Merlissa berpaling pada teman baiknya, Fakhirah
apabila lengannya disiku gadis itu. Mata dijongketkan berkali-kali tanda
menyoal. Fakhirah memuncungkan bibirnya ke arah depan dengan wajah berkerut
cuak. Merlissa buat muka pelik sembari tertawa lucu melihat muncung itik itu.
“ Kau
kenapa ni?” soal Merlissa langsung tak memahami bahasa tubuh itu. Fakhirah
masih lagi memuncung-muncungkan mulutnya. Menyedari akan maksud yang ingin
disampaikan oleh temannya, mata segera dilarikan memandang pada arah yang
ditunjukkan.
“ Bala dah
datang Lissa. Cabutt..” ujar Fakhirah cuak. Sudah berkali-kali dia nasihatkan
Merlissa supaya tidak meneruskan hobinya yang satu itu, tapi gadis itu
berdegil. Apatah lagi.. melihat wajah mencuka lelaki yang kini sudah berdiri
tegak di hadapan mereka berdua.
“ Lissa,
siapa ni?” soal lelaki di sebelah Merlissa pula yang masih asyik mengusap-usap
jemari halus Merlissa. Merlissa senyum segaris memandang wjaah kacak lelaki itu
sebelum mata dialihkan pada wajah tegang Nadzril.
“ Kau tanya
aku siapa? Kau tu yang siapa?” herdik Nadzril pula. Namun, Merlissa buat muka
tak bersalah. Perlahan dia menarik tangannya daripada genggaman erat lelaki di
sebelahnya, Farid. Fakhirah sudah membatu tanpa kata.
“ Come on, guys. Tak payah memekak kat
sini, boleh tak?” Merlissa bertutur perlahan. Siswa-siswi yang lain sudah
curi-curi pandang ke arah mereka. Aduh, beginilah jadinya kalau sudah menjadi
rebutan.
Nadzril
tanpa kata terus melelar pergelangan kecil Merlissa. Terjerit jugalah Merlissa
dibuatnya apabila tubuhnya didorong untuk mengekori langkah itu. Dia
menampar-nampar lengan sasa itu.
“ Hei Nadz,
apa ni main tarik-tarik? Sakitlah!!” marah Merlissa kuat. Dan seperti yang dia
sudah agak, Farid takkan berdiam diri sahaja melihat kekasih hati dibawa pergi.
Pemuda berpangkat anak Datuk itu juga turut menyaingi langkah mereka. Fakhirah
pula masih terkulat-kulat di meja yang diduduki mereka bertiga tadi.
“ Bro, lepaskan girlfriend aku kalau kau tak nak penumbuk ni singgah kat muka kau,”
ugut Farid sembari menolak bahu Nadzril kuat. Nadzril tergelak sinis. Girlfriend konon? Puih. Merlissa adalah
miliknya. Sudah lama mereka menjalinkan hubungan cinta. Sekarang, lelaki
bangsat ini senang-senang hendak mengaku Merlissa kekasihnya pula? Ah, langkah
mayat aku dulu baru orang lain boleh ambil Merlissa. Getus hatinya sebal
bersama pegangan yang masih kejap pada pergelangan kecil Merlissa.
“ Woo.. woo.. jantan bangsat dah mengaku
awek aku kekasih dia pula,” sindir Nadzril tajam. Merlissa yang di
tengah-tengah hanya mampu terkebil-kebil. Aduh, dah macam scene Hindustan dah aku ni. Omel hati kecilnya.
“ Kau cakap
apa ni, bodoh??” Farid terus beran. Kolar baju Nadzril dicekak kasar. Nadzril
tergelak sinis. Merlissa garu kepalanya yang tidak gatal menggunakan sebelah
lagi tangan yang lepas bebas.
“ Apa yang
aku cakap, itulah yang kau dengar. Merlissa kekasih aku, milik aku dan jangan
kau berani-berani nak mengaku dia kekasih kau pula!” jerkah Nadzril lagi. Dan
saat ini, gegendang telinga Merlissa seakan-akan ingin pecah sahaja. Frekuensi
suara kedua-dua pemuda ini memanglah tersangat tinggi. Sejenak, Farid pula yang
ketawa sakan.
“ Kekasih?”
soal Farid sinis. Merlissa sudah mula telan liur. Wajah berkerut Nadzril
dipandang dengan wajah bersalah.
“ Apa
maksud kau soal aku macam tu??” Keras suara Nadzril menyoal. Tajam matanya
dengan rahang bergerak-gerak mengepung amarah.
“ Kau buka
telinga kau tu besar-besar.. aku dan Merlissa dah jadi pasangan kekasih sejak
setahun yang lepas. In fact, kami dah
rancang nak bertunang dah pun,” tukas Farid masih lagi bernada sinis. Dum!
Ibarat bumi ditimpa bencana Nadzril rasakan hidupnya kala ini. Spontan, pautan
tangan yang mengikat mati tangan kecil itu terlerai. Dia memegang bahu
Merlissa. Kejap!
“ Apa semua
ni, Lissa? Apa?” soal Nadzril dengan suara yang dah bergetar. Farid yang
memerhati hanya tersenyum sinis.
“ Lissa, better you terangkan hubungan kita pada
lelaki pengemis cinta you ni,” hina Farid pada Nadzril. Namun, Nadzril tika ini
tidak berminat mahu mendengar suara lain melainkan penjelasan daripada seorang
yang bernama Merlissa Umairah.
“ I.. I tak tahu nak cakap macam mana,” getus
Merlissa dengan wajah menunduk. Sungguh, inilah kali pertama dia berhadapan
dengan situasi tegang sebegini. Selama ini, dia seronok mempermainkan perasaan
lelaki. Tapi.. tidak ada seorang pun yang bersikap serius dalam memburu
cintanya seperti Nadzril. Semua lelaki yang pernah dipermainkannya ternyata
sama sahaja dengan dirinya. Semuanya playboy
dan dia adalah playgirl kampus UiTM,
Seri Iskandar. Gelaran yang dah bertahun-tahun disandang sementelah dia sudah
pun melangkah ke tahap lebih serius bersama Farid.
“ Lissa, tell me. Apa yang jantan ni cakap?
Tunang? Since when, Lissa? Kita baru
saja enam bulan jadi pasangan kekasih. Macam mana pula jantan ni mengaku dia
dah berpacaran dengan you lebih setahun yang lepas??” Bertalu-talu soalan itu
menyentak benak Merlissa. Dia tergamam. Lidahnya kelu.
“ Hei
bodoh, kalau kau ni betul-betul kenal Lissa, dia tak pernah serius dengan
mana-mana lelaki. Dia tu cuma playgirl
kampus ni. Kau dan lelaki-lelaki lain yang pernah jadi mangsanya cuma tempat
dia berhibur bila aku tak ada. Siapa lagi, Lissa? Hah.. Mukhriz, Danial, Ameer.
Lelaki-lelaki hot kat kampus ni tu semua
dah pernah jadi mangsa dia. Kau faham tak?” Farid melontar kata ibarat orang
yang tiada akal.
Tidak
marahkah dia mengetahui Merlissa punya kekasih lain? Sedang aku, perih dan
sakit hati melihat lelaki lain bertegur sapa apatah lagi menjalinkan hubungan
istimewa dengan kekasih hati. Rambut dilurutkan kasar.
Tak, tak
mungkin. Lissa takkan buat aku macam ni. Aku tunggu dia bukan sebulan, bukan
dua bulan. Tapi.. tiga tahun. Semenjak dia berada di peringkat diploma lagi.
Allah.. benarkah apa yang aku dengar? Rintih hatinya.
“ Lissa,
apa salah Nadz? Apa dosa Nadz?” soal Nadzril perih lalu melorot jatuh. Entah
kenapa, Merlissa turut sama sebak mendengarkan rintihan penuh sayu itu. Wajah
mendung Nadzril dipandang dengan rasa bersalah. Tak pernah dia rasa bersalah
sebegini apabila mempermainkan kaum Adam. Sungguh, sedih di hati melihat wajah
tampan Nadzril meskipun dia tahu dan yakin.. tiada cinta buat lelaki itu.
“ Lissa
minta maaf, Nadz. Maafkan Lissa,” pinta Merlissa. Hanya itu yang dia mampu cakap.
Wajah Nadzril yang dah mula bergenang dengan air mata mendongak perlahan
memandang wajah ayu dengan rambut mengurai panjang. Merlissa tersentak. Ada air
mata menghiasi wjaah tampan itu. Benar-benar terlukakah Nadzril dengan
kenyataan ini? Soal hatinya.
“ Nadz
sayangkan Lissa sepenuh hati Nadz. Kenapa, sayang? Kenapa buat Nadz macam ni?
