Monday 20 April 2015

Bab 5: J.A.D (JIWAKU ADA DIRIMU) WAWA TAUFIK


Bab 5
        B
ERMULA dari hari itu Alena menjadi penyewa percuma di rumah Jad. Dia tidak lagi pulang ke rumah sewanya. Ingin dibayar bulan-bulan kepada Jad namun tidak diterima lelaki itu. Kononnya bukan rumahnya. Rumah orang tuanya. Jadi dia tidak layak untuk menerima wang sewaan.

        Argh entah apa-apa Jad! Samalah kalau dah rumah orang tuanya dengan rumahnya. Itu pun nak berkira.

        Alena tidak kisah tinggal di situ. Mereka tidak selalunya hanya berdua. Rumah itu sentiasa menjadi tempat lepak dan tempat bermalam teman-teman mereka yang lain. Malah Jad juga seorang teman serumah yang baik. Lelaki itu sentiasa memastikan keperluannya mencukupi. Segala barangan makanan dan stok harian mereka berdua sentiasa ada. Wah! Itu untungnya duduk dengan anak orang kaya macam Jad. Sudahlah muka tampan, baik hati pulak tu.

        “Malam ni aku lepak kat luar, Al.”

        Alena yang sedang termenung itu pantas memandang Jad yang baru sahaja muncul dari kamar itu.

        Kat mana? Aku nak ikut.” Alena mula melonjak tubuhnya untuk bangun dari sofa. Remote televisyen dicapai lalu mematikannya.

        Hish tak payahlah. Malam ni geng lelaki je yang lepak. Orang perempuan tak boleh ikut.” Cepat-cepat Jad memberitahu. Dia sudah berjanji dengan Zeki dan yang lain untuk melepak di rumah sewa Zeki. Nak jamming sama-sama. Kononnya nak melepaskan tekanan.

        Weh! Korang nak pergi kelab gay ke?”

        Choi! Mulut kau tu... tak ada insuran.” Jad menjegil matanya. Geram apabila dituduh begitu. Ada pulak nak ke kelab gay. Dia ini tulen okey? Masih memilih perempuan untuk dijadikan teman hidup.

        “Manalah tahu... aku tengok kau dengan Zeki pun lain macam je. Dua-dua tak ada girlfriend...

        “Kau ni Al! Kami tak ada girlfriend bukan sebab kami ni pasangan gay tau tak? Mental kau ni!” balas Jad geram.

        Jaket kulit berwarna coklat di pegangannya segera disarung ke tubuh. Kunci di dalam poket seluar jeansnya diraba. Risau andai tertinggal di dalam bilik. Buang masa nak kena ulang-alik.

        Alena hanya diam tidak membalas. Perlakuan Jad hanya dipandang sahaja.
        “Kunci pintu. Aku mungkin tak balik malam ni,” pesan lelaki itu.

        Dia hanya mengangguk.

        “Ada apa-apa, telefon aku.”

        Sekali lagi dia mengangguk.

        “Aku pergi dulu. Duduk rumah elok-elok. Kalau lapar tengah malam nanti, kau panaskan je pizza yang aku beli petang tadi. Sengaja aku beli lebih untuk kau.”

        Jad mengarah pandang ke arah Alena.

        Dia mula faham dengan tabiat gadis itu. Nampak badan saja kurus tetapi nafsu makan mengalahkan dirinya sendiri. Tengah malam gadis itu akan bangun mencari makanan. Pada awalnya dia hairan juga apabila melihat gadis itu sibuk memasak spageti tengah malam buta. Bila ditanya, katanya lapar. Rupanya memang tabiat gadis itu begitu. Hampir setiap tengah malam Alena akan bangun dan mencari makanan. Kasihan pula.

        “Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Jad menyoal apabila Alena kelihatan blur. Gadis itu hanya memandangnya tanpa kata.

        “Dengar...”

        Okay good. Aku chow dulu. Kunci pintu!” Sekali lagi Jad memesan. Kakinya sudah melangkah untuk beredar.

        Sebaik sahaja dia memulas tombol pintu, Alena memanggilnya.

        “Kau bukan pergi kelab gay kan J?” Sekali lagi soalan itu terbit dari mulut Alena.

        Hish... jangan nak mengarut. Pergi tidur. Aku dah lambat ni. Bye.” Jad terus berlalu dan meninggalkan Alena memandang belakang pintu kayu bercat biru muda itu.

        “Jad... kau gay ke?” Alena menyoal sendiri. Dia risau andai sahabat baiknya itu bernafsu songsang begitu. Sudahlah dilaknat Allah SWT. Rugi pula tu. Muka kacak dengan badan sasa, tetapi mendambakan golongan sejenis. Nauzubillah.

        Alena teringat akan teman-teman Jad yang lain. Zeki, William, Atesh dan Nate. Masing-masing kacak dan pintar. Golongan berada juga. Tetapi masalahnya mereka berlima tidak pernah kelihatan berteman dengan mana-mana wanita. Bukannya tiada yang minat. Contohnya Jad. Laura itu sudah terhegeh-hegeh benar ingin couple dengannya. Tetapi dilayan endah tak endah sahaja. Entah apa yang dicari oleh lelaki itu. Hish! Please Jad... jangan kau gay.

         
ALENA cepat-cepat menghampiri pintu utama apabila loceng rumah itu berbunyi. Dia baru sahaja ingin beredar masuk ke dalam bilik setelah selesai menghabiskan sebiji pizza yang Jad beli siang tadi.

        Hish... kau suruh aku kunci pintu, tapi kau tak bawak kunci. Menyusahkan betullah kau ni, J,” bebel Alena. Tangannya sudah berada di tombol. Namun dia sempat menjengket dan mata kanannya menghampiri lubang kecil pada pintu tersebut untuk melihat sama ada memang benar Jad atau orang lain.

        “Khan!” Tubuhnya sudah berinjak ke belakang. Terkejut melihat wajah itu yang terpampang dari lubang kecil itu.

        Tangannya menutup mulutnya rapat. Kononnya risau andai lelaki itu terdengar suaranya. Malah nafasnya yang dihela juga terasa kuat dan risau akan sampai ke pendengaran lelaki di luar sana.

        Dia mula mundar-mandir. Tidak tahu untuk membuat apa. Loceng masih berbunyi menandakan yang lelaki itu seakan-akan tahu yang dia sedang keseorangan.

        Tidak cukup dengan menekan loceng, pintu itu pula diketuk bertalu-talu. Sayup-sayup kedengaran suara Khan dari luar sana.

        “Alena! Open the damn door. I know you can hear me. Open the door!”
        Dia semakin menjauhi pintu itu. Risau seakan-akan Khan dapat membolos masuk. Dia buntu. Tidak tahu berbuat apa.

        Tidak lama, baru dia teringat akan pesan Jad sebelum lelaki itu keluar sebentar tadi. Cepat-cepat dia mencari telefon bimbitnya dan menghubungi lelaki itu.

        “J...”

        “Al? Al?”

        Bunyi bising di sebelah sana membingitkan telinganya.

        “Khan ada kat depan rumah kau ni.”

        “Kau cakap apa Al? Aku tak dengar.”

        “Khan... dia ada sini!” jerit Alena. Geram apabila lelaki itu tidak dapat mendengar apa yang dia cakapkan.

        Hish aku tak dengar kau cakap apa. Kau tunggu sekejap. Aku call kau balik.”

        Talian dimatikan dan Alena kembali mundar-mandir di ruang tamu itu. Ketukan di pintu masih kedengaran. Debaran pada hatinya langsung tidak kurang.

        Tidak sampai lima minit, dia menerima panggilan dari Jad.

        “Al? Kau kenapa? Lapar ke?” soal lelaki itu.

        “Tak! Hmm... Khan...”

        “Kenapa?” Suara Jad sudah naik oktafnya sebaik sahaja dia menyebut nama Khan.

        “Dia... ada kat depan pintu rumah kau ni.”

