Saturday 26 March 2016

Bab 1 : YANG AKU INGINKAN - NANI YUHANNA



BAB 1
LANGKAHNYA penuh gaya. Auranya jelas terserlah. Wajah yang kelihatan tegas dan serius itu tetap kelihatan menarik walaupun tanpa senyuman menghiasi bibir.
            “Good Morning, boss.” Ada suara menyapa sebaik dia melintasi meja setiausahanya.
Morning, Triya.”
Langkahnya terus diatur masuk ke bilik pejabatnya diikuti oleh Triya di belakang. Seperti biasa, itulah rutin setiausahanya.
Briefcase diletak di atas meja dan dia melabuhkan punggung di kerusi empuk.
 “Hari ni Encik Shah hanya ada satu janji temu dengan Encik Rizal daripada Lembayung Properties di Hotel Seri Pacific. Pukul 10.30 nanti.” Triya terus membacakan jadual bosnya untuk hari itu.
            Shahrin mengangguk faham. Walaupun fokus matanya tidak pada Triya namun telingannya mendengar dengan teliti.
            “Okey. Itu saja ke untuk hari ini?”
            “Er… sebenarnya ada satu lagi Encik Shah,” jawab Triya sedikit teragak-agak.
            “Awak cakap satu je tadi?” Shahrin terus memandang tepat ke wajah setiausahanya.
            “Memang ada satu lagi janji temu Encik Shah tapi ini lebih kepada personal matter.” Triya simpan senyum.
            Shahrin angkat kening. Kurang mengerti maksud setiausahanya itu.
            “Tadi Sharifah Nurhaliz ada datang...”
            “Dia nak apa?” Shahrin terus memintas apabila nama Sharifah Nurhaliz disebut oleh setiausahanya.
            “Dia nak jumpa Encik Shah tapi Encik Shah tak sampai lagi. Jadi, dia tinggalkan pesanan minta Encik Shah call dia.”
            “Mmmm.....macam ada hal penting je sampai tak sempat nak tunggu saya masuk kerja,” ngomel Shahrin lebih kepada dirinya sendiri.
            “Itu saya tak berapa pasti. Tapi saya rasa ia tak ada kaitan dengan kerja.”
“Kalau tak ada kaitan dengan kerja apa tujuan dia datang untuk jumpa saya?”
            “Semua orang kenal Cik Sharifah tu. Kalau ada urusan kerja memang susahlah nak tengok senyuman dia. Tapi tadi bibir dia tak lekang dengan senyuman. Mesti ada urusan  lain,” balas Triya dengan tonasi suara berbaur usikan.
            “Hish... ke situ pula awak ni, Triya. Saya dengan Cik Sharifah tu tak ada apa-apa hubungan pun. Hanya sekadar hubungan rakan niaga saja. Lagipun, dia seorang yang profesional. Hubungan business tak akan dicampur aduk dengan peribadi.”
            Shahrin tidak mahu pekerja-pekerja bawahan salah faham akan perhubunganya dengan Sharifah Nurhaliz. Memang Nurhaliz wanita cantik bergaya dan bijak dalam menguruskan perniagaan keluarga. Tapi, hatinya tidak pernah terlintas untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan wanita itu.   
“Saya ni perempuan Encik Shah. Saya boleh nampak apa yang orang lelaki tak nampak. Dan apa yang saya nampak ialah, Cik Sharifah tu macam suka kat Encik Shah.”   
“Dah…dah! Awak jangan nak bergosip pula. Nanti pekerja-pekerja lain dengar, apa pula yang mereka akan cakap nanti,” pangkas Shahrin cepat-cepat. Tidak senang dia mendengar kata-kata setiausahanya itu. Dia tidak mahu terlibat dalam mana-mana gosip sama ada di dalam pejabat atau di luar pejabat.
            Triya senyum sebelum meminta diri untuk keluar. Namun sempat lagi tunjuk beri isyarat jangan lupa call  supaya bosnya tak lupa menghubungi Cik Sharifah.
            Shahrin menggeleng melihat telatah setiausahanya. Tumpuan kemudian beralih pada kerja di atas meja. Pak Idris sudah dimaklumkan awal-awal lagi agar menunggunya di lobi. Tepat pukul 10 pagi, Shahrin bergegas mengemas meja kerjanya dan membawa dokumen penting untuk di bentangkan pada Encik Rizal seketika nanti.
