Saturday 27 February 2016

Bab 1 : KAHWIN KAMPUS - AIN KAMALIA


Bab 1

“KENAPA akhir-akhir ni susah sangat nak ajak Ika keluar? Memang betul-betul sibuk ataupun sengaja nak mengelak daripada abang?” Soalan pertama daripada Abang Faez buatkan aku rasa nak garu kepala.

Pertamanya memang aku sibuk pun. Nak final exam kut. Yang keduanya aku rasa segan. Abang Faez seorang yang bekerjaya. Selari dengan jawatan dan pendapatan dia itu, gayanya memanglah macam orang yang ada-ada. Sedangkan aku ini memang sempoi habis. Itu yang kadang segan aku nak keluar dengan dia.

“Kenapa Khayra tak ikut?” Abang Faez tanya perihal Khayra merangkap chaperone setiap kali aku berjumpa dengan dia. Memang sengaja aku angkut Khayra tiap kali keluar dengan Abang Faez.

“Dia nak studi. Nak final exam, kan?” Aku ulang balik perihal peperiksaan akhir yang memang sudah selalu aku ulang-ulang ketika kami berbual di telefon mahupun ketika ber-WhatsApp. Takkan tak faham-faham lagi kut?
Kali ini hendak tak hendak aku terpaksa juga naik kereta dia. Sebabnya dia dah bukakan pintu kereta itu luas-luas sambil buat muka penuh mengharap dekat aku. Ishk... itu yang aku jadi tak sampai hati itu!

“Kita nak pergi mana ni?” Aku tanya sebaik kereta mula bergerak. Tali pinggang keledar aku pakai.

“Ika nak pergi mana?” Soalan aku dibalas dengan soalan. Ishk, boleh ke kalau aku jawab nak balik bilik saja. Aku malas nak keluar sebenarnya.

“Entah.” Sepatah saja aku jawab. Memang itu yang ada dalam kepala aku kini. Aku tak ada cadangan hendak ke mana-mana. Lagipun bukan aku yang ajak keluar.

“Macam tak ada mood aje? Kenapa? Tak suka jumpa abang?”

Aku pandang sekilas wajah dia yang sedang memandu. Nasib baik riak wajah dia normal saja. Takut juga kalau-kalau dia terasa dengan layanan dingin aku ini.

“Taklah, Ika serabut sikit. Nak final exam, kan?” Aku tekan sebutan perkataan exam tu. Manalah tahu dia tak perasan yang awek dia ini sedang berjuang di medan peperiksaan, demi masa depan.

“Abang tahu Ika nak final exam. Sebab itulah abang nak menghiburkan hati Ika supaya tak stres sangat. Lagipun last minute macam ini kalau paksa diri belajar
payah nak masuk. Ika tenang aje, abang yakin Ika boleh jawab semua soalan dengan cemerlang. Percayalah!”

Amboi, cara menjawab itu macam aku berkongsi otak dengan dia pula. Dia tak tahu ke aku ini memang jenis orangnya yang suka buat kerja saat akhir?. 

Entahlah, memang stail aku macam ini kut. Stail merbahaya. Tapi setakat ini baik-baik sahaja. Keputusan peperiksaan aku boleh tahan walaupun aku selalu belajar saat akhir. Alhamdulillah.

“Terima kasihlah sebab nak menghiburkan hati Ika. Mudah-mudahan hilanglah stres bila balik nanti!” Aku jawab dengan tak ikhlas ini tahu? Serius aku rasa tak seronok keluar waktu macam ini.

Kita orang jalan-jalan sambil sembang kosong dalam Alamanda. Sementara nak tunggu waktu maghrib dan lepas itu nak makan di Hotel Everly yang terletak di sebelah Alamanda. Abang Faez tempah bilik di hotel ini, malas nak balik rumah katanya sebab papa dia tak ada. Entahlah, pelik punya perangai. Daripada membazirkan duit untuk bayar bilik hotel baik balik saja rumah.

“Lepas makan apa kata kita tengok wayang?” Abang Faez cakap sambil angkat-angkat kening pandang aku.

“Tak naklah!” Cepat saja aku jawab. Makan malam dah berapa lama. Tengok wayang berapa jam pula. Habis itu bila aku nak balik?

“Semua tak nak. Kalau perempuan lain, tak sempat abang nak ajak. Berlumba-lumba angguk kepala!” Walaupun Abang Faez cakap sambil sengih tapi hati aku tersentap juga. Aku tak dapat tangkap sama ada dia memang maksudkan kata-katanya ini ataupun hanyalah gurauan semata-mata.

“Sorry... abang tak patut cakap macam ni. Abang bergurau je tadi. Jangan ingat serius pulak!” Mujur tak lama selepas itu dia cakap macam ini. Terpujuk sikit hati aku ini.

“Nasib baik abang bergurau je, kalau betul tadi memang bye-byelah!” Aku cebik pandang dia.

“Amboi, senangnya nak bye-byekan abang? Rasanya Ika ni memang tak sayang abang, kan?” Dia cebik balik pada aku.

Aku hanya mampu ketawa sahaja. Aku sayang dia. Walaupun ucapan itu tidak terzahir melalui perkataan namun jauh di sudut hati aku memang sayangkan dia. Abang Faez lelaki pertama yang berjaya mencuri perhatianku. Melalui dia, aku kenal erti kasih dan sayang antara lelaki dan perempuan. Atau boleh ke kalau aku katakan, dia yang mengajar aku erti cinta?

Sudah lama kami berkawan, semenjak aku dalam tingkatan empat lagi. Kami berkenalan di rumah nanny. Waktu itu hari raya. Kebetulan, Abang Shah jemput kawan-kawan dia ke rumah dan Abang Faez adalah salah seorang daripadanya.
“Jom pilih cincin!” Aku berdiri sebelah Abang Faez yang berhenti di depan sebuah kedai barang kemas.

“Pilih cincin? Nak buat apa?” Soalan tak berapa cerdik aku dah keluar.

Aku agak dia nak ajak aku pilih cincin tanda kut. Takkan cincin tunang? Ishk... apa aku merepek ini? Entah-entah dia nak pilih cincin untuk hadiah hari jadi kakak dia tak? Ala...

“Abang belikan Ika cincin nak tak?” Bersinar mata dia pandang aku.
Mulut aku nak sangat jawab ‘nak’ tapi aku malu-malu kucing. Kalau dia beli sahaja tak perlu tanya pada aku kan best! Dah tanya macam ini, malulah aku mengaku nak. Kenalah buat jual mahal. 

Maka aku menggelengkan kepala walhal dalam hati aku nak angguk laju-laju. Aku dah siap jeling cincin mana satu yang menawan kalbuku. Cett...

“Ala, dah nak maghrib... kita pergi sebelahlah. Nanti lama pula kalau pilih cincin. Lain kalilah!”

Eloklah itu, dia tanya dia jawab. Merudum terus keterujaan aku nak dapat cincin percuma.

Abang Faez terus berjalan mendahului aku lepas tengok jam tangan dia. Laju sahaja dia melangkah, sampai aku terpaksa berlari-lari anak mengejar dia. Tahulah dia tinggi lampai, kaki pula panjang. Memang pantaslah dia melangkah. Kasihanlah sikit pada aku ini. Sikit lagi aku dah nak kena berlari-lari emak!
“Ika tunggu abang kat lobi ya. Abang naik bilik kejap.” Pesan dia dan selepas itu dia tinggalkan aku di lobi.

Awat yang kalut sangat nak naik bilik itu? Tahulah nak menunaikan solat maghrib tapi belum masuk waktu kut. Gaya berjalan tadi macam kena kejar hantu saja. Jangan-jangan dia sakit perut tak?

Hurm... elok juga aku melepak di lobi ini sekejap. Aku bukannya tak nak pergi surau dan bersolat tapi aku sedang ABC (Allah bagi cuti). Maka aku ambil keputusan hendak meninjau suasana persekitaran hotel ini.

Baru aku nak melingaskan mata sambil santai duduk di sofa mata aku terpandang seseorang yang memang aku kenal sangat. Ya Allah! Macam mana ini? Kenapa ayah ada di sini? Dengan kaki yang sedikit menggigil aku gagahkan diri untuk berdiri dan senyum kepada ayah yang sedang menghampiri. Seriusnya muka ayah masa ini tak dapat nak dibayangkan.

“Assalamualaikum, ayah.” Dengan suara seceria mungkin aku beri salam.

“Waalaikumsalam! Ika buat apa dekat sini?” Rupanya bukan muka ayah sahaja yang nampak serius, nada suara ayah pun sama. Hati aku dah berdegup kencang.

“Ika nak makan malam dengan kawan.” Aku kawal suara agar ayah tidak dapat mengesan kegugupanku.

“Makan malam? Dengan siapa?” Kali ini ayah pandang sekeliling.
“Dengan...”


“Dengan siapa?”


“Ika datang dengan Abang Faez!” Spontan aku terjawab sebab aku takut

dengar suara tegas ayah tadi. Kali ini aku tengok muka ayah merah. Ayah pejamkan mata seketika dan lepas itu dia panahkan pandangan tajam matanya ke arah wajahku.

“Balik!”

“Tapi Ika dah janji dengan Abang Faez nak tunggu dia di sini!” Aku serba salah.
“Ayah kata balik, balik! Jangan sampai ayah heret Ika ke kereta.” 

Aku rasa malu sebab ada dua tiga orang yang memandang. Dahlah di sofa hujung sana itu ada kawan-kawan sekerja ayah. Aku cuma berharap dia orang tak nampak ketika aku berjalan masuk dengan Abang Faez tadi.

Dengan hati separuh rela aku ikut langkah ayah. Kepada Abang Faez aku cuma mesej dan beritahu aku kena paksa balik dengan ayah. Sungguh tak bernasib baik aku terserempak dengan ayah di sini. Kecilnya dunia ini.

DI DALAM kereta tak sepatah pun ayah bercakap. Aku lagilah, menikus terus. Sampai sahaja di rumah, ayah terus masuk dalam bilik. Mandi dan bersolat maghrib. Aku ambil kesempatan ke dapur dan intai apa yang ada dalam peti ais. Aku nak masak untuk makan malam. Melepas peluang aku nak makan sedap di hotel. Alahai...

Aku hidang makan malam atas meja. Ayah belum keluar lagi dari dalam bilik sejak balik tadi. Tertidur ke? Aku pun duduk kat sofa di ruang tamu dan hidupkan televisyen.

Buletin Utama di TV3 baru habis sewaktu ayah keluar dari bilik. Kami saling berpandangan. Aku ukir senyum segaris, tapi ayah tak balas pun senyuman aku. Ala... ini yang aku tak suka. Ayah selalunya suka bergurau dan mengusik. Apabila ayah tunjuk muka serius macam ini aku tak suka. Tak suka! Tak suka!

“Ika dah siapkan makan malam. Jom kita makan ayah?” Aku pelawa ayah makan. Perut aku dah jenuh berkeroncong ini. Ayah cuma anggukkan kepala sambil terus melangkah ke meja makan.

Kami duduk saling berhadapan di meja makan. Hati aku berdebar semacam saja ini. Berani-berani takut nak bertentang mata dengan ayah. Selama aku hidup di dunia ini, belum pernah lagi aku kena marah kaw-kaw dengan ayah. Tapi serius, ayah nampak lain sangat malam ini. Gaya macam nak makan orang pun ada. Hilang selera makan aku dibuatnya.

“Kenapa sikit sangat ambil nasi? Tak lapar ke?” Ayah tanya sambil pandang nasi atas pinggan depan aku. Sesenduk sahaja nasi yang aku ambil.

“Nanti boleh tambah.” Aku jawab sambil gaul nasi yang disiram dengan kuah lemak labu. Aku masak ikan kembong sambal dan pekasam goreng juga. Cukuplah lauk ringkas begini untuk kami berdua.

“Sedap masakan Ika, dah bertambah pandai di dapur. Dah bersedia nak berumah tangga ke?” Aku terkedu dengar soalan ayah. Serta-merta muka aku rasa panas. Ayah tengah perli aku ke ni?

“Agaknya Faez tu bakal menantu ayah, ya?” Ayah sambung cakap apabila aku mendiamkan diri.

“Ika tahu kan, ayah tak larang Ika berkawan dengan sesiapa sahaja. Asalkan baik budi pekertinya. Tapi setakat berkawan sahajalah. Jangan sampai melibatkan soal hati dan perasaan. Ayah tak suka!”
Gulp, aku telan air liur.

“Tapi Abang Faez tu, ayah dah kenal dia lama, kan?” Nak tergeliat lidah aku menyusun ayat. Paling malang aku tersebut ‘Abang Faez’. Alamak!

“Belum masanya untuk Ika bercinta! Belajar pun belum habis, ada hati nak bercinta!” Ayah jeling tajam kat aku.

Cara ayah bercakap ini, macamlah dia tak pernah muda. Tak pernah masuk universiti dan bercinta masa belajar. Bukankah ayah dengan emak dulu kenal semasa di universiti lagi? Kalau aku tak berkawan dengan sesiapa sampailah habis belajar ada kemungkinan kut aku akan jadi andartu.

‘Sportinglah sikit ayah,’ aku cakap dalam hati. Gila nak cakap terang-terang, juling mata ayah jeling aku nanti!

Ayah tarik nafas panjang dan pandang aku. Tangan dicelup dalam mangkuk air basuh tangan. Aku pun dah berhenti makan. Adalah dua suap yang berjaya aku suap ke mulut.

“Ayah tak suka budak Faez tu. Tak hormat orang tua! Tak jujur dan dia tak sesuai untuk Ika!” Ayah cakap sambil bangun dan menuju ke singki. Basuh tangan sekali lagi.

“Mana ayah tahu?” Aku ikut ayah ke singki.

“Ayah ni orang tua Ika. Sekilas ikan di air ayah sudah tahu jantan betinanya! Ayah lebih dulu makan garam daripada Ika.” Ayah renung aku.

Memanglah, aku tak nafikan ayah lebih dulu makan garam daripada aku. Tapi aku lebih dulu makan pavlova daripada ayah tahu!

“Tapi tak adil ayah buat kenyataan macam ni. Ayah tak kenal pun Abang Faez tu. Baru sekali je ayah pernah berjumpa dengan dia, kan?” Aku kenalah pertahankan Abang Faez. Takkan senang-senang saja ayah nak labelkan dia dengan macam- macam gelaran yang ayah sebut tadi!

“Sudahlah Ika. Ayah tak mahu cakap fasal Faez lagi dah. Ayah nak Ika dengar nasihat ayah ni. Lupakan dia! Dia tak sesuai buat Ika. Dia bukan lelaki yang baik.”

“Tapi ayah, Ika sayang dia!” Terlancar perkataan sayang daripada mulut aku. Nak tarik balik memang dah terlambat sebab aku tercakap kuat. Ayah berpaling pandang kat aku dengan muka merah.


“Sayang? Mana Ika lebih sayang, ayah ataupun dia?” Ayah tanya sambil bercekak pinggang. Aku terus ternganga.

“Kalau Ika masih sayang dan ada rasa hormat kepada ayah, lupakan budak tak guna tu!” Selepas cakap macam itu ayah terus berlalu ke ruang tamu, meninggalkan aku terkulat-kulat seorang diri berdiri di dapur.

‘Budak tak guna tu?’ Kasarnya bahasa ayah. Double terkejut aku dibuatnya.
Walaupun aku ini taklah sopan mana dan bersikap gila-gila juga kadang- kadang, tapi perkataan kasar macam itu untuk disebut antara aku dengan ayah macam... macam... tak pernahlah! Wah, ayah betul-betul maksudkan ke apa yang dia kata? Garu kepala aku dibuatnya. 

1 comment:

  1. Yeayyyy... nak pergi beli novel ni hari ni. Nak jumpa Ain Kamalia...

    ReplyDelete