Monday 20 April 2015

Bab 4: J.A.D (JIWAKU ADA DIRIMU)-WAWA TAUFIK

Bab 4
        JAD langsung tidak berenggang dengan Alena. Ke mana sahaja dia pergi, gadis itu dibawa bersama. Mujur juga mereka belajar benda yang sama. Mudah untuknya memantau gadis itu. Risau juga kalau-kalau Khan menjumpai Alena dan membuat yang bukan-bukan.
        Dia lebih rela lelaki itu datang mencarinya. Nak bergaduh dan bertumbuk dengannya juga dia tidak kisah. Bukannya dia takut sangat. Semalam tu sebab dia tidak bersedia. Menyerang di dalam keadaan dia separa sedar, bukan sifat lelaki sejati yang sebenarnya.

        “Kau tunggu sini. Aku nak pergi toilet sekejap,” beritahu Jad sambil menolak lembut tubuh Alena rapat ke dinding di sebelah tandas di tingkat dua Fakulti Perniagaan. Dia memandang sebentar wajah sahabatnya itu sebelum bergerak pantas masuk ke dalam tandas tersebut.

        Hampir lima minit, baru dia keluar. Pandangannya segera mencari wajah sahabatnya itu. Hatinya tidak senang di sepanjang keberadaannya di dalam tandas. Seakan-akan ada yang tidak kena. Kalau tidak disebabkan perlu segera menurut ‘panggilan alam’, dia tidak akan meninggalkan Alena sendirian di situ. Sudahlah Zeki pun tiada. Awal-awal lagi sudah cabut. Kononnya nak tunggu mereka di kafe.

        “Khan!” jerit Jad kuat setelah melihat lelaki itu menarik kasar lengan Alena.

        Hah! Dah sampai pulak mamat serabai ni. Sakit hati betul!” Khan membalas geram dengan tangannya semakin erat mencengkam lengan kanan Alena.

        “Kau lepas Alena, Khan!” Kalut Jad menghampiri.

        “Kenapa? Nak aku lepas untuk serah kat kau? Ha ha... sorry, bro. She’s mine!” Tubuh Alena ditarik semakin rapat. Kedua-dua lengan Alena menjadi tempat yang dicengkam kuat lengan kasar Khan. Lelaki itu langsung tidak mengendahkan permintaan Jad sebentar tadi.

        Hish sakitlah, Khan. Lepaslah!” Alena memberontak. Namun hampa. Cengkaman itu terlalu kuat untuk ditandingi dengan tenaganya.

        “Kau ni melampau Khan. Tak gentleman. Kalau dah orang tak nak... lepas jelah. Kata handsome? Kalau dah handsome sangat, senang je kau nak cari pengganti Alena ni. Dia bukannya lawa sangat pun. Tuu... Laura lagi cun. Muka ala-ala Jessica Alba. Seksi pun seksi. Minah sekeping ni pun kau nak kalut?”

        Pandangan ketiga-tiga mereka menghala ke arah seorang wanita yang berada tidak jauh dari tempat mereka berada. Laura, gadis tempatan. Cantik dan sememangnya seksi. Salah seorang ahli kumpulan projek dengan Alena dan sama jurusan dengan mereka berdua.

        Seakan-akan tersedar yang diri itu dipandang, Laura berpaling dan memberi senyuman menawannya.

        Jad tahu kepada siapa senyuman itu diberi. Dia sekadar mengangkat kening.

        “Okey kan Laura tu? Aku rasa dia lagi sesuai dengan kau, Khan. Kau lepas je Alena ni. Tak ngam pun dengan kau,” sambung Jad. Kedua-dua Alena dan Khan kembali memandangnya.

        Cengkaman di lengan Alena sudah longgar tanpa Khan sedari. Dan Alena langsung tidak membuang masa terus pantas bergerak menghampiri Jad. Belakang lelaki itu menjadi tempat dia berselindung. Kedua-dua sisi pinggang Jad dicengkam.

        What the...

        “Sudahlah Khan. Kau blah lah. Memang nampak sangat Alena dah tak nak kau. Jaga sikit air muka kau. Kau bukan tak laku. Aku rasa... petik jari je, beratus-ratus yang nakkan kau.” Jad menyentuh tangan Alena yang berada di pinggangnya. Ingin memberi kekuatan kepada teman baiknya itu.

        “Kau boleh cakap apa je, Jad. Aku tetap nak dia. Kali ini, aku bagi peluang untuk dia tenangkan diri. Aku yakin dia akan kembali kat aku nanti.” Khan tetap tidak mahu menyerah begitu sahaja. Dari memandang Jad, pandangannya beralih kepada Alena yang sembunyi-sembunyi memandangnya dari arah belakang lelaki itu.

        Khan mengangguk beberapa kali. Wajahnya yang tegang sebentar tadi sudah berubah riak.

        “I akan bagi masa kat you, Alena. You boleh fikir dengan tenang selama itu. Dan satu je yang I nak ingatkan you, I tak pernah menduakan you sepanjang kita bersama. Fikir baik-baik. I tunggu you.” Dengan melafazkan kata-kata itu, Khan terus berlalu dari situ.

        Hmm... nampak macam serius benar mamat tu.” Jad berpaling memandang Alena. Temannya itu hanya diam sahaja.

        “Aku tak halang kalau kau nak kembali dengan dia, Al. Tapi kau fikirlah baik-baik. Aku tak suka kau jadi mangsa kongkongan dan baran dia tu. Kau bukan lawan dia. Kalau dia nak tumbuk terajang biar dengan aku. Macam semalam...”

        Hah! Jad sudah terlepas cakap. Dia jadi terkelu. Wajah itu dilihat sekilas sebelum melarikan pandangan. Dia tidak mahu Alena risau.

        “Semalam?” Alena segera meraih lengan Jad yang sudah menapak ingin berlalu dari situ.

        “J! Cakap dengan aku apa yang Khan dah buat kat kau!” pinta Alena tegas. Dia memandang wajah lelaki yang tingginya melebihi lima inci dari ketinggiannya itu.

        Jad berpaling ke arah lain. Malas hendak berbalah pasal mamat tak guna itu dengan Alena.

        “J! Aku nampak lebam kat rahang kiri kau ni. Khan tumbuk kau?” Alena membelek bahagian itu. Memang sah! Ada kesan lebam di situ.

        Jad membalas tanpa kata. Keningnya diangkat sambil bibirnya mencebik malas.

        “Ya Allah! Melampau sungguh. Bila?” soal Alena geram. Bibirnya diketap kuat.

        “Semalam. Aku tak ingat pukul berapa. Argh! Tak ada benda lah. Bukannya teruk pun. Aku lelaki. Boleh je tahan semua tu. Hal kecik je.” Jad meraih bahu Alena dan mula mengajak gadis itu untuk beredar dari situ. Dia tidak mahu memanjangkan hal semalam. Tak ke mana pun.

        Hish! Aku tak puas hati betullah. Menyakitkan hati betul dengan perangai Khan tu. Baran tak kena tempat.”

        “Dia sayangkan kau.”

        “Itu aku belum jadi isteri dia lagi, J. Entah-entah kalau kami kahwin, habis aku kena sepak terajang. Hish!”

        Jad membalas dengan sekadar mengangkat bahu. Malas nak komen lebih-lebih. Bab jodoh dia tidak boleh kata apa-apa. Kalau sudah diatur Sang Pencipta, elak macam mana pun pasti akan bersatu juga.

        “Tapi aku lagi tak puas hati dengan kau!”

        Langkah Jad terhenti apabila mendengar Alena berkata begitu. Wajah itu dipandang hairan.

        “Kenapa? Sebab aku tak cerita dengan kau pasal semalam ke?”

        “Tak!”

        “Habis tu?”

        Dalam wajah mencuka, Alena membalas. “Sebab kau cakap aku tak cantik.”

        Terus terbahak-bahak Jad ketawa. Ingatkan apa sangatlah yang gadis itu tidak puas hati sangat. Rupanya sebab apa yang dia beritahu Khan sebentar tadi.

        “Dan aku lagi tak puas hati bila kau cakap Laura lagi lawa dari aku.”

        “Aduhlah, Al. Kau ni! Itu pun nak ambil hati.”

        Hey J! Bab dikutuk tak cantik dan dibanding dengan perempuan lain ni sensitif tau tak? Lagipun kau tu menipu.”

        “Menipu apanya?”

        “Kau cakap Laura lagi cantik dari aku tapi bila dia nakkan kau... kau tak nak. Tapi dengan aku jugak yang kau berkepit. Itu tandanya aku lagi cantik dari dia.”

        Lama berdiam baru Jad membalas.

        “Aku tak pilih cantik, Al. Janji hati aku senang.” Setelah mengatakan hal itu, Jad terus melangkah meninggalkan Alena.

        Tidak lama, gadis itu kembali mendekati. Lengan kirinya dipeluk erat.

        “Balik nanti aku tuam kat rahang kau tu ya? Kesian kau. Sebab aku, kau kena tumbuk.”

        Jad memandang sekilas ke sisi kirinya.

        “Tak ada bendalah. Aku okey.”

        “Kenapa kau tak lawan balik? Kau cakap kau lagi sasa dari Khan?”

        Weh! Aku tengah mamai kut? Mana nak bersedia. Tak gentleman betul ajak gaduh masa orang tengah tidur.”

        Alena ketawa.

        “Lain kali, kau kasi hentam balik tau J? Jangan biar. Rugilah badan sasa kau tu kalau biar orang hentam kau,” perli Alena.

        “Tak ada maknanya. Jangan harap aku nak biar lepas ni.”

        “Kau lagi nak macho... kena beli Harley, J. Baru ngam.”

        Argh sudah! Jangan nak kutuk Vespa aku. Aku tinggal kau sorang-sorang kat sini nanti. Biar Khan angkut kau dan bawak sembunyi. Padan muka!”

        Alena kembali menyambung tawa. Tidak mengambil hati dengan apa yang Jad katakan itu. Dia tahu lelaki itu tidak akan meninggalnya sendirian.


No comments:

Post a Comment