Sunday 24 January 2016

Bab 4: SCARLET CINTA - SHAZE ALMA



Bab 4

A
KU tak tahu kenapa, tapi dalam waktu-waktu macam inilah semua orang macam sengaja tak mahu bagi aku peluang berehat.
Pagi tu, Liza mengejutkan aku supaya ke kelas. Aku mahu menjawab, tapi tenaga cukup-cukup terbatas waktu tu. Mahu buka mulut pun payah. Terpaksa kubiar saja dia.
“Oi, bangunlah! Dah pukul berapa ni!” Lebih kuat goncangannya.
Mahu tak mahu, aku celikkan juga mata. Kabur wajah Liza di hadapanku.
“Tak ada kelas ke?” soalnya lagi, serius.
Aku cuba bersuara tapi belum sempat membuka mulut, kesakitan tiba-tiba mencucuk kepala. Otak berdenyut-denyut, rasa seperti diramas-ramas. Aku pejam mata semula, berpaling ke arah lain.
“Sakit kepala.” Perlahan. Entah dia dengar entah tidak.
Liza membisu. Dalam keadaan terpejam mata itu, aku betul-betulkan selimut yang menutupi tubuh. Cuba tidur semula untuk meredakan sakit yang kutanggung.
“Nak aku bawak pergi klinik?” Kedengaran semula suaranya tidak lama kemudian.
Aku menggeleng kecil, lemah. Dia diam sesaat sebelum mengeluh kecil.
“Tak apalah kalau macam tu. Pergi dulu, weh.”
“Mmm...”
Senyap. Hanya kedengaran pintu dikunci dari luar oleh Liza. Selepas itu aku hanyut semula dibawa lena. Tapi tak lama kemudian, terganggu tidur aku bila sebuah irama asing memenuhi ruang bilik. Bingit telinga. Entah lagu apa yang berbunyi itu, aku tak tahu.
Tercelik mataku. Telefon bimbit yang berada di bawah bantal terasa sedang bergetar-getar. Aku capai, perhati skrinnya. Terpampang satu nombor asing.
“Helo, assalamualaikum.” Garau suaraku menyapa sebaik talian bersambung.
“Waalaikumussalam. Tak datang kelas ke?”
“Tak sihat.” Ringkas.
“Dah pergi klinik?”
Aku diam sesaat, mula malas untuk bersoal jawab.
“Kejap lagi.”
“Kenapa tak pergi sekarang?” Aduh... kenapalah banyak soal sangat dia ni?
“Tak laratlah, Shah.”
“Baik pergi sekarang, kalau tak nanti doktor tu ingat awak sengaja tak nak pergi kelas,” pintasnya laju. Belum sempat aku menjawab, dia menyambung.
“Tak tahulah pulak kalau awak memang sengaja nak ponteng.” Sinis kali ini.
Bengkak hati aku. Dia kalau tak sakitkan hati aku memang tak sah!
“Baik pergi sekarang, Isya...” Lenyap suaranya sebaik butang merah kutekan. Handphone kuhempas atas tilam. Puas hati aku!
Tidak lama kemudian, muzik pelik tadi kedengaran lagi. Aku pandang skrin. Terpampang nombor sama, tapi kali ini kuperhati saja telefon bimbit itu hingga mati deringan.
Tergeleng-geleng kepalaku. Apasal susah sangat dia nak faham bahasa? Aku dah kata aku tak sihat, sakit kepala. Yang dia pergi paksa-paksa lagi aku pergi klinik tu buat apa? Suka betul menyibuk hal orang!
Tidak lama kemudian, telefon bimbit berlagu nyaring lagi. Aku biarkan saja, buat bodoh sambil berbaring membelakangi objek hitam itu. Mahu tidur semula.
Suka hati kaulah, Shah. Tak ada masa aku nak layan.
Lagu itu terus bergema di seluruh ruang bilik. Makin lama makin menyakitkan telinga. Nak tidur pun dah tak ada selera. Telefon terus juga memekak. Hiee... tak penat ke dia!
Sudahnya aku capai telefon itu, campak bawah bantal. Aku letak kepala di atasnya. Bunyi-bunyi yang menyakitkan telinga hanya sayup-sayup saja kedengaran kini. Dalam benak, telefon yang tengah memekik itu aku bayangkan sebagai Shah. Terkapai-kapai dia kelemasan sebab kena hempap dengan bantal busuk aku ni.
Kalaulah aku ada banyak duit, dah kuhumbankan handphone dia dalam tong sampah. Beli phone baru lagi baik.
Tapi sekarang ni aku tengah pokai, mana nak cekau duit. Nak tak nak, suka tak suka, terima jugaklah budi mamat tu. Sebagai balasan, aku kenalah layan perangai dia yang entah apa-apa tu. Betul-betul menyusahkan!
Bila pasti telefon itu sudah betul-betul senyap, baru aku alihkan bantal. Perhati skrinnya, tersenyum puas. Tiga belas missed calls, satu SMS. Kematu dah jari dia agaknya, baru teringat nak berhenti mengacau.
Tiba-tiba lagu tadi berbunyi lagi. Serentak telefon bergetar. Aku terkejut, tak semena-mena tertekan butang hijau. Argh!
“Helo!” Agak keras suaranya kali ini.
Aku mengeluh. Apa jugaklah yang mamat ni nak?
“Helo! Eh, dengar tak ni?”
“Iya, orang dengarlah.” Menjawab akhirnya. Hei... malas betullah aku!
“Baik awak pergi klinik cepat.”
“Tapi saya betul-betul tak larat ni,” pintasku.
“Masalahnya Prof. baru aje bagi pop quiz.”
Aduhai Prof. ni! Baru aje semalam hantar tugasan, hari ni dah ada pop quiz pulak? Nak bagi kepala otak kitorang ni meletup ke apa? Kepala aku yang sakit rasa makin berdenyut-denyut dibuatnya.
“Kalau awak pergi klinik sekarang, sekurang-kurangnya dia tahu awak tak sihat sejak pagi.” Shah menambah.
Aku diam, tak mampu menafikan.
“Helo, dengar tak ni?”
“Dengar...” Penuh malas.
“Jadi?”
“Lantaklah kuiz tu, lima percent aje. Tak luak apa pun.” Peperiksaan akhir  nanti aku buatlah betul-betul.
“Nak suruh orang heret dulu baru nak pergi klinik ke?” ugutnya tiba-tiba. Hangat hatiku.
“Nak heret saya? Hah, datanglah kalau berani!”
“Nak tengok saya buat betul-betul?”
Aku tepuk dahi. Stresnya dengan orang tua sekor ni! Stres! Stres! Stres!!!
“Helo, dengar tak ni?” Dia memanggil lagi, betul-betul menyakitkan hati.
“Ya Allah, Shah! Awak ni faham bahasa ke tak? Kalau saya jatuh tengah jalan nanti macam mana?”
“Pergi cepat. Kalau tak, saya report pada Prof. yang awak tak tolong saya buat assignment tu.”
Tersirap darah ke kepalaku.
“Hei, Shah. Awak yang...”
Tut... tut... tut. Terbantut ayatku bila dia putuskan talian. Telefon bimbit aku pandang dengan hati yang membuak-buak kepanasan. Kalau ada depan mata…
Aku lanyak-lanyak muka kau tu, Shah!!!



PUSAT Kesihatan Universiti terletak betul-betul di hadapan bangunan kuliah. Waktu aku selesai mengambil ubat di Kaunter Dispensari, kelas dengan Prof. Syikin baru saja berakhir.
Bila aku tolak pintu kaca untuk keluar, anak mata automatik jatuh pada Shah yang kebetulan sedang melangkah keluar dari dewan kuliah. Bagai tahu dirinya sedang dipandang, dia menoleh padaku.
Mungkin puas hati sebab akhirnya aku patuh pada arahan dia, aku perasan ada senyuman sinis dia lontar pada aku. Aku mencebik, berpaling ke arah lain dan melangkah pergi dari situ.
Haccuum!
Terhenti langkahku, berkerut dahi lalu berpusing. Dalam suasana kampus yang hiruk-pikuk disebabkan pertukaran waktu, kelihatan mamat itu menggosok-gosok hidung yang merah sambil melangkah ke keretanya yang terparkir.
Makin berkerut dahiku, segera ambil keputusan untuk menanti.
Dia bersin lagi. Belum sempat membuka pintu, sekali lagi dia bersin. Dia mula nampak lemah, lantas dia tarik pintu kereta dan segera masuk ke dalamnya. Tersandar lesu tubuhnya di tempat pemandu. Kaca mata yang sedikit terlucut di wajah ditolaknya kembali ke kedudukan asal. Terkulai tangan jatuh ke sisi sesudah itu.
Aku yang masih tercegat di tepi jalan ini tiba-tiba saja terfikir untuk membalas dendam. Tanpa mampu kukawal, bibir sudah tersenyum penuh muslihat.
Kau sakat sangat aku tadi kan? Hah, tunggu aku pulak kenakan kau. Tunggu, Shah. Tunggu.
Cepat-cepat aku melangkah ke keretanya. Dari jauh, kelihatan dia sedang menghidupkan kereta. Aku luaskan langkah dan segera mengetuk cermin kereta sebaik tiba. Dia menoleh, dan dia nampak bingung bila terpandang diriku. Aku segera tersengih.
“Bukaklah kejap.” Kugaya-gayakan dengan tangan supaya dia faham.
“Kenapa?” soalnya sebaik cermin turun separuh.
Aku buka mulut untuk bersuara, tapi kutahan dan pura-pura bersin. Haccum!
Dia terkejut. Aku tutup hidung dengan tangan, kemudian menenyeh-nenyehnya. Rimas kononnya.
“Haihh... Shah. Saya tak sihat ni, asyik bersin aje...” Haccum! Pura-pura bersin lagi. Aku tenyeh-tenyeh lagi hidung sambil memandang lelaki itu meminta simpati.
“Boleh tolong hantar saya balik? Saya ada benda nak bagi kat awak ni.”
“Barang apa?” Jeleas benar bunyi teragak-agak.
“Ada kat bilik.” Sengau suaraku, masih menenyeh-nenyeh hidung.
“Boleh tak? Lagipun bilik saya tu jauh sangatlah. Tak larat betul nak berjalan, rasa macam nak pengsan aje ni.”
Dia diam. Entah apa yang dia fikirkan, aku tak tahu. Tapi tak kisahlah. Aku terus menunggu dia masuk ke dalam jerat. Kalau berjaya, bermakna lepas ni bolehlah aku gelak sebesar-besar yang boleh.
Tak sabar nak tengok muka bengang dia!
Dia nampak seperti mahu mengangguk, tapi belum sempat bersuara tiba-tiba dia bersin. Aku tahan gelak yang nyaris pecah. Hehe... jerat dah nak mengena.
“Awak pun tak sihat jugak ke?” soalku pura-pura terkejut. Dan dia bersin lagi. Dia mengangguk sedikit sambil menekup hidung dengan tangannya.
“Boleh tak awak balik sendiri? Saya tak larat ni.” Lemah suaranya.
“Dah pergi klinik?” Aku buat-buat kesian.
Dia menggeleng.
“Lah... kenapa tak pergi? Habis tu tadi macam mana awak jawab soalan kuiz?”
Dia menggeleng sedikit.
“Tak berani skip kelas. Dengan Prof. tu susah sikit nak nego.” Makin lemah suaranya.
“Oh... eh, tapi takpe.” Pantas aku selongkar beg, cari bungkusan chewing gum. Jumpa. Aku hulur pada dia.
“Ambiklah ni, biar rasa berangin sikit.”
Dia menggeleng.
“Tak apalah. Saya tak makan benda tu.”
“Alah... ambiklah, saya ada banyak ni.” Kuhulur lagi padanya.
Dia terdiam. Mungkin dia rasa aku ini mengganggu, dan dia pula mahu segera pulang untuk berehat, akhirnya dia mengeluh. Dia sambut huluran aku, tarik sekeping chewing gum.
Tiba-tiba melompat seekor labah-labah palsu. Melekap di atas jarinya.
“Ya Allah!” Spontan tercampak labah-labah ke arahku. Meledak gelakku waktu itu juga.  Lawak gila muka dia!
“Nur Farisya!!!” Hah, ambik kau! Sekali nama penuh dia pekik. Mujur tak disebutnya nama bapak aje.
Merah padam mukanya memandangku. Aku tergelak lagi. Kepingan chewing gum di atas tar aku kutip, kemudian pandang dia semula.
“Pergi klinik, tau?”
Dia ketap gigi. Makin kelakar pula nampaknya. Terpaksa kutahan perut yang senak.
“Dah sihat sangatlah ni?” soalnya tajam.
Aku tak ambil peduli, terus juga tergelak. Sengaja mahu buat dia makin sakit hati. Puas hati aku!
“Kalau macam tu, baik awak aje yang pergi jumpa Prof. Saya tak sihat.” Serius nadanya. Terus aku terdiam.
“Pasal assignment semalam. Kalau awak tak pergi, Prof. akan ingat saya sorang aje yang buat assignment tu.”
Aku terdiam lagi. Pusatkan pandangan pada wajahnya, cuba menilik kalau-kalau terlukis rancangan membalas dendam di situ. Tapi dia masih serius malah mula mengundurkan keretanya.
“Apa-apa hal, jawab sendiri. Saya tak nak ambik tahu.” Dengan ayat itu, dia naikkan tingkap kereta. Aku gelabah.
“Eh, tapi saya kan baru balik dari klinik?”
“Prof. tahu saya baru nak pergi klinik!” laungnya sebelum tingkap kereta betul-betul tertutup.
Aku terdiam. Telan liur.  Habislah aku...


UNTUK kali yang entah ke berapa, telefon bimbit dalam beg menjerit-jering nyaring. Tapi deringan-deringan itu aku biarkan saja. Aku tahu takkan ada sesiapa yang mahu menghubungi nombor ini kecuali Shah. Bunyi yang bising itu pula sudah aku anggap macam dia yang memekik-mekik memanggil nama aku.
Tak boleh langsung tengok orang duduk diam. Ada aje yang nak dikacaunya.
Terbayang-bayang kejadian di kawasan parkir kereta tadi. Aku yang nak kenakan dia, alih-alih aku balik yang terkena. Teruk betul!
Pintu bilik terkuak tiba-tiba, buat khayalanku mati. Segera aku menoleh. Liza menapak masuk, mungkin baru habis kelas. Berkerut dahinya memandangku.
“Bunyi apa tu?” soalnya pelik sambil menggantung beg kuliahnya di dinding.
Soalan Liza memaksa aku segera menyeluk beg. Meraba-raba seketika sebelum menemui butang merah dan menekannya. Telefon berhenti memekik. Senyap sesaat bilik itu. Tapi tidak lama kemudian, bunyi itu kedengaran lagi. Aku mengeluh akhirnya.
“Kau beli phone baru ke?” soal Liza.
Aku kembali menoleh. Dia yang sedang mengeluarkan laptop dari lokar itu kelihatan berkerut dahi memandangku. Aku menggeleng.
“Habis tu?”
“Mamat tu punya...” Penuh malas keluhanku.
Terdiam dia, makin berkerut dahi memandangku. Sesaat kemudian baru dia teruskan kerjanya. Letak laptop atas meja dan menghidupkannya.
“Kau ambik? Kata semalam dah bagi kat orang kaunter tu?”
“Dia duk kenakan aku, Liza. Rimaslah, weh!”
Dia diam.
“Malam tadi phone ni punya pasal, aku jatuh tergolek depan library, kau tahu? Penatlah macam ni.”
“Kenapa tak buang aje phone tu? Kan malam tadi hujan? Engkau balik pukul berapa pun aku tak sedar semalam, ngantuk sangat.”
Kata-kata itu membuatkan aku senyap seketika. Sedikit teragak-agak kali ini.
“Bila fikir-fikir balik, tak sampai hati pulak nak buang phone ni. Duit dalam bank dah tinggal berapa aje. Kalau beli phone baru, alamatnya tak makanlah aku.”
“Tukar nombor.”
Giliran aku membisu.
“Kenapa? Takut dia ambik balik phone tu?”
Teragak-agak aku mengangguk.
“Teruk-teruk mamat tu, dia aje pun yang aku boleh harap. Si Zara dengan Ika tu macam dah lepas tangan aje aku tengok. Lecturer bagi pop quiz, diorang boleh senyap macam tu aje. Tak bagitau aku langsung. Makan hati dibuatnya.”
“Hai, lain aje bunyi?” Nakal nadanya tiba-tiba. Dalam pelik aku memandangnya.
“Apa yang lain?”
Dia tak menjawab sebaliknya tersenyum penuh erti. Aku terdiam, hangat wajah sebaik faham.
“Kau jangan nak fikir bukan-bukan, weh! Mamat tu punya pasallah hidup aku jadi tak tentu arah ni kau tahu!”
“Alah, relakslah. Kalutlah kau.” Dia ketawa.
Aku senyap bersama hati yang mendongkol. Dia tanggalkan tudung dari kepala, sidai di penyandar kerusi. Kemudian dia sendiri duduk di situ.
“Dah tu, kenapa kau tak jawab call tu?” Dia berbalik ke topik asal.
“Malaslah aku. Ada aje yang dia nak suruh aku buat. Dia ingat kalau phone ni dia punya, dia boleh buat sesuka hati kat aku.”
Liza tak segera menjawab sebaliknya tersenyum nipis.
“Jawab ajelah call tu...”
“Hah?” Berkerut dahiku tidak percaya. Selalunya dia yang beria suruh aku selamba asalkan tidak sampai melayan. Sekarang dah berubah? Biar betul dia ni!
“Jawab aje. Final year, kan? Entah-entah memang betul ada hal penting. Kalau tak, takkan dia sanggup call banyak-banyak kali macam tu. Daripada kacau kau, baik dia siapkan kerja dia yang berlambak tu.”
Jawapan Liza amat jauh lari dari kehendakku. Susah betul nak buat keputusan kalau macam ni.
“Jawab aje...” ulangnya, seolah memujuk kali ini. Tapi aku segera mendengus.
“Tak ada apa yang penting pun. Memang dari pagi tadi lagi dia suruh aku jumpa Prof. sebab ada yang tak kena dengan assignment semalam.”
Dia diam, menanti aku meneruskan.
“Tapi aku malas nak pergi. Lantaklah assignment tu.”
Liza senyap. Jelas riak tak setuju pada wajahnya. Aku makin tak puas hati.
“Kau tak nampak lagi ke? Dia hantar assignment tu, konon dia yang buat semuanya. Lepas tu bila jadi apa-apa, dia tak nak bertanggungjawab. Kaki bodek lecturer ke apa dia tu?”
Liza senyap juga. Aku mengeluh keras, semakin kusut dengan segalanya.
“Menyusahkan betul! Menyesal aku ambik dia jadi partner. Kalau aku tahu jadi macam ni, baik aku buat aje sorang-sorang assignment tu. Apa-apa hal pun, aku tanggung sendiri. Tak adalah jadi macam ni!” Terhenti sesaat di situ. Ketap gigi, bengang tak kira.
“Kecik besar, kecik besar aje aku pandang mamat tu, weh!”
Sekali lagi dia tergelak, kali ini hingga tergeleng-geleng kepalanya. Hangat hati aku melihatnya. Entah kenapa, kali ini dia tidak langsung memihak aku.
“Habis tu kau nak buat apa?”
Aku senyap, malas menjawab. Aku tahu, tujuan soalan itu cuma untuk tambahkan lagi sakit di hatiku. Liza menggeleng-geleng lagi, melayan saki-baki tawa.
“Pergi aje, weh. Senyaplah mamat tu nanti.”
Kujeling dia. Balik-balik, aku jugak yang kena mengalah.
“Kalau kau buat derk macam ni, kau ingat dia nak berhenti call? Hah?”
Aku diam.
Come on... dia tu lelaki. Jatuhlah ego dia kalau kau tak buat apa yang dia suruh. Nak-nak pulak, dia tu final year. Engkau baru second year, lagilah tak setaraf!”
“Masalahnya sampai bila aku nak kena ikut aje cakap dia? Letihlah macam ni!”
Liza tersenyum tanpa memandangku. Earphone dicucuk ke telinga.
“Habis aje kerja kau dengan dia nanti, habislah.”
Aku diam. Sukar untuk yakin pada jaminan itu.
“Selagi dia tak melampau, ikut aje apa yang dia nak.”
Aku diam juga. Liza senyap sesudah itu, mula menikmati juadah yang dibelinya di kafe tadi sambil menonton movie di skrin laptop. Telefon bimbit di dalam begku pula terus berdering, benar-benar merimaskan. Dunia rasa semakin sempit untuk aku. Tak tahu dah mana nak pergi.
Bila memikirkan pula kata-kata Liza, lagilah lemah aku rasa. Kepala tengah sakit, badan pulak sengal-sengal. Tapi mamat tu langsung tak teringin nak kesiankan aku. Aku kacau dia sikit aje tadi. Kalau diikutkan, dia yang lebih banyak menyusahkan aku.
Kalaulah aku ada pintu Doraemon, sah aku akan senang-senang lari dari dia. Setiap kali ternampak dia dari jauh, aku boleh cepat-cepat guna pintu tu. Tak adalah bertembung lagi dengan dia.
Tapi masalahnya ini dunia nyata, Farisya! Mana ada Doraemon. Haihh... parah! Makin teruk dah aku ni. Nak pintu Doraemon segala, macam orang tak betul aje.

Ini semua pasal si mamat tak sedar diri punya hal.

No comments:

Post a Comment