Saturday 27 February 2016

Bab 6 : KAHWIN KAMPUS - AIN KAMALIA


Bab 6

AYAH belikan aku nasi lemak berlauk pagi ini. Aku teringin juga nak buat sarapan tapi dalam peti ais tak ada bahan mentah. Aku makan nasi lemak sambil ditemani oleh ayah. Dia dah bersarapan dengan kawan-kawan tadi katanya.

“Ayah nak bincang dengan Ika sikit. Fasal Aunty Siti...”

Baru dua suap aku makan nasi lemak berlauk daging rendang ini. Aku letak sudu atas pinggan. Nak fokus dengar kata-kata ayah.

“Ayah dengan Aunty Siti merancang nak berkahwin tak lama lagi.” Akhirnya teka-teki aku berjawab. Yang tak bestnya tekaan aku benar belaka.

“Lagi satu, ayah kena bertugas di Kota Kinabalu tak lama lagi. Dah banyak kali ayah tolak tapi nampaknya kali ni ayah tak boleh menolak lagi. Ayah kena pergi juga Ika.” Tanpa menunggu aku berkata-kata ayah sambung cakap. 

Oh, bagusnya! Ayah nak kahwin dan lepas itu bertukar tempat kerja pula. Jadi, bagaimana dengan aku?

“Ayah dah bincang dengan nanny dan mak long. Ika boleh balik ke rumah mereka setiap kali cuti ataupun Ika boleh ke Kota Kinabalu?”

Aku pun tak tahu nak cakap apa dah. Ayah cuma memberitahu rancangan dia dan bukannya meminta pendapat. Aku hanya mampu dengar sahaja. Tak ada kuasa untuk membantah mahupun melarang.

“Bila ayah nak kahwin?”

“Sebelum ayah bertukar ke Kota Kinabalu.” Ayah pandang aku dengan muka bersinar bahagia. Mungkin ayah sangka aku bersetuju dengan rancangannya untuk berkahwin. Aku bukannya bersetuju, aku bertanya sebab nak tahu perancangan ayah.

“Ayah dah tak ingat arwah mak?” Rasa sebak masa aku cakap macam ni. Selama ini ayah kata dia sayangkan arwah emak. Sebab itu tak sanggup nak kahwin lain.

“Arwah emak Ika tetap ada dalam hati ayah sampai bila-bila. Dia cinta pertama ayah, tak mungkin ayah mampu melupakannya. Tapi Ika... ayah sunyi. Ayah
perlukan teman. Ayah nak kahwin bukan kerana nafsu, tetapi ayah mahukan teman untuk menghabiskan hari-hari tua ayah.”

Ah, alasan! Aunty Siti itu pun pandai. Umur ayah dah nak mencecah 50 tahun. Tak lama lagi ayah pencen, tentu banyak duit yang ayah akan dapat. Bolehlah dia menumpang senang, kan?

“Habis Ika macam mana?”

“Tak ada apa yang berubah Ika. Ika tetaplah anak ayah... masih di bawah tanggung jawab ayah.”

Mudahnya ayah bercakap. Tak ada apa yang berubah? Mana mungkin! Apabila ayah berkahwin lain pasti banyak yang akan berubah. Aku akan dapat emak tiri. Aku akan berkongsi kasih sayang ayah dengan orang lain. Akan ada orang lain yang bakal mendiami rumah ini. Menggunakan barang-barang di rumah ini. Mampukah aku berkongsi hidup dengan orang yang aku tak kenal? Yang aku tidak tahu siapa sebenarnya dia? Perangainya?

Aunty Siti tu kawan lama ayah sewaktu di universiti dahulu. Arwah emak Ika pun kenal dia. Dia pun macam ayah juga, keseorangan dan dia tak pernah berkahwin.”

‘Tak pernah berkahwin? Wah, anak dara la ni... anak dara tua.’ Aku berbisik dalam hati.

