Sunday 24 January 2016

Bab 1 : SCARLET CINTA - SHAZE ALMA




Bab 1

D
IA tu pelajar tahun akhir. Maknanya ini semester terakhir dia di universiti ini. Dengan gelaran pelajar tahun akhir yang dia ada tu, ditambah pulak dengan rupa yang... hmm... bolehlah tahan, aku rasa itulah puncanya dia jadi ego terlampau. Sampai dia sanggup menyusahkan aku setahap ni! Tak tidur malam sebab nak siapkan tugasan yang diberi pensyarah. Kelam-kabut aku disebabkan dapat pasangan seperti dia.
Hergh... bila diingat-ingatkan balik apa yang jadi kat kafeteria tengah hari tadi, aku rasa macam nak lanyak-lanyak aje muka dia tu. Lanyak biar sampai lunyai, baru puas hati aku!
Sewaktu aku tiba di kafeteria tadi, keadaan memang sibuk. Maklumlah, waktu orang makan tengah hari. Disebabkan mood aku memang tak baik dari pagi (disebabkan si DIA) aku tak ambil peduli dengan keadaan kafe yang sibuk itu. Aku terus tuju ke kaunter makanan, senduk nasi, pilih lauk, kemudian beratur untuk bayar. Tiba giliran aku, aku letak pinggan atas kaunter. Sementara tunggu cashier mengira, aku seluk beg kuliah.
“Tujuh setengah.”
Waktu tu juga terhenti gerak laku. Bukan sebab harga yang akak tu sebut, tapi sebab tangan aku tak jumpa apa yang kucari. Ah, sudah!
Cepat-cepat aku luaskan bukaan zip beg. Selongkar lebih menyeluruh, tapi tak jumpa juga. Kau jangan nak buat babak drama tv pulak, Farisya. Tak ada hero yang nak datang selamatkan kau!
“Tujuh setengah!” Lebih kuat suara akak tu.
“Kejap, kejap.” Makin kalut aku selongkar beg kuliah. Tapi tak jumpa juga benda alah tu. Tolonglah… tolonglah jangan buat hal!
“Eh, cepat sikit. Orang tengah ramai ni.” Akak tu bersuara lagi. Terhenti sudahnya aku. Mahu tak mahu, aku pandang juga akak tu.
“Saya tak bawak duit.”
Berubah terus muka akak tu.
“Boleh tak hutang...”
“Pergi balik!” Meninggi suara dia tiba-tiba.
Aku terdiam.
“Bayar dulu baru boleh makan!”
Walaweh, aku tengah lapar gila kut! Bilik pulak bukannya dekat. Sempat aku pengsan dulu tengah jalan!
“Tolong kira, kak.”
Terpaksa aku berganjak ke tepi bila orang belakang macam dah hilang sabar. Ikutkan hati, nak saja aku telan akak tu hidup-hidup. Aku tengah lapar ni! Yang dia kedekut sangat apahal? Macamlah aku nak sangat makan kat kafe dia ni. Dahlah mahal, tak sedap pulak tu! Ptuih!
“Nah, ambil ni.” Akak tu tolak pinggan nasi tadi ke arah aku.
Terbeliak biji mata aku. Dia dengar aku kutuk dia?
“Nasi dia tu harga tujuh setengah, Shah.”
Aku makin terdiam, lagi-lagi bila dengar saja nama tu. Cepat-cepat aku menoleh dan terus patah selera dibuatnya.
Di sebelah aku sekarang ini, seseorang sedang keluarkan sekeping not dari beg duit. Siapa lagi kalau bukan rakan sekuliah aku itu. Rakan sekuliah yang buat mood aku merundum dan hati aku hangat tahap gunung berapi!
