Wednesday 22 April 2015

Bab 2: OFFICIALLY MILIK DIA - MELATI SHAFIKA


Bab 2
                TELEFON bimbit aku berdering beberapa kali sebelum aku menekan butang hijau. Panggilan daripada mekanik tempat aku menghantar kereta milik ayah yang aku gunakan. Memberitahu aku jumlah yang harus aku bayar atas perkhidmatan membaiki kerosakan kenderaan tersebut. Pening sedikit kepala aku mendengar jumlah yang disebut. RM550.00. Mana entah aku nak cekau duit sebanyak itu tengah-tengah bulan ni?
        Kata mekanik itu, jumlah itu cuma anggaran kasar selepas menilai tahap kerosakan yang dialami oleh kenderaan tersebut. Ada tambahan atau tidak, dia akan umumkan kemudian. Manalah tahu ada komponen atau bahagian kenderaan yang perlu diganti. Aku mengeluh mendengarkan itu.

        Petang semalam, ketika aku mengundurkan kenderaan keluar dari kawasan parkir, aku telah melanggar sebuah kereta jenama Kia Sorento model yang terkini.

        Nombor plat baru pula tu. Mungkin baru dalam sebulan dua merasa dipandu di atas jalan raya. Aku tak tahulah milik siapa sebab ketika kejadian itu berlaku, tuan punya kereta tidak ada. Marah betul aku atas kecuaian diri sendiri.

        Setelah beberapa ketika aku menunggu, pemiliknya tidak muncul-muncul. Aku mengambil keputusan untuk mengambil beberapa gambar kerosakan yang dialami oleh kereta tersebut serta mencatat butir-butir penting dan perlu.

        Sebelum pergi, aku tinggalkan nota dengan nombor telefon bimbit untuk pemilik kereta itu menghubungi aku. Namun sampai kini, dia masih belum menghubungi aku. Aku cuak juga memikirkan berapa banyak perbelanjaan untuk membaiki kenderaan tersebut. Manalah tahu mencecah ribu-ribu.

        Tiba-tiba Fariq Hatta melintas di hadapanku. Dia mengerling aku sekilas. Lagi sekali pandangan yang sukar ditafsirkan itu mengisi ruang mata. Ekor mata aku terus mengiringi langkahnya sehinggalah dia masuk ke dalam bilik pejabat.

        Minggu ini orang lain, minggu depan orang lain. Entah apa nak jadi dengan makhluk Tuhan yang kacak seorang ini? Mana hilang pasangannya tadi, tidak bersama pula. Agaknya sudah pergi setelah melampiaskan rindu yang membuak-buak. Aku jeling Fariq Hatta yang keluar dari bilik pejabat dan sekarang sedang berdiri di hadapan Kak Su, sedang mengarahkan setiausahanya itu untuk melakukan sesuatu. Bila dia menoleh secara tiba-tiba, pandangan kami bertembung lagi dan aku tundukkan kepala, segera buat-buat sibuk.

        “Siapa letak fail bertimbun-timbun atas meja aku ni?” Terkejut aku bila perasan meja aku penuh dengan fail-fail klien syarikat. Muntah hijau aku kalau hendak siapkan semuanya hari ini.
        Argh! Aku mengeluh sendirian sambil memulakan kerja. Lupa seketika akan wajah kacak Fariq Hatta melihat lambakan kerja yang perlu aku langsaikan.

        “Yaya?”

        Aku menoleh ke arah Kak Su yang mejanya terletak selang tiga buah meja dari tempat aku. Dia buat isyarat agar aku mengangkat telefon.

        “Kenapa Kak Su?” soalku selepas gagang telefon aku angkat.

        “Yaya buat bos akak marah ke?”

        “Kenapa Kak Su cakap macam tu?” Aku pandang Kak Su yang juga sedang memandang aku.

        “Dia minta Kak Su ambilkan fail Yaya daripada HR. Nampak serius aje.”

        Hah? Hati aku jadi tidak keruan. Takkanlah ambil hati dengan kata-kata aku sampai nak buang aku dari kerja. Isk!

