Monday 20 April 2015

Bab 1: J.A.D(JIWAKU ADA DIRIMU)-WAWA TAUFIK

Bab1

        “JAD JAZMAN... tunggu!” jerit Alena sambil terkedek-kedek lari untuk mendapatkan teman baiknya itu. Jenuh juga dia. Dengan beg sandang belakang yang penuh dengan barangan studi dan peribadi ditambah pula buku-buku nota yang dijinjit, membuatkan pergerakannya terasa lambat sekali.

        “J! Tunggulah aku!” jeritnya lagi apabila melihat yang Jad masih tidak berhenti.

        Lariannya cuba dipantaskan namun kemudiannya dia mula menarik nafas lega apabila lelaki itu mula mengambil tempat di atas kerusi kayu tidak jauh dari situ.

        Sampai di hadapan lelaki itu, Alena menarik nafas semahunya. Naik semput dibuatnya dek mengejar langkah panjang lelaki itu.

        “Kau ni! Penat aku panggil.” Dia menampar bahu kiri Jad dan lelaki itu hanya tersengih.

        “Saja...”

        Ngek lah kau. Penat tau tak?” luah Alena geram. Tidak lama dia mengambil tempat di sebelah lelaki itu.

        “Okey lah tu. Kau boleh senaman sikit. Dah lama kau tak join aku. Dah makin bulat dah pipi kau tu.” Jad sengaja bercanda dengan teman baiknya itu.

        Dia dan Alena mula berkenalan ketika pertama kali terlibat di dalam program Freshers’s Explorace anjuran LUMSOC iaitu satu badan pertubuhan sosial penuntut Malaysia di Leeds. Dan kemudiannya perhubungan menjadi lebih akrab setelah sama-sama menyertai program jualan garaj yang bertempat di 24 Kelso Garden. Tambahan pula pada ketika itu masing-masing masih terpinga-pinga tanpa kenalan, terus menjadikan mereka akrab dalam komuniti kecil itu.

        “Melampau kau kan? Kau nak cakap aku gemuk ke J? Kau ni memang mengada!” Pantas jemari Alena naik mencubit paha pejal milik lelaki yang sama-sama berasal dari Kuala Lumpur dengannya itu.

        Jad ketawa terkekek-kekek. Dia langsung tidak membalas cubitan kecil gadis itu. Dia berpaling sebentar menentang pandang dengan wajah ayu si gadis. Perlahan-lahan dari tawa sudah bertukar kepada senyuman. Dia senang dengan persahabatan mereka.

        “Ada apa, Al? Kau bukan ada discussion ke sekarang ni?” soalnya lembut. Tidak menunggu lama, dia melihat gadis itu menarik muka masam.

        “Kenapa pulak dah ni?” soalnya lagi. Hairan.

        “Meluatlah, J...”

        “Batal ke?” tanya Jad seakan-akan mengerti.

        Gadis itu mengangguk.

        Laaa... hujung minggu ni dah nak kena bentang proposal dah, Al. Kumpulan kau asyik batal je... bilanya nak siap?”

        “Aku nak kumpulan sekali dengan kau, kau tak kasi.” Dalam mencuka gadis itu sempat meluah rasa tidak puas hatinya.

        Jad mengeluh.

        “Bukan aku tak kasilah, Al. Tu... si boyfriend kau tu bukannya faham. Nanti dia nampak kau asyik keluar dengan aku je, dia mesti mengamuk. Kau jugak yang jadi mangsa nanti. Aku dah bosan dengan kerenah boyfriend kau tu. Macam dia sorang ada girlfriend.” Bibirnya dicebik.

        “Biarlah kat dia. Asyik nak dengar cakap dia je... bosanlah!” Selamba Alena menjawab.

        “Kau cakap senang, Al. Ini... kalau dia nampak kau dengan aku ni, tak pasal-pasal aku kena lagi.”

        “Kau takut ke J?”

        “Aku tak takut, Al. Tapi aku bosan nak mengadap muka Khan yang entah apa-apa tu,” jawab Jad tanpa selindung. Sememangnya dia dengan Alena tiada rahsia yang tersembunyi. Masing-masing sudah biasa mencari sesama sendiri apabila ada sesuatu yang menimpa. Seakan-akan sukar untuk hidup tanpa salah seorang daripadanya.

        Eleh... kau lagi toughlah dari mamat tu,” balas Alena tanpa perasaan. Sedangkan yang Jad kutuk itu adalah teman lelakinya.

        Sebenarnya, perkenalan dan perhubungannya dengan Khan masih muda jika hendak dibandingkan dengan usia perkenalannya dengan Jad. Khan merupakan penuntut Komunikasi di universiti yang sama dengan mereka. Manakala dia dan Jad merupakan penuntut Ekonomi. Perkenalannya dengan Khan bermula ketika sama-sama menyambut sambutan hari raya Aidil Adha di Pusat Komuniti Woodsley setahun yang lalu. Perkenalan biasa dan seterusnya membawa ke hubungan yang lebih serius.

