Saturday 26 March 2016

Prolog . YANG AKU INGINKAN - NANI YUHANNA




            PANGG!!!
Hania terjelepok jatuh di kaki abahnya.
Datuk Iskandar dan Datin Noris terkedu, tidak menyangka Yusoff tegar menampar anak gadisnya di hadapan mereka.
Shahrin yang sejak tadi hanya membatu juga tergamam dengan adegan sebabak itu. Dia mengerling. Ada simpati di hatinya tapi tidak tahu bagaimana mahu membantu.
Yusoff menjatuhkan badannya ke sofa lusuh dengan perasaan yang bercampur-baur. Rasa marahnya melebihi perasaan terkilan dan terluka. Walaupun Datuk Iskandar sekeluarga sudah menceritakan hal sebenar dari mula hingga akhir, dia tetap tidak dapat menipu dirinya yang dia amat kecewa. Anak gadisnya yang paling dia sayang telah menghadiahkan luka sebegini dalam pada dirinya. Sukar untuk dia terima.
“Baiklah, saya setuju dengan cadangan Datuk tu,” putus Yusoff  tanpa ragu-ragu.
Nurina yang mendengar persetujuan suaminya itu tergamam! Tidak menyangka suaminya sanggup melihat anak gadis mereka terseksa kerana keputusan yang telah dibuat sewaktu amarah menguasai diri.
Hania yang berada dalam pelukan emak, bingkas merungkaikan pelukan sejurus mendengar persetujuan abahnya itu.
“Tidak, bah. Nia tak setuju! Nia tak kenal dia. Macam mana Nia nak kahwin dengan dia? Nia tak nak kahwin lagi. Nia masih nak belajar.” Hilang rasa gentarnya.
Dia perlu mempertahankan dirinya. Dia belum bersedia lagi untuk bersuami. Dia masih muda! Berkahwin di usia semuda ini tidak terlintas langsung dalam fikirannya.
“Kamu setuju atau tidak, majlis itu akan tetap berjalan seperti dirancang. Kamu jangan nak memalukan aku sekali lagi Nia! Cukuplah sekali kamu buat keputusan sendiri dengan meninggalkan rumah. Kali ini kamu kena belajar untuk bertanggungjawab atas perbuatan kamu. Lagipun semua yang berlaku ni disebabkan kamu sendiri. Kalau kamu tidak gatal-gatal pergi ke Johor sendirian, pekara ini tak akan terjadi.”  Suara Yusoff sudah  meninggi.
Hania menggeleng kepala beberapa kali.
 “Nia tahu Nia salah abah, tapi bagilah peluang pada Nia untuk menebus kesalahan Nia. Nia akan buat apa saja yang abah nak tapi bukan dengan cara ini, bah,” mohon Hania sungguh-sungguh.
Yusoff mendengus keras. Kedegilan Hania benar-benar menguji kesabaranya.
“Kalau kamu betul-betul nak tebus balik kesalahan kamu pada abah, buat seperti yang abah suruh.”
“Nia tak nak! Tolonglah, bah. Nia tak nak!” Tanpa malu Hania menangis teresak-esak. Kaki abahnya dipeluk kejap.
“Kalau itu yang kamu nak, terserah! Tapi selepas ini, jangan sesekali kamu panggil aku abah lagi. Sebab aku tak ada anak yang degil macam kamu.” Yusoff merenung tajam ke dalam mata anak gadisnya. Ada sendu di mata itu tetapi dia terpaksa melakukanya.

Hania terkesima! Kata putus dari abahnya itu benar-benar merobek dan menyentap hingga ke pangkal hati. 

No comments:

Post a Comment