            Ketika Shahrin tiba di ruangan lobi, Pak Idris kelihatan sedang berbual dengan seorang pengawal keselamatan. Melihat dia semakin menghampiri, lelaki setengah abad itu tersenyum mesra dan membuka pintu untuknya.
            Pak Idris mengerling Shahrin dari cermin pandang belakang. Kelihatan anak muda itu begitu khusyuk meneliti dokumen di tangannya. Setelah tiga minggu Shahrin berada di Dubai menguruskan projek di sana, baru hari ini Pak Idris dapat peluang untuk berbual dengan anak muda itu. Malam tadi dia tidak berkesempatan untuk berbual dengan Shahrin kerana anak muda itu sudah tertidur dalam perjalanan ke rumah.
            “Shah tak penat ke baru sampai semalam, hari ini terus masuk pejabat?” Pak Idris saja berbasi-basi. Ada sesuatu yang ingin dia sampaikan pada Shahrin.
            “Penat juga Pak Idris tapi nak buat macam mana dah kerja banyak,” jawab Shahrin. Dokumen ditutup dan dia menyandarkan badan dengan selesa pada kusyen.
            “Kerja sampai bila-bila pun tak akan habis, Shah. Pak Idris tahu Shah sibuk tapi kesihatan pun kena jaga juga.” Pak Idris menegur lembut. Dia tahu Shahrin kepenatan.
            Shahrin tersenyum cuma. “Terima kasih Pak Idris. Saya tak apa-apa. Nanti kalau dah sampai kejutkan saya ya. Saya nak lelapkan mata sekejap.”
            Shahrin sudah membetulkan duduknya. Mencari keselesaan sebelum dia mula memejamkan mata.
            Pak Idris tidak menjawab. Sekali lagi wajah Shahrin dicari melalui cermin pandang belakang. Pak Idris berbelah-bahagi. Dia harus sampaikan berita itu kepada Shahrin. Kalau dia berlengah takut tidak sempat untuk membuat apa-apa persiapan. Memandangkan jadual Shahrin sentiasa padat, Pak Idris takut dia tidak berkesempatan untuk maklumkan pada anak muda itu.
            “Shah, Pak Idris ada benda nak cakap pada Shah. Pak Idris harap Shah tak marah.” Akhirnya Pak Idris memberanikan diri.
            “Cakaplah Pak Idris. Tak adanya saya nak marahkan Pak Idris,” sahut Shahrin dalam keadaan mata masih tertutup.
            “Shah tak jenguk Puan Nia ke? Setahu Pak Idris praktikalnya kat Pulau Sibu dah nak habis dah bulan ni.”
            Demi terdengarkan nama itu, mata Shahrin terus terbuka. Hilang terus rasa mengantuknya. Badan yang tadinya bersandar selesa terus ditegakkan. Pertanyaan Pak Idris tidak terus dijawab sebaliknya dia membuang pandang ke luar tingkap.
Hania! Satu nama yang hampir lenyap dari ingatannya.
            Sudah 3 tahun lebih berlalu semenjak kejadian yang menimpa mereka sehingga terjalinnya ikatan perkahwinan antara mereka. Shahrin masih ingat, setelah selesai majlis perkahwinan yang dilangsungkan secara tertutup itu, dia nekad untuk menghantar gadis itu menyambung pelajaranya di sebuah universiti swasta di kuala Lumpur. Semua yang melibatkan gadis itu dia serahkan kepada Pak Idris. Yang dia tahu, setiap bulan sejumlah wang akan dimasukkan ke dalam akaun gadis itu. Itu saja.
            “Shah… Shah dengar tak apa yang Pak Idris cakapkan ni?” panggil Pak Idris setelah Shahrin menyepi agak lama.
            “Saya dengar Pak Idris. Pak Idris ada jenguk dia tak selama ketiadaan saya kat sini?” soal Shahrin tanpa perasaan.
            Pak Idris menarik nafas lega. Takut juga dia kalau Shahrin tiada mood untuk bincangkan hal ini.
            “Ada, minggu lepas. Itu yang Pak Idris tahu praktikalnya akan habis akhir bulan ni,” jelas Pak Idris tanpa memandang wajah Shahrin dari cermin.
