Sunday 24 January 2016

Bab 2 : SCARLET CINTA - SHAZE ALMA




Bab 2

M
ANUSIA lalu-lalang keluar masuk perpustakaan. Waktu terus berjalan, dunia terus bergerak dan berubah. Tapi aku tetap juga di situ, di meja paling hujung tu. Hanyut.
Penat perhati gelagat orang, aku pandang buku yang terhampar atas meja. Cuba kuhadam ayat-ayat yang tertulis, tapi hapah pun tarak. Padahal dah dekat sejam aku kat sini. Dah serupa tunggul saja.
Menggeleng-geleng sudahnya aku. Itu saja yang mampu.
Kenapalah kau menyusahkan aku, Shah?
Dalam phone tulah aku letakkan nombor semua orang. Boleh hilang akal dibuatnya kalau lost contact macam ni.
Kadang-kadang aku terfikir, mamat tu pembawa sial ke? Berkawan aje dengan dia, terus hidup berubah. Daripada ok kepada K.O.
Lepas ni ada tugasan kedua. Kalau Prof. Syikin suruh buat kerja berpasangan lagi, nampak gayanya memang muka akulah yang mengulang subjek ni semester depan. Dah tu kalau mamat tak sedar diri tu pun mengulang juga, terpaksalah aku jumpa dia lagi. Bertambah-tambah bahagialah aku lepas ni.
Haihh... nasib kaulah, Farisya!
Tiba-tiba sekeping memo diletakkan pada halaman buku aku. Aku tersedar. Berkerut dahi membaca, risau kalau-kalau perlakuan aku yang termenung panjang jadi sebab staf di perpustakaan ini curiga.
Tapi bila mata terpandang saja tulisan ala-ala signature itu, tak semena-mena darahku menyirap ke kepala. Menggelegak!
Aku angkat kepala, tajam menikam pandangan mamat tu.
“Apa sorry, sorry!” Tertahan-tahan suara menengking, enggan didengari staf.
Dia terdiam sejenak sebelum menarik kerusi. Duduk di situ, nampak serba salah. Aku renung wajahnya makin tajam. Menunggu, bala apa lagi yang dia nak bagi pada aku.
“SMS tu saya hantar sebelum awak masuk lecture hall sebenarnya,” ungkapnya.
“Siapa suruh SMS?”
“Hari ni Prof. dah masuk chapter baru. Takkan awak nak terlepas macam tu aje.”
Giliran aku terdiam. Agak pelik mendengarnya, sebab jawapannya cukup jauh lari dari yang aku jangka. Aku fikir, dia beria telefon aku disebabkan tugasan yang wajib dihantar hari ni.
“Ini phone, saya ganti rugi.” Dia tolak telefon bimbit ke arahku.
Aku jeling benda alah tu.
SIM card dalam ni baru lagi. Tak ramai yang tahu nombor ni.”
“Habis tu awak nak guna phone macam mana pulak?”
“Saya ada dua.”
Aku diam. Tak kisahlah dia ada dua atau berapa banyak sekalipun. Aku bukannya jenis yang mudah dicair-cairkan dengan benda ni semua. Dia ingat aku ni apa?
“Saya tak nak phone tu. Ambik balik.” Serentak aku menyelak-nyelak helaian buku.
Dia terdiam. Tapi tak sampai sesaat, ekor mataku terlihat senyuman menyindir di bibirnya.
“Jangan nak berlagak sangatlah.” Perlahan suara tapi kedengaran cukup sinis. Berdesing telinga aku mendengarnya lantas angkat kepala.
Dia tersenyum lagi, lebih sinis. Menyakitkan hati. Belum sempat aku membalas, dia terlebih dahulu bangun. Berlalu begitu saja. Telefon bimbit dibiarkan atas meja. Cukup jelas dengan maksud mengejek. Konon dia senior, jadi aku jangan sesekali cuba membantah.
Hancur kesabaranku. Pantas aku bingkas, tanpa sedar tertolak kerusi terlalu keras hingga menyebabkan kebisingan.
“Syy!” Beberapa suara menegur bersama jelingan tajam.
Aku terdiam, terbantut hasrat mengejar mamat yang sudah semakin jauh melangkah tu. Penuh selamba saja dia, macam baru menang berperang. Aku macam boleh nampak aje dia kibar-kibar panji. Bertambah-tambah sakit hati aku! Ergh!
Tanpa mempedulikan tumpuan pengunjung lain, aku capai telefon bimbit di atas meja. Bawa ke Kaunter Sirkulasi.
“Cik,” panggilku.
“Ya?” Mesra staf di situ tersenyum.
“Ada student tercicir.” Aku letak telefon bimbit di hadapannya, pura-pura tenang. Tak tunggu lagi, aku terus beredar.
Aku kemas barang-barang atas meja aku. Sepantas mungkin kulajukan gerak, tak peduli langsung bunyi-bunyi bising yang kucetuskan waktu mengemas. Tak juga hiraukan jelingan-jelingan pengunjung lain.
Dengan apa yang Shah buat pada aku, aku rasa perpustakaan ni dah macam neraka hangatnya. Ke mana pergi pun aku takkan tenang. Nak tak nak aku kena juga keluar dari sini!