        “Apapun, kalau bos akak panggil Yaya... Yaya get ready aje lah ek.”

        Gagang telefon aku letak. Aku jadi gelabah seketika. Minda ligat berfikir mencari pelbagai alasan untuk dikemukakan kiranya benar seperti yang dijangka. Kalau betul, Fariq Hatta boleh sahaja jadikan lebihan tenaga kerja sebagai alasan untuk memberhentikan aku. Tapi, bukankah tadi Kak Su ada berkata, manpower tak cukup.

        Kata-kata Kak Su kembali terngiang-ngiang di telinga. Niat aku untuk meneruskan kerja tergendala seketika. Aku pandang jam dinding, sudah masuk waktu zohor. Baik aku tunaikan solat dulu. Mudah-mudahan hati aku akan jadi lebih tenang selepas itu.

        Sekembalinya aku dari surau, aku terus mengatur langkah ke bilik pejabat Fariq Hatta. Daun pintu aku buka dan tutup kembali.

        “Encik Fariq panggil saya?”

        “Awak, Yasmin Hidayah?” Dia pandang aku sejenak.

        Aku angguk.

        “Awak ada kembar seiras atau saudara yang seiras dengan awak?” Mata dia labuhkan pada fail terbuka yang berada di atas mejanya. Membelek helaian kertas yang berada di dalamnya.

        Aku menggelengkan kepala. Seingat-ingat aku, mak dan ayah tidak pernah pula bercerita yang aku ini dilahirkan kembar. Tak tahulah kalau perkara itu disembunyikan daripada pengetahuan aku. Tiada juga di kalangan keluarga sebelah mak mahupun ayah yang ada gen kembar ni. Saudara seiras? Kakak dan adik aku mungkinlah ada terbias wajah, sedikit sebanyak, nama pun adik beradik kan?

        “Yasmin Hidayah, awak ada masalah dengan saya?” Dia bersuara tanpa memandang wajah aku.

        Aku yang masih berdiri di hadapannya menggeleng tidak faham. Masalah? Setahu aku, hati aku sahaja yang ada masalah. Masalah hati yang entah bila boleh diselesaikan, yang belum tentu ada jalan untuk menyelesaikannya.

        “Awak ada masalah dengan saya?” Kali ini Fariq Hatta berhenti seketika sambil menikam tepat anak mataku buat dadaku mahu luruh.

        “Tak ada.” Pantas aku menjawab.

        “Jadi tak akan ada masalah kalau saya nak keluar dengan awak, kan?”

        Encik Fariq nak keluar dengan saya? Like a date?” Bulat mataku memandang wajah Fariq Hatta. Buang tebiat atau apa? Selama ini tak pernah pun pandang aku, alih-alih ajak aku keluar. Bukanlah aku tak suka. Suka! Suka sangat! Tapi, peliklah!

        Fariq Hatta masih menatap wajahku dengan secebis senyuman. Mungkin sedang meneliti reaksi aku. Mungkin juga sedang mengutuk aku dalam diam.

        Like a date? Kening aku terjongket. Liur kutelan, suara pula bagai tersekat di kerongkong.

        “Awak ada apa-apa rancangan malam ni?”

        Berkerut dahi aku tak faham. Terkebil-kebil mata aku memandang wajah Fariq Hatta. Hati aku seakan bertempik gembira tapi akal aku mengatakan sebaliknya. Lelaki ini menyimpan muslihat.
        “Kenapa Encik Fariq nak keluar dengan saya?” Anak mataku mengecil.

        “Awak tak suka?”

        Mestilah aku suka. Tapi, aku sengaja mencebir sebab aku tidak dapat menelah tujuan dia berbuat begitu. Tidak ada tanda-tanda dia menunjukkan yang dia sebenarnya pernah ada niat mahu keluar dengan aku. Sebelum ini, hari-hari yang lepas mahupun ketika ini.

        Mata dia masih melekat pada wajahku.

        “Kenapa saya nak keluar dengan Encik Fariq pula?”