Selalu aku dengar kalau anak dara berkahwin dengan lelaki yang dah ada anak macam ayah ini mereka agak susah untuk menerima anak tiri. Yalah, selagi tidak pernah bergelar seorang ibu pastinya mereka tidak dapat menyelami kelembutan hati dan perasaan kasih sayang sebagai seorang ibu. Itu yang ada kes anak tiri kena dera.

Tapi dalam kes aku ini, erm... aku dah besar panjang kut. Takkan pula aku akan didera. Aku tarik nafas. Lelah nak fikir semua ini. Ke aku yang patut dera Aunty Siti itu nanti?

Erm... entahlah! Tapi berita ini memang mampu membuatkan aku jadi terkejut dan susah hati pada masa yang sama.

“Ayah harap Ika setuju, ayah kahwin dengan Aunty Siti...” Perlahan suara ayah, bercakap sambil pandang muka aku.

“Ika juga berharap yang ayah akan setuju Ika teruskan hubungan dengan Abang Faez.” Aku ambil kesempatan menangguk di air keruh. Peliknya muka ayah jadi merah.

“Ika masih berhubungan dengan dia?” Dengan suara tertahan-tahan ayah tanya aku. Hanya anggukan sebagai jawapan.

“Kenapa Ika ni degil sangat?” Kecut perut aku dengar suara tegas ayah.

“Ika bukan degil. Ika harap ayah faham yang Ika sukakan Abang Faez. Dia seorang yang baik. Ayah belum betul-betul kenal dia lagi. Sebab tu ayah tak sukakan dia. Kalau dah kenal nanti Ika yakin ayah akan suka dan terima dia.”

“Terima dia sebagai menantu? Jangan haraplah!” Kuat suara ayah bercakap.

“Bagilah kami peluang ayah. Ika suka Abang Faez macam ayah sukakan Aunty Siti!” Aku main belasah saja cakap. Tapi aku yakin ayah memang betul-betul sukakan Aunty Siti. Alah, tengok cara dia pandang Aunty Siti pun aku dah tahu. Sepanjang masa ayah tersenyum kalau dengan Aunty Siti.

“Susah bercakap dengan Ika ni. Tak faham-faham! Sejak bila pulak jadi degil ni? Dah pandai nak membantah kata-kata ayah? Nak jadi anak derhaka ke apa ni?”

“Ika bukan nak jadi anak derhaka, tapi salah ke kalau Ika nak pertahankan hubungan kami? Ayah... tolonglah beri kami peluang. Tolonglah faham!” Aku dah tahap merayu dah ini. Hilang habis semua perasaan malu aku.

Aku dengar ayah mengeluh. Tersandar di kerusi sambil pegang dahi. Jangan ayah kena heart attack sudahlah. Aku tak nak jadi punca ayah dikejarkan ke hospital. Tak nak jadi anak derhaka. Aku pandang ayah tepat-tepat.
“Panggil Faez datang, ayah nak jumpa dia!”

“Tapi ayah, Abang Faez di Kemaman...” Takkan suka-suka hati aku nak panggil dia ke mari. Bukannya aku ini sultan yang bila-bila masa saja boleh panggil orang datang menghadap.

“Ajak dia datang ke rumah tengah hari ni. Kalau dia ikhlas sukakan Ika dia pasti datang!”

Selamba ayah bercakap sebelum berlalu tinggalkan aku terkulat-kulat di meja makan. Nescafe yang aku bancuhkan langsung ayah tak minum. Aku langsung hilang selera walaupun nasi lemak berlauk daging rendang ini memang sedap rasanya.


PELIKNYA! Apabila aku menghubungi dan beritahu yang ayah mahu berjumpa dan makan tengah hari bersama, Abang Faez terus setuju. Lagi pelik apabila dia sampai di depan rumah sebelum jam menginjak angka dua belas tengah hari. Laju sangat ke dia memandu?