Tak ada langsung ke rasa sayang Lissa buat Nadz? Nadz tak kuat. Tak kuat nak
terima hakikat cinta Nadz dipermainkan,” rintih suara itu sambil mula diselangi
esak kecil. Hampir tubuh Merlissa rebah menyaksikan panorama itu.
“ Hei, kau
jangan nak buat drama air mata depan akulah. Sayang.. jom ikut Far!” tegas
Farid mula hendak mencapai lengan si gadis. Namun, Merlissa menepis lembut.
“ Lissa nak
cakap dengan Nadz kejap. Kalau Far sayang Lissa, tolong bagi Lissa cakap dengan
dia. Berdua tanpa Far,” pohon Merlissa. Farid mendengus kasar. Huh! Merlissa
yakin Farid akan memberi kebenaran kerana lelaki itu amat mencintainya.
“ Far bagi
Nadz cakap kejap aje. Bila dah selesai, cari Far kat tempat biasa,” tukas Farid
mengalah dan Merlissa tarik senyum.
“ Terima
kasih, Far,” balas Merlissa.
“ Dan kau
jantan, jangan kau nak melebih dengan bakal tunang aku.” Farid sempat memberi
amaran keras sebelum dia berlalu pergi meninggalkan dua insan itu dengan hati
mendongkol geram.
“ Nadz,
ikut Lissa kejap,” gamit Merlissa. Nadzril pandang wajah itu dengan rasa sayang
yang berkepuk-kepuk. Entah kenapa, langsung tidak ada rasa benci buat Merlissa.
Walhal, gadis itu adalah orang yang sama merenggut pergi kesetiaannya.
Perlahan-lahan, dia bangkit. Tapi, benarkah semua itu? Hanya Nadzril yang
mengetahui kebenarannya.
Merlissa
duduk
di sebuah bangku kecil. Wajah sayu Nadzril ditentang dengan persaan bersalah
yang dah mula menunjal-nunjal sanubari.
“ Maafkan,
Lissa.” Sebaris ayat pembuka bicara sekaligus memecahkan keheningan ruang yang
agak terlindung dari kelibat siswa-siswi.
“ Kenapa
buat Nadz macam ni?” Soalan dilontarkan pada Merlissa. Jelas, Merlissa nampak
beku hendak menjawab.
“ Lissa tak
tahu macam mana nak jelaskan. Tapi.. memang salah Lissa. Memang salah Lissa,”
luah Merlissa penuh emosi.
“ Jadi,
jelaskan pada Nadz salah Lissa. Apa dosa Nadz? Kenapa permainkan hati Nadz?
Perasaan Nadz?” Nadzril turut emosi. Wajah Merlissa ditentang tajam. Merlissa
gigit bibir untuk seketika.
“ Untuk
suka-suka,” balas Merlissa akhirnya. Nyata, Nadzril terhenyak mendengarkan
jawapan itu. Pedih ulu hatinya. Jadi, selama ini lakonan Merlissa sekadar untuk
suka-suka? Siapa dirinya? Sebuah permainankah? Hanya untuk menghilangkan bosan?
Nadzril meramas kasar rambutnya. Jelas tertekan.
“ Jadi,
siapa Farid dalam hidup Lissa?” soal dia geram.
“ Bakal tunang dan juga mungkin bakal suami,”
getus Merlissa tenang. Benarkah Farid adalah jodohnya? Ah, dia sendiri tidak
pasti.
“ Lissa!!”
tengking Nadzril sedikit naik angin dengan jawapan selamba Merlissa.
“ Itu
kenyataannya, Nadz.” Dia menjawab lagi. Masih bernada sama. Tenang!
“ Ya,
kenyataan yang menyakitkan hati Nadz. Jadi, memang betullah tiada rasa sayang
untuk Nadz?” soal Nadzril lagi. Sedikit mendesak. Perlahan-lahan Merlissa
geleng tanda menafikan. Anak mata Nadzril bersinar-sinar melihat pengakuaan
itu. Nampaknya dia masih ada peluang. Detik hatinya ceria namun tak kekal lama
apabila..
“ Lissa
sayang Nadz. Tapi.. sayang seorang teman buat temannya.” Zap! Pedih jiwa
Nadzril menelan hakikat itu. Terngiang-ngiang jawapan Merlissa menerjah deria
pendengarannya.
