Sunday 17 January 2016

Bab 6: BILA PAPA JATUH CINTA - CIK D


BAB 6
Kalau sungguh sudah beristeri, kenapa wajah lelaki itu suram saat dia bercerita yang dia mahu mendirikan rumah tangga? Atau masih tersimpan perasaan lelaki itu untuk dia? Dinie belum berhenti untuk berfikir.
Dasar lelaki, tak pernah cukup seorang isteri! Bentak Dinie kecewa. Masih berdiri di sisi Myvi putihnya, tak terus masuk ke dalam perut kereta.
Apa kecil sangat dunia ni, sampai dia perlu bertembung banyak kali dengan lelaki itu dalam tempoh satu minggu. Ini semua takdir atau bala! Fikir Dinie tak sudah, baik-baik mampu menghindar perasaannya pada lelaki itu, kini terbit semula rasa yang selama ini sukar untuk dia lenyapkan.
Buang masa fikir fasal orang yang tak sedar diri macam pak cik tu. Fikir la sikit, umur tu bukan muda lagi, tapi nak juga buat perangai dekat public! Semua itu cuma menambah rasa meluat Dinie dengan sikap Dhani yang tak pernah berubah. Fikirnya tempoh empat tahun itu sudah cukup untuk memberi ruang lelaki itu berubah menjadi lebih baik, rupanya…
“Semakin nakal!” jengkel Dinie lagi.
Fikir pegang tangan, usap-usap dagu depan orang tu, comel? Konon romantik, romantika di Tampoi adalah! Marah Dinie belum habis. Memeluk beg sandang, sebelum tercari-cari kunci kereta di dalam poket jeans.
Dengan hati berbuku geram, punat alarm ditekan ganas dan belum pun sempat dia melangkah masuk ke dalam perut kereta, pintu Myvinya sudah ditahan kejap.
Tanpa menunggu lama, dia betindak. Di siku kuat lembaga manusia yang disangka mahu meragutnya itu. Habis disiku, kaki segera diangkat, Dengan jurus yang sumbang langkahnya, tubuh manusia tadi ditendang dari arah belakang sesuka hati.
“Mati kau!” jeritnya kuat. Tanpa menoleh, segera menutup pintu keretanya. Cuba meloloskan diri.
Dalam keadaan kelam-kabut, pantas dikunci pintu. Enjin kereta segera dihidupkan, sebelum kepala terkalih menyaksi lelaki yang separuh terbongkok, menahan bawah perutnya yang senak akibat tendangannya tadi.
“Ya Allah? Encik!?” jerit Dinie dari dalam kereta. Membuka semula pintu Myvi, segera mendapatkan Dhani yang pura-pura kesakitan.
“Dinie sangka encik peragut. Maaf, Dinie tak sengaja.” Beriya dia memohon maaf. Kedua belah tangan diangkat tanda dia bersungguh.
“Sakit dekat mana? Encik nak Dinie buat apa sekarang?” cemasnya lagi, tunjuk yang dia risau melihat Dhani kesakitan.
Lelaki itu senyum lagi. Sungguh, dia rindukan suara manja itu menyerunya begitu.
“Encik…” Dinie menyeru lagi. Mengharap Dhani sudi bersuara. Memaafkan ketelanjuran tingkahnya tadi.
“Dinie betul tak sengaja.” Dia berdiri tegak dengan muka bersalah. Mengharap Dhani yang masih memegang perut berkata sesuatu.
“Dinie...”
“Okey. Sikit,” potong Dhani perlahan, tak mahu Dinie terus dengan rasa bersalahnya.
“Betul okey?” Beriya Dinie bertanya lagi. Ikutkan hati, mahu turut sama merasai kesakitan lelaki itu.
“Okey. Tapi…kalau saya mandul lepas ni, saya perlu cari Dinie, Dinie yang perlu bertanggungjawab.” Dhani bersuara serius, tepat membawa pandangan gadis itu ke arah tempat tendangannya tadi.
Ha? Kena dekat situ ke? Dinie tercengang, tak sempat untuk kelip mata. Sungguh, bukan niat dia mahu lelaki itu mandul. Tapi kalau betul lelaki itu mandul sekalipun, bukan urusan dia nak masuk campur kut!
“Dinie bawa encik ke hospital? Dinie hantar?” tanya Dinie lagi. Berjalan selangkah mendekati lelaki tersebut.
Dhani tersenyum separuh kembang. Tahu gadis itu menyangka dia benar-benar sakit.
“Tak apalah. Sikit jer. Kalau serius, esok saya jumpa pakar sakit tuan,” balas Dhani selamba.
Pakar sakit tuan? Berpinar biji mata Dinie. Membayangkan betapa seriusnya apa yang dilakukannya tadi.
“Sorry…” Suaranya lepas lambat-lambat. Dia tundukkan wajah. Sungguh, kalau tak kerana terkejut dia takkan bertindak begitu.
“Okey. Saya okey.”
Alun suara Dhani yang sentiasa menggetarkan jiwa lukanya. Dan layanan lelaki itu, kenapa masih sama seperti empat tahun dulu!
‘Sedar Dinie. Lelaki ni sedang bahagia dengan pilihannya. Lupakan semua kenangan bersamanya, kau tak berhak untuk simpan namanya lagi.’ Peringatannya sendiri. Jadi sebu hati bila dipinta untuk menafi begitu.
“Err…encik boleh drive ke?” Dinie masih serupa tadi, risau melihat aksi Dhani yang pura-pura kesakitan.

“Boleh drive, tapi slow-slow. Dinie follow saya? Takut kalau-kalau saya pengsan dalam perjalanan nanti.” Dhani berhelah. Walhal bukan sakit mana pun disiku gadis itu tadi. Dan apalah sangat tendangan gadis yang menyarung jellyshoe di kakinya tu. Kesakitan olok-oloknya itu cuma sekadar umpan untuk dia kembali dekat dengan gadis licik itu.


No comments:

Post a Comment