Aku hidangkan minuman dan kek marble di meja kopi. Kami bertiga duduk di ruang tamu. Ayah dah siap beli hidangan untuk makan tengah hari. Aku cuma goreng ayam dan tumis sayur sebagai lauk tambahan.

“Faez kerja di mana sekarang ni?” Itu soalan pertama yang ayah tanyakan setelah masing-masing berbalas sebutan salam dan berjabat tangan.

Aku nampak muka Abang Faez yang kelihatan agak cuak. Pasti dia gementar.
“Kerja dengan syarikat papa di Jalan Imbi.” Aku angkat muka dan pandang dia. Syarikat papa dia? Jalan Imbi? Eh, Jalan Imbi kat Kuala Lumpur la. Bukankah dia bekerja di petroleum plant di Kemaman?

“Dah lama?” Ayah sambung soalan dan kali ini aku pasang telinga betul-betul.

“Sebulan. Sebelum ni saya bekerja di Kemaman. Terpaksa berhenti kerja dan bantu papa di syarikat sebab papa uzur.” Persoalan dalam hati aku terjawab. 
Tapi aku tak puas hati kerana dia tidak memberitahu aku yang dia dah berpindah kerja ke mari. Aku nampak ayah senyum sinis pandang aku.

“Faez dengan Ika ni berkawan yang macam mana?” Ayah pandang tepat wajah dia. Aku boleh nampak yang Abang Faez tak senang duduk. Dalam keresahan. Aku pun sama sebenarnya.

“Ika pergi siapkan hidangan.” Ayah paling kat aku. Ishk... aku nak juga dengar perbualan mereka. Tapi aku akur, takkan aku nak membantah pula.

Rumah teres setingkat yang kami diami ini taklah besar mana. Ruang makan utama bersebelahan dengan ruang tamu, tempat kedua-dua lelaki yang aku sayangi itu sedang duduk. Tak ada masalah untuk aku mencuri dengar.

Cepat-cepat aku siapkan meja. Keluarkan jug air dari peti ais dan letakkan teko basuh tangan atas meja. Lauk-pauk dah siap terhidang di bawah tudung saji. Pinggan dan cawan pun aku dah letak awal-awal tadi. Aku cuma perlu kemaskan lagi susunan di atas meja saja lagi.

Baru gaya nak berjalan ke ruang tamu semula aku nampak Abang Faez dah berdiri.

“Anak pak cik pun taklah sebaik mana. Dia pun keluar dengan lelaki lain juga, kan? Ingat saya tak tahu? Salah ke kalau saya keluar dengan perempuan lain? Saya belum kahwin dengan Ika pun. Kolotlah pak cik ni!” Aku dengar suara Abang Faez melengking kuat.

“Masalahnya kamu tak jujur! Dan bukan sekali dua pak cik nampak kamu keluar dengan perempuan lain. Pak cik tak nak Ika menderita!” Ayah ikut berdiri. Aku pula terpaku di antara ruang makan dan ruang tamu.

“Pak cik boleh jamin dia akan bahagia kalau kahwin dengan orang lain? Sebagaimana pak cik pasti dia akan menderita kalau bersama dengan saya?” Abang Faez tentang pandangan mata ayah dengan penuh berani. Aku nampak muka ayah merah padam.

Kalau berterusan begini aku yakin sekejap lagi Abang Faez kenyang makan penampar ayah. Harus tak jadi dia makan nasi.

“Pak cik nak kamu lupakan Ika...”

“Pak cik tak berhak nak arah-arahkan saya. Kalau tujuan pak cik panggil saya ke mari sebab nak pisahkan saya dengan Ika, pak cik silap besar. Saya akan tetap kahwin dengan Ika walaupun tanpa restu daripada pak cik!” Serentak itu Abang Faez melangkah keluar dari rumah tanpa memandang ke arah aku yang tegak berdiri di sini. Aku yakin dia perasan kewujudan aku di sini.

