"KAU gadis pelik."
Rihanna menoleh ke sisinya.
Wajah Addi dipandangnya dengan kerutan berlapis di dahi. "Pelik macam
mana? Aku jalan guna tangan ke?"
Addi tergelak kecil.
"Bukan tu maksud aku. Dah lama aku perhatikan kau. Selalu aku nampak kau
cakap sorang-sorang. Terutama bila malam. Kau cakap dengan sapa
sebenarnya?"
"Emmm....kawan halimunan
aku." Selamba jawapan Rihanna. Nasi ayam di hadapannya dikunyah
perlahan-lahan.
Makin kuat gelak Addi. Kasar
bunyinya. "Jangan buat cerita. Tak kelakar langsung. Tak elok buat macam
tu. Nanti orang kata awek aku ni gila."
"Malanglah nasib kau
dapat awek gila macam aku. Siapa suruh kau ngorat aku? Kenapa tak ngorat aje
Atiqah yang lemah-lembut tu? Baru padan dengan muka kau yang hensem macam gajah
tu!" tempelak Rihanna.
"Aku lagi hensem daripada
gajah yang belalai panjang tu. Entah apa yang P.Ramlee fikir masa dia gubah
lirik lagu tu? Entah gajah mana yang hensem sampai boleh masuk dalam lirik lagu."
"Manalah aku tau. Kau
tanyalah dia."
"Gila. Nak tanya orang
yang dah mati. Psikolah kau ni. Cuba normal sikit. Sejuk hati aku." Addi
merenung gadis di hadapannya. Gadis yang menjadi pujaan hatinya sejak setahun
yang lalu. Dia pernah mahu melamar Rihanna, tapi gadis itu menolak. Katanya
terlalu awal. Mereka baru saja nak berkenal-kenalan. Entah sampai bila dia
harus tunggu gadis itu mengatakan "ya, aku setuju terima pinangan
kau."
"Kalau aku kata aku boleh
bercakap dengan orang mati, cemana?" Wajah Rihanna serius.
Addi tersenyum, kurang selesa.
"Jangan merepek ler, sayang oi. Seram aku dengar kau cakap macam tu. Boleh
tak bersikap normal macam gadis biasa?"
"Aku dah bagitau kau
awal-awal lagi. Aku ni tak normal. I can
see dead people!" Rihanna membeliakkan matanya.
"Rihanna....jangan
main-main. Tak kelakar. Kau macam tak sayang aku aje." Addi dah berjauh
hati. Entah kenapa dia rasakan gurauan Rihanna tengah hari itu semacam saja.
Selalu Rihanna tak begini.
"Kalau benar aku kata aku
tak sayang kau...cemana?" Rihanna menduga.
"Betul kau tak sayang
aku?" Wajah Addi ketat.
Rihanna mengangguk.
Addi terus bangun dan
meninggalkan Rihanna sendirian di situ menghabiskan nasi ayamnya.
"Bukan tak
sayang...sebabkan sayanglah aku buat macam ni," bisik Rihanna perlahan.
Baki nasi ayam dimakannya dengan perlahan.
Addi tak tau siapa sebenarnya
Rihanna. Rihanna bukan gadis biasa. Dia gadis supernatural...hmmm...dah macam
cerita supernatural pulak!
SALAKAN anjing bersahutan.
Bayu malam yang dingin selepas hujan, bertiup agak kencang, menusuk hingga ke
tulang hitam. Macam musim dingin, getus Rihanna. Dia memulas kunci, membuka
pintu gril di koridor kondo tempat tinggalnya. Bunyi pintu gril bergeser,
memenuhi malam yang sunyi.
Rihanna berkaki ayam melangkah
ke balkoni. Beberapa helai kemeja yang bergantung di tepi dinding, dicapai.
Mujur dia tak lupa. Jika tak, mungkin pakaian yang kering itu akan dibasahi
hujan. Rihanna sempat mendongak ke langit. Sesekali guruh menerangi langit
malam yang kelam. Tanda-tanda hujan akan turun. Deruan angin mula kencang.
Seram pula rasanya. Pekikan
anjing tiba-tiba diam. Hanya bunyi angin kedengaran menampar telinga. Sekilas
satu bayang hitam menerjah ke balkoni tempat Rihanna berhenti. Dek kerana
terkejut, pakaian di tangan Rihanna terlepas. Bulat matanya memandang ke
hadapan.
Darius tersenyum, penuh
muslihat. Sepantas kilat dia tunduk mengutip pakaian Rihanna yang terlepas
tadi. Kemudian dihulurkannya kepada gadis yang masih berdiri kaku itu.
