Sunday 29 March 2015

BAB 4 : JODOHKU DAN JANJI-NYA - SUZANA SULAIMAN


USAI mesyuarat di Putrajaya, Jannah terus menuju ke Damansara. Rancangannya untuk bertemu Malek sekejap sebelum dia ke destinasi seterusnya.

Tiba di tempat yang dijanjikan rupanya sudah ramai yang berada di situ. Malek, Nick, Khalid, Arif, Sam serta ‘ahli baru’ kelihatan sedang rancak berbual.

“Ha, dah sampai pun kau.” Arif menyapa dahulu.

“Waalaikumussalam,” balas Jannah sinis sambil mengambil tempat di hujung meja. Sekali lagi dia duduk berhadapan dengan ‘ahli baru’ yang masih belum diketahui namanya.

“Kena lagi aku,” keluh Arif tersengih sambil menggaru kepala.

“Apasal lambat?”

“Aku dari site.”

“Putrajaya?"

“Yup.”

“Nak order minum?” Tiba-tiba ‘ahli baru’ itu bertanya.

Mata mereka bertemu seketika.

“Boleh. Thanks.”

Lelaki itu mengangkat tangan sebagai tanda isyarat kepada pelayan kedai supaya datang mengambil pesanan.

“Lama lagi ke projek tu, Jannah?” Nick menyoal.

“Yup. Baru nak masuk fasa dua.”

“I see.”

“Biasalah, projek besar mana boleh siap dalam sekelip mata, kan? Dahlah aku tak nak cakap pasal kerja. Buat pening kepala aku je. Malek, apahal nak jumpa ni?” Jannah berpaling kepada Malek di tengah meja.

“Tak ada apa. Saja. Dah dua minggu kita tak berkumpul, kan?”

“La. Aku ingat ada hal penting apa tadi.”

“Kalau ada pun, aku nak jemput semua datang makan kenduri.”
“Bila?” Jannah bertanya.

“Wah… kau nak kahwin lagi ke?” Arif menyampuk.

“Kau ni Arif! Itu saja ke yang ada dalam otak kau tu? Kalau ya, memang dah wajib kahwin la kau ni.”

Pecah ketawa semua lelaki di keliling meja itu. Arif buat muka selamba.
“Aku buat kenduri doa selamat sikit. Korang datang tahu. Sabtu depan.” Malek menyambung.

“Insya-Allah,” sambut Khalid.

“Aku tak dapat, Malek. Sabtu depan aku nak hantar anak balik asrama,” terang Sam.

“Tak ada hal, Sam. Family first. Siapa yang ada masa, jemputlah ke rumah. Cuma Jannah, kau wajib,” ucap Malek.

“Insya-Allah. Kalau tak ada apa-apa yang urgent, aku datang. Lama tak jumpa anak-anak kau. So, itu saja ke?” soal Jannah lagi.

“Yup. Yang kau nak tergesa-gesa ni kenapa? Kau nak ke mana?” Malek memandang wajah Jannah yang tak senang duduk itu.

“I need to ride. I need to blow off some steam,” balas Jannah laju. Air minumannya juga disedut laju.

Malek mengangguk faham.

“Stress sangat ke?”

“Biasalah. Bila projek besar, macam-macam ragam dan masalah timbul.”

“Kau patut dah biasa dengan semua tu, kan? Lagipun ni bukan projek besar kau yang pertama.” Nick mencelah.

“Memanglah bukan projek pertama aku tapi aku penatlah melayan kerenah manusia ni. Okey guys, aku jalan dulu. Kita jumpa minggu depan ya, insya-Allah. Assalamualaikum.” Jannah terus bangun. Helmet dan kunci motor dicapai sebelum dia mula mengatur langkah ke arah motor yang diparkir di seberang jalan.

Namun bunyi tapak kaki yang seakan sedang berlari, membuat dia berhenti dan menoleh ke belakang.

