kamu ni.”

Jannah menyambung tawa.

“Dah-dah. Pergi cepat. Nanti kalau lambat, mesti kamu bawa motor laju. Bahaya!”

“Baik, Puan Kamariah. Saya yang mengikut perintah. Jannah pergi dulu ya?”

Puan Kamariah tersenyum mengangguk. Jannah yang kematian ibu dihantar ke rumah anak yatim ini oleh ibu saudaranya semasa berusia lapan tahun. Anak kecil yang sangat pendiam namun cukup ringan tulang. Jannah sangat disenangi oleh semua orang. Sayangnya, Jannah tidak tinggal lama bersama mereka. Dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang, dia telah ditawarkan biasiswa penuh ke Maktab Rendah Sains Mara dan kemudiannya ke universiti. Ternyata rezeki Allah kepada anak yatim piatu ini sangat murah.

“Jaga diri kamu baik-baik,” pesannya ketika Jannah sudah menghidupkan enjin motor.

“Insya-Allah. Mak pun sama. Kalau tak sihat, makan ubat. Kalau nak ke hospital, telefon Jannah tau.”


“PUAN JANNAH!”

“Kenapa Rahmat? Ada masalah ke?”

“Barang belum sampai. Janji semalam tapi sampai sekarang belum dihantar. Budak-budak dah tak boleh nak buat kerja, Puan.”

“Supplier ada call tak?

“Saya dah call beberapa kali. Last dia janji pukul satu tadi tapi masih belum sampai.”

Jannah memeriksa jam di tangan. Waktu sudah menghampiri pukul dua setengah petang.

“Bagi saya nombor dia, Rahmat.”

“Ehem… tak apa, saya baru call.” Satu suara yang menyapa mereka dari belakang membuat Jannah menoleh ke arah suara itu.

“Oh, Encik Qayyum dah sampai? Maaf saya lambat sedikit.”

“It’s okay. Saya pun baru sampai. Tak sampai setengah jam,” balas Qayyum dengan senyuman di bibir.

“Apa supplier tu kata, Encik Qayyum?” Rahmat terus menyoal. Risau mengenangkan kerja-kerja yang tertangguh.

“Katanya lori sedang dalam perjalanan ke sini. Mungkin tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, Rahmat.”

“Oooo…” Rahmat mengangguk. Tangannya naik menarik tuala putih yang tersangkut di leher.

“Kalau macam tu, nampaknya kita terpaksa tunggu lagi,” sambungnya sambil memandang Jannah.

“Sementara menunggu tu, kamu boleh minta budak-budak kemas apa yang patut, Rahmat. Semalam saya tengok kawasan belakang tu bersepah. Merbahaya kalau terjadi apa-apa kecemasan. Kalau ada safety inspection, mesti kita kena denda,” tegas Jannah.

“Oh, baik Puan. Saya akan minta budak-budak bersihkan sekarang juga. Saya minta diri dulu.” Terkocoh-kocoh Rahmat melangkah pergi.

Jannah memerhati sekeliling. Ternyata tidak banyak perubahan daripada lawatannya semalam. Kerja yang dijadualkan bermula semalam masih belum dapat dimulakan akibat kelewatan pembekal. Ini tentunya akan menjejaskan jadual yang telah disusun. Mungkin dia terpaksa meminta para pekerjanya untuk kerja lebih masa bagi menyiapkan bahagian kerja ini.

“Kenapa dia panggil awak Puan?” Wajah lelaki itu menzahirkan rasa pelik di fikirannya.

“Kenapa tak boleh?”

“Awak kan belum berkahwin atau saya salah terima info?”

Jannah ketawa kecil.

“Encik Qayyum, mereka tidak perlu tahu semua itu. Through my experience, I find that they will have more respect for me when they address me that way. Once they know the boss is a single lady, their perception and respect level for her will change. I guess it is a man thing, right?”

Giliran lelaki itu pula untuk ketawa.

“That is a funny observation.”

“Mungkin kelakar bagi Encik Qayyum tapi itu realitinya. Saya lebih selesa begini.”

“Adakah itu salah satu sebab you masih gunakan panggilan ‘Encik’ bila bercakap dengan saya? Sebab awak selesa begitu?” Sekali lagi soalan itu diajukan kepada Jannah.

“Ya, saya lebih selesa begitu dan saya juga sudah menerangkan sebabnya tadi,” balas Jannah jujur. Lelaki ini anak majikannya. Biarlah ada jarak antara mereka.

“Saya pula yang jadi tak selesa, Jannah. You are my mentor.” Qayyum meneliti gadis ayu di hadapannya itu.

“Jika panggilan tersebut membuat Encik Qayyum tak selesa, saya minta maaf.”

“Here we go again with the ‘Encik’ or should I also start calling you Puan Jannah?” Qayyum mengusik sambil menyilangkan tangan ke dada.

Jannah terdiam sebentar. Dia merenung lelaki itu.

Renungan itu dibalas Qayyum dengan senang hati. Satu sifat Jannah yang dia sangat suka. Gadis ini walaupun dingin tetapi tidak gentar untuk berlawan mata dengannya.

“Saya tak kisah, Encik Qayyum. Terserah,” Jannah mengangkat bahu. Sungguh dia memang tak kisah. Yang dia mahu ialah tempoh mentor-mentee ini segera berakhir supaya dia dapat kembali ke rutin asalnya.

Qayyum menarik senyum. Daripada bahasa badan Jannah, dia tahu gadis itu sudah mula tidak selesa. Tapi hatinya masih ingin mengusik. Menguji.

“Kalau begitu, can I call you Zahraa? It suits you better. ”

Jannah menghela nafas. Malas hendak melayan Qayyum bila intonasinya sudah begitu. Dia tak ada masa untuk bergurau senda dengan lelaki itu.

“Macam saya kata tadi, whatever you wish.”

Semakin lebar lelaki itu menarik senyum.
Memang tiada apa yang kurang pada diri Qayyum. Gadis mana pun pasti akan tertarik dengan aura lelaki itu. Cuma bukan Jannah.

“Encik Qayyum, saya rasa kita patut masuk ke bilik mesyuarat sekarang.” Jannah mula membuka langkah laju meninggalkan Qayyum di belakang.


1 comment: