Sunday 19 April 2015

Prolog: J.A.D (JIWAKU ADA DIRIMU) -WAWA TAUFIK

        Jiwaku Ada Dirimu
Prolog

        D
IA hanya membiarkan temannya di sebelah membebel tanpa henti. Dia sendiri sudah buntu untuk berfikir. Nak bertindak lebih-lebih, jarak mereka bukan dekat.

        “Kau dengar tak apa aku cakap ni, J?” bentak Zeki dalam bahasa Inggeris berloghat Britain yang pekat. Bahu temannya itu ditolak kasar. Hatinya geram apabila segala bentuk nasihat yang dia berikan langsung Jad tidak ambil peduli.

        “Aku dengarlah Zeki!” balas Jad kasar. Juga masih di dalam bahasa yang sama.

        “Jadi?”

        “Sudahlah Zeki. Nantilah aku fikir macam mana.”

        “Helo J! Dia hak kau. Tanggungjawab kau. Selagi dia masih bergelar isteri kau, kau tak boleh biarkan dia macam tu je. Kalau ada masalah baik kau settle segera.”

        Jad termangu sendiri. Dia jadi hairan apa yang membuatkan panggilan dan mesej-mesejnya tidak dijawab. Kenapa? Apa yang membuatkan diri itu berubah?

        “Baik kau lakukan sesuatu, J...”

        Jad akhirnya mengeluh mendengar serangan kata temannya bertubi-tubi. Dia akui segala kata-kata lelaki berbangsa Turki itu. Zeki merupakan sahabat baiknya sejak empat tahun yang lalu ketika sama-sama menuntut di Leeds University. Malah lelaki itu jugalah yang menjadi salah seorang daripada mereka yang hadir di dalam majlis ringkas penyatuannya dengan si isteri.

        Isteri!

        Sebut sahaja pasal isteri, hatinya benar-benar rindu. Sayu mula menggigit tangkai hati. Ingin mendekat, sudah beberapa bulan dia tidak bertemu wanita itu. Sudah beberapa ratus kali panggilannya tidak dijawab. Huh mesej? Usah dikira lagi. Langsung tidak dibalas. Bukan sebab mesej-mesej tersebut tidak berjaya dihantar. Malah ada buktinya yang wanita itu sudah membacanya.

        Tapi kenapa?

        “Lakukan sesuatu, J. Sudah-sudahlah dengan tanggapan buruk isteri kau tu kat kau... kat aku... kat kawan-kawan kita. Jangan buat dia penasaran lagi J. Aku takut hati dia benar-benar sakit dan mula bertindak yang bukan-bukan. Kalau ada apa-apa masalah, baik kau selesaikan segera. Aku kenal dia. Dia tak akan macam ni kalau tak ada apa yang berlaku.”

        Diam. Tidak membalas. Masih cuba memikirkan apa yang menjadi punca kepada diamnya wanita itu. Sudah berjumpa yang lebih baik darinya ke? Atau sudah bosan hidup begitu dengannya?

        “Kau cintakan dia kan?” soalan tiba-tiba dari sahabatnya itu benar-benar mengejutkannya.

        Err... tak...”

        Pantas Zeki mengangkat tangannya menyuruh temannya itu diam.

        “Jangan menafikan hal tu, J. Aku dah masak benar dengan sikap kau. Kalau benar kau tak ada perasaan kat dia, kenapa Laura tak dapat mengganti ruang di hati kau tu? Kenapa Maliah juga tiada langsung peluang untuk berdampingan dengan kau? Bukan calang-calang orang mereka tu. Bab cantik, memang sangat cantik. Mana-mana lelaki pun akan tergugat.”

        “Aku bukan lelaki tu...” balasnya perlahan.

        “Sebab di hati kau dah ada dia!”

        Jad mengeluh kasar. Bercakap dengan Zeki, dia akan sentiasa kalah. Fakta lelaki itu terlalu tepat.

        “Baliklah. Jumpa dia face to face. Selesaikan semua yang kusut. Aku sayang kau dengan dia. Kau orang dua-dua kawan aku. Aku tak nak apa-apa jadi kat kau orang. Aku risau nanti kalau kau biar lama-lama, payah kau nak pujuk dia. Aku tak nak kau menyesal nanti bila kau dapat surat dari peguam pula. Masa tu... kau memang akan gigit jari lah, bro.”

        Gigit jari?

        Melepaskan si dia?

        Jangan harap!

        Dia tak akan biarkan apa-apa yang terjadi di atas perhubungannya dengan wanita itu. Tidak disebabkan atas satu alasan yang dia tidak tahu puncanya. Kalau masalah itu berpunca darinya, akan dia pujuk wanita itu sehabis-habisnya. Dan sekiranya masalah itu berpunca dari perasaan yang makin pudar oleh wanita itu terhadapnya, dia akan berusaha untuk menanam benih-benih cinta di dalam diri itu.

        Dia mendongak seketika memandang sahabat baiknya itu. Kemudiannya menghela nafas lemah. Telefon bimbit di dalam genggaman ditilik kembali. Mesej terakhir yang diterima oleh wanita itu dibacanya sekali lagi.
         
            ~ Pandai-pandai tahu sendirilah bila dah buat salah tu.
         
        Aku dah buat apa ni?

        Kepalanya digeleng berkali-kali. Tidak memahami apa maksud mesej tersebut.


         
         

No comments:

Post a Comment