"Lain kali kalau nak
datang, bagi salam dulu. Jangan main terjah. Jantung aku masih nak berdegup
lama. Bukan macam jantung kau yang dah berhenti berdegup tu!" marah
Rihanna lalu merampas pakaiannya yang dihulurkan.
Dia melangkah masuk ke dalam.
Darius mengekorinya.
"Apa yang kau nak?"
Suara Rihanna masih kasar. Tanpa mempedulikan Darius yang sentiasa ada di
mana-mana saja dia pergi, dia terus menggosok pakaian yang baru dikutipnya
tadi.
"Aku perlukan bantuan kau
sekali lagi." Suara Darius menyapa telinga Rihanna bagaikan bisikan.
"Sekali lagi? Hmm....rasa
aku dulu pun kau ada cakap macam tu." Rihanna menoleh sekilas ke arah
Darius yang sedang bersandar pada dinding di belakangnya.
"Kau tau yang kau tak
boleh menolak." Darius berdiri betul-betul di belakang Rihanna.
Tegak roma Rihanna tika itu.
Aura hantu yang dibawa oleh Darius agak menyeramkan. Tapi entah mengapa, dia
rela mendekati mahkluk malam yang tak perlu disebut namanya itu. Apa boleh
buat? Itu dah menjadi kelebihannya berdamping dengan mahkluk malam.
"Satu skrol telah ditemui
oleh ahli arkelologis di Tasik Bera. Kau
perlu curi skrol itu dari mereka." Darius bercakap di telinga Rihanna.
"Kenapa kau tak curi
sendiri?" Tangan Rihanna masih lagi menggosok kemeja yang akan dipakai ke
pejabat esok.
"Skrol itu telah disimpan
di Muzium Terapung. Kau tau yang kami tak boleh ke sana. Muzium itu telah
dilindungi mantera yang menghalang kami memasukinya."
Rihanna memejamkan matanya
seketika. Nampaknya dia harus akur sekali lagi. "Kau akan rancang
semuanya?
"Seperti biasa."
Darius tersenyum di hadapan Rihanna. "Kita akan bertolak malam ni sebelum
matahari terbit."
"Apa?" Terlopong
mulut Rihanna memandang Darius. "Secepat ini? Tapi esok aku kerja. Ada presentation...." Kata-kata Rihanna
terhenti apabila Darius meletakkan jarinya ke bibir gadis itu.
"Segala-galanya dah
diuruskan. Kau tak perlu bimbang. Dapatkan aku skrol itu, maka dapatlah kau
projek yang kau idamkan tu." Darius tersenyum lagi.
Rihanna mengecilkan matanya
cuba mengukur, membaca fikiran Darius. Tapi hijab fikiran lelaki itu begitu
kukuh. Darius tersenyum, sinis.
"Kau belum cukup kuat
lagi, wahai sang puteri. Teruskan usaha." Darius memandang keluar melalui
pintu balkoni. "Aku perlu berburu sebelum memulakan perjalanan kita.
Siap-siaplah. Sejam lagi aku datang ambil kau."
Sebagaimana dia datang,
begitulah dia pergi. Pantas seperti angin hitam yang membelah kepekatan malam.
Bab 2
TEPAT sejam seperti yang
dijanjikan, Darius muncul di hadapan Rihanna yang sedang menyelempang tali beg
secara silang ke tubuhnya. Dia sempat mengerling jam di tangan.
"Tepat sejam. Kalau kau
jadi wakil rakyat, mesti ramai undi kau. Jarang ada pemimpin yang tau
menghormati masa kecuali Tun M." Rihanna membebel-bebel.
Dahi Darius berkerut.
"Cepat. Matahari akan terbit sejam lagi. Nanti tak sempat sampai."
Darius membelakangi Rihanna.
"Er...hello...disebabkan
kau, aku masih belum tidur lagi tau." Rihanna bercekak pinggang. Dia
memang belum tidur lagi sejak semalam. Pulang saja dari pejabat jam 9 malam,
dia terus menyambung kerja-kerja pejabat yang tak sempat disiapkan. Kertas
kerja hasil kajian pemasaran yang diusahakannya itu amat penting demi masa
depan kerjayanya.
Sepatutnya dia akan
membentangkan kertas kerja itu pukul 9.30 pagi itu. Tetapi disebabkan Darius
mengarahkannya menjalankan satu misi, maka tak dapatlah dia menghadiri
mesyuarat penting itu. Rihanna tau dia tak perlu risau kerana Darius telah
menguruskan perkara itu untuknya. Bagaimana ia diuruskan, taklah dia tahu. Yang
Rihanna tahu kalau Darius yang menguruskannya, ia pasti berjaya.
"Kau menung apa lagi tu?
