M
|
ASA
mama datang, Fira tengah asyik melayan perasaan berhampiran kolam ikan.
Sedar kehadiran mama, Fira mengeluh. Bukanlah tak suka nak lepak sama mama tapi
risau kalau-kalau mama timbulkan lagi cerita dua malam lepas. Terus terang, dia
tak suka. Yang dia pelik, kenapa sejak akhir-akhir ini mama macam terdesak
sangat nak suruh dia berkahwin? Apa muslihat mama sebenarnya? Entah-entah mama
sengaja nak dia cepat-cepat keluar dari rumah ni. Yalah, dah berkahwin mestilah
kena ikut suami, kan? Mana tahu mama dah bosan dengan dia. Maklumlah, mama kan
dah ada Danish yang dikasihi.
Mungkin dengan adanya dia di rumah
ini akan mengganggu kasih sayang mama terhadap Danish pula. Memang dia tahu dia
jahat kerana berfikiran seperti itu, tapi sikap mama sendiri yang mendorong hati
nuraninya untuk berprasangka begitu.
Baru beberapa minit berbual,
tiba-tiba mama tukar topik.
“Kalau kita buat majlis kahwin
dalam tahun ni, agak-agak sempat tak?”
Kan betul apa yang difikir tadi.
Mama dan topik perkahwinan memang tak boleh dipisahkan.
“Mama, Fira nak kahwin dengan
siapa? Fira mana ada boyfriend?” Fira
berbohong.
Masuk kali ni, entah dah berapa
kali dia membohongi mama. Nak buat macam mana, dah terpaksa. Secara jujurnya,
dia belum bersedia. Yalah, sebelum mendirikan rumah tangga, dia kena pastikan
dirinya mahir serba-serbi. Memasak, membuat kerja-kerja rumah serta menguruskan
rumah tangga. Tapi seperti yang mama sedia maklum, anak dara mama yang seorang ini
manalah pandai sangat dengan kerja-kerja tu semua? Lalu macam manalah dia nak jadi
isteri orang? Malu kat suami nanti.
“Betul ni tak ada?” Mama menduga.
Matanya mencari mata Fira. Seperti sesebelum ini, dia tak percaya langsung. Dia
tahu Fira tak bercakap benar.
“Mama... kita cakap pasal lainlah.
Malaslah cakap pasal kahwin aje.” Fira
tayang muka bosan. Mahunya tak bosan, balik-balik tanya pasal tu. Macamlah anak
mama ni dah terdesak sangat nak bersuami.
”Apa salahnya?”
“Memanglah tak salah tapi bila dah
selalu sangat, Fira jadi bosan tau tak?”
“Amboi! Dah pandai bosan dengan
mama.” Dah macam merajuk bunyi suara mama.
“Fira bukan bosan dengan mama tapi
dengan soalan mama yang sama tu.”
“Selagi Fira tak bersungguh-sungguh
pasal ni, selagi tu mama akan tanya.”
“Ma... Fira muda lagi kut. Bagilah
peluang Fira enjoy dulu puas-puas.
Sampai masa nanti Fira akan kahwin jugak.”
Mama geleng. “Mama tak setuju. Pada
mama, lagi elok kalau Fira cepat-cepat kahwin. Kalau ikutkan hati mama, esok
juga mama nak tengok Fira naik pelamin.”
“Mama ni kenapa beria-ia sangat?
Fira tak fahamlah.”
“Fira, mama bukan saja-saja nak
suruh Fira cepat-cepat kahwin. Ada sebabnya.”
“Sebab apa?”
“Yalah bila Fira dah kahwin... mama
dan papa dah tak perlu risau lagi. Dah ada orang jaga Fira, bertanggungjawab
terhadap Fira. Betul tak?”
“Mama pun tak perlu nak ambil kisah
pasal Fira lagi, kan? Yalah Fira ni kan selalu susahkan mama, susahkan semua
orang. Jadi, bila Fira dah kahwin, tak adalah Fira susahkan mama lagi.”
“Fira, kenapa cakap macam tu? Mama
tak pernah terfikir sampai ke situ. Papa pun sama. Tak baik tau cakap macam
tu.”
Fira mencebik. Tak nak mengaku
konon.
“Buat muka macam tu, tak percaya
cakap mama la tu.”
“Memang pun.”
“Fira ni suka fikir yang
bukan-bukan tau.”
“Kalau tak nak Fira fikir yang
bukan-bukan, tolong jangan sibuk-sibuk nak suruh Fira kahwin.”
“Fira...” Mama pandang Fira,
kecewa.
“DANISH
sedang bikin apa tu?” Bibik tarik kerusi, lalu duduk di sebelah Danish.
“Melukis.” Tanpa pandang muka
bibik, Danish jawab sepatah. Tekun sekali dia mewarna.
“Ini apa?” Bibik talakan jari
telunjuknya kepada kertas lukisan yang sudah lebih separuh diwarnakan.
“Langit.”
“Kok langitnya warna merah?” Bibik ketawa terkekeh-kekeh.
Dari kertas lukisan, pandangan
Danish berkalih kepada bibik yang masih lagi ketawa.
“Habis langit warna apa, bik?” soal
Danish.
“Langit kan warnanya biru, Danish.
Apa Danish nggak pernah lihat liat?”
“Kenapa langit warna biru?”
“Ya… Allah udah ciptakan langit dengan warna biru. Kita harus terima Danish. Nggak harus dipersoalkan.”
Lama Danish pandang bibik. Tak
faham apa yang wanita itu bicarakan.
“Bibik, kenapa langit warna biru?”
Danish menjerit, kuat.
Bibik dah panik. Rasa menyesal pula
kerana menegur warna langit tadi. Macamlah dia tak tahu bagaimana perangai
Danish tu. Selagi belum berpuas hati, selagi itulah Danish akan menyoal dan
terus menyoal. Sambil itu matanya memandang ke arah tangga.
Mana nenek ni? Kok nggak turun-turun?
Tadi dia diminta temenin Danish
sebentar aja sementara nenek tunaikan
solat. Ini udah lebih setengah jam, kok belum selesai lagi solatnya?
“Pokoknya warna langit itu kan biru, Danish. Mana boleh ditukar
kepada warna lain?”
“Kenapa tak boleh tukar warna
lain?” Danish menyoal lagi.
Makin susah pula soalan Danish.
Bibik terkulat-kulat. Tak tahu macam mana nak jawab.
“Bibik, jawablah.” Semakin kuat
suara Danish.
Seseorang turun dari tangga.
Mungkin nenek. Bibik senyum, lega.
“Bibik, buatkan teh ais.”
Fira rupa-rupanya. Senyuman bibik
hilang.
“Saya diminta nenek temenin Danish.”
“Tak payah nak temenin sangatlah, bik. Dia bukannya baby. Dia dah besar kut. Jangan cakap banyak, pergi buatkan teh
ais.”
“Baik... saya pergi sekarang.”
Bibik cepat-cepat berlalu ke dapur. Kalau dengan Fira memang dia tak berani nak
berlengah-lengah. Nanti kena marah pula. Tapi bagus juga Fira datang. Tak
perlulah dia menjawab soalan Danish yang memeningkan kepala itu.
“Kakak... kenapa langit warna
biru?” Danish mengalihkan soalan itu kepada Fira pula.
Fira menjeling tajam. Ni apa hal
pulak tiba-tiba tanya warna langit ni? Dah buang tebiat ke apa budak ni?
“Kakak... adik tanya ni? Kenapa
langit warna biru?”
“Dah memang warna langit biru. Yang
kau sibuk nak tanya tu, kenapa? Banyak lagi benda berfaedah boleh ditanya, itu
juga yang kau nak tau.”
“Kakak... jawablah adik tanya.”
“Hei! Ada juga yang kena luku
dengan aku ni kang.”
“Kenapa langit warna biru?
Cakaplah.” Danish dah hampir nak menangis. Yalah dari tadi dia bertanya, tapi
tiada jawapan yang diperolehi.
“Warna langit biru sebab...” Fira
berhenti di situ.
“Sebab apa?” Danish senyum lebar.
Tak sangka Kak Fira sudi menjawab pertanyaannya.
“Sebab warna langit memang biru.”
Lepas jawab macam tu, Fira ketawa berdekah-dekah. Seronok dapat mengenakan
Danish. Padan muka, banyak tanya lagi. Dahlah tanya benda-benda yang orang
susah nak jawab.
Danish meraung sekuat hati sambil
menghentak-hentakkan kakinya ke lantai.
“Kau dah kenapa? Nak rasa penampar
aku ke? Eleh! Cakap macam tu pun nak meraung. Mengada-ngada betul budak ni.”
“Nenek! Tengok kakak ni. Dia nak
tampar adik.” Kuat Danish menjerit sambil matanya tertala ke arah tangga.
Fira menggelabah. Sekejap lagi
pasti nenek akan turun. Nenek mana boleh dengar Danish menangis atau menjerit
sikit? Kalau dia tunggu kat sini, mahu kena leter dengan nenek. Tak boleh jadi
ni. Segera dia berlari ke dapur.
“Bibik, pergi temenin budak kecil tu.”
“Teh aisnya gimana?”
“Tak payah buat.” Dari ruang dapur
Fira melangkah laju ke hadapan, seterusnya ke tingkat atas. Sebelum nenek
turun, lebih baik dia berkurung dalam bilik.
Sambil
merungut perlahan, bibik ke hadapan semula. Pening kepalanya dengan kerenah dua
beradik ini. Yang seorang macam gitu, yang seorang lagi macam gini. Nasiblah
tuan dengan puan baik dan bertimbang rasa. Kalau tidak, dah lama dia berhenti
kerja.