Thursday 16 April 2015

Bab 2: TEMANI AKU SELAMANYA -PENA KAYU


Bab 2 - Temani Aku Selamanya

LAJUNYA langkah kaki Nirina. Langsung tidak melihat kiri dan kanan. Arah langkahnya hanya pada nurseri yang tinggal beberapa langkah saja lagi.

"Hello?" sapa Nirina sebaik saja memasuki nurseri tersebut. Sepasang matanya pula telah dipaksa bekerja keras mencari pekerja di situ. Malangnya Nirina hanya bercakap seorang diri.

"Ada orang tak?"

Suara Nirina semakin meninggi. Berharap benar pekerja nurseri tersebut muncul di depan mata. Kalau boleh, sekarang. Sebab Nirina sedang kejar masa ni.

“Assalamualaikum. Selamat pagi. Salam sejahtera. I nak beli orkid. Hari ni kedai buka atau tutup?”

Sepi lagi.

Nirina telah mula mengetuk-ngetuk meja kaunter di situ menggunakan jari tangan. Ketukan yang perlahan, dan bukan bermaksud hendak merobohkan kaunter tersebut.

"Mana pekerja nurseri ni?" gerutu Nirina. Ada kerutan yang mula terlukis.

Lima minit berlalu, masih juga begitu. Akhirnya Nirina melangkah ke bahagian belakang nurseri tersebut.

Ada ‘objek’ yang hanya nampak kepala. Hanya nampak kepala sebab terlindung oleh pasu-pasu bunga yang boleh tahan besar. Apa yang pasti, rambut ‘objek’ itu bergulung-gulung.

"Yah!"

Suara Nirina bergema. Bukan sebab sedang marahkan objek yang hanya nampak kepala itu, tetapi sebab terkejut. Ini kerana Nirina telah selamat jatuh terduduk. Tumit kasut tingginya patah.

"Are you okay?"

Nirina mengangkat wajah. Nampaknya ‘objek’ yang hanya nampak kepala itu tadi telah berada di depan Nirina.

"Okey. I okey. Tak ada yang patah pun, kecuali tumit kasut ni."

Seraut wajah ‘objek’ itu begitu sedap sekali Nirina pandang. Cuma air muka menahan tawa ‘objek’ itu saja yang Nirina rasa tak sedap langsung. Lekas-lekas Nirina bangun. Namun caranya berdiri tidak stabil pula.

"You nampak susah nak berdiri dan berjalan. Kasut you..."

"This?" potong Nirina lantas menanggalkan sebelah lagi kasutnya. Kemudian dengan segenap tenaga, Nirina patahkan tumit kasut tersebut. Setelah itu dipakai semula.
"Masalah selesai. Nak berjalan pun senang."

Kening ‘objek’ itu naik sebelah mendengar ayat Nirina. Sorotannya tidak berkalih langsung dari melihat kaki Nirina.

"Sepatutnya dari awal lagi you tak pakai kasut tinggi. Kalau you pakai kasut flat, insiden jatuh gaya tak sopan macam tadi takkan terjadi."

Nirina sebenarnya mahu marah. Namun itulah, ayahnya tidak pernah pula mengajar supaya kalah dengan emosi yang dapat rating tertinggi dalam dunia syaitan. Jadi Nirina takkan marah-marah.

"Paling penting, kaki tak sakit kalau tak pakai kasut tu. Tulang belakang pun sihat."

Aduh... Ada sambungan pula. Jujur ya, cara ‘objek’ ini beri nasihat macam beri sebutir berlian pada Nirina. Cuma berlian tersebut dilemparkan lalu tepat mengenai dahi Nirina. Jadi, berlian tersebut tak ada nilai. Sebabnya hati Nirina boleh tahan sakit ni.

"You pekerja dekat sini ke?"

Nirina memilih untuk menutup topik tentang kasut tinggi bertuah tersebut.

"I? Pekerja dekat sini?"

‘Objek’ itu kelihatan sangat terkejut. Tidak berkelip matanya ketika membalas sorotan Nirina.

Sebelum terlupa, ‘objek’ yang separuh sedap dipandang dan separuh lagi tak sedap dipandang ini seorang lelaki. Dia tinggi. Dia pakai cermin mata. Warna matanya coklat jernih.

Sebelum terlupa lagi, ada sebiji jerawat di pipinya. Daerah lain bebas jerawat. Tapi Nirina rasa, jerawat itu sangat sesuai berada di situ. Nampak macam penyeri wajah.

Amboi Nirina... Analisa yang sangat terperinci. Jerawat nan sebiji itu pun boleh nampak ya.

"I nak beli orkid."

"Ulang sekali lagi.”

"Orkid. I nak beli orkid jenis Cattleya Brabantiae."

"Orkid Cattleya Brab.. Brab apa tadi?"

Nirina mengeluh berat. Pekerja nurseri ni, sengaja cari fasal agaknya. Sengaja nak suruh Nirina kalah pada emosi pilihan syaitan.

"Orkid Cattleya Brabantiae. Takkan orkid tu pun tak tahu?"

"Tak tahu."

Tak tahu? Jawapan ‘objek’ ini memang sangat istimewa.

"Kalau macam tu, you ni tak sesuai kerja dekat nurseri."

"Memang I tak kerja sini. I lebih suka jadi boss."

Berkerut-kerut dahi Nirina. Sorotan matanya dibias rasa pelik.

"Macam inilah. Sementara you belum jadi boss, tolong carikan I Orkid Cattleya Brabantiae. I nak orkid tu. I nak lima pokok."

"You serius..."

"I tak main-main. Nah, I dah tolong Google. I nak sekarang orkid tu. I pun nak cepat," potong Nirina sembari menunjukkan skrin telefon pintarnya pada ‘objek’ tersebut.

"You ni salah faham. I tak..."

"Sekarang. S.E.K.A.R.A.N.G." potong Nirina sekali lagi. Lengkap dengan ejaan.

Percayalah, Nirina betul-betul sedang kejar masa. Jadi Nirina tak cukup masa hendak dengar sebarang alasan.

"You're going to regret this."

Bulat mata Nirina bila diugut begitu. ‘Objek’ itu hanya memakai jeans lusuh dan juga T-Shirt putih. Jelas terlihat ada sisa tanah gambut yang masih bersisa pada jari tangannya. Namun paling menyerlah pastilah rambut bergulung-gulung dia tu.

"I pelanggan dekat sini. Sekarang I nak beli Orkid Cattleya Brabantiae."

"I tak tahu orkid tu dekat mana."

"Carilah. Kalau tak cari, memang takkan jumpa."

"You cari sendiri, boleh?"

Nirina baru saja mahu membantah bila terdengar suara orang ketiga.

"Carl, maaf sangat. Ramai orang dekat klinik tadi."

Kali ini, seorang wanita separuh umur yang datang. Di belakangnya ada seorang lelaki. Tangannya berbalut dengan kain kasa.

"Hairi mana?"

Soalan kedua wanita separuh umur itu menyusul. Sorotannya mula mencari kelibat kelibat yang dipanggil Hairi.

"Hairi cari roti canai. Sekejap lagi dia baliklah."

"Dia ni siapa? Buah hati Carl ke?”

Soalan ketiga wanita itu lebih istimewa. Bulat mata Nirina. Sementara ‘objek’ yang dipanggil Carl itu pula mula ketawa.

"Bukan, mak su. Pelanggan mak su ni. Dia ingat Carl pekerja dekat sini… Dia siap paksa Carl cari orkid."

"Betul ke?”

Nirina sudah 90 persen hampir menjadi bongkah ais. Perbualan dua manusia itu sangat meresahkan sekeping hati Nirina.

"Nak orkid jenis yang macam mana?"

Soalan itu sangat mudah. Namun Nirina tidak punya jawapan. Sekarang sorotan Nirina hanya pada ‘objek’ yang berada di depan matanya.

"I dah cakap tadi, I bukan pekerja dekat nurseri ni. Sebab I pakai baju compang-camping, selekeh, kotor dan bla bla bla, jadi you ingat I ni tukang kebun."

Kalau tadi bongkah ais, sekarang Nirina hampir hendak pengsan.

"Nama you siapa?"

“Eh?”
Begitu jawapan Nirina. Semuanya sebab terkejut.

“Nama you, Eh? Maksudnya I boleh panggil you Eh?"

Kali ini, rasa terkejut Nirina jadi dua kali ganda.

“Bukan.”

“Jadi?”

Alahai... ‘Objek’ ini bijak mendesak pula. Sangat dahsyat cara dia mendesak.

"Rin."

"I tak suka nama manja. I nak nama penuh."

Lihatlah tu, Nirina memang kalah dengan teruk.

"Nirina."

"Cik atau puan?"

Amboi... Makin berjela pula sesi soal jawab ni.

"Cik."

‘Objek’ itu melangkah setapak ke arah Nirina. Sempat menyorot Nirina sembari tunduk sedikit. Biar sama tinggi dengan Nirina.

"Cik Nirina, tolong ingat betul-betul ya. Kalau silap lagi, you jaga."

Nirina menahan nafas. Aroma maskulin seorang lelaki sedang menebarkan pesona. Aroma yang begitu menyentuh relung hati.

"You... You nak I ingat apa?"

Aduh... Nirina jadi manusia gagap pula.

“I nak you ingat satu perkara saja. Perkara paling senang dalam dunia ni. Budak darjah satu pun boleh ingat.”

Perkara paling senang? Selepas tu, budak darjah satu pun boleh ingat? Perkara apa ni?
Susahnya hati Nirina. Bertambah susah bila ‘objek’ itu mula melukis senyuman. Bukan senyuman yang biasa-biasa, tetapi senyuman yang sangat khas. Dan rasa susah itu jadi berganda-ganda bila ‘objek’ itu semakin menundukkan wajah.

“I 'Hang Tuah', Cik Nirina. Bukan 'Hang Kebun'.”


No comments:

Post a Comment