Saturday 26 March 2016

Bab 2: YANG AKU INGINKAN - NANI YUHANNA



BAB 2

“JEMPUT masuk, puan,” pelawa Mak Aisha pada Hania yang masih teragak-agak untuk melangkah ke ruang tamu rumah banglo mewah itu. Sebelum kaki melangkah masuk ke dalam rumah mewah itu, Hania sempat menjeling sebuah kereta Audi berwarna biru terparkir di laman bersebelahan dengan kereta Mitsubishi Lancer. Pasti milik suaminya.
            Ketika kakinya melangkah masuk ke ruang tamu, dia terpegun! Ruang tamu yang cukup indah dengan perabot-perabot mewah tersusun rapi di setiap sudut. TV LCD berukuran 42” berada di tengah-tengah antara perabot-perabot itu, cukup melengkapkan lagi ruang tamu tersebut.  Mata Hania jatuh pada chandelier yang besar tergantung pada siling yang bercorak abstrak. Warna dan tema ruang tamu itu memukau pandangan Hania. Hampir kesemua sudut berwarna putih gading dengan sedikit sentuhan gaya Inggeris. Cantik!
Bagaikan mimpi menjadi kenyataan. Dia tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kaki  ke dalam banglo mewah ini apatah lagi untuk tinggal di rumah ini. Berada di bawah satu bumbung dengan suami yang tidak dikenali amat menggusarkan Hania.
            “Jempu duduk dulu, puan. Nanti saya buatkan air.”
Hania tersentak apabila ditegur wanita separuh abad yang berbaju kurung yang masih setia memandang ke arahnya. Tiada sepatah kata yang keluar dari bibir Hania. Hanya anggukan membalas pelawaan wanita itu.
            Dengan teragak-agak Hania melabuhkan punggungnya di atas sofa berwarna coklat cair  setelah wanita hampir sebaya emaknya itu berlalu pergi ke dapur. Hania memainkan jari-jarinya untuk menghilangkan rasa gusar di dalam hati.
            “Jemput minum, puan,” pelawa Mak Aisha ramah sambil menuangkan air oren sejuk ke dalam gelas jernih dan dihulurkan pada Hania.
            Hania menyambut huluran gelas tersebut sambil membalas senyuman ramah wanita itu.
            “Shah tak balik kerja lagi. Nanti dalam pukul 5.30 baru dia balik,” beritahu Mak Aisha tanpa dipinta.
            “Mak cik tinggal kat rumah ni ke?” soal Hania lambat-lambat.
            Mendengar pertanyaan gadis polos itu Mak Aisha tersenyum.
 “Haah, Mak Aisha memang tinggal kat sini. Mak Aisha dah lama jadi orang gaji kat rumah ni,” balas Mak Aisha lembut.
Hania tersenyum lega. Dia ingatkan dia akan tinggal berduaan dengan Shahrin!
Mak Aisha memahami gelodak di hati gadis itu. Dia merasa bersimpati pada gadis itu. Dia tahu gadis bernama Hania itu masih kekok dengannya. Inilah kali pertama dia bertemu dengan isteri Shahrin selepas 3 tahun gadis itu bergelar isteri Shahrin. Mereka suami isteri dari dulu lagi sudah tahu status hubungan pasangan suami isteri itu.
“Mak cik...” Hania memanggil Mak Aisha. Tangannya digawang di depan muka Mak Aisha yang kelihatan seperti mengelamun itu.
“Maafkan Mak Aisha. Terr…berangan tadi,” balas Mak Aisha tersenyum malu.
Hania tergelak kecil.
“Puan dah siap minum? Kalau dah jomlah Mak Aisha tunjukkan bilik puan.”
“Mak   cik, tak payahlah berpuan-puan dengan Nia. Panggil Nia saja dah cukup,” tegur Hania lembut. Dia memang tak selesa apabila dipanggil ‘Puan’ sejak kakinya melangkah masuk.
Mak Aisha tersenyum senang mendengar permintaan gadis itu. Syukurlah gadis itu tidak sombong. Mak Aisha teringatkan Shahrin. Shahrin pun seorang yang cukup merendah diri.
 “Baiklah, kalau macam tu Nia panggil je mak cik, Mak Aisha,” putus Mak Aisha. Semakin lebar senyumannya.
Hania angguk setuju sambil mengekori Mak Aisha mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas. Hania sempat meneliti kawasan tingkat atas itu. Seperti di bahagian ruang tamu, tingkat atas pun tidak kurang hebat susun atur perabot dan dekorasinya. Seperti di bahagian ruang tamu, konsepnya tetap sama. Sekali lagi Hania kagum.
Hania dibawa ke biliknya oleh Mak Aisha. Hania perasan ada beberapa buah bilik lagi di tingkat itu tapi dia tidak tahu bilik siapa dan bilik apa. Sejurus Mak Aisha membuka pintu bilik utama, Hania terlopong. Mak aih! Ini bilik ke ruang tamu? Besarnya!
“Inilah bilik Nia,” kata Mak Aisha sambil meletakkan bagasi kecil milik Hania di sebelah katil bersaiz king. Mak Aisha yang melihat reaksi Hania yang tidak berkelip itu menyimpul senyuman.
“Cantiknya Mak Aisha,” puji Hania.
“Ini bilik utama. Mulai hari ini Nia akan duduk dalam bilik ni,” ujar Mak Aisha sambil membetulkan langsir yang cantik tergantung.
Hania hanya mampu mengangguk. Seakan tidak percaya dia akan tinggal di dalam bilik besar ini. Hania berjalan mengelilingi ruang bilik. Sampai di hujung katil, Hania menyentuh permukaan cadar berwarna unggu gelap dan bersulam timbul dengan warna unggu cair. Lembut.
Hania terbuai dengan keharuman wangian di segenap bilik peraduan itu. Bilik itu lengkap dengan segala keperluan. Meja solek, almari besar tiga pintu, sofa L-Shape, kabinet TV dan tempat penyidai sejadah dan kain pelikat. Semuanya tersusun cantik di kedudukanya. Kejap..Kain pelikat? Siapa punya kain pelikat pula tu?
“Shah ni cerewet sikit kalau bab-bab bilik tidur dia. Dia tak suka bilik yang bersepah dan berbau. Walaupun setiap pagi dia kemaskan sendiri bilik ni tapi dia mesti pesan kat Mak Aisha untuk wangikan bilik ni. Maklumlah kat dalam biliklah dia banyak habiskan masanya,” kata Mak Aisha menyambung cerita tentang Shahrin.
Demi terdengar kata-kata itu, Hania serta-merta terkaku. Air liurnya ditelan kelat. Dia rasa dia tidak salah dengar apa yang Mak Aisha sampaikan tadi. Bilik Shahrin? Ini bermakna..? Hania rasa nak pitam!
“Maksud Mak Aisha ini bilik Abang Shah?” tanya Hania tergagap-gagap. Peluh jantan sudah keluar.
Mak Aisha memandang Hania pelik.
 “Iya lah. Ini bilik Shah. Tengok gambar pun dah tahu,” balas Mak Aisha sambil menunjukkan bingkai gambar Shahrin yang cantik tergantung di dinding dan frame gambar di meja tepi sebelah katil. Gambar Shahrin!
“Habis tu, bilik Nia mana?” soal Hania polos hati. Jantungnya dah rasa macam nak melompat keluar!
Mak Aisha tercengang mendengar pertanyaan Hania. Tapi tidak lama selepas itu dia ketawa kecil. Wajah cuak Hania menggeletek hatinya.
“Inilah bilik Nia. Satu bilik dengan  Shah. Suami Nia.”
Demi terdengar jawapan itu Hania terduduk atas katil. Biar betul? Dia akan sebilik dengan lelaki itu??



HANIA menguis-nguis nasi putih di dalam pingganya. Pelbagai jenis lauk yang terhidang di depanya amat menyelerakan namun entah mengapa tekaknya tidak tertelan nasi yang masuk ke mulut. Macam telan pasir rasanya! Hania jeling lauk asam pedas ikan pari. Itu salah satu lauk kegemaranya. Melihat asam pedas itu dia teringatkan asam pedas emaknya. Rindunya dia pada emak dan keluarganya yang jauh di kampung hanya tuhan saja yang tahu. Dadanya sebak namun ditahan. Tidak mahu Shahrin melihat kesedihanya.
Hania mencuri pandang pada Shahrin yang dari tadi berselera menyuap nasi ke mulut. Hampir 20 minit mereka di meja makan namun sekilas pun lelaki itu tidak memandangnya.  Shahrin seolah-olah tidak menyedari kewujudanya di situ. Muka lelaki itu pun macam tidak berperasaan saja!
Hania membelek wajah lelaki yang bergelar suaminya itu. Kali ini barulah dia nampak jelas. Dia hampir-hampir lupa rupa asal suaminya itu. maklumlah sudah bertahun tidak jumpa. Nasib baik dia masih yang dia mempunyai suami. Handsome.  Errk..terpuji suami sendiri pula! Tapi nak nafikan pun tak guna. Dah lelaki itu memang handsome pun. Pakaian baju tshirt leher bulat dengan Bermuda pun lelaki itu tetap nampak Stylo.
Hania masih ingat. Lewat petang tadi ketika pertama kali mereka bersua muka, penampilan lelaki itu lagilah segak bergaya. Dengan seluar sleck, kemeja, tie, dan coat yang masih melekat di badan, hampir terjatuh rahangnya. Terpesona kononya! Okey..rasanya dia terlebih memuji lelaki itu. Rupa paras dan penampilan memang dah tip top dah cuma satu saja yang kurang pada lelaki itu. Senyuman! Dari petang hingga ke malam asyik tunjuk muka garang saja. Dah macam muka Warden asrama. Cuba senyum sikit, mesti bertambah lawo!
 “Kenyang ke tengok muka saya?”
Hania tersentap! Spontan kepalanya terangkat. Memandang tuan punya suara garau yang masih selamba menyuap nasi dalam mulut. Ayakk.. terkantoi! Merah padam muka Hania. Malunya..mana nak sorokan muka ni?
“Ma..mana ada saya tengok awak. Jangan nak perasan,” nafi Hania. Mahu menutup malunya.
Shahrin senyum mengejek. Bukanya dia tak perasan gadis itu curi-curi merenungnya. Nak tutup malulah tu.
 Hania menekur nasi dalam pinggan. Berbakul-bakul malunya pada lelaki itu. Tidak berani lagi memandang muka lelaki itu.
“Kenapa tak makan?” soal Shahrin apabila melihat Hania hanya menguis-nguis nasi didalam pingganya.
“Saya tengah makanlah ni,” jawap Hania hampir tidak kedengaran suaranya. Wajahnya masih menunduk.
“Makan apanya. Saya tengok putih je nasi awak tu tak berlauk. Ke nak saya sudukan lauknya?” Shahrin memandang sekilas wajah gadis itu.
“Err..tak..tak payah. Saya boleh ambil sendiri.” Hania cuak. Buru-buru tanganya mencapai sudu dan mengambil lauk yang paling hampir denganya.
Shahrin yang melihat kelakuan gadis itu menyimpan senyum. Takut sangat dia cedukkan lauk untuknya.
Keadaan meja makan kembali sepi. Yang kedengaran hanya bunyi sudu berlaga dengan pinggan. Nampaknya Shahrin benar-benar mempraktikkan budaya ‘Jangan bercakap ketika makan!’ Masing-masing macam orang tak ada mulut! Kalau hari-hari keadaan mereka begini, boleh kurus dia! Macam mana tak kurus kalau makan pun sesuap dua saja. Nak akan banyak pun dia segan. Rasa macam di perhatikan.
 “Awak ni memang suka mengelamun ke masa makan?” Suara garau itu sekali lagi memecah keheningan antara mereka.
Sekali lagi Hania terkejut. Aduh..kena lagi! Rasa macam nak hentuk kepada kat meja makan! Selalu sangat mengkantoikan diri sendiri. Macam manalah Shahrin boleh perasan dia sedang mengelamun sedangkan lelaki dari tadi menunduk mengadap nasi dalam pinggan.
 “Mana ada saya mengelamun. Saya tengah makan ni.” Sekali lagi Hania menafikan tuduhan lelaki itu.
“Haah, makan nasi sampai ke pipi,” tempelak Shahrin selamba. Wajahnya tetap serius.
Hania cepat-cepat meraba-raba seluruh mukanya. Tanganya dapat merasa sebiji nasi betul-betul melekat di pipi kirinya. Muka Hania sudah membahang. Hailahh..apalah nasib dia malam ni. Berkilo-kilo dah dia dimalukan di depan lelaki ini. Tak boleh jadi ni. Kena fokus..fokus..!
Hania memberanikan diri untuk memandang suaminya. Dia nekad untuk cuba berbual-bual dengan lelaki itu. Dia sudah tidak betah dengan kebisuan mereka. Baru saja dia berniat untuk berbual, lelaki sudah bangkit dan membawa pingganya ke sinki.
Aik..dah sudah ke? Macam tu je? Ish..dia ni tak fahamlah. Nasib baik dia mendongakkan kepala. Dibuatnya dia seronok-seronok bercakap tapi tak ada orang kat depan dia. Tak ke sekilo lagi dia dapat malu? Hania hanya menikus apabila Shaharin melewati meja makan untuk ke ruang tamu. Wangian Dunhill Black di tubuh lelaki itu menusuk hidungnya.
Tidak menunggu lama, Hania turut membawa pinggan ke dapur. Dia berselisih dengan Mak Aisha di dapur.
“Dah siap makan dah, Nia?” tanya Mak Aisha melihat pinggan Hania yang masih berbaki.
“Dah Mak Aisha,” jawap Hania pendek bersama senyuman tawar.
“Mak Aisha tengok Nia makan sikit je,” tegur Mak Aisha sambil menjeling pinggan Hania yang tidak luak.
“Nia kenyang lagilah Mak Aisha. Tu yang makan sikit je. Mak Aisha dah makan?” soal Hania pada mak Aisha pula yang sedang mengemas round table di ruang dapur.
“Dah tadi dengan Pak Idris kamu.”
 “Apa yang Nia buat ni? Letak je kat sinki tu, nanti Mak Aisha bersihkan,” tegah Mak Aisha apabila melihat Hania membawa pinggan mangkuk atas meja makan ke dalam sinki untuk dibasuh.
Hania tercengang! Hai..tak akanlah nak tolong basuh pinggan pun tak boleh?
“Tak apalah Mak Aisha biar Nia tolong. Bukanya apa sangat pun.” Hania tidak mempedulikan larangan Mak Aisha. Tanganya laju saja mecuci pinggan mangkuk di dalam sinki.
Mak Aisha yang tidak dapat menghalang hanya mampu membiarkan saja gadis itu melakukan kerjanya dalam senyuman puas. Ish..budak ni ada-ada saja.



No comments:

Post a Comment