Cepat-cepat aku pandang balik akak cashier.
“Tak payah, kak.”
Akak tu terhenti. Tegang balik muka dia, tajam jeling aku.
“Biar saya balik hostel dulu, ambil duit.”
“Orang dah tolong bayar tu ambil ajelah!” Melengking suara dia tiba-tiba.
Aku terdiam.
“Dah, tepi sikit! Orang tengah sibuk ni!” Ditepisnya pinggan nasi aku ke hujung kaunter. Kasar benar, sampaikan aku jadi tertanya-tanya.
Dia ni tengah berniaga atau tengah mintak penampar ke penendang sebenarnya?
“Orang tengah ramai ni, Farisya.” Satu suara segera mematikan fikiran aku yang dah membayangkan rupa akak cashier dengan gigi berterabur kena terajang.
Aku menoleh. Jeling tajam mamat tu.
“Ambil aje nasi tu.” Dengan ayat tu, dia menapak melintasi belakang aku. Tenang, macam tak pernah buat salah dengan aku. Gedik saja aku tengok hipokrasi dia tu.
“Awak ingat kalau awak tolong saya macam ni, saya boleh senang-senang lepaskan awak, Shah?”
Terhenti langkah dia yang mahu pergi. Dia menoleh pandang aku, berkerut sikit dahi.
“Sebab awaklah dunia saya huru-hara sekarang ni, awak tau?” tambahku.
“Awak tak naklah nasi tu?”
“Tak nak!”
Dia diam, tambah berkerut dahi. Aku terus tajamkan renungan, tak peduli pada mata-mata yang memandang.
Mamat tu yang melampau! Takde pasal la aku nak mengalah!
“Oh, tak nak rupanya...” Perlahan mamat tu menggumam.
Memang aku tak nak pun!
“Saya ingatkan tadi awak lapar.” Semakin perlahan suara dia, tapi mula terdengar riak-riak menyindir.
Diambilnya pinggan nasi yang masih tersadai di hujung kaunter. Dia pandang juadah tu. Tak sampai sesaat, dia pandang aku balik.
“Terima kasihlah pilihkan lauk-lauk ni untuk saya, Farisya.”
Aku terdiam. Dapat rasa yang usaha untuk sedarkan dia soal hati aku yang tengah sakit ni langsung tak berkesan. Dia lagi rasa yang dia dah menang dan aku kalah.
“Saya pun memang tak tahu nak makan apa hari ni.” Dengan ayat tu, dia mula berkalih. Melangkah mahu pergi. Nampak sangat yang dia tengah mengejek.
Geram benar aku dengan keselambaan dia tu. Tak tunggu lagi, aku cepat-cepat meluru ke dia.
“Ni nasi saya!” Rampas pinggan dari tangan dia.
Dia terhenti. Pandang aku, dan ada senyum di bibir yang dia cuba tahan. Senyuman mengejek. Hei... sabar aje aku!
Tak tunggu lagi, terus aku pergi dari situ. Menyampah!
Tapi tak sempat semeter pun menapak, aku tersedar ada sesuatu terlekat di bawah pinggan. Mati langkah aku. Cepat-cepat aku intai buntut pinggan.
Sekeping kertas memo. Aku ambik, baca tulisan di situ.
Anggap ini hadiah sebab siapkan assignment.
Terbeliak biji mata aku. Tak guna!
Waktu tu juga aku rasakan, Shah di belakang aku dah tersenyum dalam kemenangan. Cepat-cepat aku menoleh.
Memang, mamat tu tengah tersenyum. Senyum nakal sebab berjaya perangkap aku.