            Shahrin terdiam seketika. “Macam mana dengan keadaan dia kat sana?”
            “Dia sihat cuma Pak Idris tengok badan dia makin susut. Tapi kalau tengok muka dia, dia nampak macam sedih. Tak macam kebiasaanya bila Pak Idris pergi jenguk dia. Mungkin dia sedih agaknya nak tinggalkan tempat tu.” Pak Idris membuat kesimpulan sendiri.
            Shahrin tidak memberi reaksi pada cerita Pak Idris. Dia sendiri pun ingat-ingat lupa bentuk fizikal gadis itu dulu. Kali terakhir dia lihat gadis itu pun 3 tahun yang lepas. Itu pun dari jauh.
            Pak Idris lihat Shahrin hanya diam membisu sambil membuang pandang ke luar. Dia tidak tahu apa yang berada dalam fikiran anak muda itu sekarang.
“Apa rancangan Shah selepas ini? Kat mana dia nak tinggal lepas habis belajar ni? Nak carikan rumah sewa untuk dia ke?”
Terbit rasa simpati Pak Idris terhadap gadis bernama Hania itu. Entah sampai bilalah gadis itu akan terus disisihkan dari hidup Shahrin. Kenapalah Shahrin tidak terima saja jodoh antara mereka. Kenapa perlu seksa diri?
“Saya akan bawa dia tinggal dengan saya,” jawap Shahrin tanpa riak. Wajah Pak Idris lansung tidak di pandang.
Hampir ternganga mulut Pak Idris mendengar jawapan Shahrin. Betul ke apa yang dia dengar?
“Maksud Shah tinggal sekali dengan kita?” Pak Idris inginkan kepastian.
Anggukkan Shahrin menggembirakan perasaan Pak Idris. Sejuta kesyukuran di panjatkan kepada-NYA. Mungkin tiba masanya untuk pasangan itu mengubah cara hidup mereka.
“Shah pasti ke dengan keputusan ni? Atau pun Shah buat keputusan ni sebab simpati pada dia?” Pak Idris sengaja ingin menduga.
“Bukan sebab simpati atau terpaksa tetapi sebab tanggungjawab. Saya sedar sekarang kesilapan saya. Kerana terlalu ikutkan rasa marah saya abaikan tanggungjawab saya pada dia dalam tempoh 3 tahun ni. Tiba masanya saya perbetulkan kesilapan ni dan bawa hala tuju hubungan kami ke arah yang sepatutnya.” Shahrin menghela nafas panjang.
 “Syukur, alhamdullilah. Baguslah kalau Shah fikir macam tu. Yang lepas tu biarlah lepas. Shah dan Puan Nia layak untuk bahagia seperti pasangan suami isteri lain. Bila kita reda, insya-Allah, Allah akan tolong kita,” nasihat Pak Idris lembut. Bahasanya masih di jaga. Tidak mahu mengecilkan hati majikannya itu.
Shahrin masih membisu. Menghadam patah-patah nasihat Pak Idris. Selama ini dia terlalu alpa. Tanggungjawab yang sepatutnya digalas di bahunya dilepaskan begitu saja. Sudah tidak fikirkan dosa atau pahala kesan daripada tindakannya itu.
“Saya harap keputusan yang saya buat ni akan berikan kebaikan pada kami berdua.”
“Pak Idris percaya inilah keputusan yang paling tepat yang Shah buat. Selagi kita tak cuba kita tak akan tahu keputusanya, kan?” Pak Idris memberi kata semangat pada Shahrin.
Shahrin tersenyum kelat. “Saya pun harap begitu, Pak Idris.”
“Datuk dan Datin dah tahu ke keputusan yang Shah buat ni?” Pak Idris teringatkan kedua orang tua Shahrin. Pak Idris yakin Datuk Iskandar dan Datin Noris belum tahu lagi tentang hal ini.
“Belum lagi. Nanti saya akan beritahu mereka. Buat masa ini Pak Idris jangan cakap apa-apa lagi kat mereka.”
Pak Idris mengangguk faham. Perjalananya diteruskan dengan dada yang lapang. Perasaanya gembira apabila memikirkan nasib gadis bernama Hania itu akhirnya terbela. Tiba masanya gadis itu mendapat pengiktirafan di mata masyarakat.


No comments:

Post a Comment