“Jannah!” ‘Ahli baru’ itu berteriak memanggil.

“Ada apa?” Jannah merenung tepat ke wajah lelaki itu. Marah kerana langkahnya diganggu.

“Wait up!” Dua tiga langkah dan lelaki itu sudah berdepan dengan si gadis.

“Nak apa?” Jannah menjawab kasar.

“Tunggulah sekejap. I have something to ask you.” Suara lelaki itu tenang walaupun sedang mengambil nafas. Segaris senyuman dipamerkan. Sejak kali pertama bertemu Jannah dua minggu lepas, hatinya sudah tertarik. Ada sesuatu pada gadis ini yang begitu menarik perasaan ingin tahunya. Apa? Itu dia belum pasti. Cinta pandang pertama? Mungkin. Dia tiada jawapan untuk itu. Yang dia tahu, dia ingin mengenali gadis yang nampak cukup berani berada seorang diri dalam kumpulan bikers yang kesemuanya lelaki.

“Awak nak pergi mana?”

“Aku nak naik Genting.”

“Malam-malam macam ni? Nak buat apa?”

“Yang kau sibuk kenapa? Tak ada kena-mengena dengan kau pun kan?” Jannah cukup tidak suka apabila orang masuk campur halnya. Apatah lagi bila yang bertanya itu seorang lelaki yang dia tidak kenali.

Jihad mengambil nafas. Memang kasar Jannah ni. Daripada apa yang dia tahu, Jannah memang tidak akan memberi muka kepada sesiapa yang mahu mendekatinya. Tapi itu bukan penghalang untuk Jihad mencuba.

“Kau nak apa sebenarnya?” Jannah menyoal lagi. Pandangannya tajam menentang sepasang mata yang redup.

“Nama saya Jihad. Jihad Mikhael.” Sekali lagi Jihad mengukir senyum. Kali ini tangannya juga dihulur untuk berjabat salam.

“Dan kau dah tahu nama aku. Maaf kita bukan mahram.” Tangan yang dihulur tidak disambut.

Jihad berdeham perlahan sambil menarik tangannya kembali. Dia terkejut sebenarnya. Dia tidak menyangka gadis itu menjaga batas sampai begitu sekali. Melihat itu, hatinya bertambah senang.

“So, ada apa ni, Jihad?” Jannah sudah menyilang tangan ke dada.

“Awak memang selalu garang macam ni ya?” Dalam suara lelaki itu tapi tetap tenang dan lembut.

“Ya Allah. Can you please get to the point?” marah Jannah lagi. Sungguh dia tak selesa berada di hadapan lelaki itu.

“Boleh kita berkawan? I would like to get to know you.”

“Bukan ke kita dah berkawan sekarang?”

“Saya rasa belum. Kalau kita kawan, kita takkan bercakap macam ni.”

Jannah terdiam. Dia menyedari akan kesalahannya. Dia agak kasar tadi.

“Maaf,” ucapnya sepatah.

“Accepted.”

“So, can I go now?”

“Awak belum jawab soalan saya. Can we be friends?”

“Jihad, kita dah dalam satu kumpulan. Naturally, we will be friends,” jawab Jannah tegas. Dia tak faham langsung mengapa Jihad mengutarakan soalan sebegitu.

Jihad tersenyum lagi sambil menggeleng.

“No, actually I want more than that. I want to get to know the lady behind the façade.”

“What?!” Suara Jannah mula tinggi kembali. Sungguh dia tak percaya apa yang baru dituturkan oleh lelaki ini. Ringan kaki dia ingin melangkah.

“Jannah, I know behind this façade, there is a soft and loving soul dan dengan izin Allah, saya ingin menjadi imam kepadanya,” ucap lelaki itu dengan penuh keyakinan. Matanya langsung tidak berkelip menatap wajah Jannah.

Dan buat kali pertama dalam hidupnya, Jannah terkedu.




No comments:

Post a Comment