Tersirap darah aku. Tapi belum sempat aku buat apa-apa, dia berundur setapak dengan maksud mentertawakanku. Makin tersirap darah aku! Sekali lagi dia tersenyum. Dia kenyit mata pada aku, berpusing dan melangkah keluar dari kafe itu. Begitu saja.
Itu kejadian tengah hari tadi. Tapi itu bukan penyebab utama aku menyampah tahap tak ingat pada dia. Itu cuma sebab sampingan.
Tak...kejadian yang jadi penyebab aku meluat dengan mamat bernama Khairul Shah tu bermula awal lagi. Semua gara-gara tugasan yang diberikan pensyarah kami.
Bayangkan, tugasan dah dekat dua minggu Prof. Syikin bagi. Esok tarikh hantar, tapi dia boleh lagi buat muka tak faham apa-apa bila aku tanyakan perkembangan kerja pada dia. Padahal dulu awal-awal lagi aku dengan dia dah bahagi-bahagikan tugas.
Siapa tak bengang bila dapat rakan kerja perangai macam tu? Menyusahkan, tahu! Menyusahkan!
Aku dengar, dah tiga kali dia mengulang subjek Fluid Mechanics ni sebab asyik gagal. Bukan masalah pensyarah tegas atau tidak. Masalahnya dia tu yang malas! Macam mana nak lulus?
Aku ni sebab dah tak ada orang lain nak dijadikan pasangan, terpaksalah pilih dia. Kalau ada, memang aku takkan pandang dia langsung. Sebelah mata pun jangan harap!
Bukan aku tak ada kawan lain. Ada, tapi si Ika dengan si Zara tu terpaksa kerja berdua. Rakan kelas yang lain pun semua dah ada pasangan masing-masing. Dah tak ada sesiapa yang tinggal lagi. Nak tak nak, dia sajalah yang jadi pilihan.
 “Dah siap assignment? Selasa ni nak kena hantar?” Itu soalan aku pada dia.
Tapi tiba-tiba dia buat muka pelik. Dia betulkan cermin mata dia yang agak terlucut, pandang aku semacam. Sebijik macam orang hilang ingatan.
Aku dah boleh agak bila dia buat muka macam tu, mesti jawapan negatif yang aku akan dapat. Memang aku tarik nafas dalam-dalam masa tu, takut tersembur sumpah-seranah.
Bila dia mengaku yang dia belum buat, aku senyap. Dia minta maaf. Hah, mujur dia mengaku salah. Kalau tak, memang saja cari pasal la!
Katanya, tak tahu buat. Bila dah lama, dia terlupa. Bila aku tanya, baru dia teringat balik.
Oh, maknanya dia nak beritahu yang, ‘mujur awak tanya. Kalau tak saya memang takkan ingat!’
Aduh, inilah kali pertama dalam hidup aku jumpa lelaki tak bermaruah macam dia. Aku pun pelik dibuatnya, entah mamalia spesis apalah dia ni.
Tapi tak apalah, aku boleh sabar lagi. Disebabkan dia mengaku salah, jadi aku terpaksalah berlembut. Dia dah tahun akhir, memanglah sibuk yang amat.
Aku pun faham benda tu, jadi aku siapkanlah semua soalan tugasan.
Tapi bila aku hubungi dia untuk minta tolong, dia boleh kata dengan angkuhnya yang itu bukan kerja dia.
Arghhh! Stres dibuatnya! Kalau dia ada depan aku masa tu, memang dah kena penampar Jepun dari aku. Confirm!



