Wednesday 22 April 2015

Bab 1OFFICIALLY MILIK DIA - MELATI SHAFIKA


Bab 1

         
        A
KU memang sukakan dia. Suka sangat-sangat. Tak kisahlah, walau apa pun yang orang cakap tentang dia. Dia playboy. Dia kaki perempuan. Dia poyo. Dia sombong atau berlagak. Aku tak kisah! 

        Sebenarnya kalau aku kisah pun, dia tidak ada kena mengena dengan aku. Dia bukan teman lelaki waima kekasih aku pun. Dia tidak pernah ambil tahu fasal aku. Entah dia masih ingat pada aku lagi ataupun tidak? Malah, mungkin juga dia langsung tak kenal aku.

        Aku kerling Fariq Hatta yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik pejabat. Segak sungguh dia hari ini. Kemeja lengan panjang berwarna ungu cair dipadankan dengan seluar slack berwarna hitam. Memang sesuai dengan kulitnya yang cerah.

        Hai, kenapalah dia dilahirkan sekacak itu?

        Dari dulu lagi, dia memang sudah menunjukkan ketrampilan yang berkarisma. Ciri-ciri kepimpinan itu memang menonjol dan dia juga mempunyai persona tersendiri. Aura yang memikat. Silapnya, dia dikelilingi wanita yang bukan calang-calang orangnya.

        Dari dulu sehingga sekarang. Bukan seorang. Entah berapa ramai, tidak terkira dek aku. Silih berganti. Tapi, siapalah aku untuk menghakiminya? Mungkin saja perempuan-perempuan itu yang hendak bertempek dengan dia.

        Mataku masih ralit memandang dia. Kenapalah dia boleh bekerja satu bumbung dengan aku? Kalau dulu, susah sikit nak nampak. Walaupun sebumbung, pejabat dia empat tingkat di atas pejabat aku yang berada di tingkat lima belas. Kadang-kadang sahaja terserempak dalam lif.

        Baru sebulan ini saja, pejabat dia dipindahkan ke tingkat di mana aku berada. Tidak pula aku pasti kenapa jabatan dia harus berkongsi satu tingkat dengan jabatan tempat aku bekerja. Dengar khabarnya, syarikat dalam proses mengubah struktur pentadbiran dalam jabatan. Mungkin sebab itu kut.

         Aku mencemik. Bukan tak suka tapi tak selesa. Manalah tahu nanti dia terperasan yang aku ini ada hati dengan dia.

        Apalah yang aku merepek ni? Kalau dulu masa satu universiti pun dia tidak pernah perasan akan kehadiran aku, apa yang membuatkan dia untuk perasan sekarang pula?

        “Apasal mulut muncung tu?”

        Aku pantas berpaling ke arah empunya suara. Kak Su, setiausaha Fariq Hatta. Urgh! Kantoilah pula.

        “Intai bos ek?”

        “Bos akak, bukan bos kita.” Aku sengih.

        “Akan jadi bos Yaya juga nanti.”

        Aku tersentap. Mata membulat. Biar betul? Aku pandang Kak Su dengan wajah tidak percaya. Jadi, khabar angin tu betullah?

        “Tak dengar cerita lagi? Bos akak tu akan take-over unit Yaya. Dia akan jadi team leader,” beritahu Kak Su sungguh-sungguh.

        “Oh ya?” Baru dua tahun bekerja di sini, dia sudah naik pangkat? Hebat! Kening aku pula yang terjongket. Kagum. Aku yang bekerja lebih awal daripada dia pun tak pernah dapat peluang sebegitu.

        “Ya, akan ada perubahan struktur dalam syarikat, Yaya cuma tunggu dan lihat.” Kak Su sepetkan mata sambil tersenyum comel.

        “Akak ceritalah kat Yaya.”

        “Tak boleh. Confidential.”

        Ewah! Berlagak pula Kak Su ni. Tak padan berbadan dua, dengan aku pun nak berahsia bagai.
        Kening Kak Su terjongket dua kali.

        “Akak…” Mataku berkerdipan, cubaan untuk merayu dibocorkan rahsia.

        “Tak boleh. Nanti bos marah.”

        “Ada staff yang akan diberhentikan kerja tak?” tanya aku masih mahu mengorek rahsia.
        “Taklah. Man power pun tak cukup. Kenapa nak berhentikan orang?”

        Aku mengangguk. Bimbang juga. Kalau betul ada ura-ura pihak syarikat hendak mengurangkan pekerja, aku mahu bersedia lebih awal. Kutlah nama aku naik.

        Don’t worry. Kalaupun ada senarai pekerja-pekerja yang berkemungkinan diberhentikan, Yaya tidak akan termasuk dalam senarai tersebut.”

        “Kak Su.”

        Aku dan Kak Su berpaling. Fariq Hatta sedang berdiri di muka pintu bilik pejabat sambil menggamit setiausahanya yang berada bersamaku.

        Mata aku beradu dengan mata Fariq Hatta. Kilas pandangan mata yang dingin. Namun, cukup buat hati aku berdetak bagai nak rak. Serta-merta wajahku jadi hangat. Those butterflies in my stomach, its’ fluttering again! Itulah yang berlaku setiap kali berhadapan dengan Fariq Hatta.

        Aku teguk air liur. Yaya! Control! Pantas aku mengingatkan diri sendiri.

        “Akak pergi dulu.” Kak Su bermain mata.

        Nakal! Tahulah bos kacak tahap selebriti.

        “Akak tahu Yaya fikir apa tu.”  Kak Su melirik nakal.

        Don’t worry, akak tak akan jatuh berkenan dengan dia. Akak cuma nak anak akak yang keluar ni nanti terkenan dengan wajah handsome bos akak tu.”

        “Kalau terkenan yang baik-baik, takpe kak,” sakatku bermakna. Iyalah, buatnya perangai tak senonoh Fariq Hatta pun terkenan sama?

        Kak Su sekadar angkat kening, masih dengan senyuman nakal di bibir.

        Daun pintu bilik pejabat milik Fariq Hatta terbuka semula. Sekali lagi aku beradu mata dengan dia. Matanya tajam memandangku.

        Aku teguk air liur lagi. Agaknya dia fikir aku sengaja melambat-lambatkan setiausahanya itu.

        Eeh… aku angkat kening sebelum mengalihkan pandangan ke arah skrin komputer. Tak kuasa aku menahan hati yang debak-debuk ni. Nanti tak berhenti-henti aku berfikir tentang Fariq Hatta!
         
         
BUTANG lif aku tekan. Perut sudah kenyang lepas makan tengah hari. Ipod yang aku bawa bersama, aku keluarkan. Earphone aku sumbat ke dalam telinga sebelum memilih lagu untuk dimainkan.

        I’m being haunted by a whisper
        A chill comes over me
        I’ve been trapped inside this moment
        I’m not a victim, I’m not a freak
        Free me before I slip away

        Aku bernyanyi kecil mengikuti lirik lagu yang aku dengar dari corong earphone, iramanya yang berkumandang bagai mahu memecahkan gegendang telinga membuat tubuhku bergoyang mengikut rentak, walaupun kala itu badan terasa berat sedikit. Penangan kari kepala ikan. Aku menguntum senyum, teringat pantun dulu-dulu. Pantun lama. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. 

        Pintu lif terbuka, cepat-cepat aku melangkah masuk. Belum sempat aku menekan butang untuk menutupnya, pintu lif ditahan. Sesusuk tubuh lelaki yang cukup aku kenal melangkah masuk.

        Oh, Fariq Hatta!

        Terkebil-kebil aku memandang. Hatiku sudah suka-suki berdendang. Malangnya, dia bukan sendirian. Seorang wanita cantik turut sama melangkah bersamanya. Siap berpimpin tangan.

        Urgh! Terus terbantut rasa suka yang hadir. Aku memencil diri ke salah satu sudut ruang lif bersaiz kecil itu. Tiba-tiba terasa kerdil.

        Wanita cantik yang mengiringi Fariq Hatta itu aku kerling sekilas. Dress paras lutut berwarna merah garang dan sendat yang dikenakan wanita itu cukup menarik perhatian. Gincu berwarna sama teroles pada bibir. Mekap tidak keterlaluan, agak sederhana membuatkan dia nampak elegan. 

        Wanita itu memaut lengan Fariq Hatta sambil menggeselkan badan. Gediknya! Hatiku membebel sendirian. Lagaknya seperti ingin memberitahu yang lain, Fariq Hatta itu milik dia. Walhal, memang ada aku seorang sahaja dalam lif  itu bersama dengan mereka. 

        Aku perasan yang Fariq Hatta sedang merenung aku pada pantulan dinding lif. Pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan maksudnya. Agak lama juga dia begitu. Aku pura-pura tidak melihatnya walaupun hati aku berdegup bagai nak rak ditenung sebegitu rupa.

        Aku matikan volume Ipod, sambil terus menyanyi kecil tanpa suara. Aku mahu tahu apa yang mereka bualkan.

        Honey....” Wanita itu bersuara manja sambil matanya melirik aku.

        Uwek! Apa pandang-pandang aku? Rasa nak muntah pun ada. Aku berlagak tidak peduli. Ada aku kisah? Sebenarnya, memang aku kisah. Buat sakit mata, buat sakit hati juga!

        Fariq Hatta berpaling pada wanita di sebelahnya.

        Wanita tersebut senyum menggoda sambil mendekatkan dirinya kepada Fariq Hatta. Rapat sangat-sangat.

        Eew! Aku pula yang bertukar merah padam melihatnya. Tak sanggup aku melihat adegan seterusnya.

        Fariq Hatta kelihatan kaku dan kembali memandang aku melalui pantulan dinding lif yang ala-ala cermin itu. Agaknya mahu melihat reaksi aku.

        Aku? Memang tak selesa. Sesak aku dengan situasi sebegini. Cepatlah tiba ke destinasi! Geli aku melihat aksi mereka!

        Tingkat 15. Suara operator lif kedengaran bergema. Finally!

        Go find yourselves a room,” gumamku perlahan ketika pasangan itu mendahului keluar dari lif.

        Tiba-tiba Fariq Hatta berpaling dan wajahnya kelihatan berubah. Dia dengar ke? Sila terasa.
         

No comments:

Post a Comment