        “Sial! Kau tunggu! Aku balik sekarang. Tak guna betul.”

        Alena hanya memandang telefon yang berada di genggamannya. Dia jadi risau. Menyesal pula dia menelefon Jad. Kalau berlaku pergaduhan di antara lelaki itu dengan Khan, dia bakal rasa bersalah yang amat. Disebabkan dia, dua lelaki itu bergaduh dan bermusuhan.

        Ya Allah! Kenapalah susah benar kau nak terima, Khan? Kita tak ada jodoh. Kau bebas. Boleh cari sesiapa sahaja yang kau inginkan. Kau cukup serba-serbi. Cuma mungkin bukan aku yang selayaknya untuk kau. Aku tak mampu untuk terus berada di dalam kongkongan kau. Aku sudah biasa bebas. Tiada siapa yang menghalang. Tiada siapa yang akan mengatakan tidak untuk aku. Aku sudah biasa sendiri.

        Sesungguhnya Alena sentiasa bersendirian. Selama 19 tahun dia menghabiskan masa di rumah anak yatim di Selangor. Dia tidak pernah kenal siapa ibu dan bapanya. Dia tidak pernah tahu yang dia sebenarnya mempunyai seorang adik perempuan yang berbeza umur lima tahun dengannya. Tiba-tiba ketika dia di kolej Matrikulasi, pihak pengurusan anak yatim tersebut menghubunginya mengatakan segala hal tersebut.

        Dia menjadi buntu dan terkelu dengan berita yang diterimanya. Dia tidak mampu menghadam segala apa yang diberitakan.

        Ayah kandungnya, Tuan Safuan Ali merupakan salah seorang ahli perniagaan yang berjaya dengan memiliki beberapa francais gedung tekstil di seluruh Malaysia. Malah ibunya, Puan Natrah Hanif mempunyai beberapa cawangan pusat kecantikan di ibu kota. Hebat!

        Namun dia tidak laparkan segala kemewahan dan kehebatan begitu. Dia sudah biasa hidup serba kekurangan. Dia sudah biasa makan berkongsi. Dia sudah biasa memakai pakaian yang sama bertahun-tahun. Dia sudah biasa menguruskan hidupnya sendiri. Jadi, dia tidak memerlukan orang lain untuk mengurus atau mengatur hidupnya.

        Dan disebabkan itu juga dia menerima tawaran melanjut pelajaran di Leeds itu. Dia sanggup meninggalkan matrikulasi dan teman-teman rapatnya di Rumah Cahaya. Ingin melupakan segala rasa yang tidak enak semenjak menerima kunjungan yang tidak dijemput itu.

        Dia tahu apa inginnya keluarga ‘barunya’ itu. Malah dia juga sentiasa maklum dengan wang ringgit yang berada di dalam akaun banknya. Namun satu sen pun dia tidak pernah ambil. Cukup dengan wang tajaan yang dia terima dari MARA. Dia tidak perlu ihsan orang lain. Dia sudah biasa dengan berusaha sendiri. Dia ingin bergerak sendiri tanpa gangguan atau kawalan sesiapa. Bukan keluarga Tuan Safuan. Dan bukan juga Khan.

        Dia mula mengeluh di atas sofa itu. Lututnya dibawa rapat ke dada. Tubuhnya menekur. Risau berlaku sesuatu yang tidak baik di luar sana. Telinganya tidak lagi mendengar bunyi loceng atau ketukan pada pintu itu.

        “Al?” Suara Jad kedengaran dari belakang tempatnya duduk. Dia pantas bangun dan mendapatkan lelaki itu.

        “Khan?” soalnya sebaik sahaja dia melihat hanya Jad di situ.

        “Aku sampai dia dah tak ada. Dah blah kut?” Jad menarik lengan Alena dan membawa ke sofa.

        “Kau okey?” soalnya. Wajah Alena di sebelah dipandang penuh prihatin. Dia menyesal meninggalkan Alena sendirian di situ.

        “Okey...”