Aku terpempan. Kaki terasa amat berat untuk melangkah walaupun aku nak sangat kejar Abang Faez dan halang dia dari pergi. Ayah terduduk kembali di sofa.

Astaghafirullah al-Azim, aku beristighfar dalam hati. Apa dah jadi ini? Bagaikan baru tersedar daripada mimpi aku bergegas ke pintu. Kereta Abang Faez dah tak ada. Dia dah pergi.

“Ika! Duduk sini!” Ayah panggil aku dengan suara yang kuat.

Perlahan dan takut-takut aku melangkah ke sofa dan duduk setentang dengan ayah. Mata ayah pakukan ke wajah aku. Tepat lagi jitu. Berganda rasa takut di hati apabila tengok ayah bersikap begini. Bagaikan seekor singa yang mahu membaham mangsanya.

“Faez tu, dia bukan lelaki yang baik untuk Ika... kurang ajar. Tak hormat orang tua!” Ayah cakap dengan nada kecewa.

Tapi aku tak boleh menyalahkan Abang Faez seratus peratus. Tentu ada benda yang ayah cakapkan kat dia sehingga menyebabkan dia naik angin. Selama yang aku kenal, Abang Faez baik orangnya. Tak pernah meninggikan suara dengan aku. Sporting. Sweet talker. Apa masalahnya dengan ayah ini?

“Kalau dia jujur tentu dia beritahu Ika dia dah pindah kerja di KL, kan?”

Aku angkat muka dan pandang ayah sekilas. Mulut aku masih diam, terkunci.


“Dah banyak kali ayah nampak dia keluar dengan perempuan Ika. Dia tak
jujur, ayah tak nak Ika makan hati dan menderita di masa akan datang. Ayah tak boleh terima lelaki macam tu sebagai bakal menantu. Keluarga dia pun ayah tak boleh terima. Ayah tak mampu nak terima!”

“Keluarga dia? Ayah kenal ke dengan keluarga Abang Faez?”

“Lebih daripada kenal! Dan sebab ayah kenallah ayah tak nak Ika teruskan hubungan dengan dia!”

“Tapi kenapa ayah?” Aku tanya tapi ayah hanya menggelengkan kepala. Buat aku tambah keliru.

“Ayah buat Ika bingung!” Aku pun dah naik pening kepala dengan sikap ayah ni. Apa yang tak kena dengan keluarga Abang Faez?

“Tak perlu nak dipertikaikan lagi. Ikut je cakap ayah kalau Ika nak bahagia dunia akhirat. Lupakan Faez... dia tak layak untuk Ika!”

Selepas habis cakap ayah berlalu menuju ke biliknya. Aku rasa macam nak menjerit sahaja. Rasa tak puas hati sebab ayah blah macam itu sahaja. Aku perlukan penjelasan dan bukan dibiarkan berteka-teki begini. Ayah tak boleh harap aku akan ikut cakap dia bulat-bulat! Ah, buntunya!

Sudahnya hari Sabtu dan Ahad itu aku berkurung je dalam bilik. Abang Faez langsung tak menghubungiku. Aku cuba menghubunginya tapi handphone dia masih dimatikan. Dia marah sangat agaknya. Tapi aku ada hantar mesej, minta maaf bagi pihak ayah. Aku harap kemarahan dia reda dan kami boleh berbincang secara baik.

Aku kenal sikap dan perangai ayah. Dia bukan jenis yang mudah naik angin. Ayah seorang yang rasional dan realistik. Pendengar yang baik. Membuat keputusan dengan penuh timbang tara. Jadi apabila ayah bersikap dingin dengan Abang Faez aku benar-benar buntu. Apa salah Abang Faez? Kenapa ayah tak suka dia? Kenapa ya? Soalan yang tidak ada jawapan itu berlegar-legar dalam mindaku. 

No comments:

Post a Comment