Sunday 19 April 2015

Bab 6: TEMANI AKU SELAMANYA -PENA KAYU


Bab6
                 
                        TERKIAL-KIAL Nirina dibuatnya bila harus menarik dua buah beg pakaian. Itu belum campur beg sandang yang sejak tadi melekat di bahu. Senget juga bahu Nirina. Mujurlah apartment ini mempunyai lif. Cuba bayangkan kalau perkhidmatan lif tidak disediakan, boleh patah riuk Nirina.

                "Tingkat enam," komen Nirina sembari menekan butang enam lif tersebut. Hari ini secara rasmi, Nirina akan tinggal dengan Qas. Qas kata apartment barunya lebih besar. Jadi tinggal berdua lebih sesuai daripada tinggal seorang diri.

                Lamunan Nirina mati ketika pintu lif terbuka di tingkat enam. Sekali lagi dia terkial-kial. Sekali lagi dia menarik dan membawa semua hartanya hingga sampai di pintu rumah bernombor sebelas.

"Tingkat enam dan nombor rumah sebelas," luah Nirina sambil meneliti nombor rumah tersebut. Setelah berpuas hati, barulah Nirina menekan loceng rumah.

                Loceng rumah memang berbunyi dengan nyaring. Masalahnya sekarang, tuan rumah tidak juga datang membuka pintu. Kalau begini, rasa sabar Nirina seperti sedang dikupas jadi nipis.

                "Qas ni ke mana? Tidur ke?" gerutu Nirina. Sekali lagi loceng pintu ditekan. Dan sekali lagi. Malangnya pintu rumah tetap juga tidak dibuka. Tuan rumah seperti tidak sudi saja menerima Nirina.

                Di dalam rumah pula, Carl Ibrahim masih lagi berselimut tebal. Masih bergolek di atas tilam. Masih juga mamai. Pun begitu telinganya dapat mendengar dengan jelas bunyi loceng rumah menjerit.

                "Siapa pula yang datang ni?” gerutu Carl Ibrahim. Lapan puluh persen hatinya tidak sudi bangun. Semalaman dia tidak tidur menyiapkan proposal. Kepalanya sakit lagi dan sekarang ada tamu pula yang menggangu.

                “Takkan Hairi? Dia tertinggal barang apa pula kali ni?”

                Soalan Carl Ibrahim berterusan. Rambutnya yang ala-ala baru ditiup angin pantai ikut bergoyang bila dia membetulkan lehernya yang sedikit kejang.

                “Tunggu sekejap!” laung Carl Ibrahim bila loceng rumah semakin kerap saja berbunyi. Menjadi irama yang menjengkelkan hati seorang lelaki yang tidak cukup tidur.

                “Datanglah ni!” laung Carl Ibrahim terus. Hairi itu, memang sengaja jolok sarang tebuan. Sekejap lagi Carl Ibrahim kerjakan Hairi cukup-cukup.

                Selimut telah Carl Ibrahim tolak ke tepi. Kemudian langkah cukup malas dihayun menuju ke pintu utama.

                “Sabarlah. Dah nak sampai ni.”

                Suara Carl Ibrahim antara dengar dengan tidak saja. Tahap mamainya masih mencecah 85 persen. Lihatlah tu, boleh pula dahinya bercium dengan daun pintu.

                “Sabarlah!”

                Kali ini sabar carl Ibrahim sudah hilang separuh. Suaranya sengaja dikeraskan. Jari tangannya pula sibuk menggosok dahinya yang sakit.

                Pintu rumah memang Carl Ibrahim sengaja buka luas-luas. Biar senang Hairi hendak masuk.

                "Barang apa lagi yang kau tertinggal? Tadi aku dah pesan check betul-betul. Kalau tak check betul-betul, jadi macam inilah. Ada saja barang yang tertinggal.”

