Saturday 11 June 2016

Bab 3 : MEMORI TRI + NANI - ILLA SHANAHILA



OKEY, sekarang ini aku tak tahu nak ketawa atau menangis. Entah berapa lama mata dipaku pada skrin Xiaomi Note di tangan merenung skrin yang menunjukkan laman Facebook tu.
Patutlah tak boleh nak tag dia, aku dah kena removed rupanya.
Ketawa aku lepas juga. Tak sangka langsung kali ini aku sendiri yang kena. Bukannya aku tak tahu yang selama ni dia memang suka block atau remove orang dekat Facebook kalau dia tak suka.
Kalau gaduh ke, kalau tak puas hati ke dan sekarang, aku pulak yang kena.
Aduhai.
Tangan kanan laju aje menekan butang close. Terus saja paparan wall dia hilang dari skrin. Dah tak jadi terus nak tag nama dia dalam status.
Boleh pulak kau main aci kawan tak nak kawan macam budak sekolah darjah dua wahai Ana.
“Oii, belajar. Kau sengih depan telefon ni kenapa?”
Bahu aku dicuit dari tepi. Jiha sengih dengan pen di tangan.
“Kau salinlah. Nanti aku tiru.” Cepat aje aku masukkan kembali telefon bimbit ke dalam beg dan mencapai pen yang dah lama tersadai di atas meja. Kuliah Dr. Rajesh ni memang mampu buat fikiran aku melayang.
Itu yang terasa nak buat status tengok wayang tu. Tapi terbantut pulak. Sebab dah kena remove dek kawan sendiri. Haih. Kelakar.
“Sengih lagi...” Jiha bersuara tanpa memandang.
Aku cuma tayang gigi. Pen hitam menyentuh dada buku nota yang hanya bertulis tarikh hari ini. Nota yang dah hampir separuh slaid ditayangkan aku salin dengan rasa malas. Namun, sesaat kemudian tulisan aku terhenti kaku.
Hari ni Isnin. Macam ada je benda yang kena hantar hari Isnin. Alamak!
“Weh, assignment kau dah siap?”
Anggukan Jiha membuatkan dada aku yang sesak terasa lega. Bolehlah tiru dia lepas ni, kan?
“Tapi aku dah hantar pagi tadi. Masa lalu depan pejabat fakulti.” Laju aje Jiha menambah.
Alahai Jiha ni. Kenapa rajin sangat nak hantar awal? Deadline pukul lima kut. Sekarang baru pukul... aku pandang jam di tangan.
Dekat pukul satu!
Mati aku. Macam mana aku nak jawab soalan berupa masalah negara tu dengan hanya empat jam?
“Tak siap lagi, ek?”
Laju aku mengangguk. Mata kembali pada slaid Dr. Rajesh di depan walau hati dah terasa galau.
“Banyak lagi?”
“Langsung tak buat.” Aku menjawab perlahan.
Jiha terus ternganga bila dengar jawapan aku.
“Aku tak reti la...” Sempat aku bela diri sendiri. “Ajar aku, weh. Macam tak sempat je nak buat sendiri.”
Lepas kelas Dr. Rajesh ni, sepanjang petang free, tak ada kelas. Bolehlah belanja Jiha teh O ais ke, milo tabur ke, sambil-sambil tu boleh ajarkan aku soalan Mechi ni.
“Tengah hari ni aku ada hal. Sorry sangat,” Jiha pulak yang tayang gigi.
“Bukan tak nak tolong kau. Aku memang nak kena pergi KL petang ni. Sebab tu aku hantar awal tadi.”
La... pulak dah. Dah tu siapa nak tolong aku siapkan tugasan ni? Hadoi, siapalah yang cipta subjek ni, hah? Siapa?
Kelas Dr. Rajesh dihabiskan dengan perasaan berbaur. Marahkan diri sendiri + menyesal tak buat awal- awal + padan muka aku + takut.
Macam mana kalau aku tak dapat nak siapkan? Sudahlah markah ujian pun tak lulus. Kalau tugasan aku tak bagi kesan untuk carry marks aku, macam mana? Aku tak nak gagal peperiksaan akhir nanti. Letihlah kalau kena ambil kelas mengulang.
Aku keluar dari dewan kuliah dengan langkah longlai. Sikit pun tak ada tenaga walau nak berjalan pun.
Nak tak nak aku kena buat jugak sendiri, tak kisahlah dapat markah ‘sa’ pun.
Buat ikut apa yang aku mampu, kan? Kurang- kurang ada jugak markah dari kosong aje.
Aku mengeluh perlahan. Semua orang dah berpusu-pusu keluar dari dewan kuliah dan Jiha pulak awal-awal dah cabut.
Pintu kelas ditolak dengan sebelah tangan dan mata mula melilau mencari sesuatu di lantai dengan harapan kertas tugasan sesiapa tercicir depan pintu dan aku boleh tiru, tapi hampa.
Nafas dihela perlahan sebelum mata menangkap susuk tubuh yang dikenali.
Itu bukan ke...
Bibir aku terus tersenyum lebar. Penyelamat aku!
“Paannnnn!” Mata terus bersinar bila aku nampak Paan di situ. Beberapa orang pelajar yang berjalan di sekitar fakulti mencuri pandang. Laju aje aku mencebik.
Macamlah nama dia orang semua ni Paan. Aku panggil Paan, biar Paan ajelah yang pandang.
Aku nampak Paan angkat kepala dari kertas di atas meja. Bibir aku masih lagi dengan sengihan. Dah agak dah! Tengah buat tugasan la tu.
“Weh!” Aku kuatkan suara. Telinga tak pernah nak kosong dari headphone!
“Kau dah kenapa?” Buku rujukan Hibbeler ditarik ke tepi, memberi ruang pada beg kuning aku. Tanpa menjawab soalan dia, aku terus rentap pen yang dipegang. Laju aje kertas tugasan dia jadi mangsa contengan tulisan comel aku.
Kut ya pun, buka lah headphone dekat telinga tu. Semua orang pandang aku tau. MALU!’
Dia sengih bersalah sambil menurunkan headphone tadi ke leher.
“Hah, aku dah buka. Kau nak apa?”
“Kau buat assignment, kan?” Kertas yang dihadapnya dari tadi aku jeling sesaat. Sekali pandang pun aku dah tahu dia buat assignment mechanics.
“Haah, kenapa?” Kening dia terangkat seinci.
Aku melebarkan sengihan. Tangan mula laju keluarkan kotak pensil dan kertas kajang dari beg.
“Kau dah siap ke weh?”
“Nama aku Muhammad Farhan bin Rosli, bukan Weh.”
Aku ketap bibir sendiri, geram. Nasib kaulah Nani dapat kawan macam ni.
“Dah siap ke?” Aku menjengah ke depan tanpa mempedulikan perlian Paan.
“Huish, apa dekat-dekat ni? Aku tak biasa dekat- dekat dengan perempuan ni.”
Elleh, poyo je lebih! Muka sengih Paan aku pandang dengan rasa menyampah. Kalau bukan sebab nak tiru tugasan dia, tak adanya aku nak relakan telinga ni makan perlian demi perlian Paan. Menyengat!
“Tinggal satu soalan je lagi. Last. Kalau kau nak tengok yang lain ambil jelah. Tak payah nak sopan sangat dengan aku.” Paan menjawab tanpa nada.
Oh Paan, kaulah penyelamat aku!
Sengihan yang masih mekar berkembang, aku susun kertas kajang, pen, pembaris, pensil, pemadam di atas meja. Sedia untuk membuat tugasan. Iyalah. Takkan nak keluarkan megi goreng pulak waktu-waktu macam ni.
Mata pen mula berlari atas dada kertas. Sesekali aku angkat kepala, pandang Paan yang asyik mengira itu, ini... menulis itu, ini. Robot ke apa dia ni? Main buat macam tu je? Buka buku pakcik Hibbeler pun tidak. Biar betul?
“Yang kau tenung aku lama-lama ni kenapa?”
Kantoi mati anak itik tenung anak teruna orang. Malu weh!
“Kau buat macam tu je?” Terkeluar jugak soalan yang satu tu.
Mana taknya, kalau aku, satu buku rujukan tu aku akan belek. Tak cukup dengan tu, aku akan telefon Jiha atau Sofia kalau ada yang aku tak tahu.
Si Paan ni pulak boleh jawab soalan ni macam makan kacang?
Hebat! Hebat!
“Kenapa?” Dia pandang aku dengan hujung mata.
“Senang ke soalan ni? Aku tengok tak faham apa pun.”
“Sebab itulah mak ayah hantar pergi sekolah suruh belajar dalam kelas. Bukan guna handphone untuk main Facebook dalam kelas.”
Aku tarik muka. Perli nampak? Menusuk betul. Mesti dia nampak status aku pagi tadi.
“Elleh, kau pun tadi ponteng.”
“Itu kira darurat. Nak kena siapkan assignment untuk kasi dekat budak tu tiru.”
Ceh, kena lagi!
“Paan...”
“Apa?”
“Kau diam kejap boleh tak? Aku kena concentrate buat ni. Tak sempat siap karang mati aku kena ketuk dengan Dr. Amin.”
“Huh, ambil balik kertas aku karang.”
“Janganlah, aku nak buat rujukan.” Cepat-cepat aku pegang kertas tugasan Paan yang ada di atas meja.
Paan sua buku Mechanics of Material tulisan pakcik Hibbeler ke depan. Sikit lagi nak kena batang hidung aku yang tak berapa mancung ni.
“Nah, ini baru betul rujukan. Yang kau pegang tu, ‘tiruan’.” Main ayat perisa perli je dia ni.
“Aku tak retilah. Lagipun, mana sempat nak buat sendiri dah. Kalau aku buat sendiri, mahunya makan berminggu-minggu.”
“Tak reti, tanya. Bukan tiru.”
“Bosanlah kau ni. Macam cikgu besar! Kalau reti, aku dah buat sendiri dah.”
“Kau nak buat sendiri tak?” Dia meletakkan pensel di atas helaian soalan yang terakhir.
Lama aku pandang wajah selamba dia. Tak faham.
“Hah?”
“Kau buat, aku ajar.”
Tekak terus terasa kering. Dah lama aku hilang semangat belajar. Hilang sejak hilangnya ‘pakcik’.
Waktu itu, di tahun akhir Diploma...

han_nani: Assalamualaikum.
M_K : waalaikumussalam. Siapa ya? 
han_nani: one of your blog followers

Itulah permulaan perkenalan aku dengan ‘pakcik’. Dari hanya jadi pembaca blog Pahlawan Dari Timur, sehinggalah aku beranikan diri YM dia. Blog dia memang lain sikit dari orang lain. Bukan hanya fasal kehidupan peribadi, tapi penuh dengan pengajaran yang diselitkan dengan cerita yang kelakar dan bermakna.
Akhirnya, pakcik jadi pembakar semangat aku.

M_K: BUZZ
M_K: Belajarlah budak. Asyik online je pakcik tengok.

M_K: Dah final sem, kan. Lupakan semua benda lagho untuk grad bermaruah.

No comments:

Post a Comment