“EH, kau ni takde kelas ke?”
Aku tersedar, lagi-lagi bila rasa ada tangan menepuk-nepuk bahu aku. Aku celik mata, tapi terasa berat dan payah. Waktu itu baru aku tahu, aku tertidur di meja belajar.
“Eh, Rish. Bangunlah, dah pukul berapa ni?” Liza menepuk-nepuk lagi bahu aku, cuba mengejutkan. Bila aku terpisat-pisat angkat kepala dari meja, baru dia berhenti.
“Kelas kau cancel ke?” soalnya lagi, nampak musykil.
“Tak adalah.” Gagal menahan kuap, aku tutup mulut dengan telapak tangan. Kemudian menggeliat panjang meregangkan otot-otot. Sesudah itu aku bersandar di bangku. Haruman minyak wangi membuat aku menoleh pada teman bilikku itu.
“Awal kau bersiap?” Setahu aku, hari Selasa kelas dia cuma ada waktu petang.
“Awal kebendanya? Dah pukul sepuluh setengah dah ni.”
“Hah?” Terus aku bangun dari sandaran, segar terus mata. Sepuluh setengah?
“Aku dah beli lunch pun ni.” Liza beredar, letak bungkusan makanan di meja belajarnya.
Aku cepat-cepat capai telefon bimbit. Terpampang besar angka 10.37 di skrin. Tertera juga peringatan tentang tugasan yang wajib dihantar hari ini.
“Apasal kau tak kejutkan aku, weh!!!” Bergema bilik dengan pekikan.
Liza terhenti, terpinga-pinga pandang aku. Makin sakit hati aku. Sepantas kilat aku rentap tuala dan terus meluru ke bilik air. Memang tak ada makna hendak mandi beria-ria. Cuci badan sikit-sikit, kemudian bersiap. Mujur tengah uzur, tak payah fikir pasal subuh yang dah terlepas. Selepas tu aku terus berkejar ke kelas.
Berkali-kali kereta yang lalu-lalang membunyikan hon bila aku melintas. Bingit satu kampus. Aku tak kira apa dah. Lantaklah orang nak marah ke nak apa. Aku dah lambat ni!
Tiba depan dewan, kuliah tinggal lebih kurang beberapa minit saja. Kira dah lewat kalau nak hantar tugasan. Habislah aku. Gerenti lesap sepuluh peratus markah keseluruhan aku untuk subjek ni. Rasa macam nak menangis dah ni. Aku betul-betul tak boleh tahan dah ni!
Dengan muka tebal, aku tolak juga daun pintu. Beralih perhatian semua yang ada dalam dewan itu padaku, seakan-akan aku ini bintang popular. Betul-betul memalukan. Mahu tak mahu saja aku pandang pensyarah.
Sorry, Prof.” Nyaris tak terkeluar suara. Terketar pun ada juga.
Pensyarah senyap, buat muka serius. Aku tak tahu nak kata apa lagi. Terus pergi pada dia, hulur tugasan. Waktu tu juga muka dia bertukar tegang.
“Nak buat apa ni?”
Ass… assignment.” Tergagap-gagap jawapanku.
Makin tegang muka dia. Ohh... tolonglah... aku tahu aku salah. Tapi janganlah pandang aku macam nak telan!
Sorry lambat, Prof.”
“Tak, saya tanya. Nak buat apa benda ni?”
Aku terdiam. Soalan psiko ke ni?
“Nn… nak hantarlah. Hari ni kan due date dia?”
“Siapa partner  awak?”
“Khairul Shah...”
“Dah, tak payah nak berlagak rajin. Semua orang dah hantar, awak tu yang lambat,” pintasnya laju, buat aku terdiam.
“Hah, duduklah? Nak jadi lecturer kat depan ni pulak ke?”
Aku menggeleng laju, makin hangat muka! Terus aku meluru ke belakang kelas disebabkan itu saja tempat yang berbaki. Tapi belum sempat aku duduk, telefon bimbit dalam beg menjerit nyaring.
“Nur Farisya!” Suara lantang Prof Syikin lebih kuat menggegar dewan.
Mati pergerakanku yang masih membelakangi wanita itu. Gigit bibir, menyumpah diri sendiri yang terlupa silentkan telefon. Dalam teragak-agak, aku menoleh. Dia di hadapan dewan dah tenung aku semacam. Aku telan liur, faham benar maksud pandangannya.
“Bb... baik...” Antara rela dan tidak saja aku mengangguk.
Telefon bimbit kukeluarkan dari beg. Sempat membeleknya untuk kali terakhir. Sepuluh missed calls, satu SMS. Semua dari mamat tu. Menjerit pekik hati aku menyumpah. Nampaknya mamat tu memang diciptakan untuk memusnahkan hidup aku!
Dalam penuh terpaksa, aku melangkah ke hadapan dewan. Telefon bimbit aku hulur pada Prof. Syikin. Dia rampas kasar tapi telefon tak semena-mena terjatuh ke lantai. Berkecai objek tu. Prof. kutip dan meletaknya di meja pensyarah.
Rasa macam nak pecah jantung aku tengok phone diperlakukan semacam itu. Lagi-lagi bila mengenangkan si pemberinya yang sudah lama pergi dari hidupku.
Kenapalah dua tiga menjak ni ada saja yang tak kena dengan diri aku?

Sungguh, aku dah tak boleh tahan sangat dah ni. Rasa nak menangis.

No comments:

Post a Comment