Saturday 12 December 2015

BAB 1 : BILA PAPA JATUH CINTA - CIK D


BAB 1

MELANGKAH longlai masuk ke bilik guru menuju ke mejanya, tiba-tiba namanya diseru.
“Dinie! Dinie! Dinie!” Ceria suara Cikgu Rosnah macam terlebih glukos, tak seperti selalu.
“Kak Ros ni dah kenapa panggil Dinie rupa tu?” Tawa Dinie menyusul, kalut melihat Cikgu Rosnah yang tiba-tiba berubah jadi mesra alam begitu.
“Dik!” Termengah dia kerana baru mendaki tangga, mengekor Dinie.
“Ye kak. Dinie dengar, cepat nak cakap apa. Dinie dah nak balik dah ni.” Dia melayan ramah, dengan tangan tak lepas mengemas alat bantuan mengajar.
“Ada orang kirim salam, tapi Mr. Secret Admirer Dinie tu tak bagi beritahu Dinie siapa dia.” Cikgu Rosnah labuhkan duduk dan sekuntum bunga kekwa putih pemberian lelaki misteri tadi diserah pada Dinie.
Dinie masih terpinga. Mr. Secret Admirer, siapa? Tak tertelan liur Dinie dibuatnya, belum dapat meneka siapa lelaki yang dimaksudkan teman baiknya itu.
“Dan bunga ni…dia bagi.” Tersenyum-senyum Cikgu Rosnah, membayangkan wajah lelaki yang mengirim bunga tadi.
Handsome. Charming. Lembut suaranya, sungguh dia yang sudah bersuami pun tergugat iman, mujurlah dia cepat sedar yang dia sudah bersuami.
“Ini macam bunga kekwa depan toilet guru lelaki aje Kak Ros.” Bunga kekwa di tangan Dinie belek-belek, ada rasa macam nak lontar dalam tong sampah laju-laju pun iya juga.
Ada ke patut, nak bagi bunga pun biarlah bunga yang senonoh sikit.  Bunga depan tandas yang diberi pada dia. Ish! Kutuk Dinie dalam hati, tercebik bibir memikirkan siapalah yang tak berduit sangat bagi dia bunga depan pintu tandas.
“Betul la, memang dia ambil dekat situ pun tadi. Dah itu aje yang tercapai, tak sempat nak beli,” terang Cikgu Rosnah. Tergeletek hatinya melihat Dinie mencebik begitu.
“Oh…” Dua harakat Dinie ber’oh’. Ligat fikirannya berputar, mencari siapa lelaki yang dikatakan Cikgu Rosnah tadi.
“Dah, jangan nak fikir panjang sangat. Tadi kata nak balik, kan?”
“Hrmm… Kak Ros ambil la bunga ni. Dinie tak nak. Entah-entah dia bubuh racun nak bagi Dinie mati!” Cepat dia lontar bunga tadi di atas meja, bimbang sampai apa yang difikirnya tadi benar terjadi.
“Eh, janganlah buang macam tu. Simpanlah, rugi tau tak simpan bunga dari lelaki handsome!” Cikgu Rosnah dengan aksinya, membayangkan ketampanan lelaki yang mengirimkan bunga untuk si gadis tadi.
“Handsome? Siapa? Firhan?”
“Dah kenapa Firhan pulak masuk dalam cerita ni? Cikgu handsome tu dah seminggu tak mengajar, kan? Jangan nak cakap Dinie dah mula rindu dia pulak?” Galak Cikgu Rosnah mengusik, membawa ingatan si gadis pada guru KGSK yang menamatkan perkhidmatannya seminggu lepas.
“Jadi bukan dialah?” Berkerut dahi Dinie bila apa yang difikirkan tak sama dengan apa yang Cikgu Rosnah bayangkan.
Cikgu Rosnah geleng kepala, sengaja nak tambah kalut di fikiran Dinie.
“Bukan dik, dia bukan dari kalangan guru-guru sekolah kita. Dan! Yang pasti lelaki tu memang terrr segak dan terrrr kacak! Begini!” tunjuk Cikgu Rosnah pada kedua ibu jarinya yang sudah diangkat.
“Terkacak?” soal Dinie dan Cikgu Rosnah cuma terangguk dua kali.

Tambah pening Dinie bila Cikgu Rosnah terus mahu berahsia. Dalam hati menggumam, siapa gerangan yang tak berduit sangat sampai harta kerajaan dijadikan umpan untuk memikatnya.

No comments:

Post a Comment