“ Sampai
hati, Lissa,” getus Nadzril sayu. Wajah
kembali ditundukkan memandang rumput-rumput hijau. Dengan teragak-agak,
Merlissa sentuh tangan sasa itu. Nadzril nampak terkejut tapi wajahnya langsung
tidak diangkat.
“ Nadz..
Nadz baik. Baik sangat. Nadz nyata berbeza dengan lelaki yang Lissa kenal. Hati
Nadz luhur. Dan percayalah.. Nadz akan dapat perempuan yang jauh lebih baik
daripada Lissa. Lissa tak layak untuk Nadz.” Merlissa memujuk. Tiba-tiba
Nadzril merentap kasar tangannya lalu berdiri tegak. Merlissa terkesima.
“ Siapa
Lissa untuk tentukan siapa yang layak untuk Nadz? Siapa? Huh.. Nadz jauh
berbeza daripada lelaki yang Lissa kenal. Berapa ramai lelaki yang Lissa ada?
Cakap pada Nadz! Cakap!!” soal dia garang. Merlissa terkejut lalu berdiri tegak
menentang panahan tajam itu.
“ Nadz,
jangan hina Lissa macam tu!” Lantang suara Merlissa membalas.
“ Nadz tak
hina. Nadz bercakap perkara yang benar. Masih ingatkah Lissa tentang kata-kata
Nadz dulu?” soal dia mulai tenang. Merlissa kerutkan kening. Seketika, Nadzril
ketawa yang jelas dibuat-buat.
“ Tentu
Lissa takkan ingat apa sahaja yang berkaitan dengan Nadz. Siapalah Nadz ini,”
balas dia dengan wajah terluka. Merlissa cuba tahan sebak melihat perilaku
lelaki itu. Maafkan Lissa, Nadz. Detik hatinya.
“ Nadz akan
ingatkan Lissa.” Nafas dia tarik panjang sebelum dia kembali berbicara. “ Nadz
pernah cakap yang Lissa nyawa Nadz. Nyawa dan nadi Nadz. Hilangnya Lissa ibarat
membawa pergi nyawa Nadz. Tak dapat digambarkan betapa Lissa adalaah mesin
hayat Nadz. Jauhnya Lissa bermakna lemahlah denyutan nadi ini. Dan hilangnya
Lissa, maka terpisahlah roh dari jasad.” ujar Nadzril berteka-teki. Merlissa
kerutkan wajah. Langsung tidak menangkap bait kata-kata itu. Rahsia yang
tersembunyi di sebalik kata-kata itu.
“ Apa
maksud Nadz?” soal Merlissa buntu. Nadzril tersenyum kecil bersama mata yang
memerah menahan tangis.
“ Suatu
hari nanti Lissa akan faham. Nadz nak tegaskan, Lissa nyawa Nadz, nadi Nadz
sampai bila-bila. Nadz sayangkan Lissa. Dan andai suatu hari nanti Lissa dapat
tahu Nadz sudah pergi jauh, ketahuilah Nadz dah maafkan kesalahan Lissa pada
Nadz. Jaga diri Lissa dan izinkan Nadz bawa kenangan kita dahulu. Nadz pergi
dulu,” luah Nadzri seraya berpaling hendak melangkah. Merlissa langsung tidak
menangkap maksud di sebalik kata-kata itu. Baru Nadzril berpaling, Merlissa
melelar tangan sasa itu.
“ Maafkan
Lissa. Maafkan Lissa,” pinta Merlissa tanpa dapat membendung kesedihan. Setitis
air mata gugur. Dan tanpa berpaling menghadap wajah si dia yang dah mencuri
hatinya, Nadzril menangguk tanda dia sudah memaafkan lalu langkah kembali
diatur. Merlissa terjelopok. Entah kenapa, dia dapat rasa hari ini bakal
menjadi hari terkahir dia bersama Nadzril.
Ah,
perasaan apakah ini? Detik hatinya buntu diiringi tangisnnya yang dah mula
lebat mencurah-curah. Teganya aku lukakan hati Nadz. Sesal Merlissa tiada
gunanya lagi.
Tanpa
pengetahuan semua.. di sebalik pohon rendang, kejadian itu diperhatikan oleh
sesusuk tubuh tegap dengan mata yang jelas menahan marah. Penumbuk dikepal
kuat.
Kau akan
dapat balasannya, Lissa. Kau tunggu pembalasan dari aku. Bisik hati figura itu
lalu dia turut melangkah pergi dengan membawa dendam kesumat.
:Copyrighthanaefriena: :Ideakreatifpublication: