Sunday 24 January 2016

Bab 5 : SCARLET CINTA - SHAZE ALMA



Bab 5

B
ILA telefon terus memekik-mekik, akhirnya kupaksa juga diri menekan butang jawab.
“Helo...” Lemah nada, sudah betul-betul malas melayan kerenahnya.
“Helo, Isya...” Lemah juga nadanya, mula terdengar sedikit serak.
Aku diam. Dah bersedia dengan semua kemungkinan.
“Kenapa belum pergi lagi? Dah nak habis waktu pejabat ni, kan?” Ada sedikit kelembutan dalam kata-katanya, buat aku terdiam.
Aku fikir dia akan menjerkah atau memarahi. Sebaliknya pula yang berlaku.
“Boleh tak kali ni ikut cakap saya, Isya?”
“Memang sebelum ni pun saya aje yang ikut cakap awak, kan?” pintasku, mahu menyedarkannya. Dia terdiam, mengeluh berat tak lama kemudian.
“Okey, tapi bukan awak sorang aje yang kena jumpa Prof. sebenarnya. Setiap pasangan kena hantar wakil...”
Aku diam.
“Tolonglah, saya tak laratlah nak bertekak lagi dengan awak.”
Aku diam juga, tak puas hati dengannya. Dia tuduh aku ni suka cari pasal dengan dia? Padahal siapa yang suka buat perangai selama ni?
Tergeleng-geleng kepalaku. Shah... Shah... harap-harap kali ini sajalah aku kerja dengan kau. Tak larat aku dah.
“Okeylah, saya pergi.” Aku mengalah akhirnya, itupun penuh dengan rasa terpaksa.
“Okey.” Dan dia putuskan talian begitu saja.
Aku mengeluh lemah. Nasiblah kau, Farisya.



TIBA di hadapan bilik Prof. Syikin, aku beratur. Masih ramai rupanya yang menunggu untuk berjumpa wanita itu. Entah apalah agaknya yang dia soal. Berdebar pula aku memikirkan.
Bila terkuak pintu dari dalam, aku menoleh. Keluar Zara dari dalam bilik. Berubah terus wajahnya sebaik terpandang diriku. Dia segera mendapatkanku.
“Weh, kau okey tak ni? Kenapa tak pergi kelas tadi? Prof. bagi pop quiz kut!” Laju dia menembakku dengan suara separuh berbisik, enggan berbuat bising di tempat sebegini.
“Tak sihat.” Datar suaraku.
“Tak sihat?”
Aku angguk. Zara sengih penuh erti.
“Shah pun tak sihat jugak tadi. Dua tiga kali aku perasan, asyik keluar kelas aje dia.”
Aku tersenyum sinis. Agaknya waktu keluar-keluar kelas tadilah mamat tu hubungi aku. Ambil berat kononnya.
“Sebab dia tak sihatlah aku yang kena datang.” Malas nadaku menjawab.
“Kenapa? Bukan kau pun tak sihat jugak ke?” Berkerut dahinya.
“Dia nak pergi klinik.”
“Kau?”
“Dah pergi tadi. Aku datang ni pun sebab nak bagi surat m.c. sekali.”
“Bergilir-gilir?” Nampak tak percaya.
Aku senyap, tak suka dengan soalan tu. Tapi tak sangka pula bila aku diam, Zara semakin galak. Makin lebar sengihannya. Dia tumbuk bahu aku.
Caring betul dia kat kau! Bagi partner pergi klinik dulu baru dia pergi, semata-mata sebab tak nak dua-dua miss kelas. Lepas ni, apa yang kau tertinggal, bolehlah dia tolong ajarkan. Sweet gila! Jealous aku!” Bersinar-sinar matanya, teruja. Berdecit kerimasan aku.
“Kau tak payah pandang tinggi sangatlah kat Shah tu, Zara. Buang masa aje.”
“Kenapa?” Nakal soalannya.
Terdiam aku memandangnya. Serius, aku betul-betul tak faham. Dia sendiri tahu Shah tu budak tahun akhir yang dah banyak kali mengulang subjek ni. Rasanya itu dah cukup jelas yang Shah tu tak sebagus mana. Dah tu kenapa dia sanjung sangat mamat tu?
“Kau kalau nak tahu Shah tu macam mana orangnya, lepas ni kau kerjalah dengan dia. Untuk assignment kedua nanti, biar aku couple dengan Ika.”
“Eh, tak nak. Aku bukan macam kau. Kau berani, aku tak!” Bersulam tawa Zara menggeleng.
Aku diam, tak berminat untuk mendengar lagi soal Shah. Perhatianku lebih tertarik pada pintu bilik Prof. yang terbuka dan tertutup. Dua tiga pelajar menyerbu setiap seorang yang keluar dari bilik itu. Cuba merisik, apa yang disoal siasat Prof. Riak yang terpamer di wajah-wajah mereka makin meresahkanku.
Seperti teruk saja mereka dibelasah. Dahlah aku tak tahu satu apa pun yang Shah tulis dalam tugasan tu. Buatnya Prof. pergi tanya yang merepek-repek nanti, mahu ternganga aku. Silap-silap, Prof. terus tuduh kitorang meniru. Terus kosong markah untuk tugasan. Masak aku!
“Kau pakai jampi apa weh, sampai boleh berani macam tu sekali pergi jumpa Shah?”
Perhatian terganggu. Aku menoleh, mengeluh dalam hati. Sudah semakin ramai pelajar yang selesai bertemu Prof. Laluan tengah-tengah di antara bilik-bilik pensyarah ini juga sudah semakin lengang. Tapi Zara masih belum ada tanda-tanda mahu berhenti menyebut tentang mamat yang seorang itu. Runsing aku dibuatnya. Tak penat ke dia?
Seriously, semua orang terkejut bila kau ajak Shah jadi partner.”
Beralih semula perhatianku pada gadis itu. Mendengar saja ayat itu, aku mencebik. Terpaksa juga melayan, dengan harapan akan segera berakhir perbualan ini.
“Dah terdesak sangat.”
“Tapi aku tetap respect kau, Rish. Sebab tu aku jealous bila Shah layan kau macam ni.”
Jealous... jealous. Cuba kau kerja sendiri dengan mamat tu, aku nak tengok. Baru kau tahu berapa banyak belang yang dia ada.
Zara menepuk bahuku.
Good luck. Harap-harap kau boleh jawab soalan Prof. nanti.” Tanpa menanti jawapanku, dia berlalu.
Aku diam saja di situ, tercegat memerhati hingga hilang dia dari pandangan. Kemudian perlahan-lahan aku lepaskan keluhan. Lega, dalam masa yang sama semakin jelek.
Orang kiri kanan aku kagum, kononnya hebat sangat bila dapat berkerja dengan budak tahun akhir. Tapi diorang tak tahu, kerenah si pelajar tahun akhir  yang sorang tulah yang betul-betul menyakitkan otak! Hergh!
“Awak! Yang tudung hitam tu!” Suara seseorang menyentak lamunanku. Pantas aku menoleh.
Seorang pelajar baru keluar dari bilik Prof. Syikin. Melalui pintu yang masih terbuka, kelihatan pensyarah itu sedang memandangku.
“Awak partner Shah, kan? Nur Farisya, kan?” soalnya.
“Saya.” Aku mengangguk.
“Awak masuk,” arahnya serius, walhal ada pelajar yang datang lebih awal dariku. Tapi namaku yang dipanggil dahulu. Resah aku dibuatnya.
Entah apalah yang tak kenanya, sampaikan Prof. boleh hafal nama aku dan Shah. Setahu aku, bukan senang pensyarah nak ambil tahu hal pelajar. Pelajar tertentu saja yang akan diingatnya.
Tidak boleh tidak, aku terpaksa juga mengaku yang aku betul-betul berdebar sekarang. Teruk sangat ke rekod aku dengan Shah?
“Macam mana awak boleh terambil dia jadi partner awak ni? Pelik jugak saya ni sebenarnya.” Terus Prof Syikin timbulkan soal itu sebaik saja aku duduk di hadapannya. Dan nada dia menyoal itu seakan ada yang tidak kena saja.
Aku terdiam. Teragak-agak. Sesaat dua begitu, baru aku menjawab.
“Saya dengan dia aje yang belum ada partner masa tu, Prof.” Perlahan suara bersama rasa tak enak.
“Siapa cari siapa?”
“Mmm?” Berkerut dahiku tidak faham.
“Tak. Siapa yang ajak siapa untuk dijadikan partner?”
“Saya ajak dia.”
“Awak?” pintasnya laju seakan terkejut.
Terdiam aku sesaat dua, menelan liur. Sungguh, rasa nak gugur dah jantung aku ni. Nampak gayanya, bukan pelajar saja yang terkejut bila aku berani-berani mengajak Shah jadi pasangan. Prof. pun nampak betul-betul tak percaya tu.
“Haah. Saya.” Aku mengangguk sedikit, teragak-agak.
“Awak tahu dia final year, kan?” Berkerut dahinya.
“Tt... tahu.”
“Awak tahu siapa dia, kan?”
Soalan itu membuatkan aku diam sesaat, sebelum teragak-agak mengangguk.
“Tahu.” Memang dia pemalas pun, detik hati.
“Tapi saya betul-betul dah tak ada pilihan, Prof. Sebab tu saya ambil aje dia.”
“Reaksi dia waktu awak pelawa dia berkerjasama?”
Aku cuba ingat semula saat itu.
“Dia okey, tak kata apa-apa.”
“Awak pulak? Tak takut berkerja dengan dia?”
Aku terdiam kali ini. Tak tahu apa yang patut kuperkatakan. Takkan aku nak burukkan Shah pada dia. Memang aku tengah hangat tahap lava gunung berapi dengan mamat tu. Tapi untuk jaja keburukan dia pada Prof., rasa tak patut pula. Buatnya Prof. gagalkan lagi mamat tu, terpaksa dia mengulang lagi subjek ni semester depan. Tak pasal-pasal lambat dia graduate nanti. Kesianlah pulak.
“Okey, kenapa awak yang datang? Shah mana? Bukan ke sepatutnya dia yang datang, sebab dia lebih senior?”
Aku tersedar lagi dari lamunan. Prof. sudah beralih topik, mungkin bosan menanti jawapanku.
“Err... dia yang suruh saya datang, sebab dia tak sihat.”
“Tapi tadi awak yang tak datang kelas saya, kan?”
Aku terkelu. Nyaris ternganga. Hebatnya dia boleh tahu pelajar mana yang datang kelas, pelajar mana yang tak. Patutlah Shah beria-ia sangat paksa aku ke klinik tadi. Dia sendiri, walaupun tak sihat, dia tetap paksa diri pergi kelas. Rupa-rupanya Prof ni memang susah nak dimain-mainkan.
Enggan buat dia bosan menanti lagi, aku segera jongket bahu.
“Tak tahu. Dia kata dia betul-betul tak larat, sebab tu saya yang datang.”
Prof. Syikin tersenyum tiba-tiba dengan dahi yang berkerut, seakan tak percaya. Nampak seperti keliru dengan sesuatu saja. Dia menggeleng-geleng kecil, kemudian pandangannya jatuh pada papan kekunci. Menaip semula. Senyap beberapa ketika.
“Bagi ID awak.” Tenang nadanya tanpa mengalih mata dari skrin komputer.
Aku akur pada arahan itu. Bila dia senyap, aku hulurkan surat klinik padanya.
Assignment yang Shah hantar semalam tu siapa buat? Kenapa satu jenis tulisan aje yang saya nampak dalam tu?” soalnya, masih tidak memandangku.
“Err... kami buat sama-sama. Tapi last minute, tiba-tiba Shah dah tolong buatkan yang baru. Mungkin dia nak seragamkan tulisan supaya nampak kemas.” Terkial-kial.
Sungguh, aku rasa seperti sedang disoal siasat saja sekarang.
“Tapi tak lama lepas tu, awak pulak yang hantar assignment.”
Aku terkelu, mula hilang arah. Ah, sudah!
Dia kerling aku. Terangkat sedikit keningnya.
“Boleh saya tahu kenapa?”
“Err...” Mati akal, tak tahu macam mana nak putar belit cerita. Aduh... mati aku!
Tiba-tiba Prof. Syikin ketawa, tergeleng-geleng kepalanya. Aku terdiam. Terkulat-kulat, tak faham apa-apa. Aku ada cakap apa-apa yang kelakar ke?
“Shah... Shah... dia buat lagi perangai macam tu.” Dan dia tertawa lagi.
Aku diam.
“Awak sabar ajelah dengan kerenah senior awak tu. Kuat bergurau dia tu.”
Aku terdiam lagi, masih tak faham. Prof. Syikin senyap sesudah itu. Kuperhati saja kesibukannya. Tidak lama kemudian, baru dia berhenti menaip. Kembali memandangku, kali ini bersama-sama senyuman nipis di bibir.
“Okey, saya dah key in markah bonus untuk awak.”
Aku tersentak, nyaris terjojol biji mata. Serius? Betul ni?
“Itu aje. Panggil kawan yang lain masuk.”
Serius, ini saja sesi soal siasatnya?
“Kenapa pandang saya macam tu?”
Aku tersedar lantas tersengih dan menggeleng. Malu.
“Tt... tak ada apa-apa. Terima kasih, Prof.” Serentak itu aku bangun.
“Sebab awak berani datang jumpa saya.”
Wah... kembang hati aku mendengarnya. Ini yang tak sabar nak beritahu Shah ni! Biar dia cemburu sikit. Ni yang best ni!
“Farisya.”
Terbantut tanganku yang mahu memulas tombol lantas berpusing semula.
“Ya?”
“Ambil ni.”
Aku terkelu, lagi-lagi bila terlihat telefon bimbit di tangan Prof.
“Saya boleh dapat balik phone saya?” Cuba memastikan benar sangkaanku.
“Lain kali senyapkan phone sebelum masuk kelas saya. Kalau tak, saya takkan pulangkan dah handphone awak ni.” Ada ketegasan yang terselit dalam suaranya.
Aku segera mengangguk tanda faham. Kuatur langkah ke arah Prof. Telefon bimbit di tangannya kucapai. Ya Allah... tak sangka aku boleh dapat kau balik phone. Hadiah dari Abang Mi sempena SPM aku ni.
“Terima kasih, Prof.”
Dia mengangguk sedikit. Aku tidak menunggu lagi di situ. Pantas saja berpusing dan terus keluar. Telefon yang kehabisan bateri itu kusimpan dalam beg. Seronok tak terkata. Makin tak sabar nak beritahu Shah!
Telefon Shah di dalam beg kuambil, kudail nombornya.
“Helo.” Lemah suaranya di hujung talian.
“Helo! Shah! Cuba teka, kenapa saya call awak ni.”
“Entah.” Malas saja bunyinya. Tergelak aku dibuatnya.
“Prof. bagi markah free pada saya...”
“Ye ke?” Seakan tertarik.
“Haah! Rugi awak tak pergi jumpa dia tadi.”
“Dah tu, kenapa call saya?” Bernada malas semula. Buatkan aku tersenyum nakal.
“Saja... saya cuma nak bagitau awak, jangan malas-malas lagi dah. Lepas tu, jangan suka sangat buli orang, sebab nanti awak balik yang akan kena.”
“Berapa aje markah free yang Prof. bagi sampai awak nak berlagak sangat ni?” Lain saja nadanya, memecahkan lagi gelakku.
“Kenapa saya rasa macam ada haba dekat telinga saya ni? Awak tengah berapi ke tu?”
Dia diam. Aku tahu dia tengah bengang. Heh, memang ini pun yang aku nakkan. Dah banyak sangat dia buat hidup aku tak tentu arah. Sekarang biar dia pulak yang rasa. Baru puas hati aku.
“Hah, ni lagi satu. Prof. baru aje pulangkan phone saya, tau?”
“Apa masalahnya dengan saya?” Serius pintasnya. Makin aku rasa nak tergelak. Bertambah seronok pulak rasanya dapat buat mamat ni sakit hati.
“Bila awak free, Shah? Saya nak pulangkan phone awak ni.”
“Bagi kat kelas ajelah.”
“Bila? Minggu ni kan dah habis kelas kita dengan Prof?”
“Minggu depan.”
No! Mesti hari ni jugak, sebab saya tak nak awak call  saya lagi dah.”
“Yang awak beria sangat nak jumpa saya ni kenapa?” Dia mengeluh geram tiba-tiba.
“Isy, orang nak pulangkan phone ni ajelah!”
Dia senyap.
“Bila, ek? Saya tak sabar ni nak jumpa awak.” Kutekan perkataan jumpa, sengaja mahu menyakitkan hati. Kemudian aku ketawa dengan kata-kata sendiri.
“Awak kat mana ni?” keluhnya, mengalah akhirnya. Sudah rimas mungkin.
Makin lebar senyumanku. Seronok tak terkata. Bila pulang saja telefon bimbit ini pada tuannya nanti, bererti selepas ini aku dah tak ada apa-apa ikatan lagi dengan dia. Wah, leganya!
“Helo, dengar tak ni?”
“Kat depan bangunan fakulti.” Cepat-cepat aku menjawab.
“Okey.” Dingin dan malas.
“Tapi tak apa, kita jumpa aje kat kafe. Tak adalah jauh sangat awak kena berjalan. Awak pun tengah tak sihat tu, kan?” Pura-pura mengambil berat, sedangkan suaraku penuh dengan nada menyindir saja.
“Boleh, Shah?”
“Mmm...” Hambar. Bila dia mahu menamatkan talian, aku teringatkan sesuatu.
“Eh, nanti dulu, Shah!”
“Apa lagi?” Malas dan penuh bosan bunyinya.
“Lagu apa yang awak jadikan ringtone kat phone awak ni?”
Dia terdiam.
“Lagu apa, Shah?”
“Kenapa?” Lambat-lambat dia menyoal, seolah mencurigai sesuatu.
“Bila dah banyak kali dengar intro dia, tiba-tiba rasa sedap pulak lagu tu.”
“Awak boleh cari sendiri, kan? Lagu tu ada aje kat dalam phone tu.”
“Malas nak selongkar sangat phone awak ni. Nanti kalau rosak, saya jugak yang susah.”
Unfinished.” Dia mengeluh malas akhirnya.
“Artis?”
“X Japan.”
“Mmm?” Pelik aku. Artis mana tu?
Band rock dulu-dulu, awak tak kenal.”
“Oh...” Mengangguk-angguk. Minat rock rupanya mamat ni.
“Tapi intro Unfinished  tu...”
“Itu bukan intro lagu, itu solo dia,” pintasnya.
“Ohh... tapi kenapa lagu tu macam tak ada bunyi rock pun? Macam lagu slow aje?”
Dia berdecit tiba-tiba. “Awak ingat lagu rock ni cuma satu jenis aje ke?”
Aku terdiam lagi. Mencebik, jengkel dengan sikapnya. Waktu nak, dikejar-kejarnya aku sampai ke lubang cacing. Bila dah tak nak, buang macam tu aje. Bertuah betul.
Ah, tapi tak kisahlah! Asalkan aku tahu itu lagu apa, boleh bluetooth ke handphone aku, dah cukup. Tak payah tahu lebih-lebih pun tak apa.
“Dah? Ada lagi?” soalnya setelah agak lama aku senyap. Serius saja.
“Tak.”
Dia senyap. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia putuskan talian. Aku diam juga dengan rasa menyampah. Tapi sesaat kemudian, tersungging semula senyuman di bibirku. Puas. Bila dia nampak semacam rimas dikejar, aku rasa makin seronok pula.

Memang ini yang aku tunggu selama ni, kan?

No comments:

Post a Comment