        Kenapa? Apa yang dia mahu? Apa yang aku mahu? Tidak mungkinlah aku bertindak memalukan diri sendiri.

        “Saya cabar awak, Yasmin Hidayah.” Berubah sedikit riak wajah Fariq Hatta, mungkin tidak menjangkakan itu daripada aku.

        Agaknya dia fikir aku tidak mungkin menolak diajak keluar oleh seseorang yang mempunyai kedudukan hebat seperti dia.

        “Cabar saya?” Aku terkedu.

        “Saya tahu awak bencikan saya. Tapi percayalah, awak takkan mampu mempertahankan ego awak walau sehari pun dengan saya. I will make you fall in love with me… in less than a day.”

        Nonsense! Hati aku sudah menggelegak. Bila masa pula aku ego? Sikapnya yang over-confident itu memang menjengkelkan. Kecil mata aku menikam matanya. Memang aku sukakan dia tapi tidak bermakna aku harus merendahkan maruah aku.

        I don’t accept no as an answer.” Dia sudah melayangkan sebuah senyuman kepadaku. Kalau tidak ikutkan hati aku yang panas, mungkin aku sudah cair dengan senyuman itu.

        Try me.” Mataku mengecil. Bibir kuketap menahan tubuh yang seakan mahu menggigil memikirkan betapa dia sedang memperkotak-katikkan ego aku.  

        You wait and see.” Kening itu terjongket.

        Tapi kedengaran seperti I’ll make you suffer di telingaku. Well, Encik Fariq Hatta, I’m already suffering inside.

        “6 p.m, today.”

        Whatever.” Apa dia ingat aku akan tunduk? You are wrong, Fariq Hatta. Definitely wrong.

        “Atau, awak nak saya buat laporan polis?” Kening dia terjongket lagi. Senyuman sinis dia lemparkan.

        “Hah?” Dahiku berkerut seribu. Apa kena-mengena polis dalam hal ini?

        Selembar kertas ditarik keluar dari fail yang sejak dari tadi terbuka. Tiba-tiba terlintas di minda, bahawa fail tersebut mungkin fail peribadi aku yang diminta oleh Fariq Hatta daripada pihak HR. Sepertimana, yang dikhabarkan Kak Su tadi.

        “Nota ini awak tinggalkan untuk saya, bukan?”

        Eh! Nota itu, nota yang aku tinggalkan semalam. Macam mana boleh berada di dalam tangan dia? Diakah pemilik kereta Kia Sorento yang aku langgar itu?

        “Awak nak settle cara saya atau di balai? Saya boleh dakwa awak sengaja melanggar kenderaan saya atas motif cemburu.”

        Aku ternganga. Rasa macam nak debik-debik mulut dia. Berani dia mengugut aku begitu. Mata aku terkebil-kebil, nafas pun turun naik tidak menentu. Selebihnya risau jika hal ini dipanjangkan hingga ke balai. Argh! Masaklah kalau begitu, kemalangan kecil sahaja pun. Setakat calar sedikit, boleh sahaja diselesaikan di luar tidak perlulah melibatkan pihak penguat-kuasa.

        “Jadi, macam mana?” Nota itu ditarik balik bila tangan aku panjang saja mahu merenggut dari genggamannya.

        “Encik Fariq tak akan buat begitu.”

        “Ya, tak akan kalau awak patuh dengan apa yang saya cakapkan tadi. 6 p.m. today. Not a minute late.

        “Kalau tak...”

        “Awak tahulah nasib awak nanti. And trust me, it won’t be good.” Dia angkat kening sambil kepalanya ditelengkan.

        Aku teguk air liur. Runsing aku, runsing!    
         
         
LAGI sepuluh minit jam 6 petang. Aku resah sebenarnya. Berbelah bahagi sama ada hendak pergi atau tidak janji temu bersama Fariq Hatta? Kalau aku pergi, berkemungkinan besar aku akan kalah kepada lelaki yang bernama Fariq Hatta itu. Bukankah aku sudah maklum yang namanya memang sudah tertulis dalam hati ini? Tidak mustahil aku akan tersungkur dan mencalarkan sendiri maruah aku.