        Bagi Alena, dia sukakan Khan kerana ketampanan lelaki itu. Namun, rasa suka yang dirasainya belum mampu untuk ditukar pada cinta dan sayang. Dan kalau hendak diikutkan, dia lebih rasa sayang itu kepada Jad. Lelaki itu lebih gentleman kalau hendak dibandingkan dengan Khan yang semakin lama semakin membosankan. Asyik nak melenting dan cemburu sahaja. Alena rimas dengan kongkongan yang Khan pagarkan untuk dirinya.

        Hah! Ingat boyfriend kesayanganlah tu...”

        Alena terasa bahunya ditolak kasar. Dia segera menggeleng kepalanya berkali-kali sebelum berpaling memandang Jad si sebelahnya.

        “Kau kenapa ni Al? Khan ada buat apa-apa lagi ke kat kau? Cakap dengan aku,” soal Jad risau.

        “Tak ada apalah. Aku cuma bosan dengan mamat tu. Asyik cemburu dan kuat mengongkong je. Rimas betul!”

        “Dah tau macam tu, buat sesuatulah Al. Jangan biar hidup kau huru-hara sebab mamat perasan bagus tu.”

        Hmm tengoklah nanti.”

        Jad mengangkat kedua bahunya tanda mengalah. Dia sendiri sedia pasti dengan jawapan Alena itu. Bila disuruh selesaikan, dijawabnya ‘nanti’. Tetapi, mulut comel itu asyik mengeluh dan mengadu sahaja.
         
         
ALENA masih berteleku di situ. Jad sudah berlalu hampir 15 minit yang lalu. Lelaki itu ada perbincangan dengan ahli kumpulannya. Dan dia juga yang terkebil-kebil tanpa sebarang isi perbincangan. Dia kembali mengeluh. Hati risau dengan perbentangan proposal yang perlu dibuat minggu depan. Tak kanlah nak bawa hasil yang ‘sampah’ untuk Dr Peter Phelps?

        “Alena!”

        Dia segera berpaling apabila terdengar namanya dipanggil.

        Tidak lama apabila gerangan yang menjadi topik perbualannya dengan Jad sebentar tadi hadir di pandangan matanya.

        Dia mengeluh.

        “Khan...” ucapnya perlahan.

        Tidak sampai pun seminit, lelaki tampan itu sudah mengambil tempat di sebelahnya. Rapat.

        Alena yang berasa tidak selesa dengan posisi yang seakan-akan bercantum itu sudah mula menjarakkan dirinya.

        “You buat apa kat sini?” soalnya malas. Dikerling sebentar wajah makhluk di sebelahnya.

        “You tu yang buat apa kat sini?” Lelaki itu menyoalnya pula.
        “Saja...”

        “Saja? Atau you ada date dengan mamat serabai tu?”

        Hish! Apa you ni Khan? Tak habis-habis nak menuduh.”

        “Tapi memang betul kan? You tak akan saja-saja duduk kat sini, Alena. Ini favourite port kau orang kan?” Lelaki itu tak henti-henti menuduh dan menyerang.

        Alena sudah naik rimas.

        “You kalau tak sakitkan hati I sehari tak boleh ke Khan? Seronok ke duk tuduh-tuduh orang macam ni?”

        “Hati I lagi sakit bila tahu yang you baru lepas date dengan mamat serabai tu.” Lelaki itu masih selamba menuduh. Tangan kekarnya dibawa ke penghadang belakang dan memaut santai.

        “Kami bukan datinglah, Khan. Dia tu bestfriend I. Lagipun kami satu kuliah. Kat mana pun I ada, tak mustahil kalau J pun ada sama.”

        Eleh... bukan I tak tahu yang you selalu lepak berdua dengan dia. Mata-mata I banyak.”

        “Pergi mampuslah mata-mata you tu! Tak guna sama macam you! Menyibuk hal orang je. Macam tak ada kerja lain.”

        Khan sudah bertambah berang bila Alena menjawab begitu. Tubuhnya yang santai menyandar sebentar tadi sudah dibawa ke hadapan dan rapat dengan gadis itu.

        “You cakap I tak guna, Alena?” Dagu Alena sudah dicengkamnya.

        Hey! Lepaslah! Sakit tau tak?” Alena cuba menepis tangan itu. Dagu dan rahangnya sudah berasa sakit.

        “You cakap I tak guna? You tu yang tak guna!” Dengan kuat dan kasar, Khan melepaskan cengkaman itu. Matanya tajam memandang Alena. Dadanya berombak kencang.

        “Kalau dah I ni tak guna... tinggalkan I, Khan. Dah banyak kali I mintak putus dengan you, kenapa yang you liat sangat nak lepaskan I?”

        Tiba-tiba Khan ketawa. Semakin lama semakin kuat.

        “Tinggalkan you? Ha ha ha... sama sekali tidak, Alena. You tu hak I sampai bila-bila pun. Jangan harap mamat selekeh tu nak rampas you dari I.”

        “You tak nak tinggalkan I? Okay fine... sekarang I yang akan tinggalkan you!” Dengan mengatakan hal itu, Alena terus angkat punggung dan dengan pantas beredar dari situ. Dia mula berlari dan langsung tidak berpaling lagi. 

Dia risau lelaki itu akan mengejar dan mengapa-apakan dirinya.


      

No comments:

Post a Comment