        “Tapi kau nampak macam tak okey, Al. Mamat tu memang tak dapat masuk dalam rumah kan?”

        Alena mengangguk. “Aku tak bukak pintu pun.”

        Jad menarik nafas lega. Risau andai Khan mengapa-apakan Alena.

        “Maafkan aku, Al?”

        “Untuk apa?”

        “Sebab aku tinggalkan kau sendirian kat rumah ni.”

        “Aku okey, J. Kau bebas nak ke mana-mana. Jangan sebab aku kau rasa bersalah dan terkongkong. Aku bukan Khan...” balas Alena serba-salah. Wajah temannya itu dipandang lama. Dahinya berkerut risau.

        “Tahu... tapi aku rasa bersalah.”

        “Tak ada apalah, J. Tak payah nak rasa macam tu. Yang penting tak ada apa pun yang jadi kat aku. Aku okey je ni.”

        Jad mengangguk mendengar kata-kata Alena itu. Nafasnya dihela walau tersekat-sekat. Jenuh dia memecut dengan Vespa kesayangannya itu. Sudahlah jauh juga rumah sewa si Zeki. Berbakul-bakul dia berdoa di dalam hati agar tidak berlaku sesuatu yang buruk kepada Alena.

        Menyesal juga dirinya apabila mengikut sangat keinginan untuk berjamming dengan temannya yang berempat itu. Kalau jadi apa-apa pada Alena sebentar tadi, memang dia tidak akan dapat memaafkan dirinya sendiri.

        “J?” panggil Alena apabila dia melihat temannya itu sedang berkhayal. Wajah itu berkerut sahaja.

        Jad mengangkat kening sebagai tanda menyoal ‘kenapa’ kepada Alena.

        “Maafkan aku sebab dah susahkan kau?”

        “Al! Aku tak nak dengar kau cakap macam tu. Kau tak menyusahkan aku pun. Aku okey. Kau kawan baik aku. Aku tak nak apa-apa jadi kat kau.” Cepat Jad membalas. Dia tidak gemar Alena berkata begitu. Bukan selalu gadis itu meminta pertolongan darinya. Selalu Alena akan berdikari dan mengurus dirinya sendiri. Bila betul-betul terdesak baru mencarinya.

        “Tapi...”

        Sushhh... dah! Pergi tidur,” arahnya. Tubuh gadis itu ditolak agar bangun dan pergi berehat.

        Dalam keterpaksaan, Alena bangun. Dia menunduk memandang Jad yang masih duduk di situ.

        Thank you, J.

        Jad mengangguk. Dia kemudiannya bangun dari situ dan ingin sama-sama bergerak ke kamar.

        “J?”

        “Ada apa?”

        “Kau memang bukan pergi kelab gay kan tadi?”

        Tik! Satu jentikan tepat mengena dahi Alena apabila soalan itu keluar dari mulutnya.

        Weh sakitlah!” Tangan kanannya naik menggosok dahi yang dijentik Jad sebentar tadi.

        “Kau tanya lagi macam tadi, siap kau!”

        “Aku tanya je lah...” balas Alena tidak puas hati.

        “Kau boleh tanya apa saja tapi bukan pasal gay tu. Aku tak nak dengar.” Jad terus meninggalkan Alena di situ. Pintu biliknya dibuka dan ditutup rapat.
        “Tanya pun nak marah. Jawab jelah, bukan susah pun.”

        “Aku tak suka kau tanya macam tu!” jerit Jad dari dalam biliknya.

        Aik? Dengar?” Alena sudah terbahak-bahak ketawa sambil berlalu menuju ke kamarnya. Lupa sebentar rasa tidak enak yang dirasainya sebentar tadi. Berada dengan Jad, cepat membuatnya sembuh dari segala duka dan risau.

        Dia sentiasa senang bersahabat dengan lelaki itu. Dia tidak tahu bagaimana hidupnya nanti setelah tamat dari pengajian. Sudah pasti masing-masing akan membawa haluan sendiri. Tidak selamanya Jad akan berada di sampingnya kelak.


No comments:

Post a Comment