Cepatlah!" Suara Darius keras. Dia memandang Rihanna dari bahunya.
"Kau nak suruh aku naik
belakang kau macam dulu?" Dahi Rihanna pula berkerut. "Macam spider
monkey? Tak naklah!" Rihanna berpeluk tubuh. Kali terakhir dia berbuat
begitu, hampir nak tercabut kepalanya.
"Kalau macam tu...."
Dalam sekelip mata, tubuh
Rihanna melayang ke atas bahu Darius. Dia ibarat sekarung guni saja. Rihanna tak
sempat mahu meronta apabila Darius bergerak sepantas angin. Hanya suaranya saja
yang melolong disebarkan oleh angin.
SUARA Rihanna hampir serak
tatkala tubuhnya dilepaskan ke atas tanah. Darius dah tertiarap di sisinya.
"Gilalah kau, hantu! Nyaris
tak tercabut jantung aku!" pekik Rihanna. Degup jantungnya masih bergerak
pantas. Dia menoleh ke sisi.
Darius masih lagi tertiarap di
atas tanah, tak bergerak. "Wei....matahari tu!" jerit Rihanna panik
apabila dia terlihat cahaya suram matahari semakin menerobos di celah-celah
daun pokok-pokok hutan yang merimbun. Tubuh Darius yang keras macam batu itu
dipukulnya berkali-kali sampai sakit tangan.
Seperti gerakan kilat, Darius
bangun dan mula menggali tanah. Dalam sekejap masa, jasadnya dah tertanam jauh
ke dalam tanah. Ada dalam lima kaki kut. Macam lubang kubur. Rihanna berdiri
bercekak pinggang memandang tanah yang gembur itu. Tanpa membuang masa, dia
menutupi tanah itu dengan daun-daun kering dan ranting pokok. Jangan ada orang
terjumpa kubur tak bertanda ni dahlah, fikir Rihanna.
Sambil menyapu kotoran di
tapak tangannya, Rihanna berjalan keluar dari hutan kecil itu. Berpandukan
bunyi deruan air, dia menjumpai sebatang anak sungai yang mengalir deras.
Rihanna garu kepala. Bagaimana dia hendak ke Muzium Terapung tanpa kenderaan?
Bijak betul rancangan si hantu ni, gerutunya geram.
"Tuan Puteri!"
Tiba-tiba satu suara menyapa, gemersik.
Teragak-agak Rihanna menoleh
ke belakang. Dalam keadaan kelam itu dia dapat melihat dua orang gadis
berpakaian putih dan berambut panjang. Okey....mujur dia masih memakai hijab
mata. Jika tak tentu wajah sebenar mahkluk malam itu akan terlihat olehnya.
"Panglima minta hamba
berdua bawa tuan puteri ke Istana Terapung." Salah seorang gadis itu
bersuara.
"Bagaimana?" tanya
Rihanna, skeptik. Dia tak nampak pun sebarang kenderaan di mana-mana.
"Gunakan bahtera kecil tu."
Gadis yang sama menuding ke arah sungai.
Rihanna berpaling. Eh? Ada
kolek? Bagaimana dia tak boleh nampak tadi? Lantas Rihanna mengekori kedua-dua
gadis itu menaiki kolek yang dihias dengan ukiran yang cantik. Patutlah mereka
memanggilnya bahtera. Walaupun tak besar, tapi buatannya cantik dan halus
berseni.
Kolek itu meluncur laju mudik
ke hilir sungai. Walaupun terdapat batu-batu besar di sepanjang perjalanan,
sedikit pun perjalanan mereka tak terhalang.
"Siapa kamu?"
Rihanna bertanya.
"Hamba dipanggil Wan
Empuk," sahut gadis yang mendayung kolek.
"Hamba pula Wan
Malini," balas gadis yang menyapa Rihanna buat kali pertama tadi.
Wan Empuk? Wan Malini? Macam
Hikayat Sulalatus Salatin daaa....Rihanna rasa seperti nak gelak. Tapi wajahnya
sengaja diketatkan. Tak mahu mengecilkan hati mahkluk halus itu.
Sinar matahari semakin terang
sebaik saja mereka menghampiri sebuah tasik. Tiba-tiba dia perasan sesuatu.
"Eh kamu berdua....matahari...."
kata-katanya terputus apabila secara perlahan-lahan Wan Empuk dan Wan Malini
hilang dari pandangan. Namun dayung kolek masih bergerak seperti tadi. Tahulah
dia yang pandangannya dah terhalang dek cahaya matahari. Dia tak boleh lagi
melihat mahkluk halus itu dengan pandangan mata kasar. Wan Empuk dan Wan Malini
sebenarnya masih di situ. Cuma dia tak boleh melihat dan bercakap dengan
mereka.
Bab 3
KOLEK yang didayung
oleh Wan Empuk menghampiri tebing, tak jauh dari Muzium Terapung yang dipanggil
Istana Terapung oleh kedua-dua mahkluk halus itu. Entah mengapa mereka
memanggilnya istana? Mungkin reka bentuk bangunan muzium yang mirip istana kot.
Rihanna melompat turun dari
kolek. Beberapa tapak dia melangkah, dia berpaling ke belakang. Kolek itu dah
tiada! Mujur dia naik kolek. Buatnya buaya tembaga yang datang tadi, tak ke
ngeri terpaksa tunggang belakang buaya menyeberangi sungai? Mujur panglima –gelaran
yang diberikan oleh Wan Empuk dan Wan Malini kepada Darius – hantar kolek.
Rihanna membetulkan kedudukan
beg silangnya. Dengan langkah yang teratur, dia menghampiri jambatan yang
menghubungkan daratan dengan Muzium Terapung. Jambatan itu diperbuat daripada
kayu balak yang diikat dan hanya satu meter saja jaraknya daripada permukaan
tasik. Keluasan jambatan itu hanya memuatkan sebuah kereta. Namun tiada
kenderaan yang dibenarkan masuk ke pekarangan muzium kecuali pedati
lembu...tettt. Lembu...huh. Busuk betul bau najisnya, Rihanna menggumam
sendirian apabila ternampak timbunan najis lembu di kawasan persekitaran.
Sambil menyembunyikan tubuh di
balik rimbunan pokok, Rihanna mengintai jambatan. Sunyi. Satu bayang manusia
pun tak kelihatan. Masih awal lagi. Baru pukul 7.30 pagi. Bagaimana dia hendak
masuk? Tiada pula pedati yang lalu yang boleh menumpangkan dirinya secara
sembunyi....
Bunyi roda kayu bergeser
dengan batu menarik perhatian Rihanna. Eh...bagai tahu-tahu saja isi hatinya
tika dia terlihat sebuah pedati yang ditarik oleh dua ekor lembu bonggol.
Pedati itu membawa bekalan makanan. Baru saja Rihanna hendak menghendap pedati
itu, tiba-tiba pedati itu berhenti bergerak.
Langkah Rihanna mati. Pemandu
pedati yang memakai jubah berpenutup kepala itu menoleh ke arah Rihanna yang
sedang bersembunyi. Eh...macam tahu-tahu saja dia....Nyaris Rihanna tak
menjerit sebaik terpandang mata merah saga dan telinga runcing lelaki pendek
itu. Troll?
Adoyai! Kenapalah si busuk ni
yang Darius hantar untuk membantunya? Tak ada mahkluk lain ke? Perlahan-lahan
Rihanna mengatur langkah ke arah belakang pedati. Tanpa disuruh, dia
menyembunyikan diri di bawah gebar guni yang menutupi bekalan makanan seperti beberapa
guni beras, tepung, kentang, bawang, minyak masak dan entah apa-apa lagi. Mujur
pedati itu tak sebusuk tuan yang menggembalanya.
Rihanna terasa pedati bergelak
perlahan, bergoyang-goyang melalui jalan kerikil sebelum agak lancar ketika
melintasi jambatan kayu yang kukuh itu.
Laluan pedati itu mudah
tatkala melewati pos pengawal. Seperti biasa, pedati yang membawa makanan itu
akan dibawa ke belakang muzium tempat punggahan barang. Dari situ, Rihanna akan
menyelinap masuk ke dalam muzium. Laluannya memang teramat mudah kerana muzium
itu tak dikawal rapi oleh pengawal. Ia cuma dikawal oleh mantera yang
menghalang mahkluk malam memasukinya. Hatta si troll penghantar barang itu juga
tak boleh masuk. Cukup sekadar dia menurunkan barang dan beredar. Hanya manusia
saja yang boleh masuk ke muzium itu.
Muzium Terapung; tempat yang
menyimpan pelbagai khazanah ilmu, harta karun, artifak peninggalan purba dan
macam-macam lagi. Kitab-kitab magis pun ada tersimpan di situ. Rihanna tak mahu
membuang masa memikirkan perihal muzium itu. Dia perlu segera menuju ke bilik
penyimpanan skrol yang terletak di bawah tanah yang sebenarnya di dalam tasik.
Hawanya mula dingin apabila
Rihanna menuruni tangga menuju ke bawah. Jamung yang bernyala di kiri kanan
jalan, sedikit menerangkan suasana yang semakin gelap. Rihanna tak boleh
melihat dengan jelas. Lantas lampu suluh berkuasa tinggi dikeluarkan dari begnya.
Langkahnya pantas mencari
bilik penyimpanan skrol. Bunyi titisan air kedengaran di sana sini, menyeramkan
keadaan yang suram dan kelam. Sebaik saja menjumpai bilik skrol, Rihanna terus
masuk menggunakan kunci serba guna yang diberikan oleh Darius sewaktu misi
pertamanya dulu. Kunci itu boleh membuka apa-apa pintu yang wujud di alam halus
itu. Hanya satu kunci, tetapi boleh membuka pelbagai jenis pintu.
Bilik yang dimasuki oleh
Rihanna dibarisi rak-rak yang bersusun kemas. Entah berapa ratus kesemuanya.
Dan skrol yang terdapat di situ, entah berapa puluh ribu bilangannya. Tak kuasa
Rihanna hendak mengira. Dia ada perkara yang lebih penting untuk difikirkan
tika itu.
Lantas Rihanna memejamkan
matanya. Cuba mengesan aura skrol yang dimaksudkan oleh Darius. Baris ke-13,
rak ke-21, tingkat yang ke-9. Rihanna terus berlari ke arah skrol itu. Dalam
sekejap masa, tanpa ada sebarang masalah, dia berjaya mendapat skrol yang amat
berharga kepada Darius itu. Rihanna tak punya masa hendak membelek skrol itu.
Dia pantas berlari keluar dari tempat yang menyeramkan itu.
Rihanna berlari mendaki tangga
dan kembali ke tempat pemunggahan barang. Dia terkejut apabila mendapati pedati
troll tadi dah tiada! Bagaimana dia hendak keluar dari situ? Rihanna mulai
panik. Keadaan yang sunyi tadi mulai hingar. Pekerja semakin ramai memenuhi
muzium itu. Apa akalnya untuk mencari jalan keluar?
Sedang terhendap-hendap,
tiba-tiba satu bayang hitam mendarat di hadapan Rihanna.
"Hmm...siapa lagi kalau
bukan si pengkhianat ni?"
Rihanna terdengar lembaga
hitam itu menegurnya. Sepantas kilat Rihanna mencapai pemegang pedang dari
dalam beg. Sebaik saja pemegang pedang dikeluarkan, bilahnya terus memanjang
membentuk pedang lurus yang tajam berkilat.
"Ryuu!" sapa Rihanna
yang dah bersedia untuk menyerang seandainya dia diserang.
"Rihanna!" balas
lelaki berpakaian putih di hadapannya itu.
Dia bukan mahkluk malam
seperti Darius. Dia mahkluk siang yang bukan seperti Rihanna. Ryuu ialah ketua
pengawal Muzium Terapung.
"Kembalikan skrol itu
kalau kau tak mahu cedera atau ditangkap." Ryuu memberikan amaran.
"Apa pentingnya skrol ni
sampai kau meletakkannya di sini?" Rihanna cuba memikirkan helah untuk
melepaskan diri. Berlawan dengan Ryuu adalah perkara terakhir yang mahu
dilakukannya.
"Kau tak tau apa yang dah
kau lakukan. Pulangkan skrol tu!"
"Ryuu, apa kata kalau kau
lepaskan aku? Dulu pun kita seri. Dan sampai bila-bila pun kita akan
seri."
"Ya...memang kita akan
seri. Sampai bila-bila kerana aku tak boleh bunuh kau dan kau tak boleh bunuh
aku walau bagaimana kuat pun keinginan kita nak berbunuhan sesama
sendiri."
"Hmm...teruk betul!"
Rihanna tersenyum penuh muslihat sebelum melompat tinggi menguja ke udara dan
menyebarkan debu pari-pari yang menyebabkan padangan Ryuu terhalang.
"Rihanna!" pekik
Ryuu sambil cuba mengesan aura Rihanna.
Matanya dibutakan buat
sementara dek debu pari-pari itu. Ryuu tak menyangka Rihanna akan menggunakan
helah murahan seperti itu. Nampaknya Rihanna pun dah bosan berhadapan dengan
Ryuu tanpa kemenangan mahupun kekalahan. Ryuu juga sebenarnya dah bosan
bertarung dengan Rihanna yang tiada kesudahan. Namun sebagai ketua pengawal,
dia perlu mendapatkan semula skrol yang dicuri tak kira apa cara sekali pun.
Bab 4
MENJELANG petang baru
Rihanna tiba semula di KL. Dari Tasik Bera dia terpaksa menumpang lori barang
untuk ke pekan berhampiran. Dari situ, dia terpaksa menaiki kereta sapu untuk
sampai ke bandar. Dari bandar, dia menaiki bas ekspres kembali ke kota.
Punyalah penat.
Sampai saja di rumah, Rihanna
terus tidur tak sedarkan diri kerana dah lebih 24 jam dia berjaga. Sedar-sedar
saja matahari dah terbenam. Perutnya berbunyi-bunyi minta diisi kerana seharian
dibiarkan kosong. Rihanna masih lagi terlentang di atas katil dengan beg masih
terselempang di tubuh. Tak bertenaga rasanya untuk bangun, mandi dan bertukar
pakaian.
"Nak aku tolong?"
Wajah Darius muncul di hadapan matanya.
Rihanna mengeluh. Pasti Darius
dapat membaca fikirannya. Disebabkan terlalu letih, dia tiada tenaga hendak
melindungi fikirannya daripada dibaca oleh Darius.
Darius menghulurkan tangan dan
membantu Rihanna bangun. Gadis itu terus bersila di atas katil dengan rambut
kusut-masai seperti bertahun tak disikat.
"Mana skrol tu?"
Darius duduk di hadapannya. Pakaian Darius dah bertukar. Seharian tertanam di
dalam tanah, tentu pakaian yang dipakainya semalam dah kotor.
Rihanna menanggalkan tali beg
dari tubuhnya. Kemudian dia menonggengkan beg itu untuk mengeluarkan segala isi
yang ada di dalamnya. Pemegang pedang Rihanna bergolek ke arah Darius. Sepantas
kilat Darius bangun. Rihanna hanya tersengih sebelum mencapai pemegang pedang
itu dan meletakkannya di atas meja sisi katil.
Pedang pemburu khas untuk
membunuh mahkluk malam yang dipunyai oleh Rihanna tak boleh tersentuh Darius.
Jika tersentuh, ia boleh mencederakan lelaki itu.
Darius duduk kembali di
hadapan Rihanna. Dia menyambut skrol yang dihulurkan. Terus saja skrol itu
dibuka dan isi kandungannya dibaca.
"Ni skrol apa?"
Rihanna menghampiri Darius, turut menatap skrol yang sama.
"Eh? Kenapa skrol ni
kosong?" Berkerut dahi Rihanna memandang skrol yang kosong tak berisi itu.
Pura-pura blur.
"Bukan kosong."
Darius menggulung semula skrol itu. "Kau tak buka hijab mata. Sebab tu tak
nampak." Darius menoleh ke sisinya, ke arah Rihanna. "Pergi mandilah.
Bau kau dah macam bau troll. Bau tahi lembu pun ada juga!"
"Hek elehhhhhh!"
Mahu saja Rihanna hempuk Darius dengan hulu pedangnya. Celopar sungguh mulut Demon
itu. "Siapa suruh kau hantar troll tak guna tu? Ada ke patut dia
tinggalkan aku. Mujur aku bawa debu pari-pari!" Rihanna membentak sebelum
mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik mandi.
"Dodi tinggalkan
kau?" Darius kehairanan. Mahkluk troll itu amat setia dan mereka tak
berani mengingkari arahannya. Tentu ada sesuatu yang menyebabkan dia terpaksa
ingkar. Lantas Darius menyeru Dodi mahu bertanyakan sebab mengapa dia
membiarkan Rihanna sendirian.
"Ryuu!" Nama itu
bergema dibawa angin.
Dah Darius agak. Tentu Ryuu
punya angkara. Darius menoleh ke arah pintu bilik mandi yang tertutup rapat.
Mujur Rihanna berjaya melarikan diri. Jika tak, tentu skrol itu akan terlepas
kembali ke tangan Ryuu. Tapi Darius tahu
yang Ryuu tak akan berputus asa. Pengawal itu pasti akan berusaha mengembalikan
skrol itu ke Muzium Terapung.
Sewaktu Rihanna selesai mandi
dan keluar dari bilik air, Darius tiada di situ. Dia mengeluh lega kerana tak
perlu bertegang urat menghalau Demon itu keluar dari biliknya. Terburu-buru
Rihanna memakai pakaian. Perutnya pedih. Dia amat lapar. Setelah memasukkan isi
begnya yang berselerakan di atas katil, Rihanna terus keluar dari bilik.
"Biar aku temankan
kau." Darius ada di sisinya ketika dia terkial-kial menyarung kasut.
"Kau dah makan ke belum
ni? tanya Rihanna. Bahaya berjalan bersama Darius kalau-kalau Demon itu belum
'makan'.
"Tak perlu. Skrol tu dah
buat aku kenyang." Darius menekan butang lif. Sesekali berlagak seperti
manusia, seronok juga. Tak perlulah terbang ke sana ke mari macam hantu.
Apabila pintu lif terbuka, ada
beberapa orang gadis berpakaian cantik di dalamnya. Selamba saja Rihanna
melangkah masuk. Darius turut di belakangnya.