        Tapi, kalau aku tak pergi pula, aku tetap akan diisytiharkan kalah kerana berundur seperti itu bermakna mengaku kalah terlebih dahulu sebelum berjuang. Lagipun seperti kata Fariq Hatta, dia akan mendakwa aku atas kerosakan yang tidak aku sengajakan terhadap kenderaan miliknya. Argh! Susahnya!

        Kenapalah aku harus memikirkan semua ini? Kalah atau menang, bukannya akan mendatangkan hasil kepada aku. Lebih baik aku balik dan tidur sahaja di rumah. Aku percaya, ada jalan lain untuk menyelesaikan hal kemalangan semalam. Baik aku jumpa Kak Su dan tinggalkan pesanan buat Fariq Hatta. Dengan keputusan itu, aku mengemaskan meja lalu beredar mendapatkan Kak Su.

        “Kak Su, boleh tolong Yaya tak?” tanya aku pada Kak Su sedikit berhati-hati, tidak mahu Fariq Hatta perasan yang aku berada di luar bilik pejabatnya. Lagipun, ketika ini dia sedang sibuk melayan klien syarikat.

        Kak Su kalihkan pandangan daripada skrin komputer kepada wajah aku. Bibirnya menguntum senyum, menanti patah-patah bicara selanjutnya daripada aku.

        “Nanti, tolong bagitahu Encik Fariq. Hal semalam, saya akan bincang dengan dia esok.”

        “Hal apa?” Wajah Kak Su penuh tanda tanya.

        “Adalah, Encik Fariq tahulah.”

        “Tunggulah, cakaplah sendiri dengan bos. Lagipun, klien tu tak lama. Sekejap lagi dah nak pergi dah.”

        “Tak apalah, Yaya tengah rushing ni.” Aku berdalih. Tunggu? Haish, tak boleh. Masak aku nanti.

        “Boleh, Kak Su?”

        Kak Su mengangguk lambat-lambat dan aku melangkah keluar meninggalkan pejabat sedikit rasa lega.

        Sudah lebih sepuluh minit aku berdiri di hentian teksi. Tidak ada sebuah teksi pun yang mahu berhenti bila aku panjangkan tangan menahan. Isk! Aku bukan naik percuma, aku bayarlah.

        Tiba-tiba masuk pula sebuah kereta ke laluan menunggu yang disediakan. Hai, suka-suka hati aje. Ingat jalan tu ada tertulis nama dia, agaknya. Pintu sebelah pemandu terbuka, seorang lelaki keluar. 

        “Yasmin Hidayah!” Kaca mata hitam ditanggalkan.

        “Ada saya batalkan janji temu kita?”

        Gulp! Berderau darah aku melihat Fariq Hatta yang muncul. Apalah malang nasib aku, kalau aku tak melanggar kereta dia semalam, semua ini tak akan terjadi.

        “Masuk dalam kereta. I don’t want to create a scene here.”

        Create a scene? Siapa yang nak buat drama? Aku tercengang seketika tidak tahu mahu berbuat apa. Aku masih terpaku di situ, tidak berganjak sepicing pun. Fariq Hatta merengus kasar lalu segera datang hampir, menarik lengan aku sebelum memaksa aku masuk ke dalam kereta.

        “Bukankah saya dah bagi amaran kepada awak. I don’t accept no as an answer.

        “Encik Fariq, behave yourself.” Aku tarik lengan aku daripada genggaman Fariq Hatta.

        Fariq Hatta pandang wajah aku sekilas. Nafas dihela.

         “Nobody say NO to me. Ever!” ujar dia sebelum menutup daun pintu.

        Aku tarik nafas panjang. Rasa macam nak tampar muka dia!

        Tak sampai seminit, Fariq Hatta sudah pun berada di sebelah aku, di bahagian tempat duduk pemandu. Dia menoleh menatap wajahku. Pandangannya yang menikam, buat jantung aku bagai mahu berhenti berdegup.

        Fasten your seat belt unless you want me to do it for you.” Matanya masih melekat pada wajah aku, menunggu tindak balas aku agaknya.

        Isk! Mata aku mengecil memandangnya.

        Fariq Hatta mendekat, sambil tangannya cuba mencapai tali pinggang keledar. Tubuh aku spontan terdorong ke belakang, pantas tangan aku menarik tali tersebut sambil mengerling dia tajam. Geram!

        Terjongket sedikit kening dia sebelum membetulkan postur.

        “Encik Fariq, this is not a date. It’s more like me being abducted,” ujarku bila kenderaan sudah mula bergerak.

        Call it what you want.” Selamba sahaja dia berkata sambil memandu keluar dari hentian teksi.
        “Urgh!” Aku melepaskan geram. Pandangan aku buang ke luar tingkap. Hati mendecit marah. Dia fikir dia siapa?

        Fariq Hatta menekan pedal minyak. Kereta terus meluncur laju meninggalkan kota yang bakal menjadi sesak dalam seminit dua lagi.

        “Encik Fariq, kita nak ke mana?” Hati aku sudah mula kecut bila melihat laluan yang dipililh sedikit asing buat aku.

        It’s a surprise.” Jawapan yang diberikan Fariq Hatta mengundang rasa bimbang dalam hati.

        “Saya tak boleh balik lambat,” beritahu aku jujur lagipun ketika itu tubuhku terasa seperti diserang seram sejuk. 

        “Kenapa? Ada suami tunggu awak di rumah?”

        I am staying with my parents, okay.”

        How old are you? Masih dalam jagaan family?” Dia bertanya seolah-olah mengejek.

        Of course! Selagi saya belum berkahwin, saya masih lagi di bawah tanggungjawab ibu bapa.” Kening aku sudah bertaut.

        “Awak tak boleh buat keputusan sendiri? Nak balik lambat, nak keluar ke mana-mana?”

        “Bukan sebab saya tak boleh buat keputusan sendiri, it’s about respect and trust. Saya tak boleh betray kepercayaan yang diberikan oleh keluarga saya.

        “Hmm..”

        Sepi seketika. Aku jeling Fariq Hatta, dahinya berkerut-kerut. Agaknya sedang memikirkan sesuatu.

        Tiba-tiba, dia menekan brek. Aku hampir terdorong ke depan impak tindakan mengejut Fariq Hatta. Kenderaan kemudiannya dibelok ke sebuah hentian rehat.

        Tanpa mematikan enjin, Fariq Hatta memberhentikan kenderaan di salah sebuah ruang parkir. Dia membuka tali pinggang keledar yang dipakainya. Kemudian berpaling menghadapku dengan pandangan yang sukar untuk aku tafsirkan. Hati aku sudah debak-debuk, resah.

        Jangan pandang aku begitu, Fariq Hatta. Aku meneguk air liur. Aku bisa cair!

        “Bagi saya alamat rumah awak.”

        Aku terkebil-kebil mendengarnya. Nak buat apa?

        “Rumah awak atau atau kita ke balai sekarang?”

        “Awak nak report pasal hal kereta awak kepada ayah saya?” Takkanlah?

        Dia tidak menjawab. Dia cuma buat muka tak ada perasaan.

        “Tolonglah, hal ini boleh diselesaikan tanpa melibatkan keluarga saya, kan?”

        “Biar saya yang decide. Awak bagi sahaja alamat rumah awak. Awak tentu tak mahu kes ini dipanjangkan ke balai, kan? Awak kena saman, awak kena bayar ganti rugi. Awak kena bayar kerosakan kereta awak sekali. Lagi, kalau saya nak dakwa awak atas motif tertentu, it will become another story. ”

        Jatuh rahang aku.

        “Awak juga tentu tak nak tahu berapa harga anggaran untuk membaiki kereta saya. Bukan sikit tahu. Awak dah langgar bumper, sampai berlekuk dan dalam pula tu. Body kereta saya pun habis bercalar awak kerjakan.”

        Aku teguk liur. Hilang semua kata-kata.



No comments:

Post a Comment