BAB 6
JENUH Salmah menunggu anak-anaknya pulang daripada berjoging.
Selalunya mereka balik cepat. Pukul 9 dah sampai ke rumah. Tetapi, sekarang
sudah jam 11 namun tidak juga muncul. Ke mana agaknya budak dua beradik itu
merayap? Kalau ia pun hendak membeli-belah ke, hendak ke kedai makan ke, takkan
tak boleh telefon dia?
Dalam resah, dia melihat
dua buah kereta berhenti di luar pagar. Kereta Nurain, tentulah Salmah kenal
dengan warna merah Viosnya. Tetapi yang sebuah lagi itu? Kereta kancil yang
buruk berwarna putih itu! Siapa punya?
Cemas rasa hati
melihat Atiqah keluar dari tempat duduk penumpang di hadapan. Semakin cemas
kerana pada masa sama seorang pemuda keluar dari tempat pemandu. Ketika anak
sulungnya itu baru hendak memulakan langkah, pemuda itu sibuk hendak memimpin
tangan Atiqah. Mujurlah anak gadisnya itu sempat mengelak. Kalau tidak, mahu
dia keluar dan tampar pipi pemuda itu.
Melampau! Siapa dia berani
benar hendak menyentuh Atiqah? Nasib baik Atifah cepat-cepat mendapatkan
kakaknya. Rasa tenang jiwanya melihat adik-beradik itu masuk ke dalam rumah.
“Apa kena kaki
kamu tu, Iqa?” sapa Salmah dengan kerutan di dahi.
“Maaf, mak cik. Anak mak
cik kemalangan tadi. Ni, kami baru balik dari klinik.”
Pemuda itu yang
memberitahu.
Pandangan Salmah
berkalih daripada Atiqah kepada pemuda itu.
“Kamu ni siapa? Macam
penagih dadah aje aku tengok?”
Erk? Zharif terkedu.
“Teruk ke kamu, Iqa? Sampai
pergi klinik? Kenapa tak berhati-hati?” tanya dia.
“Salah saya, mak
cik. Saya yang terlanggar anak mak cik ni.”
Tidak sempat Atiqah hendak
membuka mulut, Zharif terus memberitahu begitu. Sudah tentu jawapannya
menyebabkan hati Salmah jadi panas. Malah sudah hendak mencapai takat suhu
didih. Siaplah, Zharif!
“Jadi, kamu yang
langgar anak aku ni? Kenapa? Dah buta? Kalau jadi apa-apa pada dia, siap kamu!
Aku saman!” jerkah Salmah.
Garangnya? Zharif melirik
ke arah gadis yang baru sahaja duduk di atas kerusi. Ketika pandangan mata
bersabung, mereka seolah-olah sedang berdialog:
Atiqah : Apa?
Zharif : Saya tahu dah dari mana awak mewarisi sifat
garang awak tu!
Atiqah : Awak cakap apa? Saya tak fahamlah!
Zharif : Awak tu! Garang macam emak awak ni la!
Atiqah : Saya? Garang?
“Iqa!”
Tatapan terlerai.
Cepat-cepat Atiqah berpaling memandang wajah ibunya. Takut pula kalau-kalau
ibunya naik hantu macam tadi.
“Macam mana dia boleh
langgar kamu? Kamu berdiri di tengah jalan ke Iqa?”
Atiqah geleng.
“Kalau Iqa kena langgar
dengan kereta dia ni, tentu Iqa dah jadi arwah, mak,” jawabnya.
“Habis? Tayar kereta dia
gilis kaki kamu ke?”
Salmah beria-ia hendak
tahu. Dia bercadang hendak tuntut ganti rugi. Pemuda ini ada duit atau tidak,
belakang kira. Yang penting, kaki anaknya. Kalau nanti jadi cacat atau berjalan
senget sebelah, siapa yang mahu?
“Emak, sikit aje ni. Abang
Zharif terlanggar kak long masa dia berlari turun bukit. Kak long yang halang
laluan. Abang Zharif tak sempat mengelak. Dum,
dua-dua jatuh! Tapi, Abang Zharif cepat-cepat bangun. Cuma, agaknya nasib kak
long kurang baik. Tulang kat buku lali dia tu retak sikit. Doktor cakap macam
tu tadi. Doktor suruh kak long berehat. Dia bagi cuti selama seminggu.”
Panjang lebar Atifah
memberitahu. Entah kenapa dia tidak suka dengan perangai ibunya yang asyik
hendak menyalahkan Zharif. Nampak benar yang ibunya tidak sukakan lelaki itu.
Layanannya jauh berbeza berbanding pertemuan pertama dengan Afif dahulu. Adakah
penampilan dan keadaan Zharif yang comot dan serebeh ini menjadi ukurannya?
Salmah merenung wajah Nurain
pula.
“Betul ke, Ain? Mak cik tak
berapa nak percaya dengan budak dua beradik ni. Kamu pun tahu yang mereka
selalu berpakat, kan?” sindirnya kepada Atiqah dan Atifah.
Nurain tersenyum.
“Betul, mak cik. Memang
cerita Tipah tu tepat seperti apa yang berlaku tadi. Tak ada tokok-tambah.” Dia
meyakinkan.
Salmah berasa lega.
Bagaimanapun, dia tetap tidak suka kepada pemuda ini. Terutama apabila dia
tengok selalu benar mata Zharif mengintai Atiqah. Hesy, tak sesuai! Tak padan
langsung! Tak berkenan!
“Kamu ni kerja apa?”
Salmah mulakan edisi
siasat.
“Saya kerja kilang aje, mak
cik.” Zharif memberitahu. Melihat Salmah menjuihkan bibir, dia tersenyum sinis.
Mesti sedang memperlekehkan dirinya di dalam hati, dia meneka sendiri.
Sememangnya, hati yang
tidak berkenan jadi semakin menyampah. Sudah terpahat kemas dalam minda untuk
menghalang pemuda ini daripada mendekati Atiqah. Tidak ada faedahnya Atiqah
berkawan dengan budak ala-ala gangster
ini! Lagipun, Atiqah sudah ada Afif. Jadi, Atiqah tidak boleh lagi melayan
lelaki lain.
Pada ketika itu, Idris
sampai ke rumah bersama motosikal Krissnya.
Zharif segera bangun dan sebaik berdepan, terus menghulurkan tangan untuk
bersalam.
“Nama saya, Zharif,
pak cik. Saya nak mintak maaf banyak-banyak pada pak cik. Saya terlanggar anak
pak cik masa kami bersenam tadi sampai kakinya bengkak dan terseliuh.”
Idris senyum
sambil menepuk bahu Zharif. Kemudian dia memandang wajah Atiqah yang sedang
tersenyum.
“Iqa masih boleh senyum
nampaknya tu! Jadi, pak cik maafkan kamu. Tentu sikit aje cederanya tu,” balas
Idris.
Zharif ketawa kecil namun
ketawa itu mati sebaik mendengar cemuhan Salmah.
“Sikit, kata
awak? Kalau sikit, tak adanya doktor nak bagi MC sampai seminggu, bang.” Dia
membangkang. Sakit hati sebab suaminya ramah melayan Zharif.
“Eloklah tu! Iqa
mana pernah cuti sejak dia bekerja, Sal. Sekarang, doktor dah suruh dia
berehat. Biarkanlah! Rahmat daripada kemalanganlah tu!”
Idris memang sentiasa
bersikap positif. Kerana dia tahu, di sebalik musibah ada hikmah yang
tersembunyi.
“Ha’ah! Dah
setahun kerja tapi kak long tak pernah ambil cuti. Betul cakap ayah. Ada rahmat
walaupun sakit.”
Atifah yang periang sudah
mengekeh ketawa. Tidak peduli pada jegilan mata ibunya.
Zharif berdiri
semula. Tahu yang kehadirannya tidak diundang di dalam rumah ini. Jadi dia
perlu sedar diri. Perlu balik!
“Saya nak mintak diri dulu,
pak cik. Dah lewat sangat ni. Tadi dah janji nak makan tengah hari di rumah
emak.” Dia memberitahu.
Cepat-cepat Idris memandang
Atifah.
“Tipah, apa tunggu lagi tu?
Pergi cepat bancuhkan air untuk ayah dengan Zharif ni. Amboi, sampai tetamu dah
nak balik pun kau orang belum hidangkan air?” omelnya. Sebenarnya dia sedang
menyindir isterinya. Asyik nak marah-marah kepada tetamu mereka. Padahal tetamu
yang datang ke rumah, datang membawa rezeki.
Atifah angguk lantas
berlari ke dapur.
“Tak apalah, pak cik. Saya
dah lambat ni.”
Zharif meminta diri sekali
lagi.
Idris sekali lagi menahan.
“Tak ada, tak ada! Duduk,
Zharif! Bukannya lama nak buat air sirap di dapur tu.” Dia melaung.
“Tipah, cepat sikit! Ayah
dahaga sangat ni. Kamu pun sama jugak, kan?”
Zharif tersengih
sambil mengangguk. Sepasang mata melirik ke arah Atiqah yang turut tersenyum.
Salmah menjeling
ke arah suaminya. Geram! Inilah sikap Idris yang tidak begitu digemari. Mudah
benar mesra dengan orang. Buta agaknya? Tak nampak bagaimanakah rupa si Zharif
yang dilayan dengan baik ini? Hesy, benci!
“Ain, bawak Iqa
masuk bilik dia. Biar dia baring. Duduk sini nanti lagi bengkak kaki tu!”
arahnya kepada Nurain.
Nurain patuh
menurut perintah. Atiqah juga. Tapi, sebelum melangkah Atiqah sempat lagi
berkata kepada Zharif.
“Awak, terima kasih sebab
bawa saya ke klinik tadi. Nanti balik, bawak kereta elok-elok tau. Taknaklah cilok-cilok macam tadi.”
Zharif ketawa
mendengar usikan itu.
“Tadi tu sebab saya nak
cepat bawak awak jumpa doktor,” sahutnya.
“Yalah tu! Tak percayalah
saya. Saya rasa memang awak ni suka drive laju-laju. Lepas tu suka menyelit-nyelit
pulak. Dengan kancil, mudah ajelah awak buat kan?”
Salmah menjuihkan
bibir saat orang lain ketawa mendengar usikan Atiqah itu.
“Dah tu, Iqa. Pergi masuk!”
arahnya dengan suara melengking kuat.
Atiqah kerut dahi
tanda tak faham dengan angin ibunya. Namun sebagai anak yang baik, dia patuh
perintah ibunya itu.
Zharif mengambil
kesempatan itu untuk menunjuk isyarat yang dia akan menelefon Atiqah nanti.
Isyarat yang menyebabkan Atiqah senyum sampai ke telinga.
BAB 7
ZHARIF
duduk di birai katil. Dia tersenyum apabila melihat jarum jam yang sudah
menunjuk angka sepuluh. Waktu untuk dia mengusik seseorang sudah tiba. Jadi,
laju sahaja jemarinya menekan butang ‘speed
dial’ nombor milik Atiqah.
“Saya tak nak kacau awak, Iqa. Just nak ucap selamat malam aje.” Zharif
memulakan bicara.
“Jadi, lepas ucap terus nak tidurlah
tu, ya?” tanya Atiqah. Suara halusnya yang menyapa telinga Zharif, menggetar
perasaan.
“Iyalah! Nak buat apa lagi?” Sengaja
mengusik.
“Tak apalah kalau macam tu...”
‘Aik, bunyi macam merajuk aje. Jangan,
Zharif! Nanti jenuh kau nak pujuk dia.’ desis hati Zharif.
“Alah, Iqa. Janganlah! Sembanglah
dengan saya.”
Atiqah ketawa sahaja di hujung talian.
“Tak kuasa! Esok, saya mula kerja,
tau!”
Zharif tepuk dahi.
“Lupa pulak saya. Esok Isnin, kan?
Tapi, kaki awak tu dah betul-betul sembuh ke? Boleh berjalan dah?”
“Alhamdulillah. Jangan risaulah! Kaki
saya dah baik!”
“Kalau macam tu, baguslah. Pergi kerja
dengan siapa? Takkan naik bas kut?” tanya Zharif.
“Alah awak ni! Hari tu saya naik bas
sebab Ain pergi kursus.”
“Okey, faham. Tapi kenapa awak tak drive? Tak ada lesen ke?”
“Ada. Tapi saya takut nak bawak kereta.
Seramlah bila kat atas jalan tu.”
Aduhai, manjanya suara! Cair hati ni,
Cik Atiqah oi! Rasa rindulah pulak. Lantas, ligat otaknya mengatur pertemuan.
Ya, dia ingin berjumpa dengan Atiqah lagi.
“Apa kata, saya ajar awak memandu
semula? Rasanya, kalau dalam 4 jam, awak dah boleh mahir nanti.” Zharif
mempelawa.
“Belajar dengan awak? Eeii, tak naklah saya. Takut! Awak tu
garang sangat!”
Zharif ketawa besar. Geli hati sebab
Atiqah selalu benar cakap begitu. Selalu sangat menuduhnya seorang yang garang.
“Tapi, Iqa, garang-garang saya ni, saya
romantis giler, kan? Tengok betapa
beruntungnya awak jadi mak we saya? Hari-hari saya bagi bunga, kan?” usiknya.
“Eeii,
stop! Stop! Mengada-ngada! Bila entah orang jadi mak we dia? Perasan!”
balas Atiqah sambil tergelak kecil.
“Tak nak? Jangan, Iqa. Nanti awak
menyesal. Guling-guling atas tanah sebab frust!”
usik Zharif lagi.
Atiqah ketawa halus.
“Dalam telefon, macam-macam awak cakap.
Tapi bila datang rumah, menikus aje. Tunjuk alim depan ayah saya, kan?”
“Itu tanda hormat bakal bapak
mertua, tahu!” Zharif memintas.
Atiqah tersengih. Main-main sungguh
pemuda ini dengannya sekarang. Tidak disangka-sangka, ini dia sikap sebenar
Zharif Ikmal. Zharif tidak sombong malah dia suka bergurau. Seronok berbual
dengannya.
“Iqa!”
Meremang bulu tengkuk mendengar
namanya diseru penuh romantis. Tetapi, Atiqah tidak mahu melayan perasaan.
Bimbang nanti bertepuk sebelah tangan sahaja. Kata orang tua-tua, harap ada,
percaya tidak. Begitulah dia dengan Zharif. Dia mengharapkan pemuda itu serius
dengannya tetapi mereka baharu benar kenal. Takkan dalam tempoh sesingkat ini
sudah ada bunga-bunga cinta di dalam hati?
“Nak apa?”
Sengaja ditegaskan suaranya.
Zharif membaringkan diri di atas
tilam empuknya.
“Nak beritahu awak yang saya pernah
bertekad tak mahu jatuh cinta sebelum kahwin,” ujar Zharif perlahan.
Atiqah tersentak. Amarankah itu?
Apakah yang Zharif maksudkan? Signal
untuk dia? Agar tidak berharap?
“Iqa, awak dengar tak?”
“Dengar! Faham dah pun!” balas
Atiqah keras.
Zharif kerut dahi. Dia hairan kenapa
suara Atiqah tiba-tiba jadi tegang. Tadi, manja bukan main. Sekarang,
kedengaran seperti marah pula.
Kenapa Atiqah marah? Dia belum habis
cakap lagi!
“Faham? Faham apa, Iqa?” soalnya
keliru.
“Fahamlah! Faham yang awak dah beri
amaran supaya saya tak jatuh cinta dengan awak, kan? Okey, mesej diterima. Saya
janji, saya akan jaga hati saya ni supaya tak jatuh cinta pada awak.”
“Iqa?”
“Lepas ni, jangan bagi bunga pada saya
lagi!” pesan Atiqah.
Erk? Zharif garu kepala.
“Jangan mesej-mesej dengan saya dah!”
Pulak?
“Tak payah telefon lagi. Tak nak dengar
usikan-usikan awak pun!”
Tak boleh jadi ni!
“Iqa? Awak dah salah faham ni. Saya...”
Atiqah pintas cepat-cepat.
“Zharif, saya nak tidur. Dah lewat
sangat ni. Esok nak kerja. Terima kasih sebab sudi layan saya selama ni, awak.
Selamat malam.”
Tidak menunggu jawapan Zharif, terus
talian dimatikan.
Zharif resah. Dia bangun lalu
berkawad ke hulu ke hilir di dalam bilik sempitnya. Sekejap dia ke hadapan,
sekejap ke belakang. Selepas dia berdiri, dia duduk pula. Kemudian bangkit
semula.
“Tak boleh jadi ni! Tak boleh
biarkan Atiqah salah faham. Kena betulkan ayat tu semula. Mesti!” gumamnya.
Dia duduk. Tekun dia menekan aksara
pada Samsung kesayangan. Selesai mengarang, dia baca dan baca lagi. Setelah
berpuas hati, butang ‘send’ ditekan.
Dan senyum menghiasi wajah...
BAB 8
*Jangan
marah-marah, nanti berkerut dahi, tak cantik muka tu dah! Fasal tadi, saya
minta maaf banyak-banyak, Iqa. Saya tahu, awak marah. Tapi sebenarnya, saya nak
sambung lagi. Cuma awak tak mahu dengar. Kecewa dah ni, tau!*
ATIQAH
menjuihkan bibir mungilnya sebaik sudah membaca titipan pesanan ringkas
daripada Zharif itu. Minta maaf, konon? Untuk apa? Isk, lelaki memang selalu begini, kan? Sudah puas menyakiti hati, barulah
tersedar bahawa dia sudah membuat salah. Kemudian, sibuk hendak memujuk pula.
Bukankah lebih baik seandainya Zharif
berfikir dahulu sebelum membuat kenyataan bodoh itu semalam? Tidak mahu
bercinta sebelum kahwin, konon? Siapakah dia untuk menentukannya? Soal hati dan
perasaan... Bukankah semua itu milik Dia?
SMS itu tidak dibalas. Kenapa?
Kerana Atiqah tidak mahu berharap. Sebab itu, apabila SMS kedua diterima,
dengan malas, dia membacanya. Niat di hati, dia akan delete mesej itu nanti. Tapi, manalah menyangka bahawa hati akan
bergetar secara tiba-tiba? Mengocak suatu rasa di dalam jiwa? Hanya dengan...
*Iqa, esok hari jadi awak, kan? Awak nak hadiah
apa ya? Hmm, awak nak hati saya tak?*
Atiqah sudah tersenyum meleret.
“Nak! Nak!” hati membisik.
Bertuahlah badan andai hadiah itu yang
dia dapat! Sekeping hati Zharif menjadi miliknya. Tentu bahagia!
*Diam aje? Tak apa, kalau awak tak nak ambil
hati saya. Apa kata awak beri hati awak pada saya. Boleh, Iqa?*
Senyum menjadi semakin lebar. Bahagia
memenuhi relung hati kerana buat pertama kali Zharif bercakap tentang hati.
Tentu ada mesej tersirat yang ingin disampaikan, fikirnya.
Kalau difikir betul-betul, itu adalah
luahan rasa hati pemuda itu terhadapnya? Bahawa, ada cinta sedang bermukim.
Bahawa, Atiqah tidak bertepuk sebelah tangan. Bahawa, di dalam diam, hati
masing-masing sudah dicuri.
Tiba-tiba, Atiqah rasa malu hendak
membalas pesanan ringkas Zharif itu. Jemari jadi kaku, tidak tahu apa yang
harus ditulis. Banyak yang ingin dikatakan namun tidak terluah.
‘Alah, esok-esok ajelah aku balas.
Malam ni, biar dia terdera menanti jawapan aku. Semalam dia buat aku sedih,
kan? So, it’s payback time now.
Semalam aku tak boleh lena. Malam ni, biar dia pulak yang tak boleh lelap. Baru
adil!
Dan, Atiqah tersenyum membayangkan
Zharif dalam keresahan. Zharif yang kegelisahan. Biar lelaki itu mengerti erti
sebuah penantian. Bukankah penantian suatu penyeksaan?
‘Ya, tunggu esok, Zharif! Iqa pun tak
suka berteka-teki. Iqa pun tak suka hendak memendam perasaan. Bagi Iqa, kalau
hati sudah suka, kita perlu meluahkannya! Tak payah nak sorok-sorok, okey!
Jadi, esoklah masanya untuk kita berterus terang. Bersabarlah!’
“Tahulah yang kau sekarang tengah
dilanda perasaan. Tapi, apa ke halnya duk tengok skrin telefon sambil
tersengih-sengih? Kat mata kau asyik terbayang muka mamat sengal tu ya?” Nurain
menyindir. Mug air yang dihulurkan
Atifah, disambutnya.
Malam ini, Atiqah berdua beradik
bertamu ke rumah Nurain. Mereka hendak melarikan diri daripada bebelan Salmah
sekejap. Letih mendengar omelannya. Ada-ada sahaja yang hendak dikutuk tentang
Zharif.
“Mamat sengal? Siapa?” Atiqah
pura-pura bertanya.
“Eleh, buat-buat tanya konon? Siapa
lagi? Zharif la?” jawab Nurain sambil tersengih.
Kan dah cakap? Mesti Zharif yang Nurain
maksudkan. Sengal? Alahai, tahulah yang Zharif tu sempoi sangat orangnya.
Selekeh pulak tu! Tetapi, kalau asyik menaruh minat kepada lelaki yang handsome, anak orang kaya, bergaya,
tegap, maco, mengharap agar pemuda sebegitu mahu menjadi suami, kasihanlah pula
kepada mamat-mamat sengal, kan? Tak laku pulak mereka nanti.
Samalah juga sekiranya yang cantik
memilih hanya pemuda kacak untuk menjadi suami. Tentu kasihan kepada pemuda
yang tidak kacak. Atau pemuda kacak hanya mahukan perempuan cantik. Maka,
ramailah yang tidak cantik menjadi andartu pula.
Sebenarnya Allah itu Maha Adil.
Diciptakan manusia itu berpasang-pasangan. Lelaki dan perempuan saling
melengkapi.
“Alah, Kak Ain. Kak long memang
macam tu sekarang ni. Asyik berangan saja. Tengah angaulah, katakan?” Atifah
mengejek.
“Yalah, orang dah pandai merindu,
Tipah. Bukan macam kita berdua. Siapa pun tak sudi, kan?” usik Nurain pula.
“Macam-macamlah kau orang berdua
ni,” balas Atiqah sambil tergelak-gelak.
“Ehem, ehem,” Atifah berdehem untuk
menarik perhatian Atiqah kepadanya.
Nurain mengerutkan dahi.
“Apa kena kamu, Tipah? Sakit kerongkong
ke?” sindirnya.
“Ha’ah! Kenapa kamu, Tipah?” tanya
Atiqah, serius sahaja mukanya apabila memandang Atifah.
“Orang nak tanya satu benda pada kak
long,” kata Atifah.
“Apa dia?”
Atifah tersengih.
“Kak long suka Abang Zharif ya?” tanya
dia.
Atiqah mengangguk penuh yakin.
“Dah jatuh cinta pada dia?”
“Mungkin.”
Satu jawapan selamat.
“Tapi kan baru kenal aje? Macam mana
kak long yakin yang itu cinta?”
Wah, Atifah benar-benar mendesak.
“Jangan tanya kenapa dan bagaimana
seseorang boleh jatuh cinta, Tipah. Semua tu kerja Dia. Perasaan tu Allah yang
semai dalam diri kita.”
Atiqah bersetuju sangat dengan pendapat
Nurain itu. Hati, kalau sudah suka? Bagai kilat perasaan ini datang. Dalam
jangka masa yang amat singkat pula tu! Sebab itu orang kata, cinta boleh
bersemi dalam tempoh sesaat sahaja. Daripada mata yang melihat, turun ke hati
yang menyemai harapan.
“Dia? Dia sukakan kak long tak?”
Atiqah angkat bahu tanda tidak tahu.
“Ajaklah dia pergi dating! Luahkan apa yang kak long rasa.
Nanti, dia curahkan pulak isi hati dia pada kak long. Kalau diam macam ni, bila
nak bercinta?”
Atifah memberikan pendapat tanpa
dipinta.
“Kalau dah suka sama suka, usah
tunggu lama-lama. Suruh dia masuk meminang. Kalau boleh, terus kahwin. Cepat
sikit aku dapat anak angkat. Tipah jadi mak su. Kan, Tipah?” usik Nurain pula.
Atiqah tersengih mendengarnya.
“Itulah, kan? Tak boleh benci sangat
pada orang. Tengok apa dah jadi sekarang? Tidur pun tak berapa nak lena. Makan
pun tak berapa nak kenyang,” tambah Atifah pula.
Atiqah mengekek mendengar sindiran
Atifah itu.
“Gelak, gelak jugak, kak long. Tapi kak
long kena alert dengan emak. Dia dah
dapat baca isi hati kak long tu. Takut nanti emak betul-betul paksa kak long
kahwin dengan Abang Afif. Macam mana? Sudi ke? Rela?”
Atiqah risau mendengar soalan itu.
Relakah dia? Sudikah dia berkahwin dengan Afif, lelaki pilihan ibunya itu?
Bagaimana dengan Zharif? Sanggupkah dia melupakan Zharif untuk memenuhi impian
dan harapan ibunya?
“Tipah, kamu rasa emak sanggup ke paksa
kak long?” tanya Atiqah.
Atifah jongket bahu.
“Entahlah, tak berani nak cakap, kak
long. Tapi kan, emak nampak nekad aje sekarang. Dia betul-betul sukakan Dr Afif
tu. Calon menantu terbaiklah, katakan.”
Atiqah mengeluh halus. Dia juga tahu
itu. Kalau ada pertandingan, tentu sahaja Zharif sudah KO. Berkali-kali dia kalah KO
dengan Afif. Malah, kalau bukan Afif pun, ibunya pasti memberi kemenangan KO kepada mana-mana lelaki lain. Sejak
dari awal lagi, Zharif sudah lama tewas.
Tetapi, bolehkah apa yang tercatat
dalam titipan pesanan Zharif itu dianggap sebagai luahan perasaan? Apakah itu
luahan cinta? Keliru sudah!
Tak apa! Nanti saja dia tanyakan
Zharif.
“Eh hmm!”
Nurain dan Atiqah serentak mengalih
pandang ke arah Atifah. Kenapa berdehem bagai?
“Apa kena kamu, Tipah? Tak habis-habis
dengan sakit kerongkong lagi ke?” sindir Nurain.
“Tak adalah, Kak Ain. Orang geram
tengok kak long ni. Tanya dia macam-macam tapi sikit pun dia tak jawab.
Esok-esok kalau jadi apa-apa, macam mana orang nak tolong dia?” Atifah mengadu.
Nurain ketawa besar.
Atiqah menjegilkan matanya yang cantik
itu.
“Jadi apa-apa tu, apa?” tanya dia.
“Macam orang cakap tadilah. Orang takut
emak paksa kak long terima Dr Afif sebagai calon suami. Takut emak tak
pedulikan perasaan kak long nanti. Bukan kak long tak tahu yang emak tu suka
guna kuasa veto dia. Kalau dia dah
tetapkan fikiran, boleh ke kalau kak long nak membantah nanti?” tanya Atifah
dengan wajah serius.
Gementar perasaan Atiqah mendengar
kata-kata adiknya itu.
‘Adik, mak tak kejam la!’ desis hati.
“Kak long, cepat-cepatlah bincang
dengan Abang Zharif. Tanya dia...”
“Hesy, takkan kak long nak mulakan
dulu? Malulah!”
Wajah Atifah masam mencuka.
“Habis, kalau kak long tak cakap, macam
mana Abang Zharif nak tahu isi hati kak long? Kalau Abang Zharif tak tahu, macam
mana dia nak masuk meminang? Macam mana nak kahwin? Ke, kak long sanggup jadi
isteri Dr Afif?”
“Eeii...
pleaseee! Tak
mahulah kak long.”
Masing-masing ketawa melihat ekspresi
muka Atiqah. Macam alergik sahaja mendengar nama Afif.
BAB 9
SEUSAI solat Isyak, Salmah mengajak Idris berbual di ruang tamu.
Dah kebetulan anak-anak tak ada di rumah, dia hendak menggunakan kesempatan ini
untuk berbincang hati ke hati dengan suaminya. Dia mahu Idris tahu betapa susah
hatinya sekarang. Dia mahu masalah ini diselesaikan segera. Mesti!
“Abang, abang tahu tak
betapa rimasnya saya sekarang?” Salmah bertanya.
“Rimas dengan siapa?” tanya
Idris acuh tak acuh.
“Abang tak sedar ke? Bang,
tengok sekeliling awak! Tak nampak ke awak jambangan bunga hidup yang banyak
tu?”
Idris memerhati ke sekitar
ruang tamu yang berbau harum. Dia melihat ada beberapa buah pasu berisi
jambangan bunga mawar pelbagai warna.
“Setiap hari, ada aje budak
dari ‘Lover’s Florist’ yang datang
untuk hantar jambangan bunga ke rumah kita ni. Hari ini bunga teluki, esok pula
bunga tulip. Lepas itu bunga mawar. Putih? Kuning? Pink? Merah hati? Semua jenis ada. Abang tak perasan ke?” tanya Salmah.
“Jadi?”
“Abang, abang tahu tak
siapa pengirimnya? Tak ada orang lain selain dia. Budak tu!”
Idris sengih. “Itu pun nak
jadi isu? Biarlah, Sal. Duit dia banyak kut? Tu yang hari-hari dia hantar bunga
ke sini. Bagus apa? Wangi rumah kita.”
“Banyak duit? Zharif yang
kerja kilang tu abang kata banyak duit? Mengarut! Tapi, kalau dia banyak duit
pun saya tetap tak suka dia.” marah Salmah.
“Awak cemburu ke
sebab Zharif bagi bunga tu pada Iqa? Bukan pada awak?” usik Idris sambil
tertawa halus.
“Abang!” jerit Salmah
sambil menampar paha suaminya.
“Sakitlah, yang.
Garangnya awak ni,” kata Idris sambil menggosok paha yang sedikit sengal.
“Lain kali jangan
nak bergurau bila saya serius.”
“Yalah!” Idris
beralah.
Suasana sepi
seketika. Masing-masing tidak bersuara. Masing-masing sedang membayangkan wajah
Zharif agaknya.
“Sal, Zharif tu bukan alien. Dia baik. Setiap kali dia datang
sini dan berbual dengan abang, abang tak nampak sikap buruk dia. Yang awak anti sangat dengan dia tu, kenapa?”
tanya Idris menghilangkan kebisuan di antara mereka.
“Alah, baik nak mengena!”
“Awak ni!”
“Saya hairan dengan sikap
abang ni. Budak Zharif yang macam kutu rayau tu abang kata baik?”
“Ya! Dia ramah. Dia hormat
saya. Dia hormat awak. Bercakap dengan suara yang rendah dengan kita. Beradab
aje! Apa yang kurang lagi?” tanya Idris.
“Diri dia tak terurus.
Kereta kecik. Buruk pulak tu.”
“Itu semua luaran. Awak ni materialistik
ke apa ni?”
Salmah tarik muka.
“Habis, Zharif tu berakhlak
sangatlah? Beragama sangat? Alim?”
Suara keras isterinya
menyebabkan Idris tersentak. Lama baru dia menyahut.
“Salmah, kalau ada jodoh anak
awak dengan Afif, tak akan ke mana. Kalau Allah dah tetapkan nama suami Atiqah
tu, Afif, tak adanya Zharif dapat potong jalan! Yang susah hati tak tentu fasal
ni, kenapa? Awak tak percaya pada qadak dan qadar?” marahnya.
Salmah terdiam
untuk seketika. Mencari cara untuk memahamkan si suami.
“Fikir apa lagi tu?” tanya
Idris. Bimbang melihat sikap isterinya. Apakah lagi yang mahu dikatakan?
Tiba-tiba Salmah tersenyum
meleret menyebabkan Idris mengangkat kening.
“Saya nak suruh
Nora masuk meminang. Lagi cepat, lagi baik!” ujar Salmah setelah agak lama
membisu.
Idris termangu.
“Biar betul awak ni, Sal!”
“Itu aje caranya,
bang. Supaya kita dapat berbesan dengan Nora dan Dr Husin,” kata Salmah lagi,
penuh semangat.
Idris melepaskan
keluhan.
“Oh! Jadi, sebenarnya
itulah tujuan awak, ya? Nak berbesan dengan doktor? Nak bermenantukan seorang
doktor? Uisy, panjang angan-angan
awak, ya Sal?” sindirnya.
“Tak adalah,
bang. Saya nak Afif jadi menantu kita sebab kita dah kenal Nora dengan Dr Husin
tu. Dah kenal hati budi mereka. Kalau daripada keluarga baik-baik, tentulah
Afif seorang yang baik, kan?” nafi Salmah beria-ia.
Idris tersenyum.
Sinis sekali kelihatannya.
“Yalah tu! Pada awak,
Zharif tak sesuai jadi calon menantu awak, kan? Tak sesuai jadi suami Iqa!
Yalah, berapa sangat gaji Zharif? Budak tu kerja kilang aje. Mampu ke dia nak
tanggung Iqa nanti? Kalau tengokkan gayanya sekarang, tentu awak ingat yang dia
tu nak tampung diri sendiri pun tak lepas. Iya tak?”
“Memang! Cuba abang fikir.
Awak suka ke kalau esok-esok, selepas dia kahwin dengan Iqa, habis dia ambil
duit gaji anak kita tu. Lelaki macam dia tu... Hesy!” bentak Salmah.
“Saya tak fikir Zharif
sanggup buat macam tu!”
“Awak boleh jamin ke? Tak,
kan? Bang, saya tak mahu nanti kita menyesal kemudian.”
“Susah cakap dengan awak
ni, Sal. Asyik cakap awak aje yang betul.”
“Memang. Saya selalu betul!
Sebab itu, sebelum cinta Iqa pada Zharif berputik, lebih baik saya cantas.”
“Atiqah tu dah besar, Sal. Abang tak
suka awak paksa dia.”
“Abang, abang tahu tak? Kalau Iqa
dengan Zharif? Pakat naik kancillah jawabnya! Buatnya selepas kahwin nanti, dia
cakap nak duduk dengan kita. Macam mana? Suka?”
Idris tersengih lebar.
“Apa salahnya? Anak kita dua orang aje,
Sal. Kalau menantu abang sanggup duduk sekali di sini dengan kita,
alhamdulillah. Ada juga teman abang berbual. Ada juga teman abang nak pergi ke
masjid,” balasnya.
“Hesy! Tak rela!”
Sekali lagi terdengar keluhan keluar
daripada mulut Idris.
“Sal, abang takut Nora aje yang
beria-ia nak bermenantukan Iqa. Tapi, Afif? Entah-entah, Afif dah ada calonnya
sendiri. Lagipun, harta dengan wang ringgit bukan jaminan bahagia, Sal. Tengok
kita berdua. Abang tak kaya, kan? Habis, awak tak bahagia dengan abang? Macam
tu?”
Salmah tidak tahu hendak cakap apa-apa
lagi. Takut suaminya salah faham. Nanti kalau Idris kecil hati, susah dia
hendak memujuk. Orang tualah, katakan?
“Awak tahu tak, Sal? Bila tengok sikap
awak ni, dah macam tengok Mak Dara dalam Ibu Mertuaku pulak! Garang, pandang
harta, sombong pulak tu! Ingat, Sal! Jangan duk perlekeh orang sangat.
Esok-esok, diri awak pulak orang perlekeh. Sakit nanti!” ucap Idris penuh
sindiran. Kalau Salmah masih juga tidak faham-faham, tak tahulah!
Salmah ketawa mendengar omelan
suaminya itu.
“Saya buat semua ni untuk Iqa, bang.
Supaya dia gembira. Supaya dia hidup senang. Tentang Afif, abang usah risau.
Kata Nora, Afif memang dah berkenan dengan Iqa. Insya-Allah, Iqa akan bahagia
jadi bini Afif tu. Abang tengoklah nanti!”
Lama Idris termangu memandang wajah
isterinya. Dia diam, malas hendak terus membangkang. Mustahil dia akan menang.
Baik tutup mulut, tutup buku dan pura-pura menguap.
“Abang dah mengantuk. Esok aje
sambung angan-angan awak tu. Selamat malam.”
“Abang, Iqa akan bahagia dengan
Afif. Saya yakin!”
Salmah berbisik sendiri sambil melihat
suaminya mengatur langkah lemah menuju ke bilik mereka. Dia sudah nekad. Esok
dia akan hubungi Nora. Majlis pertunangan Iqa – Afif akan diatur nanti dengan
seberapa segera yang boleh!
BAB 10
ZHARIF
menunggu dengan sabar di tempat letak kereta Hospital Selayang sambil melayan
lagu dan celoteh juruhebah radio Suria
FM, siaran kegemarannya. Menanti Afif menghabiskan tugasannya, memang
begini. Abang sepupunya itu tidak pernah menepati masa. Asyik lewat sahaja!
Nanti, pasti akan ada alasan yang diberi oleh tuan doktor itu.
Ada kes kecemasanlah! Ada pesakit yang
tiba-tiba semakin tenat. Ada yang baru masuk dan perlukan perhatiannya di wad!
Alahai, Zharif sudah mangli, sudah
biasa benar dengan sikap abang sepupunya ini. Jadi, sabar ajelah!
Tiba-tiba hati teringat kepada Atiqah.
Segera telefon bimbit dikeluarkan daripada kocek seluar. Melihat skrin yang
kosong, Zharif mengeluh kecil. Kecewa.
‘Nampaknya, awak merajuk benar dengan
saya, Iqa. Dah dua minggu tapi awak langsung tak call saya. Mesej saya pun awak tak balas. Bila saya call awak, awak tak angkat pulak. Haih,
apa nak jadi dengan kita berdua ni? Awak tak suka saya ke?’
Risau sungguh hatinya. Bimbang diri
bertepuk sebelah tangan. Pasti kecewa nanti!
Ketukan pada cermin tingkap
mengejutkannya. Bulat sepasang bola mata melihat si dia yang sudah tersengih,
menanti dia keluar untuk menyapa. Cepat-cepat Zharif membuka pintu kereta.
“Adira? Dr Adira? Kau buat apa di
sini?” tanya dia. Teruja ya amat kerana Dr Adira, gadis manis di hadapannya ini
ialah bekas teman sekelas Zharif semasa di sekolah menengah dahulu. Orangnya
tinggi, berkulit putih, cantik sekali. Meskipun penampilannya agak ringkas
namun gaya seorang doktor itu tetap terserlah.
“Weh, ini kan hospital? Aku pulak
doktor! Tentulah aku kerja kat sini. Kau pulak? Apa kau buat dalam kereta
ni?”
Zharif resah. Serba salah untuk
menjawab. “Adalah.”
Jawapan paling selamat dapat diberi.
Adira mengerutkan dahi. Jawapan itu
tidak berapa digemari.
“Cakap betul-betullah, Zharif. Kau buat
apa dalam kereta ni? Tunggu mak we, eh?” Dia mengusik.
“Pandailah, kau! Aku mana ada mak we
la.” Cepat-cepat Zharif menafikan.
Riak wajah Adira sudah tidak ceria
lagi. Kalau bukan mak we, tentu lelaki itu. Dia tahu sangat betapa rapat
perhubungan di antara Zharif dengan lelaki itu. Sejak dia mengenali
kedua-duanya, di mana ada Afif, di situ ada Zharif. Begitu juga sebaliknya.
Mereka berdua bagaikan isi dengan kuku.
“Jadi, kau tentu tengah tunggu dia,
kan? Kalau macam tu, lebih baik aku jalan dulu, Zharif.”
Adira sudah ingin melangkah pergi
ketika Zharif bertanya.
“Dira? Tak boleh ke kalau kita berbual sekejap?
Kenapa nak pergi padahal kita baru jumpa?”
Adira menoleh memandang Zharif.
“Kau pun tahu apa sebabnya. Lagi mahu
tanya?” soalan dijawab dengan soalan.
“Memang aku tunggu Afif. Jadi, apa
masalah kau? Takkan sebab dia, aku tak boleh berbual dengan kawan baik aku masa
di sekolah dulu? Takkan sebab dia, kau tak boleh bercakap dengan aku?”
Ada kemarahan dalam lantunan suara
Zharif kali ini.
Adira berpatah balik dan kali ini, dia
berdiri betul-betul di hadapan Zharif. Mendongak, dia meluah rasa tidak
senangnya.
“Masalahnya, Zharif, aku tak boleh
tengok muka dia. Aku hangin satu
badan bila nampak dia. Hati aku ni sakit sangat bila aku teringat apa dia buat
pada manusia yang kat rumah aku tu. Jadi, nak selamat, lebih baik kami jangan
bertembung. Tak gitu?”
Lama Zharif termangu mendengar
kemarahan di sebalik suara Adira. Lama, baru dia mampu bersuara.
“Kau dah tak pandai bergurau, Dira. Tak
macam dulu. Serius betul kau terutama sejak...”
“Sejak abang sepupu kesayangan kau tu
tinggalkan kakak aku!” Adira pintas cakap Zharif.
“Hmm, betul tu! Dia bukan saja dah
bunuh jiwa dan perasaan Syakila. Dia jugak dah menyebabkan hidup keluarga aku
yang bahagia dulu, jadi huru hara! Dia dah musnahkan kegembiraan kami, Zharif!
Sebab itu, aku dah tak reti nak senyum langsung.” Adira bersuara tegas dengan
wajah yang amat serius.
Zharif terdiam. Bentakan Dr Adira
menyebabkan dia terkedu. Namun, sedikit sebanyak dia faham kenapa Adira begitu
bencikan Afif.
Siapakah yang tidak marah kepada lelaki
yang telah menyebabkan kakak kesayangannya jatuh sakit?
Siapakah yang tidak membenci kepada
lelaki yang telah berjanji untuk sehidup semati dengan kakaknya tapi lelaki itu
bukan sahaja tidak menunaikan janji malah telah memutuskan hubungan mereka?
“Lama sungguh mereka bercinta, kan?
Sejak di tahun satu lagi. Ke hulu, ke hilir, macam belangkas. Tup-tup, bila dah
tamat belajar, waktu masing-masing hendak memulakan karier, terus Afif putuskan
hubungan mereka. Macam mana kakak aku tak jadi gila, Zharif? Cuba kau cakap!”
hambur Adira.
Sememangnya, kisah cinta Afif – Syakila
diketahui oleh keluarga Syakila. Malah direstui! Dan setahu Zharif, ibu dan
ayah Syakila sangat sayangkan Afif.
Zharif menyandarkan tubuh ke kereta.
Kaku jadinya apabila mendengar kemarahan Adira. Namun, apakah yang dapat
dilakukannya? Dia sendiri pelik dengan kerenah Afif. Konon, Syakila ialah cinta
hatinya. Konon, cintanya hanya satu, untuk Syakila seorang. Nampaknya, semua
itu hanya dongengan. Cinta mereka tidak kesampaian.
“Sejak bila kau posting kat sini, Dira?”
Zharif sengaja tidak mahu meneruskan
perbualan tentang kisah cinta Afif.
Adira menarik nafas lega. Berterima
kasih kerana Zharif tidak berlama-lama dengan kisah menyayat itu. Hati yang
panas tadi kini dah menyejuk. Ialah... Dia marahkan Afif. Tetapi, haruskah
Zharif menjadi mangsa amukan dan kebenciannya? Haruskah tempias itu kena pada
Zharif?
“Baru aje! Esok, genap sebulan aku
kat sini.”
Hanya itu sebagai jawapan.
“Oh, ya ke? Baguslah! Nanti, kalau
aku ada masalah dengan jiwa aku ni, boleh aku cari kau, kan?”
Zharif berjenaka untuk mengurangkan
ketegangan di antara mereka. Lega hatinya melihat raut Adira yang sudah mampu
tersenyum semula. Bagaimanapun, melihat Adira, masakan boleh dia membisu dan
membiarkan sahaja persoalan tentang Syakila. Dia ingin tahu tentang keadaan
gadis itu lagi.
“Dira? Dah lama peristiwa itu berlaku. Macam
mana dengan Sya sekarang? Dah okey ke? Dah dapat terima kenyataan tak?” tanya
dia.
Lama Adira menatap wajah Zharif.
Kalau ikutkan hati yang sakit, dia tidak mahu menjawab soalan itu. Lelaki ini
bertanya tentang Syakila yang putus cinta dengan Afif namun keadaannya
mengalahkan perempuan yang kematian suami.
Bagaimanapun, dia tidak mungkin marah
kepada Zharif. Bukan Zharif yang bercinta dengan Syakila, tapi Afif! Afiflah
kekasih kakaknya. Afif, cinta agung kakaknya. Afif, cinta pertama Syakila,
cinta yang sukar sungguh untuk dilepaskan.
Susah hendak membuka mulut untuk
bertanya tentang Syakila. Bimbang Adira membentak. Bimbang Adira naik angin.
Bimbang kalau-kalau soalan yang ditanya itu... salah.
Memang pun! Soalan yang salah! Dahi
Adira sudah berkerut semula nampaknya. Jelas dia tidak suka mendengar
pertanyaan itu!
“Dira, maafkan aku. Aku...”
“Yang kau pulak mintak maaf ni,
kenapa? Bukan salah kau, Rif. Abang sepupu kau tu yang tak bertanggungjawab.
Dia yang tergamak buat Sya sampai jadi macam orang tak betul,” tukas Adira.
“Dira!”
“Kenapa Afif buat macam tu? Nak kata
dia ada buah hati yang lain, dia tak kahwin-kahwin sampai sekarang, kan? Apa
agaknya masalah dia orang ya? Perangai Sya tu memang berubah 100 peratus.
Sampai sekarang, dia asyik murung. Asyik sedih! Malah, dia kena makan tranquilizer, kau tahu tak? Kalau tidak,
jangan harap dia boleh lena.”
Adira melepaskan keluhan lagi. Entah
sudah berapa kali.
“Kesian, Sya.” Hanya itu yang mampu
Zharif luahkan.
“Sedih tau tengok Sya macam tu.
Jenuh emak bapak aku bawak dia berubat. Tapi...”
Adira ingin meneruskan namun kelibat seseorang
mematikan kata. Kelibat Afif yang sedang menuju ke arah mereka. Melihatnya,
hati menjadi panas. Menyampah!
“Err, Zharif. Aku minta diri
dululah. Aku dah lambat ni.”
Tanpa menunggu balasan daripada Zharif,
Adira terus sahaja berlalu meninggalkannya.
Dahi Zharif berkerut. Tidak faham
kenapa Adira pergi dengan tergesa-gesa. Apa yang sudah berlaku?
“Siapa tu?” Suara garau Afif
menyapa.
Oh patutlah! Patutlah Adira pergi macam
lipas kudung. Dia sudah nampak kelibat Afif tadi. Tidak mungkin Adira hendak
berlama-lama. Musuh tu!
“Lambatnya!” sahut Zharif,
mengabaikan soalan Afif sambil masuk semula ke dalam kereta.
Afif menjongket bahu. Gelagat Zharif
sedikit pun tidak dipeduli. Pantas dia masuk ke ruang di sebelah pemandu.
Sebaik merasakan diri selesa, mata dipejamkan. Baharulah terasa kepenatan
setelah sepanjang malam bertungkus lumus bekerja.
Suasana sepi seketika. Zharif
memberi tumpuan kepada pemanduan.
“Tak jawab pun bila abang tanya
tadi. Siapa perempuan tu? Girlfriend
kau ke?”
Afif mengulangi soalannya tadi. Masih
tidak puas hati apabila Zharif diam, membekukan diri.
Zharif tersengih. Girlfriend? Adira? Tidak pernah
terlintas di fikiran. Sekilas, wajah penat Afif ditatap.
“Abang ni! Adira pun abang dah tak
kenal?” tanya dia.
“Adira?”
Mata Afif buntang. Entah mengapa dada
jadi bergetar pula.
“Ya! Dia pun kerja kat sini. Baru
sebulan pindah.”
Afif tidak jadi hendak melelapkan
mata. Risau semacam wajah dia sekarang.
“Kenapa abang tak tahu pun? Di jabatan
mana?” tanya dia.
Giliran Zharif untuk menjadi rimas.
“Tanya saya banyak-banyak ni, apasal?
Manalah saya tahu dia kerja di bahagian mana, Dr Afif. Pergilah cari dia esok,
okey! Boleh juga abang risik-risik keadaan Syakila.”
Wajah Afif terus berubah. Disertakan
dengan satu dengusan kasar.
“Tak payah sebutlah nama budak tu!”
bentaknya.
Mendengar dengusan Afif, Zharif
menggeleng. Dia tidak faham dengan perangai abang sepupunya ini. Sebut nama
Syakila sahaja, terus naik hantu. Pelik memikirkannya. Tadi, Adira pun begitu.
Sebut nama Afif sahaja, sudah mencuka wajahnya. Payah betul hendak dimengerti.
Sikap Afif, sikap Adira, Syakila...
Siapakah yang bersalah? Siapakah
yang benar? Kenapa berahsia sangat?
Baik Afif mahu pun Syakila, tidak
pernah mahu memberitahu sebab-sebab hubungan mereka putus. Afif tidak mahu
bercerita. Syakila juga menutup mulutnya rapat. Yang pasti, sejak hubungan itu
putus, hanya kebencian di antara mereka.
“Sampai bila abang dengan keluarga
Sya nak bermusuh?” tanya Zharif lembut.
“Bukan abang, okey! Syakila dengan
keluarga dia yang tak nak terima kenyataan,” balas Afif.
“Tapi, apa sebabnya? Apa yang abang
dah buat sampai Sya jadi teruk macam tu? Abang tahu tak? Sya tu kalau sehari
tak ambil ubat penenang, dia langsung tak boleh dikawal, bang. Kenapa sampai
macam tu sekali?”
“Manalah aku tahu, Zharif? Iman dia
yang tak kuat, kenapa nak salahkan aku pulak?”
Suara Afif melantun kuat.
“Siapa salahkan abang? Saya tak
cakap abang salah. Saya cuma nak tahu sebab mengapa hubungan kau orang berdua
putus. Itu aje!” balas Zharif. Dia ingin benar tahu sebab itu. Tadi, jawapan
yang diharap tidak ditemui pada Adira. Adira zip mulutnya rapat. Kini, Afif
juga buat yang sama. Nampaknya rahsia itu akan kekal menjadi rahsia!
Zharif pula yang risau. Baginya, kalau
ini perkara kecil, masakan sampai begitu sekali Adira dan keluarganya membenci
Afif. Tapi, kalau besar persoalannya, mengapa hendak disembunyikan?
“Alah, biasalah putus cinta ni. Sya
yang tak mahu terima hakikat. Dia tak mahu faham yang abang dah tak boleh
terima dia,” balas Afif dengan riak tidak bersalah.
“Iyalah, mungkin cara abang putuskan
hubungan tu, tak betul kut? Tu yang merana si Sya,” bentak Zharif.
Kadang-kadang, dia geram juga dengan Afif. Selamba derk sahaja apabila bercakap tentang Syakila. Tidak adakah sedikit
pun rasa bersalah? Nasib baik emak ayah semua tidak tahu. Kalau tidak, tentu
kecoh.
“Kalau kau kesian dia, kau ambillah
dia! Ganti tempat aku.”
Dahi Zharif berkerut. Stereng kereta
digenggam kuat. Kalau orang lain yang berkata begitu kepadanya? Pasti, pasti
sudah makan penumbuknya ini. Tetapi, Afif?
Tak sangka! Tak sangka Afif sanggup
cakap macam tu? Boleh gelak lagi! Bunyi gelak itu pun semacam sahaja. Jahat!
Entah mengapa, dia pula rasa sakit
hati sekarang. Geram betul tengok muka abang sepupunya itu.
“Tu sebab saya tak suka bercinta
sebelum kahwin ni. Masa suka, tak ingat dunia. Bila berpisah, putus
silaturrahim.” Zharif menyindir penuh kemarahan.
“Boleh stop tak? Aku penat ni, Rif. Subuh tadi ada satu kes cubaan
membunuh diri. Entah apa nak jadi dengan budak sekarang, tak tahulah. Frust sikit aje dah nak ambil nyawa
sendiri. Kalau mati tak apa jugak. Ini hidup lagi tapi menyusahkan orang.”
Zharif tidak percaya seorang doktor
yang tugasnya menyelamatkan nyawa pesakit sanggup berkata begitu. Bukankah
sumpah seorang doktor ialah untuk menyelamatkan nyawa manusia? Jadi, mengapa lelaki
di sebelahnya ini harus mengeluh?
“Jadi, budak tu tak matilah.
Alhamdulillah.”
“Syukur apanya? Orang lemah mental
macam dia, macam Syakila tu, mati lagi baik, Zharif!”
Astaghfirullahil’azim. Sabar ajelah
dengan doktor muda ini. Langsung tak beretika! Adakah patut dia cakap macam tu?
Zharif tak kuasa nak berbual dah. Buat
sakit hati dia sahaja. Lantas dia terus memandu dalam senyap. Membiarkan
suasana sepi sehingga mereka sampai di rumah orang tua Afif di Gombak.
Selama
dua minggu Atiqah berada di Pulau Pinang. Berkursus. Itu pun kerana
menggantikan Kak Ramlah yang keguguran. Ingat seronok ke berkursus? Memang taklah!
Asyik sibuk memanjang dari pagi santak ke malam. Sangat-sangat membosankannya.
Dah tu, dia tertinggal telefon di rumah. Haru betul! Sebab itu hatinya hancur
sebaik dia jejakkan kakinya ke rumah semalam. Hancur lumat dengan kerenah tidak
bertimbang rasa ibunya.
Belum sempat turun daripada kereta Nurain,
ibunya terus memberi amaran.
“Pergi masuk bilik dan duduk di situ
senyap-senyap. Jangan keluar selagi mak tak suruh. Faham?”
Mana mungkin dia faham. Malah Atifah
turut terkedu. Nurain juga!
Rasa hendak gugur jantungnya mendengar
berita yang sebentar lagi, dia akan ditunangkan. Air mata terus gugur dengan
laju. Ingin benar hendak membentak. Hendak menolak. Hendak jerit kata...
“TAK NAK!”
Tetapi, di dalam rumah, jiran
sekeliling sudah ramai bertamu. Membantu itu ini. Ada yang menggubah hantaran.
Ada yang sibuk di dapur. Ada yang hanya datang untuk bersembang.
Apa kata mereka nanti kalau dia buat
perangai? Apa nanti yang mereka fikir jika dia menjerit dan meraung? Lagipun,
dia tak sanggup hendak memalukan ibu bapanya. Jadi, dia hanya mampu mendiamkan
diri.
Untuk baca sambungan boleh dapatkan Novel ini di kedai buku berdekatan atau, beli secara online di website kami Idea Kreatif Publication.
No comments:
Post a Comment