                Begitu bebelan Carl Ibrahim, lengkap dengan pakej muka masam. Marah sangat pada Hairi yang  menggangu lenanya yang baru bermula. Namun itulah, bukan Hairi pula yang datang. Tetapi orang lain. Seorang perempuan yang bukan sembarangan.

                Nirina besarkan mata. Namun besar lagi mata Carl Ibrahim. Mulut Nirina kering. Mulut Carl Ibrahim kering tiga kali ganda. Lebih parah bila bibir Carl Ibrahim terkunci rapat, seperti diikat. Hanya hatinya saja yang sejak tadi menyebut nama Nirina. Perlahan tetapi pasti.

                Kata Nirina, gaya lelaki ini terlebih santai. Terlebih santai sehinggakan mata Nirina tidak mahu lagi berkelip. Gaya tanpa baju dan hanya memakai hot pant lelaki tersebut memang mengundang nakal yang luar biasa.

                "Baju... Baju pakai tak ada," luah Nirina tergagap-gagap. Struktur ayatnya tunggang-langgang. Matanya pula sejak tadi  melanggar arahan. Suka sangat dengan pemandangan percuma begini.

                Carl Ibrahim menilik badan sendiri. Baru sedar diri tubuhnya sekarang tidak cukup kain.

                “Maaf.”

                Hanya sepatah dan Carl Ibrahim telah berlari ke bilik tidur semula. Sehelai T-shirt disarung dalam keadaan kelam-kabut. Sehelai track suit ikut disarung pada kadar segera.

                Nirina yang masih berada di depan pintu pula tetap juga dalam keadaan pegun. Tuhan saja yang tahu rasa terkejut Nirina bagaimana. Tidak dapat diukur oleh manusia.

                “Apa aku dah nampak ni?”

                Nirina geleng kepala berkali-kali. Mata Nirina yang polos sudah diajar melihat sesuatu yang tidak polos. Susahlah kalau begini.

                Telefon pintar Nirina yang tiba-tiba saja berbunyi memang sangat mengejutkan. Hilang sekejap isu yang menjadi raja di kepala. Lebih-lebih lagi bila nama Qas yang tertera di skrin telefon pintarnya.

                “Kau tinggal dengan lelaki ke?”

                Itulah soalan pertama Nirina. Tanpa salam dan sapaan lagi.

                What? Kau gila nak tinggal dengan lelaki!”

                “Habis tu, lelaki tadi tu siapa?”

“Lelaki mana pula ni, Nirina? Aku tinggal seorang diri, sebab itu aku pujuk kau macam orang gila tinggal sama. Sekarang ni aku tengah tunggu kau datang, tapi dari tadi aku tak nampak langsung batang hidung kau.”

                “Aku ada depan rumah kau sekarang. Aku tekan loceng dan lelaki yang keluar.”

                “Mengarutlah. Tak ada pun loceng rumah aku berbunyi. Entah-entah kau salah rumah, lepas tu kau salahkan aku pula sekarang ni.”

                “Salah rumah apanya. Kau sendiri yang whatsapp. Tingkat enam dan nombor rumah sebelas. Kau nak aku forward semula message tu?”

                “Tingkat enam?”

                “Iya, tingkat enam.”

                “Aku tulis tingkat enam?”

                Qas tetap juga mahukan kepastian.

                “Iya. Nak ulang berapa kali ni?”

                “Masya-Allah… Minta maaf sangat-sangat, Nirina. Aku salah taip tu. Sepatutnya tingkat sembilan.”
                You what?” ulang Nirina. Jari tangannya laju saja menarik beg yang dua buah itu menuju ke pintu lif semula.

                “Nanti aku telefon semula. Nombor rumah betul, kan? Nombor sebelas?”

                “Nombor rumah betul. Tingkat saja yang salah. Lelaki tu ada sana lagi?”

                “Jangan tanya,” ujar Nirina lantas talian terus dimatikan. Dalam kepalanya sekarang hanya mahu lekas-lekas memasuki perut lif.

                “Tunggu!”

                Nirina berpaling. Melihat lelaki tadi yang memanggil, makin laju saja langkah Nirina. Jangan haraplah Nirina nak tunggu lagi.

                Berkerut-kerut  dahi Carl Ibrahim melihat gaya melarikan diri ala-ala lipas kudung Nirina. Sebab itulah Carl Ibrahim menyusul ala-ala lipas tidak cukup kaki. Capal pun tidak sempat Carl Ibrahim pakai.

                Leganya hati Nirina ketika pintu lif hampir tertutup. Tapi itulah, belum pun sempat pintu lif tertutup rapat, ada satu tangan gagah yang menghalang pintu lif itu.

                Nirina melarikan pandangan. Jujur, dia tidak tahu mahu berbual apa dengan lelaki tersebut.

                “Assalamualaikum.”

Sempat Nirina melopong sebelum segera mengangkat wajah. Salam lelaki itu dijawab meskipun suaranya sedikit perlahan.

                “You cari I tadi, kan?”

                Geleng kepala.

                “Tadi you tekan loceng rumah I, kan?”

                Geleng kepala lagi.

                “You tipu I, kan?”

                Geleng kepala juga.

                Terlukis lagi kerutan di dahi Carl Ibrahim. Sorotannya tidak lepas-lepas lagi melihat Nirina. Menilik sepuas hati wajah polos itu yang sempat membuat hatinya diusik rasa aneh.

                “You tak pandai menipu. Bila you menipu, hidung you nampak kembang dan kemudian kempis.”

                Jari tangan Nirina mendarat pula pada hidungnya. Sepasang matanya terbuka luas bila kelemahannya yang satu itu dibocorkan.

                “I kenal you.”

                Ya Tuhan… Nirina tidak kenal langsung siapa lelaki ini. Jadi macam mana dia boleh kata kenal Nirina pula ni?

                “You tak ingat I lagi?”

                Ya Tuhan… Ini soalan apa ni? Nirina tak ada jawapan untuk soalan berstatus bonus begini.

                “I tak pernah jumpa you,” ujar Nirina dengan wajah yang sengaja diseriuskan.

                “I selalu jumpa you.”


                Selalu? Nirina menelan liur. Ayat bersungguh lelaki ini sangat mencemaskan hati dan perasaan.
                Tolong ingat. Kalau I boleh ingat, pasti you pun boleh ingat,” desak lelaki itu. Lagak seperti pernah rapat saja dengan Nirina. Padahal Nirina sikit pun tak pernah rapat.

                “I tak kenal you.”

                “Sebab you selalu hilang macam tu saja. Setiap kali I jumpa you, you buat I bertanya. Malangnya you tak ada nak jawab soalan tu.”

                Lelaki ni cakap apa? Nirina tak faham. Nirina sedang takut.

                “Untuk pengetahuan you, semua fasal you I ingat. Satu pun I tak lupa. Melekat erat dalam ni,” beritahu lelaki itu sambil menunjuk kepala sendiri.

                Lelaki ni ingat semua fasal Nirina? Masalahnya sekarang, Nirina tak ingat satu perkara pun fasal lelaki ni.

                Satu… Dua… Tiga! Terus saja Nirina menolak sekuat hati tubuh tinggi itu keluar dari perut lif. Pada saat lelaki itu masih terhuyung-hayang, butang lif kembali Nirina tekan. Dan kali ini, lelaki itu tidak sempat lagi menghalang pintu lif daripada tertutup rapat.

                Pintu lif terbuka di tingkat sembilan dan bagaikan orang gila Nirina meluru keluar. Qas yang sedang menunggu di depan lif pun Nirina langgar.

                “Kau ni kenapa?” gerutu Qas. Mujur saja dia tidak jatuh terduduk tadi.

                “Cepat Qas, tarik beg aku dan masuk rumah. Lepas tu tolong telefon sekuriti. Lelaki tu psycho!”

                “Heh?”
                

1 comment: