Saturday 27 February 2016

Bab 5 : KAHWIN KAMPUS - AIN KAMALIA


Bab 5

AKU turun ketika Abang Shah siap parkir kereta di Bulatan Dataran Masjid Putra. Rupanya di sini ramai keluarga yang membawa anak masing-masing. Boleh sewa basikal, kasut roda dan juga skuter yang menggunakan bateri serta kereta mainan kanak-kanak.

“Sewa basikal nak?” Abang Shah tanya pada aku yang sedari tadi sedang ralit memerhatikan kanak-kanak yang riang menjalani aktiviti di sini.

“Tak naklah...” Aku menggeleng. Aku tak ada mood nak buat apa-apa pun malam ini.

“Tunggu abang kat sini ya.” Selepas cakap macam itu, dia terus berlalu. Aku tengok sahaja langkah Abang Shah menghampiri tempat menyewa basikal. Kata di Tokyo hari-hari naik basikal pergi kampus, takkan kat sini pun teringin nak naik basikal? Poyo betullah dia ini!

Aku geleng kepala sahaja apabila dia menghampiri, siap tersengih sambil kayuh basikal warna biru.

“Jom... naik basikal dengan abang.” Dia berhenti di depan aku. Aku perhati sekeliling memang ramai yang berbasikal di sini. Sebenarnya aku teringin nak naik skuter yang menggunakan bateri itu. Tapi, seganlah pula. Aku pakai gaun labuh hari ini.

“Cepatlah... kita ‘feeling-feeling’ macam drama Korea tu!”

Aku tengah susah hati, dia nak buat drama Korea pula? Kalau lepas naik basikal ini aku boleh pergi bercuti di Korea best la juga!

Apabila aku tak layan maka dia pun mula mengayuh basikal. Jauh juga kalau nak cukupkan satu pusingan ini.

Arghhh... bosannya! Aku lontarkan pandangan ke sekeliling. Orang lain semua ada aktiviti masing-masing. Geng-geng bujang pun ramai yang lepak sambil makan dan berbual-bual. Maklumlah, esok kan hari cuti. Aku saja yang macam kebingungan di sini. Bengong betullah!

“Ika... jomlah. Best tau naik basikal kat sini.” Abang Shah datang pujuk aku naik basikal setelah dia buat satu pusingan.

Disebabkan kebosanan, akhirnya aku mengalah juga. Aku duduk mengiring di carrier belakang dan kemaskan kain labuh yang aku pakai. Abang Shah mula kayuh basikal perlahan-lahan.

“Beratlah, Ika! Mesti berat dosa ni!” Dia cakap sambil berusaha nak mengayuh basikal dengan lebih laju. Aku cubit perut dia.

Tiba-tiba saja basikal itu bergoyang-goyang dan aku terus peluk pinggang dia dengan kedua-dua tangan.

“Romantis, kan? Macam Choi Ji-woo dengan Kwon Sang-woo dalam cerita Temptation tu...”

Aku macam nak ternganga masa Abang Shah cakap macam itu. Tak sangka, dia layan drama Korea betul-betul. Eh, tapi apa nak pelik. Drama Jepun pun dia layan juga, maklumlah dia kan fasih cakap Jepun.

Lama juga kami berbasikal. Berpeluh-peluh juga Abang Shah mengayuh basikal. Aku saja yang relaks sebab aku membonceng. Seronok juga rupanya bersantai di sini, dapat menyedut angin malam yang sepoi-sepoi bahasa.

Lepas itu kami masing-masing sewa skuter sorang satu. Aku tengok tadi ada sorang brader, badan besarlah juga, selamba saja dia naik skuter. Dengan anak-anak dia dua orang. Dia orang sewa skuter sorang satu juga. Yang skuter brader itu naik macam ‘azab’ jugalah nak bergerak. Sah terlebih muatan. Brader itu tinggi tapi agak gempal dan perut buncit.

Aku? Nasib baik aku ini bersaiz sedang-sedang. Badan aku agak slim jugalah walau tak setanding ratu cantik. Jadi, laju saja skuter ini bergerak membawa aku.

Abang Shah dan aku mengemudikan skuter secara bersaing. Kadang-kadang kami berlumba. Tapi aku rasa Abang Shah saja buat-buat kalah, dia nak menghiburkan hati akulah agaknya.

Mujurlah ada Abang Shah. Kalau tak tadi mati kejung aku dalam kereta dengan ayah dan Aunty Siti. Ishk... betul ke ayah nak kahwin dengan Aunty Siti? Aku masih belum dapat menerima kenyataan sebenarnya. Harap-harap ini cumalah andaian aku sahaja.

Aku tarik nafas panjang, tiba-tiba aku rasa cemburu dengan Aunty Siti. Tak fasal-fasal saja. Erm...

Memang aku buat kerja gila malam ini. Aku tak nak balik walaupun dah banyak kali Abang Shah ajak. Sehinggalah pengawal keselamatan yang bermotosikal

itu datang dan mengingatkan yang tempat ini akan ditutup untuk segala aktiviti permainan kerana jam sudah menunjukkan angka lebih jam 12:30 malam.

“Nak minum kat kedai mamak!” Aku buat muka manja pada Abang Shah. Dia geleng kepala sebab dia tahu aku sengaja nak melengahkan masa.

Kita orang minum kat kedai mamak di Cyberjaya. Aku pesan teh tarik dan Abang Shah pesan kopi O. Mesti dia takut mengantuk ketika nak memandu pulang nanti. Maklumlah, dah dekat jam 1 pagi pun sekarang ini. Patutnya aku dah selamat belayar ke pulau impian. Bukannya berada di luar macam sekarang ini.

“Lepas ini kita balik ya?” Abang Shah cakap dengan nada lembut pada aku. Macam pujuk budak-budak saja gayanya.

“Kalau Ika tak nak balik?”

Takpelah kalau tak nak balik. Kita tidur dalam kereta je, kalau kena cekup boleh kahwin free. Tak payah susah-susah dah, tiap malam Ika kena tidur dengan abang!” Dia kenyit mata kat aku.

Hish! Mulut... tak padan dengan mengantuk! 

No comments:

Post a Comment