Rihanna menekan butang untuk
menutup pintu. Belum pun seminit berada di dalam lif, Rihanna mendengar
bisik-bisik gadis-gadis cantik itu. Tentu mereka tertarik dengan wajah kacak
Darius. Mujur juga Darius dah kenyang. Kalau tak, hilang nyawa gadis-gadis tu
jawabnya.
"Kau nak makan kat
mana?" Tiba-tiba Darius menarik tubuh Rihanna rapat kepadanya.
"Eh..." Baru saja
dia hendak membantah, Darius telah menghantar isyarat fikiran kepadanya.
Oh...pura-pura saja sebab Darius tak suka dengan apa yang difikirkan oleh
gadis-gadis itu terhadap dirinya.
"Aku nak makan burger
bakar Pak Cik Bakar." Rihanna menyambung lakonan Darius. Pinggang lelaki
itu dipeluknya. Darius turut membalas perbuatan yang sama.
Rihanna terpaksa menahan gelak
apabila gadis-gadis di belakang mereka seolah-olah kecewa melihat kemesraan
Rihanna dan Darius.
"Jom sayang," ajak
Darius sewaktu lif terbuka.
Mereka melangkah agak jauh
sedikit sebelum Rihanna melepaskan pinggang Darius.
"Kesian aku tengok
minah-minah tu kecewa sebab tak dapat nak memikat kau." Rihanna ketawa.
"Baguslah. Kalau tak,
mereka yang mati kalau aku tak dapat kawal diri aku tadi." Tangan Darius
masih lagi di pinggang Rihanna.
"Kau kata kau
kenyang?"
"Tapi naluri aku memang
tak boleh dipuaskan kalau berada begitu hampir dengan mereka. Bau mereka tadi
sungguh menyelerakan!"
"Nak muntah aku
dengar!" Rihanna membuat gaya seperti hendak termuntah. Tika itu juga dia
terdengar namanya dipanggil dengan kuat.
"Rihanna!"
Rihanna mengangkat muka
memandang ke hadapan. "Addi?" Bulat matanya memandang Addi.
Wajah lelaki itu merah menahan
marah kerana terlihat Rihanna sedang berpelukan dengan lelaki lain.
Bab 5
DENGAN pantas Rihanna
cuba melepaskan diri. Tetapi Darius sengaja memeluk Rihanna dengan lebih rapat.
Rihanna menolak tangan Darius sekuat-kuatnya. Namun Darius bukan tandingan
tenaganya. Macam menolak batu saja.
Wajah Addi masih merah padam.
Tanpa berkata apa-apa, dia berpaling dan terus pergi.
"Addi! Tunggu!"
jerit Rihanna.
Tetapi Addi dah pergi, jauh
meninggalkan Rihanna dengan hati yang marah membara.
"Woi hantu!" pekik
Rihanna ke muka Darius. "Kenapa kau buat macam gini?" Rihanna masih
bergelut mahu melepaskan dirinya.
"Kenapa kau masih layan
manusia tu lagi?" Tetapi selamba saja Darius memarahi Rihanna balik.
"Suka hati akulah! Yang
kau sibuk apasal? Lepaskan akulah!" Rihanna masih lagi berusaha melepaskan
dirinya.
"Kau tak sepatutnya
bersama dia. Dia bukan macam kita." Darius berdegil tak mahu melepaskan
Rihanna.
"Macam kita?"
Rihanna merenung wajah Darius dengan marah. "Kau lain. Aku lain. Dia lain.
Kita semua tak sama!" Suara Rihanna high
pitch, menyakitkan telinga Darius yang sensitif.
Apabila Darius masih bertegas tak
mahu melepaskan dirinya, Rihanna mula seluk beg sandangnya. Pemegang pedang
dipegang dan serta-merta cahaya keluar dari situ. Cepat-cepat Darius melepaskan
Rihanna.
"Tau takut. Tadi kemain
berlagak lagi!" ejek Rihanna puas hati. "Aku tak mau jumpa kau lagi.
Dan jangan cuba-cuba nak halang hubungan aku dengan Addi!" amar Rihanna
sebelum berlari mengejar jejak Addi yang dah sejuk.
"ADDI!" Rihanna
mengetuk pintu apartmen Addi bagai nak roboh. Dia dah tak peduli lagi dengan
jiran-jiran Addi yang mungkin terganggu mendengar riuh-riuh tengah malam-malam
macam tu. Siapalah berani nak tengok? Kalau hantu yang buat kecoh, cemana?
Lama juga baru Addi bukakan
pintu. Tapak tangan Rihanna dah merah. Suaranya pun separuh serak kerana asyik
memujuk Addi.
"Addi...aku
nakkkkkk....." Suara Rihanna jadi jeritan yang agak nyaring bila Addi
terus menarik tangannya masuk ke dalam rumah.
"Kau tak tau malu ke
ketuk pintu rumah orang lelaki tengah-tengah malam macam ni?" Addi
bercekak pinggang menghadap Rihanna yang terkial-kial membetulkan dirinya yang
dah ditarik masuk ke dalam rumah secara kasar.
"Aku panggil
baik-baik...kau tak layan." Rihanna mengusap pergelangannya yang sakit.
Kasar betul si Addi ni melayannya. Kalau marah sekali pun jangan sampai main
tarik-tarik macam ni. Mujur dia tak tertunjuk tenaga luar biasanya tadi. Kalau tak
pasti Addi melopong tengok Rihanna segagah Hulk.
"Apa kau nak?" Addi
berpeluk tubuh pula sambil memalingkan muka ke arah lain.
Eleh merajuk konon. Meluat
pula Rihanna tengok perangai Addi. Jual mahal! Tapi disebabkan sayang, dia tak
peduli dengan semua tu. Yang penting dia harus jelaskan keadaan sebenar sebelum
Addi terus salah faham.
"Tadi
tu....mamat tadi tu...." Tiba-tiba Rihanna tergagap-gagap. Apa yang dia
nak cakap sebenarnya ni?
"Ha? Kenapa? Tak ada idea
nak bohong aku lagi?" Addi memetir. Langkahnya beberapa tapak dah hampir
kepada Rihanna. Hingga Rihanna terpaksa mendongak. Sama pulak tinggi si Addi
dengan Darius. Sempat lagi fikiran Rihanna melayang.
"Dia sepupu aku. Dan dia
ada hati pada aku. Tapi aku tak suka dia. Aku suka kau!" Macam peluru
sesat Rihanna mereka alasan. Apa-apa sajalah janji boleh cover kisah tadi. Kurang ajar betul si Darius tu. Bergurau tak kena
masa. Eh? Tadi tu dia bergurau ke?
"Bila pula kau ada sepupu
lelaki? Bukan kau cakap hari tu kau sebatang kara aje kat dunia ni?" Addi
sinis menyindir. Jelingannya tajam aje.
Rihanna buat muka selamba tak
bersalah. "Dia baru aje muncul dalam hidup aku. Selama ni dia duduk kat
luar negara. Tu baru balik. Sebab tu selamba-selamba aje dia nak peluk-peluk
aku. Macam budaya omputeh. Peluk-peluk...kiss
kiss pipi."
"Abis tu...ko pun ada kiss kiss dia lah?" Mata Addi
buntang memandang Rihanna.
"Choi! Choi! Gila apa?
Nak mampos????" Rihanna menjerit macam histeria. Tak dapat nak bayang
kalau Darius....yuckkksssss. Dia tak mau langsung memikirkannya. Sungguh
mengerikan! Dia kan....
"Aku datang ni nak minta
maaf. Bukan nak cakap pasal aku ngan si Dar...si Daud tuh!" Hampir
tersasul Rihanna hendak menyebut nama Darius. Sebut nama lelaki itu maknanya
dia menyeru. Kang muncul pulak dia kat sini. Lagi haru-biru petala ke tujuh
langit yang ke lapan belas!
"Ke mana kau pergi? Dua
hari ilang tak buat report?"
Suara Addi kendur. Dia duduk bersandar pada almari rendah di tepi dinding. T-shirt
warna hijau gelap lumut dan seluar celoreng masih tersarung pada badannya. Addi
baru keluar kem. Cuti agaknya.
"Out station. Tak sempat nak bagitau kau." Suara Rihanna pun dah
tenang. Dia bersandar pada dinding, mengadap Addi. "Kau cuti ke sekarang ni?"
"Cuti panjang." Addi
menghampiri Rihanna. Kedua-dua belah tapak tangannya diletakkan pada dinding di
kiri kanan Rihanna. "Jom ikut aku bercuti." Suara Addi lembut
memujuk.
"Ke mana?" Rihanna
tertahan nafas. Kedudukan Addi buat dia sesak nafas. Gila romantik mamat ni.
Tadi bukan main marah lagi. Rajuk dia hari tu pun makan masa nak pujuk. Tapi
hari ni sekejap pulak lah.
Addi tersenyum. "Apply cuti siap-siap. Seminggu
tau!"
Seminggu? Macam boleh lulus.
Tapi tak apa. Dia akan suruh Darius tolong pukau bos dia macam yang
sebelum-sebelum ni. Darius tak boleh nak tolak sebab dia kan Puteri....hehehe.
No comments:
Post a Comment