HARAPAN terakhir aku cuma hostel. Sepuluh minit berjalan kaki, aku tiba di bilik. Tapi waktu tu Liza pulak tengah sakan menyanyi. Headphone memekap telinga, kepala terangguk-angguk ikut rentak lagu. Tangan pula tergawang-gawang dan ada masa sampai terpejam-pejam matanya. Konon menghayati sangatlah, sampai bingit satu bilik dikerjakannya. Entah kenapa, seluruh alam macam sengaja cari pasal dengan aku!
Aku dah rasa macam nak mengamuk, tapi aku tahan sehabisnya. Aku capai tuala, pergi bilik air. Mandi, dengan harapan semua rasa sakit hati aku akan lebur. Dan dengan doa supaya Liza akan penat menyanyi lalu berhenti.
Tapi masa baru selesai mandi dan dalam perjalanan pulang semula ke bilik, dari jauh lagi telinga aku dah dapat tangkap suaranya yang serak dan pecah masih terpekik-pekik.
Bila buka saja pintu, Liza dah tercegat tengah-tengah bilik. Tangan pegang pencil box, kononnya mikrofon. Bilik pulak dah jadi macam tongkang pecah. Segala satunya serba bersepah, serba tak teratur. Makin buat aku rasa nak mengamuk!
Tapi aku cuba sabar lagi. Aku masuk bilik, kutip kertas-kertas yang berterabur atas lantai. Kain baju yang tersidai di kerusi dan kepala katil aku ambil. Sangkut dalam almari. Pakaian terlampau banyak, almari sendat. Aku keluarkan balik, sangkut di kerusi. Tapi entah macam mana, aku tersalah letak. Jatuh bertaburan kain-kain baju di lantai. Tersirap darah aku!
Aku rentap semua yang tergantung dalam almari, campak atas lantai. Kain baju yang terlipat aku tarik semua, humban keluar. Tengok ada pakaian yang masih terlipat, aku sepak-sepak. Biar lerai!
“Eh, apasal ni?” Cemas Liza pegang tangan aku, menghentikan aku.
Turun naik nafas aku renung dia. Dia terpinga-pinga, macam tak faham apa-apa.
“Habis dah Juara Lagu kau?” tempelakku.
Liza terdiam. Macam nak tanya, ‘salah ke aku menyanyi? Lagu Farsyah yang baru ni sedap gilaa, sampai aku pun melting!’ Setiap lagu baru Farsyah pun memang tu jugak jawapan dia. Hergh!
Dalam rengusan sakit hati aku dapatkan meja belajar. Kain baju yang menghalang laluan aku sepak kasar. Aku tarik kerusi, duduk. Keluarkan buku dari beg, hempas atas meja. Aku buka, baca. Cuba bagi tumpuan.
Tapi yang jadi, melihat satu demi satu patah kata di situ, makin sakit pula hati aku. Di halaman inilah tadi mamat tu lekatkan memo. Masih terbayang-bayang di ruang mataku bahkan cukup jelas.
Huh, maaf konon. Maaf apanya? Makin menyakitkan hati adalah!
Hei... rasa macam nak aje kulanyak-lanyak muka mamat tak sedar diri tu. Biar penyek-penyek dia, tak payah lagi aku hadap muka tak bersalah macam tu.
Eii... geram aku. Geram! Geram! Gerraamm!!!
“Oi, apasal pulak tu?” Sekali lagi Liza menghentikanku. Segera aku menoleh. Liza dah kerut dahi.
“Kau ni apahal? Yang kau pergi renyuk-renyukkan buku tu kenapa? Dah banyak duit sangat? Boleh beli baru kalau buku tu koyak?”
Aku terdiam. Melihat helaian-helaian buku yang sudah serabai itu, terlepas akhirnya keluhan dari bibirku. Tersandar tubuh pada belakang kerusi, berpeluk tubuh.
“Apasal? Mamat tu kacau kau lagi?” soalnya.
“Kali ni bukan setakat kacau, weh. Dia ajak berperang terus!”
“Kalau iyapun takkanlah sampai buku pun kau tibai.”
“Masalahnya dia tu dah melampau sangat!” tekanku serentak bangkit dari sandaran. Pandang Liza.
Assignment aku kena reject, handphone aku kena rampas. Aku rasa macam nak pijak-pijak aje muka dia tu, kau tahu!”
Liza tergelak tiba-tiba. Bingung aku lalu menajamkan renungan.
“Marah sangat kau ni?” duganya.
“Memanglah!”
“Jangan... lama-lama nanti sayang!”
“Ah, dia ingat aku ni jenis yang mata duitan ke apa? Dah buat macam-macam kat aku, lepas tu sesenang aje dia bagi handset dia.”
“Habis kau buat apa kat handset dia tu?” Dalam sisa gelak dia menyoal.
“Aku bagi orang kaunter tulah! Nak simpan buat apa?”
Seriously?” Terbeliak biji matanya. Dia pergi ke meja dia, duduk di situ sambil memandang aku tak berkedip. Nampak sangat dia tak setuju dengan tindakan aku.
Merengus kasar saja aku lalu bersandar kembali di bangku, peluk tubuh.
“Tak inginlah aku pada benda-benda macam tu.” Perlahan suara. Mendengarnya, Liza senyap. Tapi sesaat kemudian tawa halusnya kedengaran semula.
“Haihh... Rish... Rish...” Mengeluh.
Aku diam.
“Kau nak lari ke mana, cuba kau cakap? Malam ni kau bertugas kat library, kan? Kalau dia pergi ambik phone tu malam nanti, lepas tu jumpa kau, hah, mana kau nak menyorok?”
“Itulah yang aku bengangkan sangat!” Tahu pula mamat tu cari masanya.
Meledak tawa Liza. Ekor mataku melihat dia tergeleng-geleng. Entah apa yang lawak sangat. Hati aku tengah sakit ni, kau boleh lagi nak gelak-gelak macam tu?
“Alah, kalau kau beria jauhkan diri dari dia pun tak ada gunanya. Makin dia kejar kau adalah.”
“Dah tu aku nak kena layan dia pulak?” tempelakku. Sunguh-sungguh aku tak setuju dengan dia!
“Tak adalah sampai macam tu.” Liza bersuara bila reda tawanya.
Sesaat, dia selak-selak buku di atas meja, tapi mata tak sedikitpun dialihkan dari aku. Bagai sedang mencari ayat seterusnya. Dia lepas nafas dalam kemudiannya, berhenti selak buku.
“Tapi masalah nikan, lagi kita lari, lagi dia kejar. Jadi apa kata kalau kau buat derk aje. Lama-lama nanti masalah tu pergilah sendiri. Percaya cakap aku ni.”
Aku senyap.
“Alah, relaks la. Tak ke mana pun mamat tu. Lama-lama nanti senyaplah dia. Kau tak payah fikir bebanyak, buat susah diri aje.”
“Dia tu yang tak habis-habis menyusahkan hidup aku.”
“Dahlah, weh! Kau buat muka macam tu, aku yang tengok ni pun berserabut tau?”
“Setakat cakap, memanglah senang.”
Dia ketawa kecil. Ambil buku di atas meja, bangkit lalu menyusunnya di rak.
“Malam ni kau pergi aje library macam biasa, Rish. Kalau dia kacau kau, kau ambik aje phone tu. Masa nak balik sini nanti kau campaklah kat mana-mana, tak payah pulangkan pada dia. Kan habis cerita?”
Aku terdiam.
“Lagipun sekarang ni musim hujan. Asal malam aje confirm lebat. Sampai ke pagi pulak tu. Hah, lagi senang. Campak aje ke jalan, terus phone tu rosak.”
Aku terdiam juga. Liza ketawa lagi, menggeleng-geleng kecil sambil mengemaskan susunan buku. Dia keluar dari situ. Senyap sunyi bilik sesudah itu, buatkan aku juga bisu.
Entah kenapa, cadangan Liza menjadikan aku terasa bodoh tiba-tiba.

Kenapalah aku tak terfikirkan cara itu tadi?

No comments:

Post a Comment